Selasa, 30 Disember 2008

White and Black Key

Apabila kita belajar muzik moden (piano), jari jemari mesti sensitif pada white and black key pada piano. Mesti kenal huruf-hurufnya iaitu G A B C D E F / Re Me Fa Sa La Ti Do dengan baik. Kemahiran dan kedudukan huruf C mesti sentiasa diperhatikan. Selepas itu kita harus bijaksana menadah telinga bagi menangkap bunyi hasil daripada petikan jejari di mata piano. Transkripsi bunyi semahunya sambil layan perasaan kita sehabisnya…sekian untuk pelajaran akhir tahun 2008

Selamat Tahun Baru 2009

Esok akan bertambah lagi usia kita menerjah gerbang 2009. 2008 berlalu bersama sisa-sisa kehidupan kita. Mari kita melangkah dengan tabah dan terus maju ke hadapan tanpa meoleh ke belakang lagi. Maju terus maju. Tinggalkan kenangan silam, biar ke semua kenangan tenggelam bersama hari semalam yang bernama sejarah. Kenangan terindah dan memori sepahit jadam biar berbaur sama mewarnai rencah kehidupan. SELAMAT MENYAMBUT 2009.

Isnin, 29 Disember 2008

Selamat Tahun Baru Hijrah

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1430H. Semoga mendapat keberkatan dan kebahagiaan bersempena dengan tahun baru hijrah ini.

...Sembah Takziah

Canselor UKM, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman telah mangkat pada 27 Disember 2008 (Sabtu) bersamaan 29 Zulhijjah 1429H. Semenjak bertugas di UKM, sudah berkali-kali saya dapat menatap wajah baginda ketika majlis-majlis rasmi terutamanya ketika di majlis konvokesyen. Baginda dan permaisuri sentiasa tersenyum kepada kami warga UKM ketika melintasi karpet merah di DECTAR untuk upacara konvokesyen.

SMS mengenai berita kemangkatan baginda saya terima seawal jam 12.30 tengah hari. Mula-mula terkejut seakan-akan tidak percaya... Kemudian SMS diterima berurutan hingga ke jam seterusnya. Nampaknya, ramai rakan-rakan warga UKM saya amat prihatin tentang berita tersebut dan sudi memamanjangkan berita kemangkatan tersebut kepada saya. Terima kasih. Saya menonton di kaca tv dari semasa ke semasa siaran langsung yang dipancarkan sehinggalah pada saat persemadian baginda. Sembah takziah untuk semua keluarga diraja Negeri Sembilan. Al-Fatihah.

Khamis, 25 Disember 2008

Hari Natal

Bagi penganut agama Kristian sama ada protestant mahupun ortodok - diucapkan selamat menyambut hari Natal. Mereka pasti bergembira dengan lagu-lagu Krismasnya, angsa panggang dan pohon Krismas yang dihias dengan loceng sambil ditatarias dibawahnya dengan hadiah yang menarik.

Isnin, 22 Disember 2008

Menghabiskan cuti...

Hujung-hujung tahun begini ramai yang mengambil cuti dan memulakan kembara mereka ke sana sini. Bak burung yang bebas terbang. Al-maklumlah cuti sekolah pun sama-sama naiknya dengan cuti hujung tahun. Bagi saya, cuti ke tak cuti sama sahaja. Ramai yang mengambil kesempatan ini bercuti sakan dan jalan raya pun lenggang sahaja. Masa ni senang nak ke mana-mana, tak jem pun. Laluan ke tempat kerja pun senang sahaja. Merdeka nampaknya.

Cuti-cuti sekolah ni, saya tak menang tangan menerima kad undangan perkahwinan. Banyak sungguh kad yang sampai. Baik di kampung sebelah saya mahupun di sebelah suami saya. Ingat betul mereka pada kami. Itu belum masuk lagi dengan jemputan mulut bagi yang menemui saya di pasar ke, di pasaraya ke atau di tempat kerja. Seronok gak bila dijemput begini. Rasa ramai pulak peminat!!! Cuma hendak memenuhinya sahaja rasanya masa tu tak mencukupi. Seboleh-boleh mungkin saya memenuhi undangan tersebut kerana mereka pastinya mengenali saya barulah sudi mengundang saya kan!

Dalam kes-kes memenuhi undangan perkahwinan ni, saya telah merasai pelbagai jenis konsep perkahwinan daripada perkahwinan yang dibuat dengan kaedah rewang hinggalah ke hotel bertaraf 5-7 bintang gitu. Begitu juga dengan buah tangan yang diterima ketika menghadiri majlis-majlis perkahwinan tersebut. Ada yang nampak ekslusif sangat dan ada yang bagi telur juga berkat nasi. Tengoklah tempat mana yang saya hadir. Pokoknya tak bagi apa-apa pun tak kisah. Janji saya dapat makan nasi minyak bila pergi sudahlah. Gembira meraikan ibu bapa dan pengantin baru gitu.

Hotel dan tempat peranginan pun penuh sesak dengan lautan manusia. Paling seronok bila tengok kolam renang di hotel. Dari pagi ke petang penuh dengan kepala budak-budak. Suka sangat budak-budak ni... mandi manda gitu. Sebut pasal Langkawi, wah! lagi sesaklah Pulau Dayang Bunting ni.

