Selasa, 29 Disember 2009

Selamat Tahun Baru 2010

Ya...beberapa jam lagi detik 2009
akan melabuhkan tirainya.
Rasa berdebar juga menantikan
detik itu.
Kita tidak tahu apa yang akan
terbentang di hadapan kita semua.
Duhai 2010
selamat datang
Semoga tahun baru
2010
membawa sinar
yang lebih bergemerlapan.
Selamat Menyambut
Ambang 2010.

Rabu, 25 November 2009

Kehilangan

Pada pertengahan November 2009 (hari Ahad - 6/11/09) yang lalu aku telah kehilangan satu-satunya bapa saudara sebelah abahku. Pak Ngah Leman telah pergi buat selama-lamanya meninggalkan kami. Beliau adalah bapa saudaraku yang rupanya mirip-mirip aruah abahku. Kalau ke rumahnya aku pasti akan mengambil fotonya...kerana teringat akan rupa abahku. Saat itu beliau sudah pun sakit-sakit tua. Tidak boleh berjalan dan baring sahaja di katil. Namun, masih kuat ingatannya kepada anak-anak saudara semua.

Kami pulang bersama-sama dengan sebuah kereta - adik-adikku yang tinggal di Kuala Lumpur mahu mengikut aku pulang. Sempat sampai di Tangkak lebih kurang jam 6.00 petang. Saat di kampung, kami tinggal berjiran dan berkongsi atas sekeping tanah yang agak luas - kepunyaan aruah abah dan aruah Pak Ngah. Sarat dengan pokok buah-buahan yang pelbagai.

Saat sampai ke rumah Pak Ngah, jenazahnya sedang hendak disembahyangkan. Beliau pergi buat selama-lamanya kira-kira jam 12.00 tengah hari. Namun hanya dimaklumkan kepada kami di Kuala Lumpur sekitar jam 3.00 petang. Atas semangat yang kuat untuk pulang akhirnya dalam renyai hujan lebat, adik lelakiku yang memandu keretaku menuju ke kampung. Kebetulan pula ketika itu suamiku berada di Langkawi dan mujur juga aku tidak mengikut ke sana. Kalau tidak aku jua akan terlepas peluang untuk menziarahi satu-satunya bapa saudaraku yang ini. Saat aku menjengoknya ketika hari raya puasa yang lalu, umurnya dianggarkan lebih kurang 103 tahun. Sudah tua benar. Namun masih merenung kami yang datang secara berkonvoi. Kami juga bergilir-gilir menghulurkan duit raya untuknya. Biar kami tidak tahu itu adalah kali terakhir bertemu, tapi kami semua puas hati dalam pertemuan terakhir tersebut. Aruah bapaku pun ketika meninggal dulu sudah berumur 80 tahun lebih.

Untungnya aruah, jenazahnya sempat dijunjung buat kali terakhir oleh anak, cucu juga tidak ketinggalan cucu menantunya. Beruntungnya punya 13 orang anak...Al-Fatihah.

Selamat Hari Raya Korban

Esok semua umat Islam akan meraikan Hari Raya Korban. Aku doakan agar semua umat Islam yang berada di Tanah Suci Mekkah agar dapat beribadat dengan tenang, sihat tubuh badan dan mendapat haji yang mabrur. Insya-Allah.

Ada dua orang pengarangku yang sekarang ini sedang berada di Tanah Suci. Seorang daripadanya telah menelefonku memohon ampun dan maaf kerana katanya akan berada di sana untuk beribadah... Sesungguhku aku amat teruja menerima panggilan telefon tersebut. Masih ada juga pengarangku yang sudi untuk memberitahuku akan berita gembira dalam hidupnya itu. Beliau juga minta aku mendoakan agar dikurniakan kesihatan yang baik dan apabila balik kelak akan dapat bekerja seperti biasa.

Untuk semua umat Islam...Selamat Hari Raya Haji.

Selasa, 24 November 2009

Pertukaran Nama


Tempat kerjaku telah bertukar nama mulai 1 November 2009:


Dulu:


Pusat Penerbitan dan Percetakan


Kini:


Penerbit UKM


Untuk sesiapa yang berurusan dengan orang-orang di tempat kerjaku sila maklum akan perubahan ini....


ni aku pinjam poster yang diambil daripada blog salle

Isnin, 23 November 2009

...rupa-rupanya cuti sekolah sudah bermula

Sudah dua hari jalan menuju ke kampus Bangi agak lenggang - rupa-rupanya cuti sekolah sudahpun bermula. Aku tidak punya anak-anak yang bersekolah rendah mahupun menengah. Jadi, aku tidak tahu musim cuti sekolah. Anak-anakku sibuk di kampus - aku cuma tahu mereka akan bercuti apabila menerima kiriman sms ataupun panggilan telefon - akan menghadapi peperiksaan ataupun jika meminta untuk ditempahkan tiket kapalterbang. Biasanya mereka begitu... Yah! Kami sibuk dengan dunia masing-masing....namun jiwa dan hati nurani tetap bersatu dalam ingatan.

Kini, lorong-lorong sunyi sahaja. Anak-anak jiranku yang ramah biasanya akan memanggil-manggil aku ketika aku pulang dari kantor - saat aku membuka pintu pagar - anak-anak kecil ini cukup baik hati menegurku. Kadang kala sewaktu dalam perjalanan menuju ke sekolah pun mereka akan melambaikan tangan biarpun ketika itu aku sedang berada di dalam kenderaan. Dalam sibuk bermain-main sesama sendiri masih sudi untuk menegur dan memanggil aku yang setua ini. Mereka amat berbudi bahasa. Sekarang ni rupa-rupanya semua orang pakat-pakat bercuti. Rakan-rakan sekantor pun bercuti. Apatah lagi bersambung dengan hari raya haji.

Aku malas untuk bercuti kerana pada minggu hadapan aku akan ke Johor untuk bercuti.

Lalu, minggu ini aku menghabiskan masa membaca Dewan Sastera, buku-buku sastera dan lain-lain kerana aku bercadang untuk membuat kajian kedoktoranku mengenai sastera. Jiwaku lebih terarah ke situ jika dibandingkan dengan pengajian bahasa Melayu. Dalam masa yang sama aku harus menguatkan tatabahasa Melayu dengan jitu. Aku harap dan sesungguhnya aku berdoa agar boleh melalui ruang ini dengan tenang....

Ahad, 22 November 2009

Catatan yang hampir dilupai...

Ada banyak program yang saya manfaatkan sepanjang kembara ini...

Saya menuang ilmu, saya memugar rasa, saya menimba kehebatan orang lain dan saya jua menadah impian.

Saya manfaatkan diri...

menulis untuk akhbar...ada yang disiarkan dan ada yang dibakulsampahkan. Sedih dan gembira di sini bersilang baur....itulah adatnya.

teramatlah sibuk meneruskan kerjaya namun hingga kini masih sempat menyiapkan 12 buah buku sepanjang 2009 - termasuk ulang cetak, cetakan baru dan buku dalam proses percetakan

menulis untuk buletin MAPIM dan beberapa artikel ruang rencana / profil Senada UKM

sibuk sangat kerana menghadiri kuliah doktor falsafah dan peperiksaan akhir di UPM

setiap minggu harus praktis piano untuk menggembirakan hati guruku yang cun dan sentiasa tersenyum...biar terkehel jari jemari namun tetap sabar menangani keletahku yang begini...ADUHAI...tak sabar hendak menonton Konsert Warisan Disember ini.....buat kali keduanya guruku ini meminta aku menonton konsert.....

jalur hidupku diteruskan lagi dengan......

menhadiri Majlis Syarahan Perdana Profesor 10/7 dan 23/7 di Bilik Senat UKM

menghadiri Bengkel Cerpen KEPEZI 1-2/8 di DBP

menghadiri Bengkel Siswazah di Sanggar Bahasa UPM untuk program kedoktoran saya...cuba mencari ruang melihat teman-teman yang sedang berada di landasan yang sama

terjun sekejap meninjau E-Jurnal di Corus Paradise Resort, Port Dickson pada tanggal 8-10/8

menuang ilmu untuk yang memerlukan di Bengkel Penerbitan Buletin UKM pada 20-22/10 di UKM

berasa diri masih ketinggalan dan harus menadah ilmu bagi menguatkan penguasaan bahasa Melayu di Seminar Penggunaan Bahasa Melayu dalam Sektor Awam dan Swasta pada 27/10 di DBP

cuba menyingkap apa itu "Open Access' jurnal di UKM pada 29/10 di UKM

ingin mentafsir foto orang-orang bijak pandai dalam ilmu fotografi dengan cuba melebarkan minda sendiri, ingin cuba menerawang apa yang ada dalam khazanah negara di Taman Negara lewat pembentangan foto mereka pada 11/11 di UKM

menadah ilmu, berkongsi rasa, bergelut harapan di Umbara Sastera III dan Bengkel Penulisan Cerpen PEN 2009 (14/11) di D'Ark, Seremban....satu nostalgia yang tidak harus dilupakan, penuh berilmu dan sekalung terima kasih yang mendalam dari hati yang tulus untuk pihak urus setia yang baik hati sudi menerima kehadiranku

resah dan teruja melihat ketokohan cendekiawan bahasa Melayu lewat Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu di DBP pada 17-18/11. Terima kasih kepada mahaguruku di UPM yang membuka ruang ini....di sini begitu ramai tokoh yang berwibawa berkongsi ilmu. Duhai tokoh-tokoh yang menuang ilmu, benarkanlah hambamu ini menadah ilmu, mencuri tumpuan, meminjam rasa dan memperkaya bahasa Melayu untuk diri ini....

Sekian....sedikit catatan yang hampir dilupai....

Erti Persahabatan

Dalam seminggu ini aku sentiasa memikirkan tentang erti persahabatan. Persahabatan yang baik DIBINA BERTAHUN-TAHUN...DIBAJA...tidak bermakna sahabat tersebut boleh membantu kita di kala susah dan senang. Ada kala sahabat tersebut kadang kala menujah bagaikan sembilu ke jantung hati, menusuk ke lawang jiwa...merana akhirnya.

ADA ORANG YANG DI HADAPAN KITA TERSENYUM, MANIS, MESRA, TETAPI SEBALIKNYA ...YANG ADOOOOOO....

KONKLUSINYA....SEDIH... SEDIH... SEDIH...

Ahad, 25 Oktober 2009

Daulat Tuanku

Foto Ads By Google

Setinggi-tinggi Tahniah ... Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz ibni Al-Marhum Tuanku Munawar bersempena dengan pertabalan sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.

Patik warga UKM merapak sembah tahniah kerana Tuanku adalah Canselor UKM tempah patik tumpang bernaung... mencari secangkir harapan... sesuap nasi... menghimpun segugus nostalgia...

Ampuan Tuanku. Sembah Takzim daripada Patik.

Selasa, 20 Oktober 2009

Bengkel Penerbitan Buletin

Untuk tiga hari ini pejabat saya mengendalikan kelancaran program / bengkel penerbitan buletin. Bengkel diadakan di kampus Bangi pada 20-22 Oktober 2009. Saya terlibat sama untuk memberi ceramah penerbitan kepada para peserta.

Tahniah Sasterawan Negara Ke-10

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada YBhg. Sasterawan Negara ke-10 Datuk Dr. Anwar Ridwan. Majlis berlangsung di Palace of the Golden Horses pada malam tadi (20 Oktober 2009). Memang sungguh bertuah Datuk ini. Beliau juga dipilih oleh SN Arena Wati untuk menghabis dan sekaligus meneruskan tugasan menerbitkan tulisan aruah yang terakhir. Mungkin secara tidak langsung atau di luar sedar aruah ingin membuat kesinambungan kejayaannya kepada Datuk. Bagi saya beliau benar-benar orang yang terpilih. Ramai penulis di Malaysia ini yang lahir bagaikan cendawan lepas hujan...namun pada saat-saat akhir menghembuskan nafasnya yang terakhir naskhah terakhir itu diserahkan kepada Datuk Anwar Ridhwan....kepada sesiapa yang berminat boleh cari cerita ini di dalam Dewan Sastera. Secara ikhlas beliau menuliskan hal ini untuk tatapan umum. Bagi saya, beliau adalah orang yang sangat-sangat dipercayai untuk meneruskan tugasan tersebut.

Ahad, 18 Oktober 2009

Pejabat berwajah baru...

Pejabat ini mula menunjukkan ke arah dunia korporat...tiada lagi wajah-wajah lama dipaparkan di pejabat ini. Aku pun terpaksa melihat sahaja apa jua perkembangan yang berlaku.

Apa yang mereka hendak buat, silakan...

Apa yang mereka hendak buang, silakan...

