Rabu, 25 Februari 2009

Memoir Dato' Johari Salleh kini di pasaran



Design Cover by Khalid Hashim,
Foto Cover by Prof. Dr. Kamarudin M. Said

Penerbit UKM telah menerbitkan sebuah memoir ahli muzik tersohor di Malaysia - saya letak subjudulnya sebagai Tegar Meladeni Industri Muzik. Saya cukup terharu dengan kepelbagaian kisah yang terdapat di dalam memoir tersebut. Ada nada jujur di situ. Secara peribadinya saya tabik kepada Dato' Johari - mengenalinya seakan-akan dapat saya rasakan beliau seorang yang cukup baik hati, tidak terlalu cerewet dan memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk menangani buah fikirannya yang dilontarkan terus ke memoir tulisannya. Saya cukup hormati tulisannya.

Dato' Jo, baik hati, tidak kisah potretnya dirakamkan di Yamaha Music Kajang. Namanya cukup besar di arena muzik. Yamaha Music School pun sudi menerima kehadirannya. Suruh saya pilih lagi - di Yamaha Music Alamanda lagi baik kata Pengurusnya. Saya pilih Kajang kerana banyak kenangan di situ. Pada peringkat awalnya kami mahu menggunakan lokasi dengan piano di DECTAR, UKM. Penerbit inginkan latar belakang piano - biar nampak Dato' elegant dan mewah dengan alat muzik yang dipilih. Kala itu peperiksaan akhir sedang berlangsung di DECTAR, UKM, jadi saya mengalih pandangan dengan mencadangkan agar lokasi pengambaran diadakan di sekolah muzik saya. Bos saya yang cukup terkenal dengan hobinya mengambil potret/foto di sana sini (pelbagai lokasi) yang mencipta mood Dato' Jo sebegitu. Hasilnya lihatlah di kulit buku Memoir Johari Salleh: Tegar Meladeni Industri Muzik.

Kini, memoir tersebut berada di pasaran...saya harap ada yang sudi membacanya, ada nada sedih berbaur gembira di dalamnya. Biar bergelumang dengan kepelbagaian dendangan lagu namun terselit rasa kekeluargaan di hatinya yang cukup mantap. Tahniah Dato' Johari...akhirnya lontaran mindanya menemui khalayak di pasaran pada 20Februari 2009. Harap-harap mendapat sambutan. Seperti biasa, Penerbit menerbitkannya dalam gaya mewah dan santai.

UNTUK PEMINAT DATO' JOHARI...SAYA PERTURUNKAN BLURB BUKU BERKENAAN UNTUK DIJADIKAN PANDUAN SEWAKTU MEMBELI BUKU INI DI PASARAN...SILA CARI BUKU INI DI MPH ATAU DI KEDAI BUKU PENERBIT UKM

Johari Salleh, adalah satu nama besar dalam arena industri muzik. Kerjayanya bermula sebagai pemuzik sessionist untuk beberapa sesi rakaman semenjak zaman remaja lagi. Bermula 1961, usianya dihabiskan untuk berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Penglibatannya dilihat sebagai pengubah lagu terserlah, di samping mengetuai pelbagai persembahan Orkestra RTM dan menjalankan tugas sebagai Ketua Hiburan dan Muzik di RTM. Perkhidmatannya yang berpusar di RTM amat bermakna dan meluas kerana di situlah tempat beliau menimba ilmu pengetahuan dalam bidang muzik dan pentadbiran. Selaku prosedur, beliau banyak mengubah pelbagai genre dan melodi termasuk pop, korporat dan muzik iklan. Pengalaman ini menjadi perangsang begi bekas Pengarah Muzik RTM ini untuk terus berkarya demi meningkatkan koleksi muzik simfonik Melayu untuk dijadikan warisan kepada generasi masa depan. Kerjayanya semakin menyerlah kerana berjaya menerbitkan banyak album. Beliau kemudiannya menyambung perkhidmatan sebagai Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur (1988-2000) dan Perunding Muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (2001-2004) yang memberi beliau peluang bernaung di bawah tiga Datuk Bandar Kuala Lumpur. Biarpun sudah lama meninggalkan RTM, namun di situlah namanyan terus terpahat dalam industri muzik. Revolusi seni muzik tanah air banyak menerima sentuhan dan gubahannya. Johari diberi penghormatan mencipta lagi Bersatu, Bersetia, Berkhidmat dan lagu ini diterima sebagai lagu rasmi UMNO. Johari juga diberi mandat sebagai Pengarah Muzik dan Eksekutif Prosuder bagi mengendalikan persembahan besar produksi muzik PATA Conference di Kuala Lumpur dan produksi pentas Malaysiaku ayng bercorak ala Broadway Musical di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Kemuncak kejayaan beliau dalam bidang muzik diiktiraf pada peringkat dalam dan luar nagara sebagai perunding, pensyarah dan hakim pertandingan pelbagai pertandingan lagu. Segala curahan ilmu dan pengalaman luas yang ada pada diri beliau menjadikkannya tegar dalam meladeni perkembangan muzik tanah air.

