Selasa, 31 Mac 2009

Berita Gembira Kisah Sedih


Seingat-ingat aku foto ini dirakamkan oleh Hj. Ismail Ibrahim dan buku tersebut aku yang menyusunnya. Ketika itu, aruah bapak melancarkan karya tersebut di teratak anaknya.


Hah! Untuk pertama kalinya tulisan aku tembus kat Dewan Sastera April 2009. Waktu bergulir. Akhirnya...terlakar di halaman 54-55. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut sila baca majalah tersebut.

Yah! Kisahnya tentang seakan-akan belasungkawa...walaupun tentang kisah sedih tetapi bagi aku kisah sedih ini menjadi penyejuk dalam perjalanan kerjaya seharian aku yang amat menggembirakan. Mungkin inilah yang dikatakan bergembira dengan kesedihan orang lain. al-Fatihah.

Rabu, 25 Mac 2009

Hak Cipta Kepengarangan

Saya dihubungi oleh seorang bekas wartawan yang usianya hampir mencecah ke angka 80 tahun pada 2009 ini. Bukunya hampir siap. Tiba-tiba beliau menyatakan kerisauannya tentang kebanyakan daripada tulisan tersebut pernah terbit di dalam majalah tersohor di Malaysia ini. Beliau hampir-hampir mahu menarik balik tulisan tersebut daripada diterbitkan oleh pejabat saya. Beliau takut anak cucunya akan disaman sedangkan usianya sudah hampir senja dan ada lagi kata-katanya yang amat tragis. Dalam erti kata lain tidak sesuai untuk saya tuliskan di sini. Saya menjadi gundah gulana kerana telah terlalu banyak masa terkorban kerana menangani karya ini. Agak susah dan boleh dikatakan rumit juga. Wah! Begini rupanya menangani kerenah orang lama dan saya mendapat pelajaran yang paling berharga daripada beliau.

Saya nyatakan kepadanya saya akan cuba mendapatkan hak cipta kepengarangan daripada majalah asal. Saya hanya menyatakan cadangan sahaja. Saya ke rumahnya dan beberapa kali menghubungi beliau di telefon dan menyakinkan saya akan buat kerja-kerja tersebut asalkan saya dapat menyelamatkan manuskripnya yang telah banyak mengorbankan masa saya...

Akhirnya saya berjaya mendapatkan hak untuk menyiarkan karya tersebut di dalam siri-siri terbitan pejabat saya. Saya menyatakan kepadanya yang saya berjaya...dan kita tunggu sahaja karya tersebut terbit.

Selasa, 24 Mac 2009

Daftar Haji...



Bertapa orang Malaysia semuanya sudah kaya raya dan berkemampuan untuk menunaikan fardu haji di Mekah. Pernahkah anda terfikir yang anda akan mendapat giliran yang begitu jauh... Saya sememangnya telah lama mencarum di dalam akaun Tabung Haji melalui potongan gaji setiap bulan. Namun, saya tidak pernah terfikir untuk mendaftarkan nama untuk ke Mekah. Saya fikir mungkin saya boleh berbuatnya apabila saya sudah memasang niat untuk bergelar hajah. Semua ahli keluarga saya telah mempunyai akaun masing-masing. Saya juga memotong gaji untuk dicarumkan ke akaun bonda saya.

Saya terfikir untuk ke Mekah kerana saya telah banyak merantau ke serata negara di dunia ini, sedangkan saya belum pernah ke Mekah biarpun untuk menunaikan umrah. Bertapa fikiran saya belum ke situ...maafkan saya duhai ibu bapaku. Saya ingin menjadi insan yang berguna tetapi saya belum didorongkan untuk ke Mekah. Setelah melihat jiran-jiran yang masih muda mahupun seusia saya ramai yang telah ke Mekah, biarpun terpaksa meninggalkan anak-anak yang masih kecil maka saya terfikir untuk berbuat sesuatu untuk kerja ibadah saya.