Apa yang mereka hendak pasang, silakan...

Apa yang mereka hendak ubah, silakan...

Pejabat ini bukan aku yang punya...aku ingin melihat dan melihat....

Majlis Perkahwinan

Malam minggu lepas aku hadir dinner majlis perkahwinan anak dara Tan Sri Ismail di Kuala Lumpur. Ramai tetamu yang aku biasa tengok mukanya di media massa ada di situ. Menteri Kesihatan pun ada di situ...Malam itu juga ada persembahan pentas oleh orkestra PDRM, Dato' Ahmad Jais menyanyi, Datuk Ahmad Nawab bermain seksefon dan Tan Sri sendiri ada menyanyi. Majlis perkahwinannya ala-ala dalam taman gitu. Dalam ucapan bapa pengantin, Puan Sri yang punya idea...aku puji ucapan Tan Sri...menyanjung tinggi kreativiti isterinya.

Minggu ini pula aku hadir dinner untuk majlis perkahwinan anak dara pasangan Dr. Maziah dan Dr. Ahmad Zubaidi di KGPA, juga di Kuala Lumpur. Pada kali ini pula menampilkan kreativiti seluruh keluarga pengantin. Aku suka pada persembahan A'syah...karate gitu.

Kedua-dua majlis bercorak agak protokol gitu. Aku pun jadi keras macam batu di dalam kedua-dua majlis. Apa yang aku dapat simpulkan...aku kena juga hadir jika ada orang jemput tak kira di mana jua majlis diadakan. Itupun jika tidak bercanggah dengan banyak aktiviti harian yang aku buat.

Khamis, 15 Oktober 2009

Cerita Dari India....

Bersempena dengan datangnya Hari Deepavali ini, saya ingin mengabadikan kenangan di beberapa tempat yang pernah saya lawati di India. Saya mempunyai banyak pengalaman sepanjang kembara di India. Tidak dapat hendak saya nyatakan satu persatu di sini. Saya tidak tahu mengapa saya selalu berpeluang ke India. Mungkin ini sudah rezeki saya.

Apa-apa pun saya tertarik dengan perjalanan saya di sana. Di India saya pernah melawati beberapa buah bandar dan sekali gus seakan-akan masak dengan budaya masyarakat di sana. Saya juga pernah naik keretapi malam sepanjang 12 jam perjalanan. Tidur berbantalkan beg yang dibawa dan diminta merantaikan beg di kerusi keretapi. Semua itu menjadi kenangan paling indah dalam hidup saya.

Saya juga tidak hairan dengan keadaan masyarakat di sana yang masih lagi ada yang berkeadaan mundur hidupnya dan ada yang kaya raya jika dibandingkan dengan masyarakat India di Malaysia. Saya hormati budaya mereka. Saya tidak menafikan ada yang masih berkaki ayam di jalanan, memakai kain pelekat, dan membuat pondok sebagai tempat kediaman di sepanjang jalan. Mungkin itu sahaja yang mampu mereka jalani sepanjang hidup. Saya tidak pernah ada masalah besar sewaktu di India. Saya benar-benar berasa diri saya dihormati ketika berada di sana.

Saya juga berpeluang melawat banyak tempat-tempat menarik dan membeli belah pelbagai barangan yang beridentitikan India. Sari dan gelang-gelang India menjadi simpanan saya. Saya masih belum lagi menempah pakaian yang bakal dibuat dari kain sari biarpun ada membelinya.

Saya juga pernah ditunjukkan oleh driver taxi yang baik hati di mana rumah Shah Rukh Khan (Datuk) dan Amitabh Bachan (ketika itu beliau dikatakan oleh pemandu taxi saya yang Amitabh sedang menjalani rawatan di hospital). Tempat-tempat shooting filem Bollywood pun ditunjukkan kepada kami. Hospital tersebut juga ditunjukkan kepada saya. Saya suka dengan keramahan pemandu tersebut biarpun kami bercakap tonggang langgang dalam bahasa Inggeris. Kami juga dibawa ke kedai makanan halal oleh pemandu tersebut dan sanggup menunggu "makcik-makcik" ni bershopping sakan.

Bersempena dengan Deepavali ini, saya ingin mengimbau bandar/tempat-tempat yang pernah saya kunjungi - antaranya yang masih saya ingat - (kerana terlalu banyak...Cheenai/Madras, Mumbai/New Delhi, Agra, Ooty, Kodaikanal, Thiruchi dan lain-lain bandar kecil yang saya susah hendak ingat...ejaannya.

Rabu, 7 Oktober 2009

Digital Metronome

Foto Adds By Google
Baru-baru ini guru piano yang cun mengajak aku ke konsert di KLCC...untuk persembahan pertengahan Disember 2009 ini. Guruku sanggup membelikan aku tiket untuk aku dan suami menyaksikannya kerana katanya aku harus melihat konsert tersebut. Dia cakap bayar pakai duit dia dulu....ahai baiknya hati dia. Aku cakap aku akan bayar harga tiket tersebut. Dia juga akan mencarikan tempat duduk yang strategik agar aku dapat melihat kedudukan orkestra ketika bermain.

Katanya pendedahan begini amat penting bagiku...

Terkini, dia meminta aku membeli sebuah digital metronome yang harganya seratus lebih untuk membolehkan aku mengira nota muzik yang dimainkan di piano dengan tepat. Kadang kala geli hati juga kerana mengapa aku tidak tahu perkara-perkara ini sebelum ini...Walaupun aku bermain hanya sebagai hobi tetapi dia mungkin beranggapan bahawa aku telah melabur wang dan masa yang banyak untuk hobi termahal aku ini.




Isnin, 28 September 2009

Pabila Hujan Turun

Hari ini saya membaca artikel yang ditulis oleh Sasterawan Negara Dato' Shahnon Ahmad di dalam majalah Dewan Sastera. Saya amat terguris hati membaca artikel ini kerana SN mengundur diri sebelum waktunya. Biarpun beliau memberikan 1,001 alasan di dalam tulisan tersebut namun saya yakin ramai peminat Dato' yang tidak bersetuju beliau mengundurkan diri. Ramai lagi peminat Dato' yang ternanti-nanti hasil buah tangan tulisan Dato' untuk dihadam. Ya..memang benar faktor kesihatan sebenarnya tidak dapat untuk kita elakkan. Itu sudah ditakdirkan dan sudah bahagian kita.

Saya secara jujurnya berani mengatakan di sini bahawa Dato' harus mencontohi kegigihan aruah Pak Arena Wati yang menulis hingga ke akhir hayatnya. Kegigihannya menjadi tunjang semangat saya. Walaupun saya bukanlah berada pada tahap-tahap penulis handalan namun saya kagum dengan semangat jitunya. Saya memerhatikan bagaimana aruah masih tetap menulis di katil hospital biarpun tulisan tangannya herot berot - ketika itu sudah tidak boleh difahami mahupun dibaca orang. Tulisan dan tanda tangannya pada hari-hari terakhirnya di hospital di dalam buku yang saya bawa ketika itu sudah condong ke kanan ke kiri dan saya menyimpannya di rumah supaya tidak hilang diambil orang. Kalau saya letakkan di pejabat, saya bimbang ada orang yang meminjam dan tak tahu mengembalikan semula kepada tuannya.

Apa-apa pun saya tetap mengenang dan ingat kepada "Pabila Hujan Turun" dan lain-lain karya SN yang menjadi antara koleksi pengarang kegemaran saya. Semoga Dato' sihat sejahtera dan terus menulis.

Khamis, 24 September 2009

SELAMAT HARI RAYA

SEMPENA DENGAN BULAN SYAWAL INI...SAYA MENERIMA BEBERAPA PANGGILAN TELEFON DAN SMS MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA KEPADA DIRI SAYA DAN KELUARGA. KEPADA SEMUA YANG TERINGAT MENGIRIMKAN UCAPAN KEPADA SAYA MAKA SESUNGGUHNYA SAYA CUKUP TERHARU DI ATAS INGATAN TERSEBUT. SEKALI LAGI SAYA MENGUCAPKAN RIBUAN TERIMA KASIH, KHUSUSNYA KEPADA KAUM KELUARGA, RAKAN TAULAN DAN PENGARANG-PENGARANG SAYA.

SALAM SYAWAL DAN MAAF ZAHIR BATIN.

Khamis, 17 September 2009

Nostalgia raya...

Catatan ini hanyalah sebelum zaman aku berumah tangga dan suasana ketika berada di kampung halamanku di Tangkak. Suasana beraya di rumah mertuaku pula agak berlainan...

Ketika ini semua orang sibuk membuat persiapan hari raya puasa. Aku terkenang zaman silamku ketika berada di kampung. Dahulu, aruah abah selalu membelikan aku baju gaun yang cantik di Tangkak. Kemudian aku diminta menempah baju kurung dan baju maxi batik daripada tukang jahit - ikut ukuran masing-masing. Nampaknya ketika itu, aruah abah memang hendakkan anak-anaknya stail di pagi raya. Cuma kasut raya tetap kasut sekolah. Katanya selepas raya aku boleh pakai pergi sekolah. Aruah abah juga akan meminta kita anak-anaknya menggunting rambut pendek di kedai Ah Moi di Jalan Muar. Aku tidak tahu sama ada kedai itu masih wujud lagi atau tidak. Dahulu kedai itu terletak dekat dengan kedai membuat bakul rotan. Rambut kita dipotong pendek dengan bayaran 40 sen sahaja. Wah! Cantik sungguh ketika itu apakala berjalan raya dengan memakai baju maxi labuh yang diikat dengan reben di belakangnya.
Emak pula akan membuat kuih raya sendiri. Tidak pernah beli-beli. Emak akan membakar kuih dengan menggunakan oven berwarna hitam. Dapur yang digunakan adalah dapur minyak tanah. Kuih bahulu akan dibakar sendiri dengan menggunakan sabut yang diletak di atasnya. Ini bermakna atas bawah pakai api yang dijadikan bara terlebih dahulu. Kerja menhenjut bahulu itu dilakukan oleh kami adik beradik yang seramai 10 orang. Bergilir-gilir menghenjut telur dalam tempayan kecil.
Menjelang hampir hendak raya, aruah abah selalu mengacau dodol. Emak akan meminta kami memarut kelapa sendiri. Santan menggunakan kelapa sendiri. Selalunya emak akan mengupah dan meminta aruah Atan Tua memanjat kelapa. Masa itu ada parut kayu dan kukur. Kita akan sama-sama memarut kelapa dan memerah santan. Selepas itu kita akan membancuh santan dan tepung pulut. (Al-Fatihah abah, abang Din dan Ngah Syukor). Aruah abah, aruah abang dan Uda serta adik-adik lelakiku yang lain akan mengacau dodol hingga jam 3.00 petang. Paling kita suka adalah dodol ketika cair. Sanggup simpan untuk berbuka tu... Resepi dodol aruah abah cukup sedap. Emak akan menempah topong kelamai daripada orang yang pandai menganyamnya. Dodol itu akan dimasukkan ke dalam topong dan disimpan di dalam dulang yang diletakkan di atas meja. Semuanya bagi mengelakkan daripada serangan semut. Hingga kini aku tetap akan mengingati kesedapan resepi dodol aruah abah.
Menjelang malam raya, aruah abah akan menganyam ketupat pula. Hanya aruah seorang sahaja yang pandai menganyam ketupat. Tidak seorang pun anak-anaknya yang pandai menganyam ketupat ketika itu. Aku tidak tahu mengapa tidak diturunkan ilmu itu kepada anak-anaknya. Kini, ada di antara adik beradikku yang pandai menganyam ketupat. Kami belajar dan berguru daripada orang lain. Ada adik beradikku mengatakan mereka berguru daripadaku. Aku agak terang hati. Mungkin aku cepat belajar menganyam. Seingatku, aku berguru dengan sepupuku ilmu menganyam ketupat ini. Kemudian, emak akan merebus ketupat dan memasak lauk pauk raya hingga ke pagi. Keenakkannya tiada tandingan. Kini, emakku sudah tidak boleh memasak lagi kerana faktor usia dan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Tetakala malam 7 likur menjelang, abang-abangku akan mula bermain meriam buluh. Hingga satu tahap pernah rumah kami di serbu polis kerana mereka berlawan-lawan meriam buluh. Aku ingat lagi peristiwa ini. Mereka semua tidak takut kepada polis dan akan sambung semula bermain apakala keadaan telah reda. Kebait pula dibeli dari kedai Cina. Meriam buluh akan diikat dengan kawat dan ditanam di dalam tanah. Bunyinya akan kebabommmmm...satu Tangkak boleh dengar. Sebelum bermain meriam, mereka akan memasang pelita minyak tanah di sekeliling rumah. Wah! Terang benderang sekali selepas waktu senja. Bunyi meriam buluh akan sahut menyahut apakala lepas waktu berbuka dan berterawikh. Semua tidak takut kepada putus tangan ke, putus jari ke atau polis. Apa yang mereka suka, cuma suka aja. Kini rasanya sudah tiada lagi yang berani bermain meriam buluh seperti zaman abang-abangku dan kawan-kawannya.
Pada malam raya, baru emak akan mengerah kami memasang langsir. Biasanya emak akan 'memaksa' aruah abah untuk menggantikan langsir hampir setiap tahun. Itu memang hobi emak. Begitu juga dengan bekas kuih raya. Anak-anak yang datang beraya mesti akan datang dua tiga kali ke rumahku kerana emak akan bagi duit raya yang banyak. Budak-budak ini akan memberitahu kawan-kawannya yang mereka akan mendapat duit raya yang banyak jika datang ke rumah kami.
Kini segala-galanya tinggal dalam kenangan... nostalgia silam...berulang kembali, namun suasananya tidak sama biarpun aku telah mempunyai keluarga sendiri. Anak-anakku akan menyambut raya di perantauan kerana tuntutan ilmu. Semoga mereka tabah dan berjaya menjadi insan yang berguna kepada nusa dan bangsa. Doa ayahanda dan bonda sentiasa mengiringi kejayaan anakanda berdua. Salam kasih sayang mengenang pagi Syawal.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA

