Ahad, 31 Ogos 2008

Mengenang Saat Hadir Kolokium Citra Dakwah dalam Novel Popular






Tanggal August 21, 2008 lalu ....

Saat seharian berpeluang menghadiri Kolokium Citra Dakwah dalam Novel Popular di Puri Pujangga UKM, banyak yang dipelajari jua banyak ilmu yang sempat ditadah. Teristimewa berpeluang mendengar pembentangan ilmu oleh YBhg. Prof. Dato' Paduka Dr. Mahmood Zuhdi....tak rugi hadir majlis begini.
Kolokium ini juga membawa saya berkenalan dengan novelis Puan Anis Ayuni, Encik Zaid Akhtar, Puan Shamsiah Mohd. Nor dan lain-lain karyawan yang mungkin saya tidak ketahui namanya. Terasa macam nak tulis novel pun ada!!! Juga bertemu Dr. Mawar Shafei dan Puan Nisah Haron yang sudah banyak kali menang anugerah kerana hasil karyanya diiktiraf oleh pelbagai pihak. Terima kasih untuk Dr. Fariza Md. Sham, Dr. Zamri dan Prof. Dr. Siti Rugayah Hj. Tibek kerana memberi ruang istimewa ini untuk saya menghargai usaha kalian. Terima kasih, terima kasih, terima kasih.






Jumaat, 29 Ogos 2008

terapi minda

Fotos Ads By Google



boleh cuba jika ada kesungguhan, terapi minda dengan ilham karya silam ini

Cuti-cuti begini, ada baiknya dipenuhkan dengan perkara berfaedah....Saat menghayati nukilan Ludwig van Beethoven

... Fur Elise ... begitu menusuk biarpun beliau telah lama bersemadi...

Khamis, 28 Ogos 2008

Salam Kemerdekaan


Saat menyambut ketibaan hari kemerdekaan, hati ini berbaur indah teringat cerpenku tersiar di Mingguan Malaysia - Atuk Gigi Emas dan Cucu Merdeka - biar saat itu sudah lama berlalu... begitu nostalgia gitu. Apa-apa pun salam kemerdekaan dan ceria sentiasa
MERDEKA!
MERDEKA!
MERDEKA!


Salam Ramadan



ke mana hala tuju kita sempena Ramadan ini...
anda tentukannya....
salam ramadan
ASSALAMUALAIKUM WBT... SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL-MUBARAK. SEMOGA SELAMAT MENJALANKAN IBADAT PUASA & MENDAPAT KEBERKATAN
Dari-NYA....

Biografi Aminuddin Baki: Arkitek Pendidikan Negara

Buku terbaru Penerbit UKM berjudul Biografi Aminuddin Baki: Arkitek Pendidikan Negara terbit semalam (23 September 2008). buku ini karya ROZEMAN ABU HASSAN iaitu pensyarah di Open University Kuala Lumpur. Buku ini wajar dibaca oleh para pendidik di seluruh negara. Ironinya buku ini terbit di bulan Ramadhan dan secara kebetulan pula beliau meninggal juga pada 1 Ramadhan. Bagai ada persamaan di situ. Aminuddin adalah insan teristimewa dalam bidang perguruan kerana jiwanya sarat dengan dunia pendidikan. Perjuangannya harus diteladani oleh warga guru sekalian. Saya diberi peluang untuk menangani penerbitan buku ini dengan ilmu yang seadanya dan dalam tempoh yang agak lama. Biar penuh dengan onak dan duri namun segala cabaran itulah harga yang harus saya bayar kerana telah duduk di dalam industri perbukuan ini. Akhirnya terbit jua buku ini....saya harap kehadirannya dalam dunia penerbitan buku negara dapat dimanfaatkan. SELAMAT MEMBACA.

Ahad, 24 Ogos 2008

Maha Karya Cinta

Faizal Tahir - Maha Karya Cinta

Begitu berat melangkah
Melihat kau bersamanya
Adakah aku yang salah
Atau hanya helah saja
Ku masih mencintai diri kamu

Biar kau menjauh
Ku rindu
(Korus)

Kau bagaikan udara
Yang membantu aku
Untuk terus hidup di atas dunia
Tanpamu ku lemah
Pasti aku tak berdaya
Kerna kau maha karya cinta
Biar pun kau tidak mahu

Menerima kasih daku
Aku kan setia bersamamu
Sehingga ke akhir waktu
Ku masih menyayangi diri kamu

Biar kau berlalu ku rindu
(Ulang korus)
Kau takkan dapat aku lupakan

Kerna kaulah punca cinta kita
Mengajar aku erti bahagia
Temanilah aku semula
Dengarlah pesanan daku

Yang akan terus menunggu
Kredit: (Petikan ...laman web Faizal Tahir)

Sabtu, 23 Ogos 2008

Lagu Dodoi Melayu Patani


Monday, July 2, 2007
(Diterbitkan di Ruangan Sehari Sebuah Buku Di Utusan Malaysia)

Ulasan Buku

BUKU yang dibahagikan kepada tujuh bab ini memaparkan secara rinci tentang beberapa buah lagu dodoi yang biasa didendangkan oleh majoriti masyarakat Melayu Islam di Pattani. Penampilan contoh lagu yang dikutip di kawasan kajian terpapar melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Nureeyan Saleh. Pengarang juga menyatakan tentang kesenian, ciri, fungsi serta peranan lagu dodoi dalam masyarakat.