Saya harus meninggalkan rutin harian saya...membaca dan membaca...bekerja dan bekerja...lalu saya melapangkan masa pada hari ini untuk menambah lagi tabungan di Tabung Haji lantas mendaftar untuk ke Mekah. Tahukan bertapa kecewanya saya...saya harus menunggu ke tahun 2025 untuk menunaikan fardu haji. Rasanya terlalu lama, bayangkan umur saya dan suami ketika itu...itu saya belum lagi mendaftarkan untuk dia. Saya rasa esok saya akan terus mendaftarkan untuk dia pula. Saya tidak sanggup menunggu sehingga 2025. Biar apapun, saya harus berbuat sesuatu untuk mempercepatkan tempoh giliran tersebut....aduhai. Peringatan...Tolonglah jangan jadi seperti saya.

Terubuk Masin...




Foto Ads By Google

Pening rasanya memerhatikan cara penulisan pengarang buku Ekonomi Malaysia: Ke Arah Pembangunan Seimbang ini. Terutama pada bahagian bibiliografinya... Tebalnya mak datuk... Sudahlah malam tadi aku ditelefon dek pengarang senior...tentang manuskripnya yang sedang aku tangani...begitulah, beginilah. Rasanya pengarang tersebut telah meneliti manuskrip tersebut sebelum ini. Banyak pulak cakapnya... Biarpun dah malam, layan jugalah. Nasib baik belum dicetak lagi. Masih ada masa untuk diperbaiki.

Tiba-tiba pagi ini bos saya mengetuk pintu kamar kerjaku, sambil menghulurkan terubuk masin yang dibawanya dari Sarawak. Wah! Ingat juga bos tu pada saya biar di sana beliau sedang sibuk membentangkan kertas kerja. Terima kasih daun keladi atas ingatan...

Pandai ke saya memasak...

Sebenarnya saya ni tidaklah pandai sangat memasak. Cuma kedua-dua aruah ibu bapa mertua saya suka dengan masakan saya. Aruah bapa saya pun suka dengan masakan saya. Mungkin kerana saya rajin ke dapur. Zaman remaja banyak dihabiskan dengan belajar dan belajar. Saya ke kelas tusyen, siang dan malam. Untuk menjadi insan yang berguna. Namun saya tidak juga pandai-pandai. Nak kata lembab sangat tidak juga. Tapi kedua-dua orang tua saya sememangnya mementingkan pelajaran. Kami adik beradik tidak pernah diminta ke dapur. Kalau ada pun cuma diminta membasuh pinggan. Aruah abah tidak makan masakan kita. Cuma bonda sahaja yang memasak dan kita cuma duduk dan makan. Kadang-kala bawa bekal ke sekolah. Ini cara lama yang suri rumah mesti menyediakan masakan untuk keluarga. Hingga kini saya tetap terkenang-kenang masakan bonda yang sungguh enak. Sayangnya bonda saya kini tidak lagi boleh membuat kerja-kerja suri rumah kerana sakit. Biarlah tugasan tersebut diambil oleh anak cucu yang berselirat di sekeliling bonda tersayang.

Apabila saya keluar dari kampung untuk menuju ke Bangi kerana bekerja, terus terang saya katakan, saya tidak dibekalkan dengan ilmu memasak, hatta memasak nasi sekali pun. Saya pandai memasak nasi kerana diajar oleh rakan-rakan serumah yang agak pakar dan saya dengan tidak pernah jemu-jemu belajar dari mereka sedikit demi sedikit bermula dengan memasak gulai keladi...saya tidak akan lupa memori indah dan kenangan bersama-sama rakan-rakan serumah yang cukup baik hati dan ramai di antara mereka yang telah bermenantu...Kami seakan-akan dipaksa untuk memasak mengikut giliran masing-masing. Dan kami akan makan apa jua yang dimasak oleh rakan-rakan...jika nak komplen masih boleh kerana kami semua dalam proses belajar. Ada rakan serumah yang jauh lebih muda usianya daripada saya cukup pakar memasak dan sehingga sekarang saya tetap ingat kesedapan masakannya. Kadang-kala kami mengata juga rakan-rakan yang tidak pandai memasak!