KEPADA SEMUA PEMBACA SEKALIAN, KESEMPATAN INI SAYA GUNAKAN UNTUK MENGUCAPKAN SALAM LEBARAN DAN MAAF ZAHIR DAN BATIN. KEPADA YANG MEMANDU SEMASA BERHARI RAYA, BERHATI-HATI DI JALAN RAYA, JANGAN JADIKAN SENDU DAN AIR MATA MENANTI KEPULANGAN ANDA PADA HARI RAYA.

Ahad, 13 September 2009

Pembangunan dan Pengurusan: Modal Insan Negara

Pagi ini saya menerima panggilan telefon daripada Dr. Hair...rasanya inilah kali pertama saya menerima panggilan telefon daripada pengarang yang saya ulas bukunya di akhbar. Biasanya, saya yang akan menghubungi pengarang mengatakan bukunya telah keluar di akhbar. Buku ini setebal 284 dan diterbitkan oleh Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, UKM. Atas keperihatinannya itu saya mengucapkan terima kasih.
Untuk mereka yang berminat untuk memiliki buku ini bolehlah dapatkan akhbar Utusan Malaysia hari ini (Isnin, 14 September 2009 - hlm. 11) dan baca ulasannya yang telah saya paparkan. Saya ucapkan selamat membaca.

Bersiar-siar di hujung minggu...

Minggu ini kami agak lapang. Usai melunaskan apa yang patut di rumah, saya berkesempatan mengunjungi adik ipar yang sedang menjalani rawatan kerana sakit batu karang di KPJ Hospital, Shah Alam. Saya melihat keadaannya yang sedang menanggung kesakitan yang amat sangat kerana baru sahaja selesai menjalani proses rawatan mengeluarkan batu karang yang agak banyak. Kami berbual panjang kerana sudah lama tidak bertemu.
Selepas singgah di sebuah masjid di Banting, kami meneruskan perjalanan menuju ke Sungai Buaya, Banting kerana ingin menziarahi seorang lagi adik ipar saya yang sedang dalam tempoh pantang bersalin. Saya seronok melihat bayi yang cukup comel dan agak lupa bagaimana caranya untuk mengangkat bayi secomel itu. Walau bagaimanapun saya cuba juga walaupun ditertawakan oleh orang sekeliling yang melihat saya. Lalu mereka bertanya kepada saya, sudah berapa lama saya tidak memegang baby sehingga agak kekok begitu....Yah! Hampir 20 tahun.
Selepas itu, saya membeli ikan segar yang baru naik dari kuala...hanya dengan membayar RM55.00 saya memperoleh seekor ikan tenggiri, ikan parang dan separuh ikan talang yang beratnya 5kilo dan masih ada telurnya.
Kemudiannya saya menuju ke pekan mencari kalau-kalau ada kerepek untuk dimakan sewaktu hari raya kelak. Saya bercadang untuk membeli buah buah tangan kepada adik-adik saya di kampung kelak. Berbekalkan arahan yang diberikan kepada saya maka saya terjumpa produk industri kampung yang rasanya agak jauh juga daripada pekan Banting. Namun saya puas hati kerana dapat melihat-lihat keadaan di sekeliling kampung, beberapa buah rumah homestay yang selalu saya baca di akhbar dan yang paling penting jiwa saya amat tenang melihat kecantikan rumah-rumah di sepanjang perjalanan menuju ke tempat menjual kerepek. Dengan membayar RM86.00 saya telah membawa pulang pelbagai jenis kekacang dan kerepek yang entah bila akan habisnya - untuk dimakan.
Kemudian kami mencari jalan potong menuju ke Bangi melalui Banting. Saya sempat singgah di Bazar Ramadhan untuk membeli sedikit kuih muih juadah berbuka puasa. Saya sampai di rumah hampir jam 7.00 petang dan terus memasak nasi kerana saya ingin sangat berlaukkan ikan yang baru sahaja saya beli tadi. Yah! Memang sedap dan cukup menyelerakan sekali. Memang benar ikan yang baru naik dari laut agak segar. Patutlah mereka tidak mahu memotong-motong ikan-ikan saya kepada saiz yang lebih kecil kerana katanya kurang enak apabila sudah dipotong.

Selasa, 8 September 2009

Nasi Ambang...

Bulan puasa ni selera kita untuk makan berbeza-beza. Secara kebetulan ketika saya pulang ke kampung halaman baru-baru ini, saya telah membeli enam bungkus nasi ambang di Bazar Ramadhan yang terletak tidak jauh dari rumahku. Pada mulanya saya hanya membeli satu bungkus sahaja untuk suamiku kerana nasi ambang memang kesukaannya. Kemudian saya beli lagi lima bungkus untuk adik-adikku yang turut ada membeli juadah berbuka puasa ketika itu. Anak-anakku yang tinggal di Moscow pun suka makan nasi ambang. Paling seronok kami "belanja membelanja" sesama sendiri ketika itu. Adikku memberiku roti john untukku, adik perempuanku memberiku air tahu. Manakala seorang lagi adik lelakiku yang lain memberiku kuih kuci... Walaupun kita sama-sama ada duit, tapi nak juga merasa dibelanja tu.
Adik perempuanku yang sama-sama mengikutku membeli murtabak turut meminta aku membelikannya murtabak. Memang rasa seronok dan meriah. Kereta kami yang bergerak menuju ke Kuala Lumpur sarat dengan juadah berbuka puasa yang dibeli di Bazar Ramadhan Tangkak. Adik-adikku tidak biasa membeli makanan di mana-mana Bazar Ramadhan. Kata mereka, isteri masing-masing suka memasak sendiri di rumah.

Petang itu, kami berbuka dengan nasi ambang dan juadah yang dibeli tadi. Bercakap mengenai nasi ambang ni, suamiku agak fanatik sedikit dengan menu nasi ambang ini. Saya pula hanya mengetahui keenakan nasi ambang ini setelah agak lama merasai resepi ini yang dibuat sendiri oleh orang-orang kampung suamiku ketika majlis perkahwinan, kenduri kendara doa selamat, nyunati dan lain-lain majlis keramaian. Jadi, saya sudah agak terbiasa dengan menu ini yang biasanya disajikan oleh masyarakat keturunan Jawa di kampung-kampung terpencil.

Namun, kini di Bandar Baru Bangi sudah mula dijual nasi ambang. Sebungkus dijual dengan harga RM4.00. Jika mahu membeli nasi ambang, anda boleh ke Seksyen 3 berhampiran dengan kedai kereta Proton. Di situ ada dua orang Mamat yang menjual nasi ambang. Bulan puasa ni mereka tidak berjual pula. Ketika kami baru-baru mendarat di KLIA - pulang dari Seoul, Korea Selatan, kami terus singgah ke gerai ini hanya kerana mahu membeli nasi ambangnya. Begitulah ceritanya. Rindu dengan nasi ambang....

Isnin, 7 September 2009

Cuti yang panjang....

Hari Isnin cuti lagi. Cuti ini bersambung-sambung mulai daripada Sabtu lagi. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan sempena dengan cuti yang panjang ini.

Kami berkumpul adik beradik kerana membersihkan 'rumah tiang seri tegak bersepuluh' di tanah tumpah darah (tanah leluhur) kami di Tangkak, Johor. Tanah tempat kami dilahirkan oleh seorang ibu dengan seribu kepayahan bersama ketegasan seorang bapa yang cukup digeruni (ketika itu...). Kami membesar dengan disiplin yang diterapkan oleh bapa. Yah! Sesungguhnya kami berbangga kerana beribubapakan mereka. Ibu bapa kami sentiasa menyepuh doa agar kami semua menjadi insan yang berguna dan memperoleh jodoh dalam kalangan insan yang baik-baik juga tidak kira di mana jua kami bertemu jodoh.

Oleh itu, setelah berpulangnya ke rahmatullah ayahanda tercinta pada 25 Februari 2000 maka bonda tercinta terpaksa di bawa ke sana sini kerana tiada siapa lagi yang mahu tinggal di rumah kelahiran kami, sementelahan pula bonda kami bukannya sihat sangat....Kami terpaksa reda dengan keadaan yang menimpa bonda. Kami semua terpaksa meninggalkan kampung halaman kerana tuntutan kerjaya dan keluarga baru yang dibina. Bonda terpaksa mengikut kata hati anak-anak yang hampir kesemuanya telah berjaya di bidang masing-masing...pastinya ayahanda bersyukur kerana memperoleh anak-anak seperti kami. Kami pasti almarhum ayahanda tahu niat baik kami semua.

Ramadan yang dititi kini, kami tetap pulang...biarpun seketika. Syawal yang dinanti kami juga akan tetap pulang bersama dengan keluarga besar kami...

Isnin, 31 Ogos 2009

Santai bersama hobi...

Cuti panjang sempena dengan Hari Kemerdekaan baru-baru ini, saya tidak ke mana-mana...cuma asyik dengan hobi saya iaitu membaca, menulis, shopping dan bermain piano. Saya tidak akan jemu dengan keempat-empat hobi ini.

Saya mulakan dengan membaca buku Lentera Mustika, karya Nisah Haron. Setakat ini belum habis baca lagi. Kebetulan buku ini baru sahaja saya peroleh - yang dihantar sendiri oleh pengarangnya kepada saya. Kebetulan anak perempuan saya yang meminta saya memberikan nama pengarang yang saya gemari untuk dicari bukunya sebelum beliau bertolak pulang ke Moscow. Yah! Anak saya sempat melihat 15 buah buku (kalau tak silap kiraan, seperti yang dihajatinya). Saya katakan padanya saya mahukan buku Nisah Haron. Sebelum ini saya cuma ada 2 naskhah karyanya. Rasanya saya sudah punya kesemua koleksi karyanya. Cuma sekarang ini saya sedang mencuri ruang untuk membaca kesemua buku-buku tersebut di samping hambatan kerjaya yang terlampau sibuk.

Macam hari raya juga, semua orang pakai tema warna baju, jadi untuk hadiah hari lahir atau hari ulang tahun perkahwinan pun ada tema juga. Saya sudah ada tema pengarang untuk buku-buku kegemaran saya. Saya pilih seperti Shahnon, Arena Wati, A. Samad Said dan terkini Nisah Haron. Saya akan mencari lagi tema-tema pengarang yang lain seperti Anwar Ridhwan yang telah beberapa kali saya temui di pelbagai acara sastera dan di rumah Pak Arena. Saya juga akan mencari karya Mawar (sudah ada 2 karyanya), Pak Hamka, A. Samad Ismail dan lain-lain pengarang.

Tahun lepas saya peroleh koleksi Pak Samad - yang anak saya beli untuk saya jua. Wah! Anak-anak saya sememangnya pencinta buku. Kalau yang perempuan tu, satu almari penuh dengan novelnya, dijaga rapi, dibalut dengan plastik dan diberi indeks. Tak boleh pinjam!!! Takut rosak. Bagus, bagus, bagus....Kalau orang lain sudah baca, mood untuk kita baca semakin kurang. Biarpun kini sedang belajar jurusan perubatan tetapi minatnya kepada novel Melayu tidak pernah padam. Buku-buku yang dibeli itu akan dibaca apakala beliau pulang bercuti nanti. Saya sudah balut kesemuanya dengan plastik. Lagi setahun dia akan baca koleksi tersebut, ...saya akan baca dulu kerana katanya buku-buku itu untuk saya juga. Satu kagum dengan minatnya itu. Suka membeli dan membaca buku. Cuma dia belum ada minat untuk menulis novel lagi.