Lagu dodoi biasanya digunakan sebagai salah satu cara untuk menidurkan anak-anak kecil. Mesej yang terkandung di dalam lagu merangkumi persoalan yang merangkumi aspek tema, isi dan fungsi mendidik yang cukup dalam maknanya.Manifestasi utama yang terkandung di dalam lagu dodoi amat berkait rapat dengan kehidupan pada peringkat awal kehidupan bayi terutama sewaktu mereka masih di dalam peringkat belum memahami bahasa formal.

Lagu dodoi merupakan nyanyian atau puisi yang pertama didengar oleh bayi. Bentuk lagu dodoi yang biasa didendangkan termasuklah dalam bentuk pantun, syair dan nazam. Manusia, tidak kira keturunan, bangsa atau agama memiliki cara-cara tersendiri meluahkan rasa kasih sayang kepada anak-anak mereka. Salah satu cara yang begitu seni sekali ialah dengan menyanyikan lagu-lagu mengulit anak.

Lagu dodoi ialah lagu yang dinyanyikan untuk menghiburkan dan menidurkan bayi supaya cepat terlena. Ia dicipta dan dinyanyikan secara spontan mengikut emosi dan imaginasi ibu atau bapa.Oleh itu kata-kata dipilih dan disusun supaya menjadi puisi yang indah dan menarik serta mengandungi nilai-nilai moral atau seni kata yang sesuai dengan bayi. Nyanyian dodoi di kalangan masyarakat Melayu Pattani juga adalah satu cabang seni yang menjelaskan sudut pandangan, nilai-nilai dan keistimewaan yang terdapat dalam masyarakat tersebut.

Budaya tradisi dodoi merentasi sempadan tanpa mengenal batasan kelas. Ia menyeberang dari istana hingga ke kawasan pedalaman yang dapat dikesan melalui pemilihan kata-kata indah terpilih.EtikaBerdasarkan kepada contoh-contoh lagu dodoi yang dibincangkan di dalam buku ini, pengarangnya berpendapat bahawa nilai etika kemasyarakatan dan ajaran Islam untuk menunjuk ke jalan hidup yang sempurna dapat dilaksanakan semenjak dari dalam buaian lagi.

Seni kata lagu dodoi dengan jelas memperlihatkan pelbagai aspek pengajaran yang dapat membimbing kanak-kanak untuk mencapai taraf hidup yang sempurna. Di antaranya yang dapat dikutip ialah kepentingan beragama, berbudi bahasa, menghormati ibu bapa dan orang tua serta tekun mencari ilmu pengetahuan.Kekuatan buku ini jelas terletak pada kematangan pengarangnya mengolah penyelidikan yang dibuat terhadap contoh lagu-lagu dodoi dalam pelbagai versi yang dikumpulkan dari serata ceruk kawasan kajian.Keupayaan pengarang mengolah dan merungkaikannya dalam bentuk bacaan umum menjadikan buku ini kelihatan lebih menarik dan bersifat akademik.

Pengolahan kajiannya kelihatan agak matang dengan disulami oleh penggunaan bahasa yang mudah dan lancar. Istimewanya buku ini ialah terdapatnya contoh-contoh gambar buaian yang biasa digunakan dalam kehidupan masyarakat Melayu Pattani ketika mendodoikan anak.Buaian kain atau endoi kain mempunyai perkataan yang rapat dengan kajian lagu dodoi.

Lazimnya, buaian yang sering terdapat di wilayah Pattani termasuklah buaian kain, buaian tangguk, buaian rotan, buaian papan atau kayu dan buaian jamai atau kong.Pengarang juga menurunkan versi dodoi dalam versi-versi seperti Melaka, Yala, Bangkok, Pattani dan Kelantan. Buku ini juga banyak menggunakan bahasa Thai yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Buku setebal 183 halaman ini sesuai untuk pelajar universiti juga untuk bacaan khalayak umum yang meminati kajian bidang budaya dan cabang seni.


Judul: LAGU DODOI MELAYU PATANI

Pengarang: Nureeyan Saleh

Penerbit: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Harga: RM25.00 (Terbitan 1999)

ISBN: 967-942-441-3

Tebal: 183 halaman

Pengulas: Saadah Jaffar

Sampai Syurga


Faizal Tahir - Sampai Syurga




Ku membenarkan jiwaku
Untuk mencintaimu
Ku persembahkan hidupku
Untuk bersama kamu
Dan diriku untuk kamu
Belum pernah kumerasai begitu
Semua itu telah berlalu
Harapanku palsu
Dan mungkin hari yang satu
Terus ku tertunggu
Di hatiku masih kamu
Belum pernah ku ingin terus memburu
Aku lemah tanpa kamu
Ku inginmu dampingi ku
Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu
Namun aku tetap aku
Yang terbaik untuk diriku
Hanya satu
Hanya kamu
Sampai syurga ku menunggu
Sampai syurga ku cinta mu
Hanya kamu
Ku membiarkan hatiku
Untuk merinduimu
Ku menghamparkan sakitku
Untuk tatapan kamu
Bersamamu harapanku
Hilang dalam terang yang membutakanku
Aku lemah tanpa kamu
Ku inginmu dampingi ku
Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu
Sampai syurga ku menunggu
Sampai syurga ku cintamu
Hanya kamu
Dan segala yang ku ada
Ku berikan semua
Untuk dirimu saja
Ku mahu dirimu
Bahagia untuk selamanya
Biar sampai syurga
Aku menunggu cinta darimu
Agar ku sempurna
Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu
Namun aku tetap aku
Yang terbaik tuk diriku
Hanya satu
Aku lemah tanpa kamu
Ku inginmu dampingi ku
Aku fahami aku bukan terbaik
Untuk dirimu
Sampai syurga ku menunggu
Sampai syurga ku cintamu
Hanya kamu

kredit: (petikan ... laman web Faizal Tahir)
Catatan: Saya sedang mencari nota lagu ini supaya boleh dihayati sepenuhnya melodi lagu ini di piano