DATO’ JOHARI SALLEH adalah Felo Tamu di Pusat Kebudayaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau adalah mantan Pengarah Muzik RTM (1961-82), Pengarah Urusan Syarikat Josal Music Sdn. Bhd. (1983-86), Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur (1987-2000) dan Perunding Muzik DBKL (2001-2004).


Untuk semua: Selamat Membaca

Sebuah Catatan Untuk Februari


Foto Add By Google
Orang kata, Februari adalah bulan untuk meraikan cinta...banyak buktinya. Ada yang menyambut hari kekasih 14 Februari...saat ini ketika aku ke Kajang, ramai pemuda yang menghulurkan mawar merah kepada pemandu kereta - bukan percuma, tetapi untuk dijual. Ada juga yang membelinya. Kesesakan jalanraya ketika itu memberi peluang keemasan kepada mereka untuk melariskan jualan ros merahnya. Ini adalah kali pertama aku melihatnya setelah bertahun-tahun menapak di Kajang...fenomena baru tu. Mungkin aku ketinggalan zaman. Rasanya tidak, kerana aku dewasa bersama naiknya Bandar Baru Bangi dan Kajang. Setiap denai dan tapaknya menjadi singgahanku. Yah! Sudah menjadi seperti pesta konvokesyen lagaknya.

Saat Februari menjelang juga aku menanti-nantikannya kerana Februari juga melakar sejarah tetakala 24 tahun lampau kami diijabkabulkan di anjung rumahku di Tangkak. Ketika itu masih segar dalam ingatan - 8 Februari 1985. Majlis menyambut menantu diadakan di Kelang pada 9 Februari. Keesokan harinya. Ini bermakna tahun hadapan aku akan menyambut angka yang agak istimewa 25 tahun...Dahulu upacara akad nikah diadakan di rumah saja - tetapi kini semuanya sudah beralih ke masjid mahupun di surau. Adik-adikku jua menjalani ritual yang sama di rumah kami. Kini rumah tiang seri tegak sendirian - tinggalan abah yang menyimpan seribu kenangan dalam memori semalam.

Memori sedih 25 Februari jua segar dalam ingatan pabila aku dan seluruh keluarga kehilangan abah tersayang - menyahut panggilan Ilahi. Cinta kami pada abah bukan kepalang. Kini telah lapan tahun berlalu - namun masih terasa-rasa kehilangan tonggak keluarga kami yang suatu ketika dahulu menyumbang tenaga yang bukan sedikit dalam membesarkan kami adik beradik dalam sebuah keluarga yang agak ramai. Begitulah sedikit catatan untuk dikenang...

Selasa, 24 Februari 2009

al-Fatihah

Foto Add By Google
Hari ini 25 Februari 2009 - genap ulang tahun ke-8, kembalinya ke rahmatullah ayahanda saya menyahut panggilan Ilahi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Gontang Tangkak. Abah abadi di situ...Abah kembali ke rahmatullah pada 25 Februari 2000 - saya sengaja mengabadikan tarikh tersebut di dalam tesis yang saya buat ketika itu. Ketika abah menyahut panggilan Ilahi saya sedang dalam proses terakhir menyiapkan tulisan tesis saya di bawah penyeliaan Prof. Madya Dr. Amran Kasimin. Ketika itu beliau adalah Prof. Madya di Jabatan Pengajian Melayu, FSSK, UKM. Biar menitik air mata ketika itu, saya harus kuat dan tabah dan kembali ke kampung halaman untuk turut membantu menyempurnakan jenazah abah. Saya telah kehilangan abah yang banyak menyuntik semangat untuk saya belajar di usia yang telah matang. Abah selalu kata, saya boleh...kerana sewaktu sakitnya abah sering berada di rumah saya. Saya dan adik beradik yang lain selalu menghantar abah ke Hospital Universiti di KL.
Kini, tarikh ini berulang untuk kesekian kalinya. Biasanya saya akan mengabadikan tarikh ini dengan mencetak surah yasin. Ada juga adik-adik saya yang membeli telekong dan sejadah dan diletakkan di masjid, mengadakan majlis tahlil dan sebagainya. Tahun ini pula saya meletakkan selipar Jepun di bilik-bilik air di masjid yang terpilih. Tahun ini juga, abang saya dan keluarga kami mengambil keputusan untuk mengadakan satu majlis tahlil di sebuah masjid di kampung halaman saya di Tangkak. Semoga roh abah dicucuri rahmat dan berada dalam kalangan mereka yang solihin. al-Fatihah.