Pesanan menerusi Ujana Ilmu agak cepat dan berkualiti kerjanya. Buku-buku yang dipesan dibalut dengan plastik yang cantik. Pengarangnya Nisah, menandatangani ke semua buku karyanya.

Kemudian saya membaca dan menulis untuk beberapa buah buku yang diberikan secara percuma kepada saya, untuk ruangan resensi buku. Saya agak lama tidak menulis untuk ruangan ini kerana malas. Asyik tertangguh-tangguh kerana banyak sangat kerja. Kalau saya rajin memang boleh siap kerana saya akan 'memaku' diri di kerusi sehingga selesai apa yang hendak saya tulis. Saya juga menyiapkan dua buah cerpen yang saya sasarkan untuk dihantar ke Berita Harian dan Mingguan Malaysia. Saya telah hantar puisi merdeka untuk Mingguan Malaysia, tetapi masih tidak keluar-keluar. Hari merdeka pun telah berlalu. Mungkin istilah biasa terpaksa saya terima hakikatnya...'dibakulsampahkan'. Maaf cakap, tembok yang dibina amat tebal. Agak sukar untuk ditembusi. Namun, saya harus mencuba dan terus mencuba.

Apakala telah penat untuk kedua-dua hobi di atas, saya akan beralih arah. Untuk minggu ini sahaja saya dapat memainkan beberapa buah lagu di piano saya. Agak seronok. Walaupun tidak seenak orang profesional bermain, tetapi saya cukup puas hati kerana dapat memuaskan hati sendiri. Saya membaca notasi muziknya dan bermain mengikut apa yang ditulis oleh penulisnya. Itu pun sudah cukup baik buat diri saya. Minta maaf kepada jiran-jiran kalau bulan-bulan puasa ini saya menganggu...

Untuk merehatkan minda saya akan ke pusat membeli belah kerana banyak perkara boleh dibeli di situ. Sayangnya, saya tak tahu nak beli apa dan untuk siapa. Saya telah menyiapkan kelengkapan untuk hari raya sebelum ini. Jadi, apakala keluar shopping saya hanya menjamu mata bagi melihat-lihat jikalau ada koleksi beg tangan terbaru.

Sekian.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Tanggal 31 Ogos boleh dikatakan sebagai tarikh keramat yang mesti diingati oleh seluruh warga Malaysia. Itulah tarikh hari kemerdekaan negara kita Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus menyayangi negara kita yang tercinta ini. Saya juga telah menggantungkan bendera Malaysia di luar kediaman dan di luar pejabat saya sebagai tanda wujudnya semangat patriotik terhadap negara ini. Salam Hari Kemerdekaan.

Khamis, 27 Ogos 2009

al-Fatihah, Senator Prof. Dr. Ismail Salleh

Saya petik berita ini di dalam e-warga UKM...ekoran daripada itu sepanjang pagi saya menerima sms dan panggilan telefon khususnya daripada pensyarah-pensyarah Fakulti Ekonomi yang mengatakan beliau telah pun pergi buat selama-lamanya...ya, saya memang mengenalinya...

Saya amat kagum dengan semangat yang ada pada dirinya. Beliau berjaya melonjakkan diri...Bagi diri saya, beliau adalah satu-satunya insan mulia yang perlu dicontohi dari segi nilai murni dan dunia akademiknya yang begitu tinggi. Beliau berjaya mengangkat martabat diri yang sememangnya patut dicontohi oleh insan lain. Takziah untuk keluarga beliau.

Berita dalam e-warga UKM.
Dukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Prof. Senator Datuk Dr. Ismail Salleh ,bekas Pensyarah Fakulti Ekonomi, UKM telah kembali ke Rahmatullah pada jam 3.50 pagi, 27 Ogos 2009. Jenazah masih berada di Singapura dan akan sampai ke rumahnya pada petang ini. Alamat rumah:

Lot 7140,
Jalan Melati 2, Sg. Kantan, Kajang


Warga UKM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang solehah. Al Fatihah.

Selasa, 25 Ogos 2009

Tekiding

Saat ini aku sedang membaca pruf untuk cetakan kali kedua, Enda Gulingku....sepatutnya tak usah dibaca lagi kerana hanya untuk cetakan sahaja, namun atas dasar bertanggungjawab dan ingin mendasari intipati di dalamnya, maka aku gagahi juga menelusuri kandungan memoir Arena Wati ini. Saat ini aku telah tiba di halaman 965. Nyaris sekali aku membuang perkataan tekiding kerana aku tidak faham istilah tersebut.

Oleh sebab aku sudah lama mengenali karya pengarang, maka aku berhati-hati untuk memotong perkataan itu. Setelah aku menyemak kembali rupa-rupanya memang wujud istilah itu, iaitu sejenis raga yang biasanya dibawa oleh mereka untuk mengisi barang-barang. Aku belajar istilah baru hari ini, dan aku akan lebih berhati-hati dengan istilah asing yang baru ditemui - kaji dahulu dan semak di dalam kamus.

Ahad, 23 Ogos 2009

Salam Ramadan


Selamat menyambut bulan Ramadan yang mulia. Semoga dapat mencari keberkatan dan pahala yang berganda sempena dengan kehadiran bulan yang paling dinanti-nantikan ini. Amin.

Khamis, 20 Ogos 2009

Dapatkan Krisis Identiti Seni Bina Malaysia di pasaran sekarang


Saya perturunkan blurb yang terdapat di bahagian belakang buku ini:

Krisis identiti seni bina Malaysia yang wujud sejak empat dekad yang lalu mengundang pelbagai kritikan dan pandangan dari tokoh seni bina di negara ini. Masalah penyebaran idea seni bina melalui penerbitan dikatakan antara punca wujudnya krisis identiti seni bina tersebut. Antara isu yang diketengahkan ialah isi kandungan penulisan yang meyempitkan lagi istilah seni bina kepada bangunan sahaja. Sekiranya itu berlaku, sudah tentu perbincangan isu seni bina sukar menembusi pemikiran masyarakat kerana dianggap sebagai isu elit. Walaupun dilihat ada kebenaranyya, namun kritikan yang diketengahkan tidak disertakan dengan bukti lanjut. Justeru, perbincangan buku ini akan melihat secara serius pandangan tokoh tersebut melalui penelitian terhadap sumber penerbitan seni bina yang moden terulung di Eropah iaitu Pergerakan Arts and Crafts di Britain dan Institusi Deutshe Werkbund di Jerman pada pertengahan buku ini bakal membuka perspektif baru dalam memahami peranan penyebaran idea berkesan kepada kejayaan pelaksanaan sesuatu agenda seni bina. Rasional perbincangan ini ialah untuk melihat potensi pelaksanaannya di Malaysia. Secara ringkasnya terdapat tiga persamaan strategi, penyebaran idea oleh kedua-dua pergerakan tersebut, iaitu penglibatan pelbagai pihak dalam penerbitan seni bina. Unsur seni dan kemasyarakatan wujud dalam penerbitan juga dalam penyebaran idea. Melaluinya, kedua-dua pergerakan ini telah Berjaya mengembangkan pengaruh mereka ke sebahagian besar Eropah dan Amerika Syarikat. Ketiga-tiga strategi tersebut kemudiannya menjadi kerangka utama perbincangan krisis wacana identity seni bina Malaysia yang melibatkan 674 sampel penerbitan seni bina iaitu terdiri daripada buku, majalah dan surat khabar. Pandangan tokoh seni bina yang terkenal banyak diketengahkan di dalam buku ini khususnya mengenai penyebaran idea seni bina di Malaysia.

KAMARUL AFIZI KOSMAN, Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM. Beliau mengkhusus dalam bidang sejarah dan teori seni bina.

SELAMAT MEMBACA.

Rabu, 19 Ogos 2009

Bazar Ramadan

Hujung minggu lalu aku berpeluang pulang ke kampung halaman di Tangkak...singgah sebentar kerana terlalu rindu dengan pusara aruah abah. Ramadan pula tak lama lagi untuk kita sama-sama harungi cabarannya. Selamat datang Ramadan.

Jadi bila balik kampung aku amat terkejut kerana dikatakan Bazar Ramadan yang selalunya ditempatkan di sekeliling masjid Jamek Tangkak akan dipindahkan bersebelahan dengan rumahku di kampung....Aduh! Tak terpemanai rasanya.

Aku tidak dapat membayangkan warga Tangkak akan berduyun-duyun mencari juadah untuk berbuka puasa di situ...maka sibuklah jalan yang selalunya sunyi. Emak aku mesti suka tu pasal ramai orang lalu lalang kat situ.

Tidak pernah pulak aku impikan yang bandar Tangkak yang begitu pesat membangunnya itu boleh mencari ruang pasar Ramadannya di situ...kenapa tak cari kawasan lain. Mungkin di situ telah diadakan Pasar Tani, jadi pihak majlis perbandaran malas nak cari tanah lain...tambah aja bazar kat situ.

Apa-apa pun sesiapa yang pergi ke bazar Ramadan tu nanti jangan parking kat rumah aku...nanti aku nak parking tak boleh pulak...!!!!

Selasa, 18 Ogos 2009

Catatan di Kodaikanal, India

Pada 15-21 Julai lalu saya berpeluang ke Kodaikanal, India. Banyak cerita yang boleh dikongsi bersama tetapi saya tidak sempat untuk menulis panjang lebar di sini lantaran kesibukan tugas. Namun saya ada menulisnya dalam bentuk cerpen – adaptasi kisah cinta antara dua benua. Kawasan perbukitan ini amat popular sekali di India dan semamangnya menjadi daya tarikan kepada pelancong. Saya juga menemui ramai pelancong berketurunan India-Malaysia di sini. Saya rasa, tidak ramai yang mengetahui dengan agak terperinci mengenai tempat ini. Saya juga baru mengetahuinya setelah benar-benar berada di kawasan Tamil Nadu, India Selatan ini. Kodai terletak di ketinggian altitud 2,133-m dan melingkari kawasan sekitar of 21.45-sq-km.

Perjalanan menuju ke sana begitu menakutkan sekali kerana memerlukan kemahiran memandu yang agak tinggi. Jalan rayanya cukup mencabar dan agak merbahaya. Pemandu mesti berhati-hati setiap ketika. Banyak cerun yang merbahaya dan sayup ke bawah.

Cuacanya agak sejuk. Saya harus mengenakan pakain musim sejuk yang saya beli di sana kerana saya tidak pernah menyangka cuacanya sesejuk itu.

Selain daripada mengambil foto, seperti biasa saya akan membeli belah, berjalan-jalan ke tempat yang menjadi daya tarikan pelancong dan mencuba makanan tempatan.

Ekonomi Malaysia: Ke Arah Pembangunan Seimbang

Hari ini buku berurna unggu itu terbit menemui khalayak...

Naskhah ini disunting oleh Prof. Madya Dr. Nor Aini Haji Idris dan Prof. Madya Dr. Ishak Yussof. Saya menjadi editor kepada buku setebal 400 halaman ini.

Rasanya saya tidak menghadapi sebarang cabaran berat ketika menanggani penerbitan buku ini kerana pengarangnya telah berpengalaman.

Khamis, 13 Ogos 2009

Antara Saat TerIndah...



Di sini ingin aku abadikan antara saat terindah dalam hidupku. Momen ini mungkin tidak begitu berharga bagi orang yang tidak menghargainya tetapi bagi diriku...usia, berkerjaya dan berkeluarga bukan suatu penghalang untuk menggapai impian. biar sesibuk mana sekalipun aku rasa amat berterima kasih kerana dikurniakan semangat juang yang tinggi untuk menggapai kejayaan ini. Syukur terhadap kurniaan Ilahi.

Tanggal 11 Ogos 2009 ingin aku abadikan di sini, saat aku menerima pengiktirafan di atas jerih payahku setelah penat bergulir dengan pelbagai bahan pengajaran dan pembelajaran di UPM. Akhirnya momen indah ini sempat jua dihadiri oleh anak-anakku yang pulang bercuti - secara kebetulan sedang menghabiskan cuti musim panasnya di sini.

Tanpa rasa bersalah ingin aku panjatkan rasa kesyukuran ini kepada semua yang terlibat khususnya seluruh kaum keluargaku yang sentiasa menyokong perjalanan hidupku dari belakang.

Untuk semua tenaga pengajar, terima kasih kerana segala curahan ilmu kalian.