Jumaat, 22 Ogos 2008







ARKIB : 31/03/2008

Ke arah penjanaan modal insan berkualiti
BUKU ini menyentuh pelbagai aspek berkaitan teori dan bukti empirik lampau tentang sumbangan pelaburan pendidikan dan latihan dalam pembangunan modal insan kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan.
Hal ini dilihat selari dengan hasrat kerajaan bagi mencapai status negara maju menjelang 2020. Modal insan adalah suatu elemen penting yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.
Modal insan yang berkualiti akan memberikan nilai tambah yang diperlukan oleh sesebuah negara yang sedang membangun bagi mempertingkatkan produktiviti yang dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.
Usaha ke arah penjanaan modal insan yang berkualiti, mencukupi dan berterusan akan menjadi pemangkin kepada proses peningkatan kemajuan dan juga kesejahteraan masyarakat. Kepesatan pembangunan negara sememangnya memerlukan modal insan yang berilmu dan berkemahiran dalam melaksanakan tanggungjawab pembangunan.
Justeru, modal insan dilihat memainkan peranan yang besar dalam proses perancangan dan pelaksanaan agenda pembangunan negara.
Pembangunan modal insan menjadi topik hangat dalam pentadbiran sesebuah organisasi kerana isu perkembangan aset yang sering kali dikaitkan dengan manusia dalam pentadbiran sesebuah organisasi.
Sebenarnya, bukanlah suatu perkara yang mudah dan boleh dipandang remeh apabila isu-isu modal insan diketengahkan. Pihak majikan dalam usaha untuk mempertingkatkan produktiviti dan keuntungan, tidak seharusnya mengabaikan kepentingan dan kehendak para kakitangan.
Perkembangan dan kejayaan sesebuah organisasi sebenarnya banyak bergantung kepada modal insan yang ada selain daripada pelbagai aset seperti kewangan, infrastruktur dan material.
Bergantung
Pelaburan dalam pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan di Malaysia adalah sangat penting dalam menyediakan masyarakat yang berpengetahuan dan berkemahiran. Kejayaan masa hadapan negara sangat bergantung kepada kualiti modal insan yang dimiliki, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga keperibadian.
Justeru modal insan menjadi peneraju utama dalam usaha membentuk sebuah negara yang maju serta seimbang pembangunan ekonomi dan sosialnya, memiliki warga yang bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh.
Buku setebal 218 halaman ini turut memaparkan beberapa langkah yang lebih agresif dan berkesan dalam pelaburan di sektor pendidikan modal insan dan pelaburan bagi modal fizikal.
Hal ini dijangka dapat meningkatkan daya serap teknologi agar terus mengukuhkan daya saing negara dalam pasaran antarabangsa.
Kandungan buku yang mengandungi 14 bab ini secara khusus turut memaparkan pelbagai isu dan cabaran dalam pembangunan modal insan yang perlu ditangani dalam proses perancangan dan pelaksanaan agenda pembangunan negara. Liputan isu dan cabaran yang dipilih melibatkan sektor awam, swasta, masyarakat dan individu pada peringkat lokal dan global.
Buku ini juga membincangkan tentang peranan modal insan yang berkualiti dalam memberikan sumbangan yang diperlukan oleh sesebuah negara yang sedang membangun bagi mempertingkatkan produktiviti ke arah kemajuan dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan.
Kehadiran buku ini di pasaran dijangka akan dapat membantu para pembaca dan golongan pelajar yang berminat untuk mengetahui tentang isu dan cabaran bagi menguasai dan menangani kepelbagaian masalah dalam konteks pembangunan modal insan.
Penulisan di dalam buku ini hampir keseluruhannya berasaskan kepada penyelidikan ilmiah yang boleh meletakkan buku ini antara khazanah ilmu yang menjadi penyumbang utama bahan rujukan bermutu di peringkat pengajian tinggi.
Tajuk Buku : Pembangunan Modal Insan: Isu dan Cabaran
Nama Penyunting: Prof. Madya Dr. Yahaya Ibrahim dan Dr. Abd. Hair Awang
Penerbit: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Harga: RM30
Tahun Terbitan: 2008
No. ISBN: 978-967-942-840-7
Pengulas: Saadah Jaffar

Bantu Penguasaan Membaca Murid Tahun 1

Monday, December 17, 2007

Bantu penguasaan membaca murid tahun 1
Tajuk: Modul Asas Membaca Tahun 1
Pengarang: Muhammad Saiful Haq Hussin
Terbit: 2007
Penerbit: Persatuan Psikolinguistik Malaysia dan Jabatan Bahasa Melayu, FBMK, UPM
Pengulas: Saadah Jaffar