Jadi apabila telah berumah tangga terpaksalah saya memasak untuk keluarga. Jalan singkat yang diambil ialah dengan menghadiri kelas-kelas masakan dan mencuba resepi yang banyak terdapat di pasaran. ...sekadar berkongsi pengalaman...dan saya memang suka belajar memasak tetapi malas untuk mencuba resepi yang susah-susah. Hanya mencuba resepi yang ringkas dan cepat dan sedap dimakan. Kadang-kala lari dari resepi yang diberikan oleh Tok Guru.

Isnin, 23 Mac 2009

Bekalan Makanan







Foto Add By Google

Semenjak belajar masakan fozen ni, rasa terpanggil pula untuk membawa bekalan tersebut ke pejabat. Amat menjimatkan masa. Masa boleh digunakan untuk membaca dan mengedit manuskrip yang banyaknya hampir rebah menimpa diriku. Pagi-pagi keluarkan sahaja dari peti ais, dan terus menggorengnya dengan menggunakan api yang perlahan. Kemudian baru kuatkan apinya. Ini bagi menjaga kuih yang digoreng masak sepenuhnya di bahagian dalam. Nah! Sarapan dengan bekalan dari rumah amat menjimatkan belanja. Cuma mungkin orang kata kita kedekut pula nak makan di luar. Tetapi itulah hakikatnya yang masa itu adalah EMAS. Jangan persia-siakan masa. Sesekali untuk bersosial di luar / di Bandar Baru Bangi tu boleh juga, tetapi hadkan masa, jangan bersembang tak tentu pasal. Fokus kepada apa yang perlu sahaja.

Sewaktu di Europe, saya juga membiasakan anak-anak saya membawa bekalan makanan ke sekolahnya, biarpun pada masa itu mereka masih kecil lagi. Yah! Hampir empat tahun bukan masa yang pendik rasanya. Sementalahan pula saya dan keluarga tidak pernah pulang-pulang ke Tanah Air untuk tempoh tersebut. Saya memanfaatkan sepenuhnya masa tersebut dengan belajar masakan, menjahit, senamrobik, dan ke kelas bahasa Inggeris dan Dutch. Itu sahaja yang mampu saya lakukan dengan keadaan ekonomi keluarga ketika itu.

Bagi menjimatkan masa saya memasak di rumah. Apa lagi untuk menjamin makanan yang dimakan oleh family saya adalah halal. Setelah memasak, saya akan memasukkan ke dalam bekas khas yang begitu banyak di pasaran. Suami saya juga begitu. Kadang-kala bawa bekal epal dan roti. Ada bekas khas yang dipanggil sebagai lunch box. Cantik dan menarik juga boleh didapati di pasaraya. Biarpun hanya dengan membekalkan sebiji epal, air dan roti rasanya mereka akan kenyang. Apabila pulang dari sekolah mereka akan makan di rumah. Masyarakat Europe (khususnya Belgium) juga bergerak pantas dan mementingkan masa. Masa makan juga diambil kira. Mereka juga boleh makan epal dan roti sahaja untuk makan tengah hari. Kadang-kala boleh juga layan Belgium Waffer / kentang goreng yang boleh dibeli di kios tepi-tepi jalan. Ah! Rindu mula bertandang dengan situasi itu...

Jumaat, 20 Mac 2009

Kelas Masakan




Foto Add By Google

Wah! Tengah hari Jumaat ini, aku memanfaatkannya dengan menghadiri kelas masakan. Sudah lama aku tidak menghadiri kelas masakan. Aku suka hadir untuk mengetahui teknik dan cara masakan yang betul. Dapat resepi dan kuih dibawa pulang lagi sebagai bekalan.

Untuk hari ini sahaja aku sudah belajar karipap pusing, kuih samosa, sardin roll, roti roll dan kuih pau. Wah, enahnya...