Untuk rakan-rakan sekuliah...momen indah ketika sama-sama menadah ilmu tetap segar dalam ingatan.

Untuk aruah abah yang telah pergi buat selama-lamanya...sempat aku ziarahi pusaranya dan menzahirkan rasa kecintaanku yang mendalam kerana menjadi idola dalam memperteguhkan semangatku untuk terus berjuang...al-Fatihah.

Buat kedua-dua aruah emak dan bapak mertua, terima kasih kerana anakanda sentiasa mengingati momen indah ketika susah senang kita sekeluarga dahulu. Emak dan bapak, anakanda rindu zaman kita mulai mengenali kehidupan baru bersama-sama...Semangat aruah emak dan bapak sentiasa mekar dalam ingatan. al-Fatihah.

Untuk bonda tersayang. Terimalah kejayaan anakandamu ini biarpun kejayaan ini berada pada usia yang agak lewat. Anakanda percaya semua ini berkat doa bonda jua. Semangat bonda sentiasa anakda bawa bersama-sama.

Untuk teman-teman sepejabat...Siti, Hanim, Kak Maah, Mail, Salleh, Yati, Kak Salmah dan lain-lain, terima kasih atas jambangan-jambangan bunga yang diterima jua kerana kalian meminjamkan semangat kental ini untuk aku terus bergerak ke hadapan. Rakan-rakan yang lain...terima kasih kerana semuanya aku jadi begini...syukur al-hamdulillah

Untuk seluruh kaum keluargaku di Tangkak dan Kelang serta di mana jua berada - i love u all so much.

Untuk anak-anakku, terima kasih kerana bungamu dan hadir semasa majlis konvokesyen bondamu.

Untuk suamiku, terima kasih kerana jambangan bungamu dan kata-kata semangat - sanggup berkongsi kedukaan, kegembiraan dan sama-sama berkasih sayang selama ini. Kejayaan ini kerana izinmu jua. Syukur al-hamdulillah. Saya sungguh berasa besar hati atas gesture murni kalian itu. My very heart-felt appreciation. Terima kasih.

Akhirnya Terbit Jua...

Kini, buku Sihir: Suatu Amalan Kebatinan (2009) terbitan Penerbit UKM telah berada di pasaran. Buku ini tulisan mantan penyelia saya semasa di Jabatan Persuratan Melayu. Saya mempunyai nostalgia ketika berguru dibawah penyeliaannya...setelah saya menamatkan pengajian di JPM, beliau menjadi Sarjana Tamu, kemudian menjadi YB Adun Bangi - Datuk Dr. Amran Kasimin. Sesungguhnya, saya berterima kasih kerana pernah menjadi pelajarnya. Saya macam tak percaya mantan penyelia saya yang menjadi Adun Bangi ketika itu. Ketika menyelenggarakan buku ini saya berulang alik ke pejabat Adun kerana pelbagai masalah dalam menguruskan penerbitan buku ini. Kemudian beliau tidak bertanding.
Sekarang beliau menjadi salah seorang ahli Lembaga Pengarah UKM. Saya pula seakan-akan tidak percaya kerana diberi kepercayaan untuk menyelenggarakan penerbitan buku beliau. Memang banyak halangan dan rintangan. Saya akui, agak sukar untuk menangani buku ini. Saya juga kadang kala pening kepala ketika membaca keseluruhan manuskrip ini. Saya akui, ketika mengendalikan manuskrip ini, ke sana ke sini saya bawa manuskrip ini dan baca, hatta hingga ke China dan India. Saya menyemaknya ketika saat menunggu kapal terbang datang, di dalam kapal terbang dan di bilik hotel. Pastinya, saya banyak menghabiskan masa membaca manuskrip ini. Walaupun saya bercuti namun tetap meneruskan rutin harian saya membaca biarpun sepatutnya ketika itu saya seharusnya berehat dan santai-santai sahaja.
Saya menjadi bertambah happy apakala buku ini berada di pasaran ketika saya menerima ijazah Master. Benar, memang secara kebetulan. Saya tau buku ini berada di pasaran pun kerana beliau menelefon saya menyatakan telah menerima naskhah pengarang. Apa-apa pun itu sahaja yang terdaya saya lakukan untuk pengarang. Biar pengarang berpuas hati dengan hasil kerja saya.

Nah! Saya serahkan kepada audiens untuk membacanya pula...SELAMAT MEMBACA.

Insan Seni...Pergi lagi...menemui Ilahi

Saya terbaca teman facebook Yassin Sulaiman menulis - Ustaz Asri Rabbani meninggal dunia. Saya jadi terkejut dan sedih, macam tak percaya kerana benar-benar suka kepada suaranya. Lunak, merdu dan lagu yang dialunkannya menusuk kalbu. Memang bersuara emas penyanyi nasyid yang sorang ni. Saya jarang meminati genre muzik ni. Tapi mendengar suaranya saya meminatinya. Kadang kala menonton klip videonya di TV memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Memang beliau dilahirkan berbakat besar. Suaranya aset penting. Saya pernah menonton konsert Rabbani ni semasa mereka membuat persembahan di SMK Jalan 3 Bandar Baru Bangi beberapa tahun dahulu. Anak-anak saya cakap abang Rabbani...mesti mereka ada nostalgia ketika itu...pemain kompangnya cukup ramai ketika itu. Budak-budak ni jadi back-up dia. Termasuk juga ramai anak-anak murid saya yang terlibat sama masa konsert ni. Saya sudah hampir terlupa jangka waktu itu kerana tika itu menontonnya bersama-sama ibu bapa yang lain di kawasan sekolah. Meriah memang meriah. Malam ini saya akan menonton berita di TV untuk mendapat penjelasan yang lebih lanjut.
Malam tadi juga di layar tv sewaktu slot Berita Awani - ada juga berita pemergian penulis Darmala NS...
Untuk kedua-dua insan, saya panjatkan doa semoga roh mereka dicucuri rahmat. al-Fatihah. Untuk keluarga mereka semoga bersabar.

Rabu, 12 Ogos 2009

Sasterawan Negara Ke-10

Tahniah untuk Dato' Anwar Ridhwan. Semoga terus berkarya. Tidak rugi mengenalinya -
lewat karya yang dilontarkan di dada-dada kertas.

......petikan akhbar Kosmo!


'Hadiah hari jadi saya' - Anwar Ridhwan Sasterawan Negara Ke-10

Oleh SAHLIZAH MOHAMED
sahlizah.mohamed@kosmo.com.my



Anwar ridhwan

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR - Tokoh sastera dan bahasa, Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan atau nama penanya Anwar Ridhwan menyifatkan pengumuman beliau sebagai penerima anugerah Sasterawan Negara ke-10 semalam umpama hadiah hari lahirnya ke-60 tahun pada 5 Ogos lalu.

Bukan itu sahaja, pengiktirafan tersebut juga dianugerahkan kepadanya selepas genap 40 tahun beliau berkecimpung dalam bidang penulisan.

"Saya bersyukur. Anugerah ini agak berat, bagi saya ia satu amanah bangsa, amanah sastera dan amanah seni yang harus saya pikul. Saya cuba untuk pikul sebaik mungkin dan saya akan terus berkarya tetapi kali ini lebih selektif,'' katanya ketika ditemui Kosmo! di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini semalam.

Menurut beliau, tengah hari semalam merupakan detik terindah buat dirinya apabila menerima satu khidmat pesanan ringkas daripada seorang rakannya yang memberitahu dirinya terpilih sebagai penerima anugerah tersebut ketika beliau sedang menghadiri satu seminar di Aswara.




--------------------------------------------------------------------------------

Khamis, 6 Ogos 2009

Pemergian Penulis Puisi...

FotoWS Rendra (Add By Google):
al-Fatihah. Dunia puisi kehilangan dua orang pemuisi yang tersohor - WS Rendra(7 November 1935 - 6 Ogos 2009) dan Sabar Bohari. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Rabu, 5 Ogos 2009

Suara Emas Jamal Abdillah bergema di Istana Budaya



Foto Add By Google
Peluang menonton konsert Jamal Abdillah...Kembara Seniman pada malam tadi 5/8/09 di Istana Budaya saya manfaatkan sepenuhnya. Saya begitu terpukau dengan kelantangan, gemersik, dan lontaran vokal suara emas penyanyi yang berasal dari Teluk Anson ini.
Segmen yang dibuat juga amat tepat dengan perjalanan hidupnya yang bersilang baur. Beliau berjaya menterjemahkannya untuk santapan penonton di Istana Budaya biar sesingkat cuma.
Biar berhabis RM600 untuk empat keping tiket tetapi kami sekeluarga terhibur. Tahniah untuk Jamal. Mungkin ini hadiah untuk untuk saya sempena majlis konvokesyen saya...selasa ini. Saya memang seorang yang serius dalam apa jua perkara - suka kepada dunia hibur dan membaca bahan semiilmiah, ilmiah dan non-academic. Semuanya berjalan seiring sesuai dengan jiwa dan masa yang saya ada.
Harapnya tenaga Jamal yang dipamerkan dapat diteruskan untuk persembahan hari-hari berikutnya.
Harapan disandarkan juga agar rakan-rakan seangkatan Jamal dan penyanyi-penyanyi muda yang tumbuh bagaikan cendawan tumbuh ini dapat menghayati bagaimana lontaran suara Jamal yang dibuat secara langsung...sila beri sokongan padu kepada titik peluh Jamal yang berjaya merentasi usia 30 tahun. Kalau saya yang bukan penyanyi boleh gembira dengan persembahan Jamal, maka saya yakin rakan-rakan seangkatannya juga turut gembira...melainkan mereka cemburu dengan kemunculan Jamal di IB!
Tidak salah kalau saya menggelarkan Jamal sebagai 'Michael Jackson Malaysia' mengenangkan saya dewasa bersama-sama dengan lagunya dan usia Jamal juga lebih kurang Michael.
Salam Ikhlas. Sekali lagi...Tahniah Jamal. Keep up your good job.

Menghitung Hari-hari Berlalu

Minggu ini dan minggu-minggu sebelum ini banyak perkara berlaku dalam hidupku. Biasalah rencah dan asam garam kehidupan.

Usai Majlis Pelancaran Buku Dato' Johari Salleh, aku tidak menoleh ke belakang lagi. Memang sibuk dengan tugasan yang begitu banyak menanti.

Hari-hari biasa, aku lalui dengan membaca dan membaca. Rutin harian yang memasak diriku untuk terus tegar menjiwai kerjaya ini...akan bersambung...agak keletihan.

Khamis, 23 Julai 2009

Pertumbuhan dengan Kesetaraan: Realiti dan Harapan


Wah...akhirnya siap juga buku Syarahan Perdana Profesor Dr. Ragayah ni. Seputar alam rasanya jiwa...

Majlis berlangsung dengan meriah di Bilik Senat, UKM. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Prof. dan saya juga senang bekerja dengannya. Akhirnya beliau berjaya merealisasikan syarahannya. Tahniah.

Untuk peminat buku ekonomi...saya perturunkan blurb buku untuk dijadikan panduan pembeli:

Agihan pendapatan dan pembasmian kemiskinan merupakan satu dimensi penting ekonomi pembangunan yang sudah lama dibicarakan. Hal ini kerana dua matlamat utama pembangunan ekonomi ialah pertama, memperuntukkan sumber supaya pendapatan purata benar meningkat dan kedua, mengagihkan pendapatan dan kekayaan dengan lebih setara supaya rakyat semua lapisan dapat berkongsi kekayaan ekonomi ini secara adil. Persoalan besar dari segi teori, dasar dan strategi yang perlu kita tangani ialah sama ada kita hendak memilih pertumbuhan dengan agihan atau pun pertumbuhan yang menggantikan agihan.

Dasar terhadap agihan pendapatan diberi tumpuan kerana kemiskinan bukan sahaja boleh dibasmi menerusi dasar pertumbuhan tetapi juga menerusi dasar agihan. Isu agihan pendapatan di kalangan masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia juga penting bagi pembangunan negara kerana ia mempengaruhi kesepaduan masyarakat. Mengabaikan kepentingan agihan pendapatan dan kekayaan di kalangan rakyat berbilang kaum boleh menjadi punca pertelingkahan masyarakat seperti terbukti dengan Peristiwa 13 Mei 1969.

Prinsip yang hendak diutarakan di sini ialah pertumbuhan perlu untuk agihan kerana apa yang diagihkan hanyalah datang daripada penambahan saiz kek ekonomi. Tambahan pula, cara menentukan sasaran agihan ini mesti berasaskan prinsip keperluan sosioekonomi yang merentasi kaum, strata, wilayah, gender, dan agama. Hanya dengan pendekatan begini baru kita dapat mencapai keadilan social yang membolehkan kemiskinan mutlak dihapuskan, kemiskinan relative atau agihan pendapatan disederhanakan dan tidak terdapat mana-mana
kumpulan dipinggirkan.