Buku ini menyentuh pelbagai aspek berkaitan trend pengajaran dan pembelajaran asas membaca tahun 1. Tumpuan perbincangan adalah pada pelaksanaannya dalam bilik darjah yang kebanyakannya meliputi konsep pengajaran dan pembelajaran khususnya untuk menguasai asas bacaan. Penghasilan buku ini adalah hasil pengalaman pengarang yang mengajar bacaan dalam bahasa Malaysia pada peringkat tahun 1 di sekolah kebangsaan selama enam tahun berturut-turut. Proses pengendalian pengajaran dan pembelajaran berasaskan modul ini dibuat dari satu peringkat ke satu peringkat. Pembahagian yang dibuat secara berperingkat-peringkat itu adalah melalui proses pengenalan bahagian huruf (prabacaan), suku kata terbuka (KV), perkataan, frasa dan ayat.Dengan pengalaman mengajar dimantapkan lagi usaha mengkaji dan menyelidik selama lebih kurang sepuluh tahun dan menekuni bidang berkenaan pada peringkat diploma sehingga ijazah kedoktoran, dicurahkan dalam buku ini. Pengarang buku ini berpandangan bahawa penguasaan asas bacaan bahasa Melayu dalam kalangan murid tahun 1, kadang-kala akan menerima gangguan daripada gejala-gejala dialek yang turut mempengaruhi pembelajaran bahasa Melayu mereka. Hal ini terjadi apabila murid-murid tahun 1 tidak cekap merencanakan peta kognitif mereka. Akibat daripada ketidakcekapan itu, gerak balas yang dihasilkan oleh murid tahun 1 tidak menepati kehendak-kehendak penguasaan asas bacaan dalam bahasa Melayu. Hasil gerak balas murid tahun 1 mungkin menampakkan ciri-ciri penyimpangan dari aspek fonologi dan penyebutan dalam bahasa Malaysia.Kerangka teoriDalam konteks pengajaran dan pembelajaran asas membaca bahasa Melayu ini, pengarang menggunakan kerangka teori berasaskan Teori Behaviorisme Bertujuan yang diasaskan oleh Edward Chase Tolman (1886-1959). Teori ini ialah teori pembelajaran psikolinguistik yang tergolong dalam keluarga teori kognitif. Rasional Teori Behaviorisme Bertujuan digunakan dalam penulisan ini kerana Teori Behaviorisme Bertujuan mengutarakan empat hipotesis, iaitu Diskriminasi Desakan, Pembelajaran Terpendam, Jangkaan-jangkaan Bidang dan Mod Bidang Kognisi.Pengarang buku ini membincangkan bahawa aspek berkaitan trend penguasaan asas bacaan murid tahun 1 banyak dipengaruhi oleh desakan dengan gerak balas yang teratur. Sebagai contoh, modul di dalam buku ini dibina oleh pengarang bertujuan membantu murid tahun 1 untuk memenuhi desakan faktor sosial atau psikologi mereka bagi membolehkan mereka merencanakan peta kognitif mereka secara cekap. Hal ini mengakibatkan perilaku yang lebih kongruen dan sekali gus menjelaskan matlamat yang ingin dicapai oleh mereka. Proses pemelajaran yang dilalui oleh murid tahun 1 secara terancang dan sistematik telah mempengaruhi persekitaran bacaan asas murid tahun 1 tersebut. Hal ini terbukti dengan kebolehan membaca yang dikuasai oleh mereka. Oleh yang demikian, penguasaan asas bacaan berlaku dalam kalangan murid yang mempraktikkan amalan psikolinguistik semasa mempelajari bacaan asas dalam bahasa Melayu.Kehadiran buku ini di pasaran dijangka akan dapat membantu para pembaca dan golongan pendidik yang berminat untuk mendekati trend dan cabaran bagi menguasai dan menangani kepelbagaian masalah dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat tahun 1. Kandungan di dalam buku ini boleh membantu pembaca bagi menambahkan penguasaan kemahiran membaca asas murid tahun 1 dan meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran bacaan asas. Buku ini juga amat sesuai untuk dijadikan rujukan bagi ibu bapa muda yang teringin untuk mengetahui beberapa permasalahan dari segi teknik pendekatan, kaedah dan cara terbaik untuk membolehkan anak-anak mereka yang masih pada peringkat awal penguasaan bacaan asas bahasa Melayu.

- Sehari Sebuah Buku Utusan Malaysia

Isnin, 18 Ogos 2008

Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi - Zurinah Hassan


Nyiur Gading Puncak Mahligai
- Kalam Hamidi













Sanggar Buku Bersama Pengarang
Saadah Hj. Jaffar – Penerbit UKM


Sanggar Buku Bersama Pengarang anjuran Penerbit UKM berlangsung pada 10 September 2005, bertempat di M.S. Garden Hotel Kuantan. Sanggar ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan petang. Penyertaannya adalah terhad kepada 80 orang peserta dan terbuka secara percuma kepada semua pelajar dan guru sekolah menengah sekitar Kuantan.

Matlamat utama majlis ini adalah untuk mencetuskan minat menulis dan menjalinkan hubungan yang lebih erat di antara pelajar, pengarang dan pihak penganjur. Penerbit UKM juga berpeluang mendekatkan minat pelajar dengan pengarang melalui sesi dialog dua hala pelajar-pengarang. Inilah julung-julung kalinya Penerbit UKM cuba mendekati pelajar dengan majlis yang santai dan cukup meriah. Dalam majlis ini peserta disaran supaya mengambil inisiatif agar meningkatkan kecemerlangan diri melalui cetusan idea dan garapan ilmu serta pengalaman penulisan yang dicurahkan oleh pengarang menerusi buku-buku yang dikupas dan idea-idea yang dilontarkan semasa majlis.