Khamis, 19 Mac 2009

Sirih Junjung



Foto Ads By Google

Musim perkahwinan bertandang lagi. Sudah lama saya tidak sebuk-sebuk menyiapkan barang-barang hantaran untuk pertunangan mahupun perkahwinan. Saya tidaklah pandai sangat tetapi suka mencuba membuat kerja-kerja tangan yang remeh-temeh ini. Tetiba ada pulak yang berminat untuk menggunakan khidmat saya untuk membuat sirih junjung. Saya rasa hendak tergelak pun ada lucu pun ada, rasa diberi perhormatan pun ada. Yah! Memang kerjanya agak rumit, bermula dengan mencari daun sirih, pinang masak dan kemudian bahan-bahan yang lain seperti kapur dan gambir. Sirih junjung mesti menggunakan daun sirih segar yang agak banyak dan disulam pula dengan bunga segar.

Cara gaya menyediakannya haruslah kreatif. Saya memulakan kerja menyiang pinang (membungkusnya di dalam kain net),memasukkan kapur di dalam plastik (diikat pula dengan kain net, gambir diricih-ricih dan dibalut dengan kain net dan terakhir membersihkan daun sirih (mengelapnya dengan minyak masak supaya berkilat dan menyusun sirih sehelai demi sehelai). Saya memulakan kerja seawal jam 8.00 malam dan kerja-kerja menyusunnya siap jam 3.00 pagi. Kemudian pada pagi ini, mencari bunga segar untuk dibuat hiasan.

Sepan untuk gubahan bunga basah berwarna hijau perlu dibasahkan dan dibalut dengan kertas aluminium. Sepan harus dibalut kemas, diikat dengan dawai pada bakul yang cantik. Ini untuk mempastikan sirih dan bunga agar kelihatan segar.

Kehadiran sirih junjung di dalam majlis-majlis pertunangan dan perkahwinan amat penting. Sirih ini menjadi kepala majlis dan mesti diletakkan di hadapan sekali dan kemudian diiringi dengan barang-barang hantaran yang lain.

Ahad, 15 Mac 2009

Menjawab Soalan Tentang Sasterawan Negara...


Saya petik idea ini daripada blog Puan Nisah. Bagus betul idea beliau. Saya juga sering bertanya kepada audiens siapakah Sasterawan Negara kita...kebanyakan pelajar tidak arif dan tidak ingat. Ni lagi ada gambar, wajah-wajah tampan Sasterawan Negara kita. Ada yang masih terus berjuang dengan mata pena dan ada yang kembali menemui Ilahi dengan membawa kesemua khazanah ilmunya. Apa yang sempat disapa adalah ideanya yang tinggal di kertas yang bisa dijadikan rujukan dan bacaan. Siapakah dia...
1. Keris Mas
2. Shahanon Ahmad - pernah bersua di Bandar Baru Bangi (suka kepada novel Tok Guru dan Ranjau Sepanjang Jalan)
3. Usman Awang - suka kepada puisinya yang cukup romantis dan puitis, menusuk kalbu
4. A. Samad Said - pernah bersua di majlis anjuran DBP dan di Pesta Buku PWTC KL dan saya banyak membeli karyanya semasa di Pesta Buku bagi mendapatkan tanda tangannya.
5. Arena Wati - mengenalinya secara dekat khususnya tentang karya kelautannya yang cukup hebat dan terlibat secara langsung menangani karyanya yang terbit di Penerbit UKM - sempat menziarahinya beberapa kali tetakala sakit di HUKM dan sewaktu hari terakhirnya meninggalkan dunia yang fana ini.
6. Muhamad Haji Salleh - pernah bersua di UKM ketika beliau menjadi tenaga pengajar di sini dan kini mengajar di USM
7. Noordin Hassan - teater dan drama (tidak biasa dengan karyanya)
8 Abdullah Husin - karya IMAM nya cukup kuat
9. S. Othman Kelantan - sering bersua di UKM dan di Bandar Baru Bangi ketika hayatnya masih ada.
10.....tunggu dan lihat.
Saya kenal gambaran wajah Sasterawan Negara ini...biar ada yang tidak pernah bersua muka. Apa yang pasti, aura mereka cukup kuat di bidang penulisan di Tanah Air.