Ahad, 21 Disember 2008

Kerlipan Bintang...

Sesungguhnya saya berasa amat teruja apabila berpeluang menjejakkan kaki ke Istana Negara. Yah! Tanggal 18 Disember 2008 tersenyum manis saya duduk sebaris dengan isteri penerima yang lain. Lalu tercatatlah di dalam kenangan 'memori terindah yang sukar dilupakan'. Saya sibuk mengambil foto di sekitar perkarangan istana. Jika ada kesempatan saya akan paparkan foto-foto terpilih.

Sesungguhnya sememangnya nasib menyebelahi saya hari itu. Saya dapat duduk di barisan hadapan kerana kedudukan suami saya yang menerima pingat daripada DYMM Tuanku Mirzan. Pingat Johan Setia Mahkota kini menjadi miliknya. Ini adalah kali kedua saya dapat melangkahkan kaki ke istana. Kali pertama ketika beliau menerima Pingat Paduka Mahkota Perak di Istana Bukit Chandan Kuala Kangsar, juga dalam upacara yang sama iaitu penyampaian anugerah.

Lalu detik bersejarah itu saya rakamkan sepuas-puasnya buat menghargai jasa suami saya yang dihargai pemimpin negara. Wajar beliau menerimanya dan saya bersyukur kerana keringat beliau dihargai. Alhamdulillah.

Isnin, 15 Disember 2008

Cerpen oh Cerpen

Wah! Tiba-tiba sahaja rasa teringin hendak menulis cerpen...hobi yang kian lama kutinggalkan saat menekuni tugasan harian di sebalik timbunan buku-buku ilmiah. Semuanya kerana gara-gara isu sebuah cerpen di Mingguan Malaysia yang hebat diperdebatkan di sana sini. Hah! Dapat masuk ruang parlimen lagi. Ahli politik tu yang berkata tentang cerpen... mengapa tiba-tiba ahli politik membaca cerpen. Bukankah itu karya kreatif? Tercuit rupanya... begitulah hebatnya karya kreatif. Lepas ni ramailah yang hendak menukar posisi - menulis cerpen. tak takut ke...dapat glamer dalam ketakutan tu. Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepian pantai...Terkejutnya saya, tiba-tiba pula ada masa pulak mereka hendak membaca cerpen. Biasanya sibuk dengan isu subjek sains dan matematik. Mereka semua orang-orang penting yang serius berfikir...

Apa-apa pun sebagai seorang yang berlatarbelakangkan sastera saya amat berbangga cerpen diangkat ke dewan parlimen yang mulia. Isunya tetiba aja boom! meletop. Meledak dunia sastera kreatif kita. Ikhlas saya katakan di sini, saya cukup berbangga apabila cerpen Politik Baru YB J tiba-tiba bernilai RM30 juta... Bukan senang sesebuah karya sastera mendapat perhatian yang cukup luas apatah lagi dibahaskan juga di dalam Parlimen! Hendak keluar di Mingguan Malaysia pun kena berperang dulu dengan perasaan, masuk ke bakul sampah atau berada di atas meja editor...wah! gitu. Inikan pula bernilai RM30 juta. Memang hebat, hebat, hebat. cukup hebat. Yah! Saya nanti-nantikan...

Ahad, 14 Disember 2008

Tiba-tiba aku jadi benci...

Tiba-tiba aku menjadi benci kepada kerjaya sebagai editor di sini...bukan membuka pekung di dada, tetapi ini adalah hakikat yang semua harus mengetahuinya. Lahir dari lubuk jiwaku yang penuh lara. Untuk pengetahuan, aku sememangnya jarang cuti rehat, secara ikhlas, aku tidak pernah mengambil cuti sakit ketika di sini, biar aku wewenangnya boleh bisa gapai siapa doktor yang mahu memberikan daku MC!!! Aku pula sememangnya cukup rajin membaca dan membuat kerja dengan penuh minat. Bila bekerja, selalu lupa diri. Syukur ke hadrat Illahi kerana dikurniakan kesihatan yang baik setakat ini. Sekiranya ada sesi editorial, aku sanggup bersengkang mata, khusyuk dan gembira dengan sesi tersebut biarpun dibuat di luar waktu pejabat dan jauh dari Bangi.

Semuanya demi kerana minat dan komited dengan kerja yang diberikan kepadaku. Usai tugasan luar, lalu hari Isninnya jam 8.00 pagi, aku sudah berada semula di tempat kerja tanpa mengambil cuti dan memonteng kerja. kerjaya terus berjalan seperti biasa sepanjang tempoh tersebut dan hari-hari berikutnya.... nah! kenapa aku tiba-tiba menjadi begini...terlalu emosional...jawapannya adalah kerana tarikh 10 Disember 2008...

