Sabtu, 29 November 2008

Penerbitan dan Suntingan

Pagi Jumaat lepas (28 Oktober 2008), saya berpeluang memberi ceramah atas tajuk Penerbitan dan Suntingan. Ini adalah ceramah pertama saya untuk para pelajar yang rata-rata adalah pelajar komunikasi dan mengambil jurusan kewartawanan. Saya rasa seronok sangat dapat menyampaikan apa yang hendak diceritakan tentang penerbitan dan suntingan. Sekurang-kurangnya saya dapat mendalami lagi bidang penerbitan dan suntingan ini dengan membaca buku-buku lain sebelum turun ke padang menyampaikan ceramah. Terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menjemput saya.

Institusi Fatwa di Malaysia


Buku ini ditulis oleh pensyarah kanan di Pusat Pengajian Umum, UKM. Kecenderungan beliau adalah dalam bidang penyelidikan dan penulisan terhadap beberapa aspek pemikiran dan tamadun Islam. Buku ini tidak berapa sukar untuk ditangani. Namun, pada peringkat akhir pruf buku ini, saya ada meminta pengarang membaca sekali lagi sebelum dicetak kerana saya bimbang ada beberapa perkara mengenai fatwa yang tersilap. Saya harap kehadiran buku ini di pasaran dapat membantu khalayak pembaca untuk mengetahui tentang fatwa di Malaysia. Tahniah untuk pengarang: Ustaz Hasnan Kasan.

Untuk pembaca semua diperturunkan blurb buku sebagai panduan pembelian:

Fatwa membawa makna hukum syarak yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan fatwa dalam sesuatu masyarakat Islam bagi menjadi panduan dalam berdepan dengan permasalahan baru yang timbul dan yang masih belum mempunyai hukum yang jelas dan tetap. Fatwa amat penting bagi setiap individu dalam masyarakat yang terikat dengan hukum-hukum syariat dalam menjalani kehidupan seharian dalam berbagai-bagai aspek hidup. Oleh kerana individu terikat dengan hukum syarak dan hukum ini pula dikelola oleh pihak pengurusan hukum dalam masyarakat, maka adalah penting setiap individu mengetahui kedudukan dan peranan pihak pengurusan hukum ini bagi memudahkan mereka berurusan dan memberikan reaksi terhadap hukum yang dikeluarkan. Bagi tujuan mengenali pihak pengurusan hukum atau fatwa ini, penulis telah berusaha untuk menghasilkan penjelasan mengenainya berbentuk buku. Buku ini membincangkan institusi fatwa di Malaysia secara berstruktur bagi menemui kedudukannya dalam syariat Islam, peruntukan perundangan yang diberikan oleh negara, evolusi pengurusan dan penginstitusian pentadbiran serta peranannya dalam memandu aktiviti masyarakat Islam di negara ini. Melalui penjelasan yang dibuat dalam penulisan buku ini diharapkan dapat memberi sumbangan ilmu kearah kestabilan sosial dalam masyarakat Islam hari ini.

HASNAN KASAN, adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Kecenderungan beliau adalah dalam penyelidikan dan penulisan terhadap beberapa aspek pemikiran dan tamadun Islam.

SELAMAT MEMBACA

Warna Hati Era Remaja

Tanggal 13 November 2008, untuk kali ketiganya saya datang menziarahi Pak Arena Wati di hospital. Beliau tidak berapa sihat. Namun dari pengamatan saya, beliau terus gagah untuk meneruskan rutin hariannya ... menulis dan menulis ... biar kesihatannya menganggu rutin harian Sasterawan Negara ini tetap tegar. Saya kagum dengan beliau yang bersemangat waja begini. Saya diminta datang oleh bapak bagi mengambil novel terbarunya yang diterbitkan oleh UPSI - Warna Hati Era Remaja. Saya benar-benar tersinggung kerana gagal mempertahankan penerbitan novel ini bersama penerbit tempat kerja saya. Saya tidak dapat membantu bapak. Apalah daya saya kerana saya bukan insan yang boleh membuat keputusan pada peringkat tertinggi di tempat kerja saya. Walau apapun saya bersyukur akhirnya novel bapak ini terbit juga.

Di dalam 'kata pengantarnya' untuk saya di dalam novel tersebut bapak mencoretkan ... "Semoga dapat dihayati... anakanda Saadah Hj. Jaffar sekeluarga dari pengarang Arena Wati 13 November 2008. Dituliskan sekali nombor kamar tempat bapak sedang dirawat. Saya sesungguhnya berasa terharu kerana terpilih untuk menerima novel ini dari tangan bapak yang meminta saya untuk datang mengambilnya. Senaskhah lagi minta dititipkan buat bos saya. Saya tiada halangan dan amat berbesar hati untuk membawa titipan tersebut. Saya telah menyerahkan titipan tersebut pada keesokan harinya.

Sekali lagi, terima kasih, terima kasih yang teramat sangat. Saya akan membaca novel ini. Doa saya semoga bapak cepat sembuh dan boleh meneruskan rutin hariannya menulis dan menulis.

Selasa, 18 November 2008

Wah! Meriahnya Wajah Baru...

Saya terkesima, teruja pun ada, melihat wajah baru di ruangan pintu masuk Pusat Penerbitan dan Percetakan. Ini mengingatkan saya kepada zaman saya meronda-ronda di Eropah dahulu, ada juga perasaan bersilang-baur, mengusik-usik kalbu, lucu pun ada...wah merahnya Mak Ngah. Apa-apa pun saya tabik atas keberanian itu. Buatlah apa yang patut. Inilah yang dikatakan sekali air bah, sekali pantai berubah...