Dalam membincangkan persoalan pertumbuhan dengan kesetaraan ini, empat persoalan besar akan dibicarakan. Pertama, wacana tentang hubungan antara pertumbuhan dengan agihan, iaitu, bagaimana pertumbuhan mempengaruhi agihan dan sebagai imbalannya, bagaimana agihan pula mempengaruhi pertumbuhan. Kedua, persoalan hubungan antara kemiskinan dengan ketaksetaraan dan pertumbuhan di Malaysia, khususnya mengapa Malaysia memperkenalkan dasar pertumbuhan dengan kesetaraan dalam bentuk Dasar Ekonomi Baru. Ketiga, membicarakan dasar dan perubahan struktur ekonomi Malaysia yang mempengaruhi perubahan kedudukan agihan pendapatan dan kemiskinan, khususnya meneliti apakah arah aliran agihan pendapatan dan insiden kemiskinan di negara ini. Keempat, meneliti faktor-faktor yang telah menentukan arah aliran agihan pendapatan dan insiden kemiskinan di Malaysia. Perbicaraan mengenai empat persoalan ini membawa kita kepada rumusan bahawa pertumbuhan boleh melebar atau sebaliknya mengecilkan jurang ketaksetaraan agihan pendapatan. Kedua-dua proses ini boleh berlaku, bergantung kepada faktor-faktor struktur dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sesebuah Negara pada satu-satu masa. Campur tangan kerajaan merupakan kunci untuk mengurangkan ketaksetaraan dan memastikan keadilan sosial. Demi menegaskan pentingnya peranan kerajaan bagi mengawal dan mengecilkan jurang ketaksetaraan agihan pendapatan di Malaysia, maka beberapa cadangan dasar dimajukan untuk menangani cabaran-cabaran itu dengan mengambil kira perkembangan senario sejagat.

SELAMAT MEMBACA

Selasa, 21 Julai 2009

Diploma Muzik UKM


Petikan Akhbar Utusan Malaysia (16 Julai 2009) ...sempena Majlis Pelancaran Buku Dato' Johari Salleh: Tegar Meladeni Industri Muzik pada 14 Julai 2009

Diploma Muzik UKM
Oleh FADZILAH BAHARUDIN

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan memperkenalkan program Diploma Seni Muzik bagi membantu penggemar muzik yang tidak berkelayakan melanjutkan pelajaran.

Naib Canselornya, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin memberitahu, program tersebut akan diperkenalkan pada awal tahun depan.

''Kita tahu ramai yang meminati muzik tetapi ada yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran kerana syarat dikenakan oleh sesebuah institusi pengajian tinggi adalah pemohon perlu ada sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

''Untuk program kita, meskipun pemohon tidak mempunyai SPM tetapi sekiranya mempunyai pengalaman dalam bidang muzik, mereka boleh memohon.

''Program ini dilaksanakan bagi membantu mereka yang meminati muzik melanjutkan pelajaran,'' katanya ketika ditemui selepas pelancaran buku Memoir Johari Salleh: Tegar Meladani Industri Muzik di sini semalam.

Pelancarannya dilakukan oleh Pro Canselor UKM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Menurut Sharifah Hapsah, program itu juga merupakan saluran kepada peminat muzik untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang tersebut.

''Apabila kita menerima mereka untuk program diploma, pastinya hasrat mereka untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi seperti ijazah terbuka luas,'' jelasnya.

Sementara itu, dalam ucapan pelancaran, Ahmad Sarji berkata, penghasilan buku Memoir Johari Salleh itu amat bersesuaian untuk dijadikan sumber rujukan kepada golongan muda yang meminati muzik.

''Ideologi Johari diketengahkan dan dapat dikongsi dengan semua peminat muzik. Apabila membacanya barulah anak-anak muda boleh mengetahui susah dan senangnya mahu menjadi seorang pemuzik,'' katanya.

Dalam pada itu, penulis buku tersebut, Datuk Johari Salleh berkata, penghasilan buku berkenaan merupakan satu penghargaan buat dirinya.

''Sudah lama saya menyimpan impian untuk menghasilkan buku sebegini. Walaupun tidak pandai menulis secara formal tetapi saya mencuba.

''Ini semua saya lakukan kerana saya mahu mencurahkan segala ilmu yang ada untuk dikongsi bersama-sama peminat muzik yang lain terutamanya golongan muda,'' katanya.

Catatan: Saya sengaja meletakkan artikel ini di sini untuk membolehkan orang lain berkongsi rasa dalam mendalami bidang muzik...semoga ada faedahnya.

Isnin, 20 Julai 2009

Majlis Syarahan Perdana Profesor



Poster yang diedarkan di sekitar kampus UKM dan koleksi foto oleh Penerbit UKM.
Tidak terlewat untuk mencatat sesuatu di sini....
Pada 10 Julai 2009, bertempat di Bilik Senat, Aras 5, Bangunan Canselori, UKM telah berlangsung Majlis Syarahan Perdana Profesor. Saya hadir kerana ingin mendengar dari jarak dekat penyampaian syarahan profesor mantan bos saya YBhg. Prof. Dato' Dr. Abdul Razak Salleh.

Tajuk syarahannya Matematik dalam Budaya Melayu. Sungguh menarik, kreatif persembahan power pointnya dan agak mudah untuk saya memahaminya. Banyak perkara baru yang saya dapati daripada syarahan tersebut. Tahniah Dato' Razak...Kahadiran tetamu agak ramai.

Usainya Majlis Pelancaran Buku Dato' Johari Salleh



Koleksi Foto Penerbit UKM
Majlis berlangsung dengan penuh meriah. Kehadiran para tetamu amat memberangsangkan. Saya cukup teruja dengan kehadiran tetamu vvip, vip dan lain-lain tetamu. Hadir dalam suasana santai dan meriah meraikan Dato' Johari. Antara kelibat yang hadir... YB Tan Sri Senator Jins Shamsudin, YM Tengku Kamarul Baharin (Trengganu), Pendaftar, Bendahari, YBhg. Dato' Amran Kasimin, Dato' Andre Goh (orang kampung saya), Dato' Yusni Hamid, Nasir Wahab, Dato' Ng (orang kuat MPH) dan lain-lain lagi.

Ahli akademik yang tampak kelibatnya, YBhg. Dato' Razak, YBhg. Dato' Rahman Embong, YBhg. Prof. Safar, YBhg. Dato' Shaharudin, Dr. Nizam, Prof. Rahmah dan lain-lain.

Majlis tambah indah apabila hadirnya YBhg. Naib Canselor dan Tun Dato' Seri (Dr.) Ahmad Sarji yang menyempurnakan majlis pelancaran buku.

Keluarga Dato' Johari pun ramai yang terdiri daripada saudara mara, anak menantu dan cucu-cucunya.

Rakan-rakan seperjuangan di Pusat Penerbitan dan Percetakan, Pusat Kebudayaan, PPAK, Pusat Islam, Perpustakaan Tun Seri Lanang, Yamaha Music School, Kombo RTM, MPH serta rakan-rakan media yang banyak membantu dalam merealisasikan majlis ini hingga kekemuncak jaya. Kepada bos-bos semua terima kasih kerana membenarkan kakitangan mereka terlibat dalam majlis ini. Mungkin ada nama yang tidak diterakan di sini, mohon maaf, apa-apapun terima kasih daun keladi.

Isnin, 6 Julai 2009

Majlis Pelancaran buku Memoir Dato' Johari Salleh

Majlis pelancaran buku akan berlangsung di butiran seperti berikut:
Majlis Pelancaran Buku Memoir Johari Salleh: Tegar Meladeni Industri Muzik
Tarikh: 14 Julai 2009 (Selasa)
Tempat: Bilik Bankuasi UKM, Paras 2, Bangunan Canselori
Masa : 3.00-6.00 petang

Majlis akan disempurnakan oleh YABhg. Tun Dato' Seri (Dr.) Ahmad Sarji Abdul Hamid

Kepada para tetamu yang telah diundang tolong respons kepada kehadiran.

Terima kasih di atas perhatian anda sekalian.

Khamis, 25 Jun 2009

Farrah Fawcett Meninggal Dunia

Foto Ads By Google
Farrah Fawcett (62 tahun) iaitu seorang pelakon yang cukup terkenal menerusi drama bersiri Charlie's Angels telah pergi buat selama-lamanya.

Matanya cukup cantik...si mata biru.

Rambutnya juga mengurai bak ombak mengalun bisa mengetarkan kalbu sang jejaka....(ni ketika zaman kegemilangannya)...udah tua...tak tau macam mana...

Begitulah, si pelakon meninggalkan dunia glamor kerana dijemput Tuhan ke dunia yang kekal buat selama-lamanya.

Jua, mungkin Farrah sempat membisikkan kepada orang terdekatnya...selamat tinggal dunia lakonan...

Michael Jackson dalam Kenangan


Foto Ads By Google
Hot FM pagi tadi mengkhabarkan kepada pendengarnya yang Raja Pop Dunia Michael Jackson (50 tahun) telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini.

Maka, bersedihlah penyokong fanatiknya.

Saya kenal dia dari jauh...agak kurang meminatinya, tetapi suka kepada lagu-lagu dan persembahan pentasnya yang memukau.

Mungkin beliau sempat mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan...

Rabu, 24 Jun 2009

Teluk Cempedak, Pahang


Wah! Cantiknya pantai Teluk Cempedak.
Saujana mata memandang.
Pantainya memutih.
Ombak yang menghempas pantai - waw begitu mencemaskan, melambong2 kita dibuatnya.
Matahari terbit...ahhh indahnya.
Kesimpulannya....ah...seronoknya...

1303, Hyatt Regency Kuantan
20-23 Jun 2009

Rabu, 17 Jun 2009

Selamat Mendarat di KLIA...

Puteriku selamat mendarat di KLIA pada malam 16 Jun 2009...pulang untuk bercuti

Moscow...Dubai...Kuala Lumpur...landed...

Lucunya aku terlupa untuk membawa telefon bimbit kerana baterinya kehabisan dan dalam buru-buru mahu cepat ke KLIA sampai lupa menggapainya...aku pula lupa semua nombor telefon yang mahu dihubungi kerana semua nombor yang harus dihubungi tersimpan di dalam telefon tersebut.

Kesannya...terpaksalah menunggu di hadapan pintu keluar berjam-jam lamanya...

Seronoknya...dapat melihat pelbagai ragam manusia yang keluar dari pintu ketibaan...

Syahdunya...teruja melihat ramai yang pulang dari tanah suci Mekah membondong membawa pulang air zam-zam, wajah lelaki tenang berjubah putih (lelaki) dan hitam (wanita) bertali arus masuk ke ruang ketibaan...wah! seronoknya...

Gembiranya...puteriku muncul jua setelah lama tidak ketemu dan berjam-jam bonda menanti di muka pintu keluar gerbang ketibaan...

Sampai di rumah...hampir jam 2.00 pagi tidak tidur lagi...bergebang...dan...

Pulang ke rumah...ada 10 missed call...

Wah...ingat tu, telefon lupa bawa....Inilah kesan daripada kalau sudah keluar dari rumah jangan berpatah balik...pantang orang tua-tua...kan menyusahkan aku sebenarnya tu...

Isnin, 15 Jun 2009

Selamat Hari Lahir

Untuk anakanda tercinta
yang berada nun jauh
di negara Kremlin...
bonda yang berada
di negara "Sonata Musim Salju"
ingin mengucapkan Salam Hari Lahir.
Tika berjalan-jalan menelusuri
di negara yang bonda kira
mempunyai 28 jembatan ini,
sempat bonda belikan sesuatu untukmu...
sebagai hadiah hari lahir...
bonda tahu anakanda pasti menyukainya...
kamera digital made in Korea...PINK
nanti anakanda boleh rakamkan pelbagai foto
untuk disimpan sebagai kenangan
di sepanjang pembelajaranmu di sana.

Yah...untuk tarikh 9 Jun 2009...
buat anakanda Nurul Nadia...
SELAMAT HARI LAHIR...
DOA YANG SEMPAT DITITIPKAN...
SEMOGA PANJANG UMUR,
MURAH REZEKI
DAN
SUKSES DI DALAM BIDANG PELAJARANMU.