Peserta juga berpeluang berkenalan dengan pengarang yang mengambil bahagian iaitu Kalam Hamidi dan Zurinah Hassan. Zurinah Hassan yang juga seorang yang berjiwa seni serta banyak menulis puisi secara rinci dan tuntas memperkatakan tentang pengalamannya menggarap penulisan Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi. Peserta amat bertuah kerana dapat mendengar dengan lebih dekat lagi dari hati nurani pengarang yang memenangi dua anugerah melalui buku ini. Kemenangan itu termasuklah Anugerah Sastera Perdana 2004 bagi kategori Biografi dan Anugerah Perpustakaan Negara 2004. Dengan penulisan yang agak banyak, Zurinah juga melayakkan dirinya menerima Anugerah Sea Write daripada kerajaan Thailand bagi tahun yang sama.

Selain itu, sanggar ini diserikan dengan kehadiran dramatis, pengarah drama dan penulis Kalam Hamidi yang memperkatakan tentang suka duka kembara tulisannya menerusi Memoir Kalam Hamidi: Dari Panggung Victoria ke Istana Budaya dan Fatamorgana: Kembara dari Nusantara ke Eropah. Peserta disaran mengambil peluang menimba pengalaman sebanyak mungkin dengan menadah ilmu terutamanya semasa masih menuntut ini daripada penulis-penulis tersohor yang dibawa khas ke Kuantan oleh Penerbit UKM.

Sanggar ini dipengerusikan oleh Encik Anuwar Omar Din daripada Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Majlis yang diadakan bersempena dengan Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2005 ini juga diserikan dengan deklamasi puisi, sesi soal jawab dan lakonan drama sepontan yang dibuat oleh kedua-dua pengarang.

Mengabadikan Busana Tradisi Bangsa

Saat-saat manis ketika Puan Azah Aziz memenangi Anugerah Utama Buku Terpilih Malaysia 2007 di Universiti Malaya.
TAHNIAH. Sesungguhnya, saya cukup teruja dan berbangga dapat mengenali hati budimu. Sukar untuk saya mempercayainya ketika berhadapan dengan beliau, menerima panggilan telefon dan berbual-bual santai...sambil menghirup secangkir demi secangkir teh Jepun, sambil bersulamkan kuih-kuih Melayu, bertemankan haruman cempaka di ruang tamu meja kerjanya... nostalgia gitu. Jua, saya terkenang saat-saat manis ketika sama-sama mengorbankan jiwa dan raga ketika menyiapkan penerbitan buku ini. Aduhai!! Terima kasih kepada kepercayaan Penerbit UKM.
Mengabadikan busana tradisi bangsa
Tajuk Buku : Rupa dan Gaya: Busana Melayu
Pengarang : Azah Aziz
Penerbit : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Tahun Terbit : 2006
ISBN : 967-942-755-2 (buku mewah - Edisi Kulit Keras)
Harga : RM150.00

AZAH Aziz seorang tokoh budayawan negara yang amat mencintai busana dan tekstil Melayu merungkai pelbagai persoalan yang bermain di minda masyarakat Melayu di Malaysia menerusi tulisannya dalam Rupa dan Gaya: Busana Melayu.

Semangat juangnya terhadap seni, bahasa dan warisan bangsa Melayu cukup kental dan tiada tolok bandingnya dewasa ini. Beliau begitu mencintai warisan Melayu. Kesemuanya dianggap sebagai satu pusaka nan indah yang perlu terus diwarisi, dijaga dan dipelihara keasliannya.

Buku ini dilatari dengan kepelbagaian rencam tulisan beliau yang begitu indah dan puitis serta diselang-selikan pula dengan gurindam, ungkapan, pantun dan persuratan Melayu. Kreativiti dan keunikan cita rasa busana dan tekstil Melayu jelas terserlah dan dihidangkan di dalam buku ini khususnya dari segi mewahnya setiap persalinan yang dipaparkan. Menariknya buku mewah (edisi kulit keras) setebal 376 halaman ini disulam dan dihiasi indah dengan 511 keping gambar warna-warni tentang busana dan tekstil Melayu.

Beliau yang juga bekas wartawan, menerusi buku ini cuba mengumpulkan kepelbagaian ciri, unsur-unsur, sifat-sifat, adat resam dan artifak yang dirasakannya dapat memancarkan murninya nilai-nilai keindahan yang menjadi pegangan orang Melayu sejak zaman silam. Beliau mengetengahkannya menerusi garapan tulisan beliau semata-mata untuk berkongsi setiap pengalaman yang dikutipnya agar dapat dinikmati bersama oleh semua generasi pada ketika ini.

Buku terkini terbitan Penerbit UKM ini dipecahkan kepada kandungan yang mendasari kepada 12 bab yang agak rencam tentang isu-isu tekstil dan busana Melayu. Pengarangnya memfokuskan setiap tajuk dengan teliti dan memudahkan khalayak pembaca menelusuri isu-isu yang dibawa. Bagaimana indahnya tenunan kain songket, kain sutera dan kain batik yang menjadi kebanggaan warisan Melayu, begitulah mewahnya terbentang corak dan reka letak tekstil tersebut di dalam buku ini.

Pegangan

Segala yang baik dan indah dalam peradaban Melayu dan nilai murni yang menjadi pegangan hidup masyarakat Melayu selama ini juga seolah-olah termaktub di dalam buku ini. Perkara-perkara lain yang dibincangkan antaranya termasuklah alam Melayu, awan Melayu, warna mengerna, kain ini kain nan indah, abadinya kain sarung, busana Melayu, busana dewangga, busana perkasawan dan busana persembahan.