Lalu aku mengambil cuti rehat untuk menenangkan fikiranku. Untuk sesiapa yang ingin menjadi editor di sini, aku tidak menggalakkan. jujurnya kukatakan. biar kerjaya anda di sini telah membantu seseorang pensyarah menjadi Prof. Madya, daripada Prof. Madya menjadi Profesor, daripada tiada buku kepada memiliki buku... namun apa yang mereka boleh bantu anda di sini.... tiada apa... ini pandangan terus terang. seperti yang pernah dilemparkan kepadaku secara sinis tetapi tajam sekali maknanya kepadaku...bilik tempat kerjaku, kamar kerjaku menjadi stor buku. semuanya kerana aku tiada masa untuk mengemas, banyak tugasan demi tugasan menanti, buku demi buku untuk dibaca, manuskrip bersilang baur sampai untuk diteliti. mata kian kabur menekuni tiap bait-bait ayat.

Hah! Namun semua itu tidak memberi apa-apa erti walaupun telah sesak seperti stor buku.... memang aku suka membaca. mengapa dinafikan kenyataan tersebut. Itu memang lumarahnya. Tiada masa terluang langsung dan tempat yang sempit, dengan sebab itu, aku memadatkan bilikku dengan pelbagai sumber bacaan yang senang untuk kugapai dan kucapai bila-bila perlu. Yah! Anda tidak akan dipedulikan biarpun anda seorang yang cukup berwibawa dan rajin.

Kalau setakat nak tau, sampai mana buku saya, ke mana manuskrip saya hendak dibawa selepas ini, tak payah tanyalah soalan-soalan basi sebegitu... sekarang baru ku sedar, selama ini rupa-rupanya aku terlena dek timbunan buku-buku ... aku silap membuat perhitungan!!! Hah! Rupa-rupanya kejayaan anda akan dicapai sekiranya anda seorang yang malas bekerja, bila suka datang kerja boleh datang sesuka hati dan balik kerja ikut suka, nak minum di luar - silakan sesuka hati - siapa peduli - disel masing-masing, alahai ala-ala hipokrit dan suka membodek gitu, ngobrol-ngobrol sesukanya, paling seronok komputer sorang satu - apa lagi - onlinelah - jiwa muda hati membara siapa peduli - kesukaan memonteng kerja, hai - ambil cuti bila teringin dan buat kerja ala-ala asal dapat gaji sahaja. Nah! Cara begini rupanya anda akan disanjung dan dihormati. Wah! Bisa dapat cemerlang lagi gitu. Kenapa takut pula mengambilnya pada hari yang dinanti-nanti. Kenapa! Tak Percaya! Percayalah... Sekarang telah ada iklan baru dikeluarkan. Sudi-sudilah mohon kalau ingin terjerat di dalam situasi ini...

Kesimpulannya...aku tetap aku, tetap tegar menggapai impian, biar onak dan duri membelasah jiwa, ombak dan gelombang asyik bertarung semahunya... Yah! Pokoknya ya benar, kerana aku terlalu banyak mengutip ilmu di sini, jiwaku terlalu ingin memajukan diri kerana sedar diri kekurangan dan berada di dalam kebodohan yang amat, dengan sebab itulah aku menjadi begini...Nah! Tetiba pula aku menjadi bungkam dan malu dengan keadaan ini, malu mengapa manusia menjadi begitu. Sampai bila duhai insan mahu merubah persepsi ini...

Sekian. Kepada Allah aku bermohon, aku bersyukur dan berserah segalanya. Takdir tuhan menentukan segala-galanya. Terima kasih kerana mengurniakan daku segumpal kekuatan jiwa dan raga setakat ini. Aku percaya segala-gala akan menjadi kenyataan suatu hari nanti. Hah! Nantikan putaran alam, siapa tahu.... Insya-Allah.

Isnin, 8 Disember 2008

Salam Takziah

Saya ingin mengucapkan salam takziah kepada semua mangsa tanah runtuh di Bukit
Antarabangsa, Bukit Mewah dan kawasan yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh tersebut. Ketika umat Islam sedang sibuk menyambut hari raya korban mereka pula berperang dengan keadaan yang tidak diduga.

Untuk mangsa kejadian kemalangan ngeri bas ekspres Pantai Remis-Singapura di kawasan kampung saya di Tangkak, juga salam takziah. Nampaknya hari gembira mereka untuk bercuti bersama keluarga berakhir dengan tragedi yang menyayat hati. Sesungguhnya, Tuhan menduga kita dengan ujian-ujian yang maha besar. Doa saya, semoga semua keluarga mangsa yang terbabit tabah menghadapi dugaan yang maha besar ini.

Salam Hari Raya Korban

Sempena dengan hari raya korban, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Korban kepada semua pembaca blog ini. Doa saya kepada semua, berhati-hatilah di jalan raya ketika memandu ketika menuju ke destinasi yang dituju. Insya-Allah selamat sampai menemui orang tersayang.

Pada hari yang mulia ini marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kepada seluruh rakyat Malaysia serta semua umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah Haji di tanah suci Mekah.

Semoga amal ibadat mereka dalam mengerjakan rukun Islam yang ke-5 ini diterima Allah s.w.t. Insya-Allah, mereka semua akan dianugerahkan haji yang mabrur, serta selamat pulang ke tanah air menemui keluarga yang setia menanti dengan penuh sabar.