Jumaat, 13 Mac 2009

Orang Kulai Juara Lagi...Sepah

Foto Add By Kosmo

Saya cukup seronok mengikuti perkembangan Raja Lawak Musim ke-3. Rata-rata pesertanya saya masih ingat lagi walaupun mereka tidak hampir ke gerbang akhir...antaranya Talam, Am, Man Belon, L N J, Chot dan yang lain-lain saya tak ingat..memori sudah kurang. Mungkin saya tak ingat kerana saya tak minat mereka....

Akhirnya pada malam akhir muncul Sepah...yang suka sangat dengan lawak mereka ada unsur mayat, orang tua, kapur barus, mencarut dan kutuk mengutuk menjadi juara. Mak abah...orang Juara...orang tak dapat nak bagi mak abah segulung ijazah, tapi orang dapat bagi mak abah Juara Raja Lawak... Saya layan juga mereka ni. Lawak mereka ada mesej biarpun dalam mengutuk. Saya suka melihat keserasian mereka bertiga. Nak kata hansem sangat tu tak adalah... Ada yang cuba mengutuk, dan ada yang cuba membela. Saling perlu memerlukan. Gandingan mereka mantap dan saya suka dengan gaya mereka yang bersahaja, ...walaupun saya tak pernah dapat dapat melihat mereka memakai pakaian kemas, jaket...kot dan smart gileer...gitu. Amir pun pernah pakai smart.

Dengan gaya santai, bersahaja...mereka dapat membuktikan pakaian bukan segala-galanya. Mereka hormat orang tua, dan sanggup mengetepikan segala-galanya demi kawan. Buktinya ada satu slot, Sepah sanggup mengangkat Amir ke tengah pentas. Biarpun Amir seakan-akan memandang rendah kepada kerja Sepah. Di situ jelas nampak Amir tidak menghormati Sepah...menghulurkan duit syiling, seperti hina sangat Si Sepah. Jangan buat begitu, penonton tidak suka kepada cara begitu. Sensitiviti orang Melayu mesti dijaga. Kita telah dijulang, maka kita harus menghormati khadam yang menjulang kita!!! Ingat wahai Amir. Anda telah masuk ke gerbang seni, masih luas dan jauh lagi perjalanan anda. Banyak lagi yang perlu diperbetulkan. Jangan terkapai-kapai dibuai rasa.

Kumpulan anak muda ini boleh dikatakan bakal menjejaki kumpulan SENARIO mahupun Do Re Me suatu ketika nanti. Mana tau mereka boleh berlakon, suara mereka pun sedap, ala-ala Ramli Sharif dan Amy Search. Suara mereka boleh jual...saya orang muzik, saya dapat merasakan ada nada yang boleh diperkemaskan di situ. Harap-harap ada yang nampak. Siapa tahu mereka ada keserasian hingga hujung nyawa memandangkan mereka sekampung, sebandar dan senegeri. Umur pun lebih kurang sama sebaya. Kepala gila-gila mereka berhasil. Yang penting...meletooop beb. Alahai, cubalah buktikan keakraban kamu. Rasanya semua orang menanti kehadiran anda di khalayak...

Tanggung jawab besar menanti setelah Sepah menjulang Raja Lawak Musim Ketiga ini. Sepah harus bersaing dengan Nabil yang kini sudah mempunyai aura yang kuat dalam dunia lawak. Anak muda Sepah ini dianggotai oleh Mohd. Nadzri Zainal Abidin (Jep), 23, Mohd Noor Murad (Mamat), 24, dan Shahmira Muhamad (Shuib) 23, yang berasal dari Kulai, Johor, sememangnya tidak pernah menyangka penyertaan sekadar suka-suka telah membuah hasil lumayan dan meletakkan diri mereka pada tahap yang berbeza kini. Kini, rasanya mereka sudah menyusun langkah untuk mula bergerak bersama artis-artis lawak yang lain. Mereka bukan lagi budak kampung yang tidak mempunyai wawasan sebaliknya dengan kepercayaan dan restu yang diberikan oleh seluruh warga Malaysia mereka mempunyai misi yang harus dilunaskan. Teruskan perjuang anda. Bergerak terus bergerak.