Pengurusan baru, idea baru. Oleh sebab, saya tidak tersenarai dalam insan yang perlu menongkat pejabat ini, (kalau saya tak ada di sini pun tak apa - orang kata tidak menjadi kudis) maka saya tak kisah biarpun bangunan ini akan runtuh menyembah bumi. Maka masa itu saya akan cakap...iya. Apa ada pada semua itu. Yang penting saya mesti bangkit dari tidur di siang hari! Saya banyak bermimpi sebelum ini.

Yah! Biar onak dan duri merungkai diri... Bagi saya, sememangnya saya tidak berkepentingan di sini. Saya selalu lupa diri. Tidak ada orang yang mengingatkan saya. Ini pun kurniaan Tuhan juga. Sifat pelupa. Apa-apa pun, sekarang ini saya ingin meneruskan usaha menghitung hari-hari mendatang selagi kudrat ada, selagi hayat di kandung badan. Selagi saya makan gaji dengan majikan saya. Sesungguhnya, hingga saat ini, saya amat berterima kasih kepada Penerbit UKM. Itu sahaja. Akan saya kenang hingga akhir hayat.

Pabila usia sudah menjelang senja, dan orang UKM sudah tidak memerlukan saya lagi khususnya Penerbit UKM, maka masa itu saya akan membina sebuah pondok kecil tempat pohon nyiur nan sebatang ditebang untuk mengambil upah menjadi 'jurutulis dan jurubaca' di situ. Itupun kalau mata nampak lagi dan orang masih memerlukan kudrat kita. Kalau tidak, saya akan memetik piano untuk menghiburkan hati sendiri...

Lawatan Ke Utusan Karya

November 18, 2008 kami dari keluarga PPnP mengorak langkah keluar sebentar dari gubuk kesebukan tugasan harian menuju ke Utusan Karya. Biarpun orang kata jaraknya entah tidak seberapa 'depa' dari UKM namun kunjungan ini amat bermakna. Kalau pergi sendiri mungkin sampai pencen pun malas nak bergerak. Nah! Minda terbuka, jiwa bergelora dan idea bercanda untuk terus berkarya seperti karyawan di Utusan Karya sana. Wah! Hebat gitu. Biar orang memandang remeh dengan kerja-kerja sosial begini namun saya bahagia mengikut Rombongan Cek Kiah ini. Terus terang saya katakan, saya amat bahagia dan gembira dengan sambutan yang diberikan oleh pihak pengurusan Utusan Karya ke atas kunjungan kami. Apa lagi dapat majalah-majalah terkini seperti Mangga, URTV, Mastika, Al-Islam dan sebagainya. Terima kasih daun keladi Encik Zul n Encik Sahidan dan kakitangan Utusan yang sudi menerima kehadiran rakan-rakan saya. Usai lawatan kami sempat berposing mengalahkan artis di muka pintu utusan karya...lagak gaya macam nak masuk surat khabar Mingguan Malaysia gitu.

Selasa, 11 November 2008

Kerja oh kerja

Sudah agak lama saya tidak up-date tulisan di blog ini. Sebenarnya saya benar-benar sibuk. Banyak manuskrip yang harus ditukangi dan apabila siap disemak, banyak pula masalah teknikal yang menimpa yang tidak membolehkan manuskrip tersebut siap menjadi buku....ah saya benar-benar bosan dengan rencah begini.

Ni... saya petik daripada tulisan Asmah Haji Omar (2005: 72), "...seseorang penulis karya ilmiah hendaklah tahu setakat mana dia harus memperkatakan sesuatu bidang pilihannya. Dan pembatasan ini haruslah berpandukan beberapa faktor, seperti tujuan dia menulis, bakal pembacanya dan tidak kurang penting daripada itu adalah batas kemampuannya sendiri dalam menghadapi skop bidang itu. Biasanya pembatasan bidang dapat diadakan dengan lebih yakin apabila kita sudah mengumpul data serta membaca tulisan-tulisan berkenaan dengan bidang itu atau yang ada perkaitan dengannya...."

Saya tambah lagi dibawah ini: Untuk mempertingkatkan kreadibiliti tugasan seseorang editor, mereka perlulah dilatih supaya mahir dalam kerja-kerja penyuntingan dan penerbitan buku. Dalam erti kata lain, mesti banyak membaca, kreatif, cergas dan peka dengan keadaan sekeliling terutama mengenai penerbitan isu semasa.

Selasa, 4 November 2008

Ketupat oh Ketupat

Sejak pohon nyiur nan sebatang tumbang menyembah bumi atas kehendak diriku, maka saban malam tiada hentinya diri ini menganyam ketupat. Biar bekerja hingga larut malam, namun tidak mengantuk pula. Seronok rasanya. Wah! Kalau beginilah saya boleh membaca buku juga hingga jauh malam, alangkah seronoknya juga. Pasti bercambah minda saya dengan idea bernas dan boleh dimanfaatkan untuk kerjaya seharian.

Yah! Sesungguhnya saya amat berpuas hati sangat kerana hasil kraftangan ini dapat diaplikasikan dan impaknya cukup lumayan. Buat teman-teman, terima kasih kerana sudi menjamah seadanya. Kenyang dan menyeronokkan, bukan. Biar bukan musim raya.

Aktiviti begini sememangnya masa tiada terluang. Leka sahaja. Kemahiran kian bercambah. Saya juga sempat meminta teman sepejabat merakamkan ketupat-ketupat yang saya anyam untuk diabadikan di dalam koleksi simpanan di arkib tempat saya bekerja. Mana tau suatu hari nanti boleh digunakan untuk grafik kad selamat hari raya.