Bahagian terakhir buku ini dinyatakan juga tentang hiasan dan alatan, mayang mengurai serta busana dan rajah. Sehubungan dengan itu jejeran bab demi bab juga memperihalkan kaitan antara satu bab dengan bab yang lain yang boleh dijadikan rujukan oleh penggemar persalinan Melayu. Tumpuan diberi oleh pengarang kepada amalan sebenar masyarakat Melayu terutama dalam menilai unsur estetika yang menjadi pegangan orang-orang Melayu.

Bagi mereka yang kurang pandai dalam selok-belok memotong pakaian dan menjahit baju Melayu pada zaman silam, buku ini juga mempunyai jawapannya. Khalayak boleh menemui kerencaman foto dan rajah baju kurung cekak musang (lelaki dan wanita), baju kurung lelaki dan perempuan teluk belanga (lelaki dan perempuan), baju kurung lelaki dan seluar panjang bertongkah, baju kurung teluk belanga lelaki dan seluar Cina serta paten baju kurung asal yang dipakai di Johor. Lubang leher baju ini yang bulat atau bercekak musang lebar sejari menggunakan sebutir kancing dan berkocek dua. Turut dimuatkan adalah foto dan rajah baju Riau Pahang, baju kebaya labuh, baju belah, baju belah teluk belanga, kebaya pendek bersulam, kebaya labuh bersulam, kebaya pendek wanita Kelantan, baju Kedah, baju sikap berpesak serong dan seluar Aceh.

– SAADAH JAFFAR (tersiar di Ruangan Sehari Sebuah Buku Utusan Malaysia)

Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api


Tersiar dalam ruangan ULASAN BUKU: UTUSAN MALAYSIA

Nama Buku : Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api
Pengarang : Ahmad Boestamam
Penerbit : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Tahun Terbitan :2004
Jumlah Halaman : 384
Pengulas : Saadah Hj. Jaffar

Abdullah Sani Raja Kechil dilahirkan pada 30 November 1920 dan meninggal dunia pada 1983. Tokoh ini dilahirkan di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak. Beliau pernah mendapat pendidikan di Anderson School Ipoh, Perak. Nama Ahmad Boestamam diilhamkan daripada nama Subhas Chandra Bose, pemimpin Liga Kemerdekaan India. Nama itu, bahkan lebih kuat daripada nama asalnya, atau Ruhi Hayat yang juga muncul dalam karya-karyanya yang awal. Tertarik dengan gaya Chandra Bose, Boestamam kemudiannya menyusun barisan pemuda Malaya di dalam Angkatan Pemuda Insaf (API). Kekentalan semangat yang ditiup oleh Subhas Chandra Bose turut membakar jiwa Ruhi Hayat sehingga beliau sanggup mengabadikan nama popularnya sebagai Boestamam.

Memoir ini terangkum menerusi kompilasi buku Lambaian dari Puncak, Merintis Jalan ke Puncak dan Tujuh Tahun Malam Memanjang. Boestamam digeruni pentadbiran British kerana tulisannya yang tajam, berkesan dan pidatonya yang berkarisma. Perjuangannya tidak pernah padam, biarpun pelbagai badai derita melanda. Pembentangan sejarah tanah air dan perjuangan Boestamam menentang penjajah sewaktu memperjuangkan Kemerdekaan dapat dilihat dengan jelas menerusi Lambaian dari Puncak. Pengalaman dan perjuangan Boestamam memperlihatkan kekuatan peribadinya yang digeruni. Kehidupan silamnya sewaktu bekerja dengan pelbagai syarikat akhbar dan kisahnya menerbitkan akhbar dengan menggunakan wang dari poket sendiri turut diceritakan dengan terperinci.

Keterlibatannya dalam politik pula dapat dilihat dengan jelas menerusi Merintis Jalan ke Puncak. Khalayak dapat menelusuri buah tangan pertama pengarang sewaktu menggali dan membongkar bahan-bahan sejarah tanah air dalam gelanggang perjuangan menentang penjajahan dan memperjuangkan Kemerdekaan. Beliau juga salah seorang perintis utama dalam gelanggang ini semenjak era 30-an dan dirasakan pembaca dapat bertemu dengan sumber asli dari pelaku utamanya sendiri.
Karya beliau lebih tertumpu kepada pergolakan dalam satu kehidupan yang sarat dengan perjuangan, pengorbanan dan penderitaan yang pernah ditanggungnya. Lewat naskhah Tujuh Tahun Malam Memanjang, Boestamam lebih memberikan tumpuan tentang kisah suka duka pengalaman silamnya yang berkali-kali ditahan dan merana dengan kehidupan hitam di sebalik tirai besi. Siang dan malam serasa tiada bezanya. Tembok besi menjadi rakan setia dan pemisah kehidupannya dengan dunia luar. Beliau mengenang dan terus mengenang nasibnya sepanjang berada di situ. Putaran kehidupannya terus mewarnai bab ini.
Manisnya memoir ini kerana mendapat sentuhan kata pengantar oleh Tan Sri A. Samad Ismail. Beliau juga sahabat karibnya yang sama-sama tajam mata penanya. Kelahiran buku ini semata-mata bertujuan agar penerbitannya dapat dihayati oleh pembaca lain. Rentetan kehidupan Boestamam yang gemilang dan tragis dapat dikesan menerusi penulisannya. Justeru, dalam keadaan penerbitan yang segar begini diharapkan generasi muda patut menghayati dan menghargai nilai Kemerdekaan yang pernah diperjuangkan oleh Boestamam dan rakan-rakannya.