Raja Lawak kali inii ditentukan keputusannya dengan 100 peratus undian kemenangan terletak di tangan pengundi. Namun mereka tetap menerima kritikan pedas daripada pihak juri tetap yang menilai mereka pada setiap malam-malam slot Raja Lawak berlangsung. Saya yakin Zaibo, Fauziah Nawi, Shamsul Ghau Ghau dan juri undangan Adlin Aman Ramlie sudah berjaya melunaskan tugasan dengan baik dalam mengkritik peserta Raja Lawak Musim Ketiga. Saya juga dapat melihat Mamat, Salleh Yaakob dan Johan serta Zizan menerusi slot-slot lawak musim ini.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul

Foto Add By Google

Dalam basahnya bumi, lebatnya hujan turun mencurah-curah bagaikan tiada noktahnya, bersulam pula dengan suasana yang cukup dingin di DECTAR majlis ini berlangsung dengan teratur dan lancar. Maka Pelan B pun bermula...Sudah lama saya tidak berpeluang mengikuti majlis ini secara resmi, tapi kali ini terpilih pula untuk menyertai mereka di bawah kelompok Canselori. Berbaju sedondon, sama cantik, sama kacak, duduk sama rendah berdiri sama tinggi...begitulah indahnya pemandangan warga UKM di DECTAR pada pagi tadi. Sama-sama menikmati nasi lemak, karipap, dan mee hoon di bawah khemah yang disediakan. Usai bersarapan sempat pula mengikuti atur cara majlis hingga ke akhirnya.

Cuma saya terkesima...Yah! Begitu menariknya bacaan ayat-ayat suci yang diperdengarkan oleh pelajar yang (ah.. terlupa namanya) tahun 1 daripada Fakulti Pendidikan, berwajah tenang, penuh keimanan dan sejuk ibu bapanya kerana mendapat anak yang dapat memperdengarkan bacaan al-Quran semerdu itu...mungkin seusia anak dara saya. Bait demi bait dialunkan dengan penuh syahdu, berlagu rindu, membuai rasa, menyentap sukma.

Majlis yang dimulai dengan nasyid, kumpulan selawat ini berakhir dengan majlis penyampaian hadiah untuk acara yang terdahulu diadakan...paling menarik adalah hadiah untuk esei mengenai penulisan khutbah Jumaat. Syabas Urus Setia.

Khamis, 12 Mac 2009

Barack Obama - "Obama and the American Dream"



Foto Add By Google

Barack Obama adalah Presiden Amerika Syarikat yang ke-44. Kehadiran beliau meneraju negara "uncle sam" itu bagaikan suatu mimpi ngeri, mimpi menjadi nyata...beliau mempunyai aura yang tersendiri. Gaya kacak beliau memikat pengundi. Beliau mempunyai kata-kata yang tersendiri untuk mendekati pengundinya di setiap lorong, jalan dan kawasan....di seluruh Amerika ditawannya dengan kelunakan syarahannya yang memikat.

Aura Obama diserlahkan lagi dengan 'Obama and the American Dream' di PP & P. Saya begitu terkesima mendengar patah-patah kata yang dilontarkan lewat wacana PP & P yang diadakan pada 12 Mac 2009. Apa lagi wacana tersebut disampaikan dengan gaya santai oleh Ms. Cody C. Taylor (Public Diplomacy Officer (Cultural Affairs) Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur dan Prof. Dr. Kamarudin M. Said (Ketua PP & P). Lebih manis lagi kedua-dua ahli antropologi/sosiologi ini diapit bicaranya oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Kamarulnizam Abdullah (Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi) selaku pengerusi wacananya.

Agak menarik juga wacana mengenai Obama ini biarpun hampir 99% dilontarkan di dalam bahasa Inggeris. Menariknya kerana ada audiens yang sudi untuk sama-sama menyemarakkan wacana dengan mengambil bahagian dalam sesi soal jawab.

Rabu, 11 Mac 2009

Cabaran Akademi Fantasia 7 bermula...