SALAM KASIH SAYANG
AYAHANDA DAN BONDA
734, SHERATON WALKERHILL HOTEL
SEOUL, KOREA

Tomok dan Gelaran Jutawan Muda

Foto Tomok ads By Google
Kali ini saya ingin sentuh tentang Tomok yang kini sudah menjadi jutawan baru...sejujurnya saya tidak mengikuti program One In a Million (OIAM) ini sepenuhnya kerana agak kurang minat. Kadangkala terlepas pula kerana stesen yang menyiarkannya bukan stesen kegemaran saya.
Wah!...Maka, apabila program ini berakhir, Shah Indrawan pun memenangi One In A Million (OIAM).

Saya teringat yang suatu ketika dahulu si Tomok dan rakan-rakan New Boyznya pernah main di pentas dekat Plaza Metro Kajang...entah berapa tahun yang lepas. Kala itu, beliau masih lagi macam budak sekolah...Ketika itu juga saya sempat menyaksikan mereka bermain muzik dan Tomok menyanyi dan kemudiannya mereka pulang dengan satu van. Budak Tomok ni agak peramah juga. Saya yang setua ini pun ditegurnya kerana saya kata eh...macam Tomok la. Menyedari yang saya memerhatikannya beliau tersenyum...Ketika itu anak dara saya bukan main lagi marahnya dengan saya...lantas kenangan itu berputar kembali pabila si Tomok yang kini sudah berjaya dan berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Saya pun suka-suka je tegur dia...bukannya apa.

Membaca kisahnya yang saban hari dipaparkan di dada akhbar setelah beliau memenangi pertandingan ini agak sedih juga... Yah! Di sebalik kemanisan, pasti ada kepahitan...apa yang penting semua itu dijadikan sempadan dan beringat-ingatlah dalam mengharungi dunia glamor yang penuh cabaran ini.

Kini, Tomok sudah bersedia sepenuhnya sebagai pemegang title juara OIAM. Beliau sudahpun menunjukkan kematangannya dalam bidang muzik. Peminat pula sudah matang dengan memilih Tomok sebagai juara mereka. Go...Go...GO...Tahniah Tomok.

Ahad, 14 Jun 2009

Sonata Musim Salju...




KLIA-KK-INCHEON ... INCHEON-KLIA

JUN 2009

Seminggu berada di Seoul, Korea,
banyak yang dapat dikutip...

Insya-Allah jika ada kelapangan,
saya akan menulis...
pengalaman berada di sana
yang begitu mengkagumkan diri saya...

PENGALAMAN YANG TIDAK DAPAT DIJUAL BELI
DENGAN WANG RINGGIT
APA YANG PENTING
SAYA BANYAK BELAJAR DARIPADA PENGALAMAN HIDUP

Warna hati terakhir Arena Wati



Warna hati terakhir Arena Wati
Tajuk: Warna Hati Era Remaja
Pengarang: Sasterawan Negara Arena Wati
Penerbit: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak
Tahun: 2008
Harga: RM46 (Kulit Lembut) RM70.50 (Kulit Keras)
ISBN: 978-983-3759-36-1
Halaman: 379
Pengulas: SAADAH JAFFAR


BUKU ini terbahagi kepada lima bahagian iaitu "Pada flora ada bunga, Pada unggas ada sayap, Pada angin ada pesan, Pada bulan ada rindu dan Pada kasih ada sayang".

Ia tentang kehidupan dan pengalaman pelaut yang diwakili oleh watak Sahak Muhamad Ali. Dia digambarkan sebagai jejaka yang menginjak usia 23 tahun.

Nama sebenarnya adalah Abdul Rahim Daeng Massare, berasal dari Makasar. Kapten Pobjoy memanggil lelaki Bugis ini sebagai Bacok @ Basok. Namun di dalam cerita ini, Sahak mengaku berasal dari Serkam Laut, Melaka.

Semuanya kerana mahu mengelak daripada menjadi buruan penjajahan Inggeris, perang revolusi kemerdekaan Indonesia dan lari daripada genggaman Belanda.

Besar kemungkinan karya ini diolah berdasarkan kepada pengalaman pengarangnya yang cukup kaya dengan dunia kelautan. Penceritaan yang dibuat lewat novel ini tidak banyak dilontarkan ideanya oleh pengarang lain.

Pelaut mesti menadah ilmu kelautan. Hidup di lautan penuh cabaran. Ombak dan gelombang besar, lautan bergelora, mesti diharungi. Bayangan suasana alam ketika di tengah-tengah samudera termasuk mengkaji cuaca, melabuhkan sauh, pergerakan bulan dan bintang dan segala ilmu ketika ingin berlabuh dan belayar ini dikuasai sepenuhnya oleh Arena Wati.

Ilmu kelautan yang diturunkan oleh ayahnya ini secara tidak langsung dapat ditelusuri di dalam novel ini. Beliau menurunkan cerita tersebut melalui watak Sahak.

Kadangkala pengarang juga menurunkan watak Sahak sebagai Arena Wati S.

Watak Sahak di dalam cerita ini berkelana di lautan bersama-sama anak-anak kapal seperti S.S. Kemuning, De Eirens, Baund dan Van Riemsdijk yang membawa kargo bahan-bahan makanan seperti beras.

Mereka selamat mendarat di pelabuhan-pelabuhan yang dinyatakan dengan jelas di dalam novel ini. Ini adalah identiti sebenar Arena Wati melalui karya-karyanya iaitu menulis atau berkarya berdasarkan fakta dan penyelidikan serta juga pengalaman.

Walaupun karya tersebut berbentuk kreatif namun dibaurkan dengan ilmu pengetahuan. Untuk itu glosari bagi istilah-istilah yang sukar, disediakan di setiap akhir bab.

Jalan cerita novel setebal 379 halaman ini banyak berunsur sejarah. Latar masa yang digunakan adalah antara 1930-an hingga 1950-an. Namun yang banyak dinyatakan adalah ketika Tanah Melayu berada di ambang Perang Darurat.

Pembaca seakan-akan dibawa melatari sama di dalam suasana zaman darurat dan berada di bawah pemerintahan penjajahan. Sekali-sekali di sana sini pengarang novel ini turut menyelitkan istilah Jerman dan Belanda bagi melengkapkan suasana ketika itu. Suasana itu begitu hidup dan pembaca boleh sama-sama merasai situasi ngeri yang pernah berlaku.

Hidup di tengah-tengah samudera kadang kala menggugah jiwa muda Sahak. Dalam kehidupannya, dengan umur yang masih muda, banyak jenis pengalaman yang sudah dilalui yang sentiasa dikurniai perlindungan, petunjuk, kenikmatan, riang duka dan ujian dari Allah.

Naluri kelelakian Putera Nusantara ini kadangkala tergugat jua akibat godaan Jenifer, wanita Jerman berusia 29 tahun yang juga isteri kepada Kapten Pobjoy.

Bagaimanapun Sahak tetap mengingatkan dirinya yang begitu memuja dan mencintai anak gadis Pontian yang gambarnya pernah tersiar di dalam Majalah Hiboran keluaran 16 April 1949. Gadis jelita yang dicintainya itu adalah seorang guru dan menjadi Leftenan Girl Guide.

Biasanya Sahak akan meluahkan rasa dengan menulis surat kepada kekasih hatinya itu di dalam tulisan Jawi. Keimanannya ingin dipelihara. Beliau tidak ingin menyakiti hati gadis tersebut dan tidak akan meruntuhkan iman dan akhlaknya.

Gadis itu dipujanya dengan sesungguh hati sambil fikirannya menerawang jauh - "Aku wajib terbang atas gelombang! Untuk bertelur dalam sarang musuh tanah air kami - Nusantara Tercinta."

Kewajipan mendaulatkan negara dan memulihkan maruah bangsa bukan soal patriotik atau tidak, tetapi tagihannya pasti menuntut darah dan nyawa demi untuk tanah air.

Selama belayar di lautan, Sahak yang telah meninggalkan Makasar mulai April 1942 hingga April 1950. Untuk tempoh itu beliau telah kehilangan ramai saudara terdekat termasuk neneknya Daeng Kundek dan saudara sebelah pihak emak dan ayahnya seperti Kamummuk, Riya, Sattar, Abdul Rahman, Tanrak, Nagaria, Munah, Abdul Fattah dan Cena.

Konflik jiwa Sahak yang bercelaru dirundung kesedihan diturunkan dengan jelas oleh pengarang kerana kehilangan tersebut.

Pengarang turut menyatakan setiap laluan kapal yang dilalui oleh Sahak. Destinasi setiap pelabuhan dinyatakan. Setiap pelabuhan yang disinggahi sebenarnya wujud dan ini membuktikan pengarang membuat penyelidikan yang begitu teliti tentang latar tempat.

Nama-nama tempat, jalan, bangunan dan pelabuhan ada dinyatakan oleh pengarang. Pembaca boleh mengikuti jalan cerita yang digarap dengan agak mudah kerana mereka mengetahui nama-nama tempat tersebut seperti Johor Bahru, Melaka, Benut, Singapura, Makasar, Pontian, Laut Andaman, Pelabuhan Swettenham, Rangoon, Pulau Kukup dan sebagainya.

Pengarang meninggalkan pesanan yang harus direnung sedalam-dalamnya menerusi hati di akhir suatu era. Inilah pusaka abadi yang kita miliki dari alam wajib kita pelihara untuk diwarisi zuriat kita turun-temurun.

Belailah kami! Demi cintamu kepada diri kamu serta kesayanganmu kepada keluargamu dan zuriatmu.

Karya ini menjadi karya tercetak terakhir yang diserahkan oleh Bapa Arena Wati ke tangan penulis pada 13 November lalu. Biarpun karya ini agak sarat dan berat, namun Allahyarham tetap meminta saya menghayatinya dengan sepenuh penghayatan.

Ketika itu arwah sedang menjalani rawatan di HUKM sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam 25 Januari lalu. Al-Fatihah.

Petikan Utusan Malaysia, halaman 11, 15 Jun 2009.

Rabu, 3 Jun 2009

Apabila Cuti Sekolah Bermula...

Ads By Google
Minggu ini seperti biasa jalan raya menuju ke kampus UKM agak lenggang kerana tiada kenderaan yang sibuk menghantar anak-anak ke sekolah. Dalam masa 10 minit sahaja sudah sampai ke UKM...Wah! Meriah gitu. Jalan raya ni seperti ana yang punya.

Hujung minggu dipenuhi dengan undangan perkahwinan di sana sini. Minggu lepas sahaja saya menerima 5 kad undangan daripada pelbagai tempat. Saya cuma memenuhi 3 kad jemputan terpilih. Kriteria utamanya adalah...dekat dengan rumah dan keduanya memenuhi jemputan orang yang terawal menghantar kad undangan itu.

Untuk pertama kalinya saya memenuhi undangan jemputan perkahwinan di Hotel Equatorial Bangi. Kalau jemputan perkahwinan di hotel-hotel lain di sekitar Kuala Lumpur tu dah biasa saya pergi. Wah! bunyi sombong pulak... Rasanya sudah hampir 30 tahun saya tinggal di Bangi ini, tetapi inilah kali pertama saya memenuhi undangan perkahwinan di situ. Sungguh meriah sekali...bayangkan dewan yang pernah meriah dengan majlis pelancaran buku Tan Sri Rashdan Baba yang sama-sama kami buat dahulu, dipenuhi dengan para jemputan majlis perkahwinan.

Firasat saya, mungkin tuan rumah ini banyak duit...kah kah kah...geli hati pula. Sudah dijemput tu kira bertuah le...Untungnya si anak dapat diraikan di majlis di hotel. Saya diminta menjawab sama ada untuk hadir atau tidak ke majlis tersebut terlebih dahulu. Ramai jiran-jiran saya di majlis ini. Di meja sana sini kelihatan jiran-jiran saya, melambai-lambai tangan. Macam re-union pula.

Oleh sebab saya sudah berada untuk 3 majlis perkahwinan untuk hari yang sama, maka saya pun membuat perbandingan di antara satu sama lain. Jawapannya hanya saya sendiri sahaja yang mengetahuinya...

Biarpun dalam keadaan bercuti, namun saya masih boleh nampak lagi anak-anak yang mungkin berada di tahun peperiksaan menuju ke sekolah kerana ada kelas tambahan diadakan oleh guru-guru yang gigih. Apa-apa pun selamat bercuti kepada semua guru-guru dan anak-anak yang masih bersekolah. Jangan lupa kepada pelajaran. Selamat bercuti dan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

Ahad, 31 Mei 2009

Menonton Orkestra Simfonik



Foto dari Google

Baru-baru ini guru muzikku telah mengundang aku untuk menonton persembahan orkestra simfonik. Pada peringkat permulaannya aku tidak mengetahui yang beliau turut bermain di dalam orkestra ini. Sangkaanku hanyalah sebagai undangan biasa bagi menambahkan lagi pengetahuanku di dalam bidang muzik.