Isnin, 23 Februari 2009

Aku dan Imigresen

Foto Add by google
Hari ini aku ke pejabat imigresen Kajang kerana paspot antarabangsa hampir tamat. Aku ingin keluar negara. Visa tidak boleh dikeluarkan kerana tarikh tamat paspotku tidak sampai 6 bulan. Aku tak perasan yang tarikhnya hampir luput dek terlalu sibuk dengan tugasan yang aku tidak tahu sampai bila akan habisnya. Mungkin setelah aku tidak bekerja lagi di sini.
Pagi-pagi lagi aku telah ke Kajang kerana otakku telah fokus pejabatnya terletak di Metro Plaza Kajang. Sesampai saja di sana, kereta tidak boleh lalu kerana jalan rosak dan tempat parking yang selalu aku gunakan telah ditutup. Lalu aku berputar sekitar pekan Kajang mencari parking. Aku tidak biasa menggunakan mesin bayaran parking, jadi ada si pemuda yang baik hati telah membantu aku membayarkan yuran parking kereta sebanyak 50 sen kerana aku sangka mesti tak lama pasal aku telah datang awal pagi. Aku mencari-cari pintu Parkson yang masih ditutup. Berputar-putar sekitar shooping complex lalu terjumpa dan naik ke atas - di tingkat 4 bersebelahan kelas muzik Yamaha.
Aduh! Pejabatnya telah berpindah. Aku setiap minggu ke Kajang. Mengapa aku tidak tahu. Pada hal itu memang laluanku...nampak sangat aku tidak fokus. Aku bertanya kepada jaga di mana pejabat imigresen telah pindah kerana setahu aku, di situlah aku membuat paspot anak daraku untuk belajar keluar negara tahun lepas. Rupa-rupanya aku ketinggalan zaman.
Setelah mendapat maklumat aku terus ke Hentian Kajang. Naik tangga yang penuh dengan bau hancing - agaknya mereka ni tidak jumpa bilik air. Sesuka hati saja kencing di sana sini di atas tangga tu. Peleknya kenapa pihak pengurusan tidak mengarahkan tangga tersebut dibersihkan. Agak semput juga mendaki tangga yang setinggi empat tingkat tu.
Aku masih tidak berjumpa di mana pejabat imigresen. Aku bertanya kepada si tukang cuci di situ. Barulah aku terjumpa. Maka di situ orang sudah ramai. Aku mula menjadi seperti kera masuk pekan. Berputar-putar mata hitamku. Pakcik jaga tu memang baik hatilah. Dia boleh jadi penyambut tetamu. Mengarahkan kita pergi ke kaunter mengambil borang, mengambil nombor giliran dan menerangkan apa yang patut. Terima kasih Pakcik Jaga. Saya tabiklah. Itu bukan kerja dia tapi dia sanggup menolong tidak kira siapa.
Hampir jam 12.30 baru tugasan aku selesai. Seingat aku, aku telah berada di situ pada jam 9.00 pagi. Walaupun ramai aku terpaksa tunggu kerana aku perlu menyiapkan paspot tersebut bagi keperluan membuat visa. Setelah membayar sebanyak RM300.00 aku diminta datang jam 2.10 petang untuk mengambil nombor baru. Aku terlalu penat. Duduk dibangku sambil membaca manuskrip yang dibawa. Selesai sebanyak 52 muka surat. Aku memang penat, mengantuk, bosan dan lapar. Kakak yang di sebelahku sempat mengusik...ai rajinnya membaca. Itu memang tabiatku. Di dalam kapalterbang pun aku memang membaca. Sambil menunggu di dalam kereta pun aku membaca. Minta maaf aku tidak dapat melepaskan tabiat tersebut.
Akhirnya jam 2.45 semua selesai. Aku dapat paspot baru. Itulah perjalananku untuk hari ini. Bayangkanlah jika anda tidak mempunyai kenderaan sendiri, tidak tahu lokasi pekan Kajang dan tidak tahu membaca...fikir-fikirkanlah.