Transformasi Tiara Dalam AF7 bermula dengan tontonan diari para pelajarnya...katanya dalam akhbar Utusan Malaysia, "Saya tahu jalan menuju puncak ini penuh berliku tapi ia tidak mustahil untuk dicapai biarpun dalam masa tiga bulan pengajian di akademi ini (AF). Apa yang penting ialah semangat para pelajar. Kalau mereka tidak yakin dengan bakat dan diri mereka sendiri, kita pun susah untuk membimbing mereka". Nah! Kita saksikan adakah pengetua perempuan pertama ini mampu mentransformasikan para pelajarnya menjadi seperti aura MAWI. Kita tunggu dan lihat. Saya juga dapat mengesan beberapa suara yang matang, segar dan lunak ketika di dalam dairi...

Ahad, 8 Mac 2009

Salam Maulidur Rasul

Salam pagi yang sejahtera buat kalian semua...Untuk semua yang mengikut blog ini tidak lupa diucapkan salam Maulidur Rasul. Biar usia menjarakkan kita, maka kita sesama kita umat Islam wajar saling ingat mengingati dan mengucapkan "Selamat menyambut hari Maulidur Rasul". Ucapan ini juga ditujukan kepada seluruh umat Islam sedunia - 9 Mac 2009. Tahun ini 1430H/2009M. Hari ini juga cuti umum dan membolehkan kita umat Islam menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. disambut meriah di seluruh masjid dan surau.

Salam Untuk Wanita Dari Wanita

Foto Add By Google

Tanggal 8 Mac 2009 ... melakar sejarah bagimu sang perawan, si anak dara, gadis sunti, duhai nenek bongkok seribu, opah di desa, atuk di kejauhan, perawan tua lewat usia, mama tersayang, umi, mami, si ibu tua, bonda tercinta, si gadis ayu meliuk lintuk berkebaya sopan...Untuk seluruh kaum Hawa sedunia "Selamat Hari Wanita" - ucapan dari wanita untuk wanita. Yah! Aku ingin menjadi sepertimu...tangkas persis Puteri Kesateria Bangsa, Tun Fatimah, ...Seri Kandi Tiang Seri Negara. Gerak terus gerak, tempur terus tempur, jiwa lembutmu, halus mulus tanganmu bisa menggegar dunia dengan sekali hayunan buaian...Hidup Wanita Sedunia. Duhai Wanita! Jika ingin maju dan terus maju, jangan berkompromi dalam hidup, jadilah wanita yang keras hatinya...sekeras batu granit! Hah! Akulah jua, anak, wanita dan ibu...

Sabtu, 7 Mac 2009

Love Story...

Foto Add By Google
Hari ini layan lagu Love Story. Sudah agak lama guru pianoku mengajar lagu ini. Namun masih belum mantap lagi. Agak susah notanya. Namun aku rasa amat seronok dan terbuai dengan kemerduan melodi yang aku petik sendiri di mata -------------------------------piano...Jejariku yang kematu dan keras merayap-rayap di mata hitam dan putih... Guruku yang seusia anak bujangku tidak jemu-jemu mengajar teknik yang betul meletakkan jejari di mata piano. Aku berasa seronok yang teramat bergurukan beliau, Tiffany. Kadang-kala beliau membatalkan kelas kerana ada konsert di hotel. Ah! Aku tak kisah, janji dia mengajar aku dengan senyum aja, biar aku mudah lupa apa yang diajarkannya.

Hari ini juga ketemu jiranku yang menghantar anak-anaknya belajar di Yamaha Music School Kajang...mengambil kursus keyboard...lagu pop. Jiranku ingat, aku menghantar anakku yang belajar, tetapi aku katakan "Saya yang ambik kelas di sini"...terus dinyatakan kepada anak-anaknya...tengok tu, auntie rajin belajar...hahahaha....aku sudah biasa dengan ungkapan ini. Siapa yang suka dengan caraku silakanlah ikut, siapa yang tak suka, silakanlah angkat kaki. Yang penting aku suka dan happy melayan perasaanku. Yuran aku yang bayar, buku pun aku yang beli, perasaan pun aku yang tanggung....hahaha

Rabu, 4 Mac 2009

Kisah Guru Melayu...