Satu lagi sumbangan besar Boestamam ialah menyusun Testament Politik API. Merdeka dengan darah yang menjadi tema dokumen tersebut begitu sinonim dengan perjuangan hidupnya yang selalu membara. Beliau turut menggariskan dasar perjuangan API untuk merdeka dengan darah di dalam testament politiknya. Pada zaman perjuangannya, testament ini cukup cukup dikenali. Tambahan pula, kelebihan testament ini cuba menerangkan tentang kebangkitan pergerakan tanpa mengira ras tenaga pemuda dan pemudi di Malaya dan di seluruh dunia. Testament ini siap disusun olehnya pada 17 Februari 1946 di Ipoh, Perak. Secara jelasnya, sisipan yang digabungkan di dalam memoir ini menerangkan dengan padat tentang kebangkitan semangat pergerakan tanpa mengira ras tenaga pemuda dan pemudi di Malaya dan di seluruh dunia. Mereka digambarkan sebagai sama-sama berjuang demi kemerdekaan Tanah Air masing-masing berlandaskan keyakinan dan kepercayaan terhadap diri sendiri.

Selain dari terkenal sebagai seorang tokoh nasionalis yang cukup tersohor dengan kebolehan dan bakat kepengarangannya, beliau juga dikenal sebagai penterjemah, novelis, penyajak dan juga dianggap penulis yang cukup disegani. Idea Boestamam boleh dikesan mengalir di pelbagai wadah penerbitan bagaikan air mengalir kerana kepekaannya dengan keadaan di sekelilingnya. Rata-rata kejayaan hebatnya terkesan setelah berjaya membongkar bahan-bahan sejarah tanah air dalam bentuk perjuangan dan diterapkan menerusi tulisan-tulisannya yang masih boleh dirujuk sehingga kini. Menyedari cabaran dan perjuangan dalam kehidupannya, beliau terus menggilap bakat seninya menerusi dunia penulisan. Kebanyakan isu yang disentuh lebih tertumpu kepada riwayat hidup dan perjuangannya.

Bahan ini sesuai untuk bacaan masyarakat umum terutama mereka yang berminat dalam bidang sejarah dan sains politik. Bagi nasionalis Melayu, buku ini adalah bukti kekentalan jiwa tokoh-tokoh perjuang awal sewaktu menuju era kemerdekaan Tanah Melayu. Justeru, Boestamam adalah tokoh yang membicarakan sendiri liku-liku dan pahit getir perjuangan tersebut menerusi kreativitinya yang tersendiri. Generasi kini harus menghayati dengan baik, babak demi babak bagaimana rentetan kehidupan beliau yang begitu tragis dilambung dek pergolakan dan cabaran menerusi memoir ini.
(Catatan: Buku ini pernah dilancarkan di PWTC sempena Pesta Buku dan ketika itulah saya sangat terkejut kerana raut wajah aruah Rustam A. Sani saling tak tumpah persis ayahandanya. Saat memilih foto untuk kulit buku Ahmad Boestamam, saya tidak terfikir akan memilih gambar ini!! Terima kasih untuk Azmi - Kombinasi warna dan design kulit rekaan anda cukup menarik). Jangan lupa baca Politik dan Bahasa Melayu (1993) karya aruah yang diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.).

Disediakan oleh
Saadah Hj. Jaffar
6 Mac 2004

Khamis, 7 Ogos 2008

Sentuhan Rashdan di universiti, korporat terbukti


Judul : Dari Menara Gading ke Mercu Korporat - Biografi Rashdan Baba
Pengarang : Universiti Kebangsaan Malaysia
Penerbit : Penerbit UKM
Tahun : 2004
Harga : RM 130 (paperback), RM150 (kulit keras) dan RM20 (edisi pelajar).


Pengulas : SAADAH JAFFAR

Buku ini memaparkan kisah suka duka seorang tokoh negara - Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Mohd. Rashdan Baba. Tidak ramai yang mengenali kelebihan yang ada pada diri Rashdan secara dekat. Anak jati kelahiran Kampung Berkat, di Chembong, Rembau ini lain daripada kanak-kanak seusianya. Beliau yang dilahirkan pada 31 Oktober 1935 seolah-olah menjenguk dunia dengan mempunyai pakej sebagai tokoh yang berkaliber dan pemimpin yang disegani.


Sewaktu zaman kanak-kanaknya, beliau banyak menghabiskan waktu sekolah dengan menjadikan membaca buku sebagai hobi utama bagi mengisi setiap masa lapangnya. Rashdan mencari tempat sunyi bagi mengelakkan gangguan sewaktu mengulang kaji pelajaran. Beliau memilih pondok di tengah-tengah sawah sebagai tempat mentelaah pelajaran.


Seusia muda lagi beliau telah menanamkan minat terhadap keindahan alam semula jadi dan menjadikan bidang pertanian sebagai fokus utamanya. Kesedaran untuk maju timbul kerana latar belakang hidupnya yang dibesarkan di kampung. Taraf hidup penduduk kampung yang mundur, merangsang minda Rashdan untuk cemerlang dalam bidang sains. Inilah yang membezakan karakter beliau dengan anak-anak desa lain pada zamannya.


Kelebihan yang ada pada dirinya disokong pula dengan faktor sampingan yang lain kerana beruntungnya beliau berada dalam sebuah keluarga yang amat mementingkan pelajaran.


Pada zaman persekolahannya, beliau sentiasa mengekalkan rekod kecemerlangan dirinya sehingga menjadi pelajar yang sentiasa dapat mengatasi rakan-rakan sedarjah yang lain. Dalam erti kata lain, pada zaman persekolahannya beliau sentiasa sarat dan membuak-buak dengan kejayaan.