Khamis, 19 Februari 2009

Pasar Tani dan Wajik


Foto Add by google

Sudah lama saya tidak ke Pasar Tani. Di tempat saya pasar tani akan diadakan pada hari Khamis. Rasa cukup seronok sangat bila ke pasar tani. Bahan-bahan yang dijual kelihatan segar dan menaikkan mood kita untuk terus memasak. Memang banyak dan rambang mata kita dibuatnya. Kalau boleh semuanya mahu diborong. Hari ini saya dapat melihat wajik - makanan Melayu yang begitu sedap dan susah untuk dibuat. Seumur hidup saya, saya tidak pernah 'mengacau' wajik ini. Saya teringat kisah wajik ini bila mengendalikan penerbitan buku Busana Melayu. Saya dan pengarang boleh bercerita panjang lebar tentang kuih-kuih Melayu ini. Rindu pula rasanya suasana tersebut.


Ketika hari raya pula wajik hanya boleh didapati di rumah mak-mak saudara saya yang sudah seusia bonda saya. Biasanya saya dapat bahagian sedikit bila menziarahi mereka pada hari raya. Dodol pun dapat sedikit...seronoknya bila dapat buah tangan dari orang-orang tua yang kita sayangi. Kuih-kuih Melayu ini manis dan saya melangkah pergi meninggalkan kenangan manis apabila meninggalkan rumah mereka...Kini di pasar tani pun ada wajik.

Ahad, 15 Februari 2009

Bual Bicara Santai Malam Minggu A. Kadir Jasin

Foto Add By Google
Apabila promo di Astro keluar akan ada bual bicara bersama tokoh wartawan Kadir Jasin - saya menanti-nantikannya. Saya biasa dengar nama ini. Cuma tidak mengikuti penulisannya. Apa yang saya tau beliau adalah orang besar dalam bidang kewartawanan. Bagi saya, slot tersebut amat bermakna sekali. Semua pertanyaan yang diajukan oleh penonton begitu intelektual soalannya. Saya masih teringat - ada seorang pelajar yang bertanya lebih kurang begini...tuan dikenali sebagai seorang ketua yang cukup berdisiplin, teliti, cerewet berkenaan dengan kerja...maka beliau menjawab iya, apa yang dipentingkan sekali adalah tentang ejaan. Ejaan mesti betul. Ni, memang saya setuju. Saya pun tengah belajar banyak tentang ejaan ni. Katanya lagi, nanti kalau keluar dalam surat khabar ejaan yang salah, beliau sebagai ketuanya akan menjawab. Semalam keluar di akhbar tentang kesalahan ejaan yang amat ketara sekali tentang ejaan pengarah muda dengan pengarah mudah - merujuk kepada Farid Kamil, mungkin penulisnya ingin menulis pengarah muda... itu satu contoh terbaik, pruf tidak dibaca dengan teliti. Perkara seperti inilah yang perlu ditekankan.
Beliau juga menyatakan tentang blog, pelbagai saman terhadap NST dan projek penulisannya di Kutub Utara, Gunung Himalaya dan Kutub Selatan. Maknanya beliau ingin sunyi dari segala-galanya untuk terus menulis. Apa kata jadi Felo Tamu di UKM. Boleh menulis terus dan terikat dengan apa yang hendak kita buat...terus menulis dan menulis. Isu-isu lain adalah berkenaan dengan penulisan - dan yang paling saya nanti-nantikan adalah tentang penulisan memoirnya. Saya harap Dato' sudi hantar di sini, Penerbit UKM. Saya nanti-nantikan kehadirannya. Saya teringin untuk menanganinya. Pasti sekali menarik ceritanya. Saya sedang menukangi kisah seorang wartawan wanita zaman lampau... penulisan era 1950-an-1990-an. Jadi, baguslah ada seorang lagi penulis lelaki menulis tentang isu kewartawanan - suka duka, pahit getir bermain dengan tinta.

Celo dan Piano

Foto Add By Google
Sabtu yang indah. Saya tidak pernah mendengar bunyi celo. Bunyi macam 'baru keluar dari rimba gitu'. Tiba-tiba guru muzikku mengubah teknik belajar piano. Beliau bermain celo dan saya bermain piano.

Wah! Susahnya mahu mengejar tempo yang diberikan. Kiraannya haruslah tepat, baru boleh masuk ke nota muzik yang dimainkan. Namun saya rasa ini adalah pelajaran baru, dan saya cukup gembira.

PraPersaraan




Pada 10-11 Februari 2009, saya berpeluang mengikuti kursus prapersaraan yang diadakan di Bukit Unggul Country Club, Dengkil. Bengkel yang dikendalikan oleh Fitrah Res. ini banyak memberi makna kepada kehidupan saya di UKM. Sesungguhnya saya amat berterima kasih kepada UKM kerana membenarkan saya mengikuti kursus ini. Sekurang-kurangnya saya boleh bersedia untuk hari depan saya dan mencorakkannya dengan apa jua yang telah saya lalui selama ini. Terima kasih UKM.