Hari ini, (5 Mac 2009) Dr. Salleh Lamry dengan beraninya memaparkan kisah kegetiran hidupnya menerusi di alam keguruan lewat Memoir Mohamed Salleh Lamry: Guru Melayu Terakhir. Untuk naskhah editor (yang saya simpan), beliau merakamkan dengan ingatan ikhlas dan ucapan terima kasih. Yah! Ketika membaca memoir ini, saya menyimpan kenangan... ketawa pun ada, sedih pun ada, geli hati pun ada, semuanya tetakala melunasi tugasan menyiapkan penerbitan buku ini.

Selasa, 3 Mac 2009

Puntung Rokok...


Foto Add By Google


Pagi tadi dalam perjalanan ke tempat kerja, pemandu kereta di hadapanku membuang puntung rokok di luar tingkap keretanya...jenama Frontier. Tahukah kamu...merokok itu membahayakan kesihatan. Pagi-pagi dah sarapan dengan asaaaappppppp...Nasib baik aku lupa nombor pendaftarannya. Kalau tidak memang aku letakkan di sini. Biar semua orang tau yang awak tu merokok dan tidak ada disiplin. Kalau nak hisap rokok tu sendiri mahu tanggunglah apa akibatnya, tapi janganlah buang puntung rokok sesuka hati. Awak ingat jalan raya ni tong sampah ke....his! his! Geramnya.

Isnin, 2 Mac 2009

Puisi Melayu...


Malam tadi aku cuba untuk untuk melangsaikan pembacaan buku Sentuhan Rasa dan Fikir dalam Puisi Melayu Tradisional, hasil karya mantan pensyarahku Prof. Dr. Noriah Mohamed. Sewaktu aku berguru dengannya, beliau adalah Ketua Jabatan Pengajian Melayu yang cukup terkenal dengan pantun dan berpersonaliti agak bergaya juga orangnya. Selalu keluar koran dan ketika itu kerap pula menjadi pengacara majlis-majlis rasmi di kampus yang permai ini ...Tetiba saja aku teringin untuk membaca buku ini pada hal buku ini telah lama berada di pasaran...inprint 2006, hasil terbitan tempat kerjaku.
Hah! Rasa agak seronok juga. Banyak perkara yang tersirat di dalam buku ini. Buku yang ditujukan buat ibu yang merestui dan anak-anak pengarang yang selalu mengerti ini amat sesuai untuk dihadam oleh pencinta pantun Melayu. Cuba lihat saja kandungan bab pertamanya...dalam semak ada duri. Di situlah boleh kita kais dan cari-cari di mana luahan rasa hendak dilontarkan. Pantun ini jua jiwa rasa kita sebenarnya iaitu suatu jalur yang tidak mungkin terleraikan dengan tulisan yang berjela-jela. Menerusi 2 rangkap, 4 rangkap mahupun 6 rangkap saja, semuanya sudah sampai maksud tersebut kepada khalayak kerana pantun ini jua wadah rasa dan minda yang boleh terus disampaikan ketika apa juga situasi.

Ahad, 1 Mac 2009

Suatu Catatan... Marina Mandarin

Foto Add By Google
Bertapa indahnya melodi yang diperdengarkan oleh si pemain piano berusia separuh abad di hadapan meja penyambut tetamu hotel tempat kami menginap. Bagiku, begitu memukau sekali kehebatan bakatnya. Tanpa note muzik di hadapannya...begitu menghayati setiap lagu yang dimainkan. Entah berapa lama si pemuzik itu sudah bermain di situ. Kalau mengikut gaya dan liuk lintuk jari jemari dan bahasa tubuhnya, pasti dari kecil membesar di alam muzik. Gema suara dari piano besar itu mengingatkan aku kepada guru pianoku yang begitu cekap memetik jari jemari di mata white key black key...Aduh! bila aku akan menjadi seperti mereka...begitu kepingin tetapi kudrat sudah semakin berkurang. cita-cita je menguasai diri.