Bakat kepimpinan semasa di sekolah menunjukkan Rashdan pernah menjadi ketua murid pertama di Government English School Tampin. Ini direkodkan sendiri oleh pihak sekolah. Namanya hingga kini terpapar di papan tanda di dewan sekolah tersebut. Kepimpinannya dianggap luar biasa dan unik, sama ada dari segi peribadi mahupun perwatakan sehari-harinya.


Menyambung


Beliau kemudiannya berada di Kolej Pertanian Malaya (1954-1957) untuk terus menggilap kecemerlangan akademik, aktif dalam bidang sukan dan menjadi pemimpin pelajar. Kecemerlangannya diteruskan dengan menyambung pengajian ke United Kingdom. Kejayaannya diukir dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (B.Sc.) pada tahun 1960 dan mendapat Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1964.


Jasa baktinya sebagai Pengetua ketika membangunkan Kolej Pertanian Malaya (1965-1969), Naib Canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1969-1971) dan Naib Canselor pertama Universiti Pertanian Malaysia (UPM) (1971-1982) menjadi ukuran kepada kecemerlangan memacu institusi pengajian tinggi di negara ini. Tidak ramai tokoh pendidik yang mampu untuk berada dalam situasi yang Rashdan sendiri alami.


Pada peringkat awal penubuhan UKM, tidak ramai yang mengetahuinya sejarah pelantikan beliau ke jawatan Naib Canselor pertama pada 1 September 1969 kerana UKM sendiri memulakan sesi pengajiannya pada 18 Mei 1970. Sungguhpun beliau menerajui UKM dalam masa yang agak singkat, namun peranannya sebagai Naib Canselor pertama telah banyak merintis pembangunan awal sehinggalah UKM dapat berdiri teguh di antara institusi-institusi pengajian tinggi lain hingga masa kini.


Bagaimanapun beliau masih meneruskan tugasnya sehingga kini sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UKM. Beliau dikenali sebagai seorang yang mempunyai gaya kerja yang cekap, teratur dan berdisiplin tinggi. Kebetulan jiwa, personaliti dirinya yang tersendiri dapat menyimpul kekuatan naluri Rashdan yang sering teruji dengan tugasan-tugasan baru yang sentiasa mencabar kepimpinannya.


Kesungguhannya menekuni setiap kerja yang diberi biasanya dapat dilaksanakan dengan baik. Sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata bagaimana beliau boleh membahagi-bahagikan masa semata-mata mahu melihat kejayaan anak bangsa berada pada tahap yang membanggakan. Beliau dilihat sebagai bersungguh-sungguh untuk memartabatkan pendidikan anak bangsa ke persada dunia.


Penswastaan


Apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan dasar penswastaan negara, Tan Sri Rashdan turut sama berganding bahu mencurah pengalaman menerajui penswastaan pertama negara, iaitu Syarikat Telekom Malaysia hingga menjadi konglomerat dalam industri telekomunikasi.


Ketika kerajaan mula mengambil alih syarikat asing, Rashdan sekali lagi dilantik menerajui Guthrie menggantikan pengurus British. Dalam memikul tanggungjawabnya, beliau sentiasa berhati-hati terhadap setiap dasar kerajaan yang diamanahkan kepadanya.


Rashdan juga berperwatakan sebagai pemimpin yang berkarisma, berdisiplin, berhemah tinggi dan sering dihormati oleh setiap peringkat usia.


Sifatnya yang senang didampingi dalam pergaulan dan selalu mengambil berat terhadap kebajikan kakitangannya memudahkan beliau menjalankan tugasan seharian.


Sebagai mengiktiraf sumbangan Rashdan dalam bidang pendidikan tinggi tanah air dan memajukan dasar penswastaan kerajaan, beliau dianugerahkan dengan pelbagai anugerah dan darjah kebesaran.


Kemuncak kepada ketokohannya sebagai tokoh pendidik apabila dianugerahi gelaran Profesor Emeritus daripada UPM pada 14 Ogos 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang UKM pada 3 Julai 1999. Beliau juga menerima Ijazah Kehormat Doctor of Science dari University of Reading dan Doctor of Law dari University of Leeds. Sehingga kini beliau masih menerajui badan-badan kehormat serta melibatkan diri dengan pelbagai badan sukarela dan kebajikan.


Rashdan yang berada dalam arusnya yang tersendiri, kaya dengan idea dan perubahan ketika berada di dunia akademik dan menerajui dunia korporat. Cetusan idea untuk memaparkan liku-liku hidupnya sebagai ahli akademik dan tokoh korporat yang dipaparkan di dalam biografi ini adalah sebagai memenuhi tuntutan sezaman di peringkat pengurusan UKM sendiri.


Rashdan dilihat sebagai ikon, tokoh pendidik dan ahli korporat yang berjaya mengharungi zamannya kerana berjaya meletakkan asas pendidikan tinggi negara di tempat yang kukuh. Banyak sudah idea yang disumbangkan olehnya yang dapat dilihat hasilnya seperti tersergam Menara Pucuk Rebung Telekom Malaysia dan Menara Telekom Alor Star.


Jika ditelusi dengan teliti susuk cerita biografi buku ini, terlalu banyak perkara yang boleh dicontohi dan diikuti jika seseorang ingin berjaya seperti Tan Sri Rashdan.


Terbit di Ruangan Sehari Sebuah Buku Utusan Malaysia