Oleh sebab tidak biasa dengan laluan di UPM maka aku bergerak agak awal sedikit iaitu sebaik sahaja selesai solat Maghrib. Guruku meminta aku sampai di dewan persembahan sebelum jam 7.30 malam. Namun aku mengambil keputusan untuk solat dahulu sebelum ke sana.

Memang banyak arah papan tanda menuju ke tempat orkestra. Dalam kegelapan malam itu aku mencari dewan persembahan. Majlis diadakan di dalam dewan kuliah utama, Fakulti Perubatan UPM...di sana telah menanti sekumpulan para pemuzik yang pelbagai. Memang masa tiba, majlis telahpun bermula...aku tak kisahlah. Ini pertama kali menonton orkestra begitu.

Tengok punya tengok rupa-rupanya macam guruku yang sedang bermain cello. Besar tu alat muziknya. Aku kagum dengan persembahan konduktur muzik tersebut. Kebetulan pula aku duduk bersebelahan dengan keluarga orang yang menjadi konduktur muzik itu...ala-ala gaya Dato' Johari Salleh masa jadi konduktur muzik di RTM. Permainan muzik kian rancak...

Masa rehat aku gunakan untuk menghantar sms kepada guruku...ringkas sahaja bunyinya...Yeh yeh...thank u for coming....masa itu semua pemuzik berehat dan berada di belakang pentas....sememangnya aku teruja melihat persembahan pada malam tersebut.
Sebelum ini aku teringin untuk menonton persembahan orkestra di mana-mana tetapi tiada kesempatan walaupun telah ada beberapa undangan. Tetapi undangan ini aku penuhi kerana masa yang ada begitu bersesuaian sangat.

Usai persembahan, semua keluarga ke pentas persembahan....ada yang memberikan jambangan bunga, dan ada yang memberikan pelbagai hadiah. Aku tiada apa-apa hendak diberikan kerana sememangnya aku tidak tahu guruku membuat persembahan hebat begitu. Dulu ada juga guru muzik (Miss Julia) kini menjadi guru muzik di sekolah swasta - yang berkelulusan UPM mengundang aku menyaksikan persembahan piano solonya di UPM. Disebabkan beliau berada di tahun akhir dan itu adalah persembahannya untuk projeknya maka aku siap-siap telah membelikan sejambak bunga untuknya. Aku tidak malu naik ke pentas untuk menghadiahkan jambangan bunga tersebut sebagai menghargai persembahan piano solonya yang begitu hebat.

Tetapi, untuk persembahan orkestra pada malam tersebut aku tidak membawa apa-apa...hanya bawa hati yang gembira... Namun dengan rasa tidak malunya juga, aku ke pentas menemui guruku dan memeluknya dengan penuh kasih sayang. Aku mengucapkan tahniah dan sempat merakamkan kenangan bersama. Tahniah Miss Tiffany...dikaulah guruku yang memahami kepayahanku, namun sering kali memuji ketangkasan jari jemariku di mata piano. Senyum lagi bila aku buat silap dan tak praktis dengan baik. Entahkan jujur entahkan tidak...namun aku senang bergurukan beliau...biar beliau seusia anak bujangku....

Aku dan Perpustakaan


Foto Ads By Google
Aku dan perpustakaan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Aku boleh saja ke perpustakaan tidak kira waktu...petang, senja mahu pun malam. Biasanya pada sebelah siang aku memanfaatkan sepenuhnya kerjayaku di pejabat. Tiada siapa yang tahu mengapa aku suka ke perpustakaan kecuali diriku sendiri.

Aku suka meminjam buku, membaca majalah terkini dan mendapatkan maklumat buku-buku terbaru. Mungkin ada orang hairan, mengapa aku yang sudah setua ini suka ke perpustakaan. Sendiri tanya sendiri jawaplah. Apa yang penting...ini adalah hobi aku yang tiada siapa boleh mempertikaikannya.

Perpustakaan mana tujuanku...aku suka ke perpustakaan Tun Seri Lanang dan perpustakaan ATMA. Kadang kala aku terpaksa membayar denda kerana lewat memulangkan buku-buku yang dipinjam. Hairannya mengapa tidak ramai orang yang sudah bekerja suka menuju ke perpustakaan untuk meminjam buku. Di situ kan lubuk ilmu, mengapa tidak dilombong emasnya... Ya aku berasa hairan bin ajaib. Siapa yang suka boleh tiru gayaku...

Selamat mencintai dunia perpustakaan...

Rojak Ghani Klang

Usai kelas piano di Yamaha Kajang, aku dan suami menuju ke Klang. Sabtu yang santai, biasanya kami membeli belah dan merehat-rehatkan minda. Klang...kian sibuk. Trafik jem di mana-mana. Lama sungguh tak makan rojak di sana. Apa lagi, lepas parking kereta, kami menuju ke gerai mencari mamak yang jual rojak.

Sejak berumah tangga kira-kira 24 tahun yang lalu dengan orang Klang, aku telah diperkenalkan dengan gerai ini oleh aruah mertuaku. Kami biasanya makan dengan bersungguh-sungguh dan selepas itu akan bungkus rojak tersebut untuk dibawa pulang. Keenakanya tiada bandingan...

Nostalgia itu kembali berulang...kini telah turun ke generasi ketiga keluarga kami. Suamiku pula telah membawa anak-anak kami makan di gerai yang sama. Namun petang Sabtu lalu hanya kami berdua sahaja yang makan rojak di situ. Usai makan, aku suruh mamak bungkus lagi 2 untuk dibawa pulang. Hahaha penangan rojak ini tidak berkesudahan nampaknya. Suatu masa nanti aku ingin menginterview mamak ini untuk ku letakkan rojaknya di blog ini.

Mengimbau Kenangan Silam...


Foto Ads By Google
Sudah lama menginggalkan kampung halaman tidak bererti luput segala ingatan tentangnya. Bagi diriku yang sudah lama tidak menjejakkan kaki ke kampung halaman berasa teruja apabila anakku memilih untuk meneruskan pembelajaran di Kolej Matrikulasi Johor. Saya sendiri tidak pernah terfikir akan ada kolej semegah itu di kampung halaman saya sehinggalah anak saya menamatkan pengajian matrik dengan jayanya di sana kira-kira dua tahun lepas.

Bermula dari era itu saya kerap pulang ke kampung kerana menjenguknya. Saya berbangga menjadi anak kelahiran Tangkak. Bandar ini kian maju dan menerima anjakan paradigma yang begitu menonjol sekali. Banyak yang saya tidak percaya telah berlaku di sana termasuklah deretan kedai-kedai kain dan rupa bentuk binaan bangunannya yang berubah mengikut peredaran zaman.

Saya berbangga menerima pendidikan di sini. Biarpun saya tidak bersekolah di luar dari kepompong Tangkak namun saya tetap mengagungkan setiap pembelajaran yang saya kutip di setiap sekolah yang pernah denainya saya layari. Sewaktu bermesyuarat di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini, saya bertemu dengan adik salah seorang daripada guru yang pernah mengajar saya di SKPBT. Kami bercerita mengenainya. Saya teruja mendengar cerita guru saya daripada adiknya. Sudah berpuluh tahun saya meninggalkan Tangkak, namun saya tidak pernah lupa kepada jasa semua guru-guru saya yang memperkenalkan dunia keilmuan yang begitu penting dalam membina hidup saya sehingga menjadikan saya seorang insan sebegini rupa.

Untuk merakamkan rasa kasih saya ini saya titipkan nama-nama sekolah yang pernah menerima kehadiran saya...peringkat awal mengenal ABC saya didaftarkan di Sekolah Kebangsaan Perempuan Bandar Tangkak. Usai sekolah rendah saya berbasikal untuk menuju ke Sekolah Menengah Tun Mamat Tangkak dan di antara keduanya itu saya tetap meneruskan pembelajaran agama di Sekolah Agama Lelaki Bandar Tangkak hingga tamat darjah khas sekolah agama. Maka lengkaplah seluruh pembelajaran saya sepenuhnya di bandar Tangkak dan saya berani menyatakan saya adalah anak jati Tangkak sehingga UKM menerima kehadiran saya hingga kini.

Ahad, 24 Mei 2009

Apabila Di sana Sini Orang Memperkatakan Tentang Kota Buku...

Wah! Bab ini yang paling saya suka. Ada juga orang penting yang bercakap pasal kota buku. Jadi ke? Bila hendak didirikan kota itu? Di mana letaknya tempat tersebut? Adakah di Kuala Lumpur atau di luar kota? Saya suka juga apabila perkara ini digembar-gemburkan. Sekurang-kurangnya ada juga orang ingat nak baca buku...Hendak suruh orang membaca buku ni bukannya kerja senang. Semua orang yang sudah bekerja malas hendak membaca....opps terlepas cakap pulak. Jahatnya mulut...

Mungkin selepas didirikan kota buku ini kelak, maka akan berduyun-duyunlah orang pergi shopping membeli belah...

i

"Hendak beli apa tu?"
"...hai beli buku ke makcik?"
"...untuk siapa"
"...untuk saya le, habis kau ingat untuk siapa lagi".
"Tapi makcik kan dah tua, orang kata sudah hendak masuk kubur...masih mahu membaca lagi ke...!"
"Hoi, lazernya mulut kau".
"Kau tau tak sekarang ni aku tengah nak buat PhD. Umur aku dah dekat 80 tahun tau. Aku cabar kau yang budak mentah ni belajar macam aku le..."

ii

"Tok...kita nak ke mana ni"
"Apa lagi, ke kota buku le"
"Di mana tu".
"Kat depan sana tu".
"Fuyoooo! Banyaknya buku...Ramainya orang tok... Sesak...Sume tu nak beli buku ke".
"Yelah! Kau ingat, diaorang datang ni suka-suka mengabiskan beras je ke".


Maka inilah antara dialog rekaan semasa di kota buku nanti....
Kita nantikan dialog ini menjadi kenyataan.

Selamat Hari Lahir UKM



Sempena dengan hari lahir UKM, saya suka untuk mengabadikan apa jua yang terdapat di dalam buku ini di sini...SELAMAT HARI LAHIR UKM


Universiti Kebangsaan Malaysia: Sejarah Penubuhan. 2006. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 967-942-714-5 (kk). RM50.00. ISBN 967-942-729-3 (kl). RM20.00. 208 hlm. Mohd. Ali Kamaruddin
Lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada 18 Mei, 1970 adalah hasil perjuangan dan semangat nasionalisme golongan cendekiawan sejak tahun 1920-an lagi. A. Kadir Adabi mencetuskan idea penubuhan sebuah universiti yang berciri kebangsaan apabila beliau meminta agar sebuah universiti yang berciri kebangsaan ditubuhkan dengan tujuan untuk memajukan masyarakat Melayu di samping memartabatkan bahasa Melayu ke arah yang lebih tinggi. Namun begitu idea tersebut telah terencat malah perkembangan pendidikan Barat bertapak kuat di Tanah Melayu. Perkembangan sistem pendidikan kebangsaan telah menghidupkan kembali semangat terhadap penubuhan sebuah universiti yang akan menjadi institusi pendidikan lanjutan bagi pelajar lepasan sekolah aliran Melayu. Dalam zaman British, sistem persekolahan Melayu sekadar untuk menghapuskan buta huruf di peringkat minimum sahaja agar masyarakat Melayu terus hidup dalam kejahilan dan setakat menjadi kuli penjajah. Murid-murid dari sekolah Melayu bukan sahaja tidak mampu menimba pelajaran dan pendidikan di peringkat menengah dan menamatkan pengajiannya pada peringkat umur yang terlalu muda, malahan mereka juga terpaksa pulang semula ke kampung untuk meneruskan pekerjaan tradisi ibu bapanya sebagai petani dan nelayan tradisional. Namun begitu, atas usaha yang berterusan sekumpulan cerdik pandai terutamanya dalam Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu Semenanjung (KPGMS) telah merealisasikan penubuhan Universiti Kebangsaan. Tertubuhnya universiti ini bukan sahaja menandakan bermulanya sejarah baru dalam perkembangan sistem pendidikan negara, malah Universiti Kebangsaan telah berjaya mendaulatkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan tinggi di negara ini.

MOHD. ALI KAMARUDDIN, Ph. D., semasa hayatnya adalah pensyarah di Jabatan Sains Politik, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Terbitan beliau yang lain dengan Penerbit UKM ialah Kepimpinan Pemuda UMNO (1998) bersama Aminuddin Mohd. Yusof dan Penaungan dalam Kepimpinan Melayu Kelantan 1946-90 (2004).