Rabu, 3 November 2010

Kehilangan Sebutir Mutiara Sejarawan...

Kira-kira jam 11.00 pagi aku bertolak dari UKM menuju ke Bandar Baru Bangi untuk makan-makan. Tetapi naluri dan jiwaku tiba-tiba bertukar. Kotak mindaku berputar mengarahkan diriku ke HUKM untuk melihat guruku, pengarangku yang dikhabarkan kepadaku sedang koma...PROF. Datuk Dr. NIK ANUAR Nik Mahmud di Bilik 2, Wad Warga HUKM. Aku tenang sahaja ketika melihat keadaan beliau. Hampir jam 2.00 aku meninggalkan beliau yang ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu keadaannya dan harapan keluarganya terhadap beliau. Datin begitu tenang dan setia disisi Datuk yang sedang berperang dengan keadaan...Oleh sebab aku pergi seorang diri, jadi aku tiada teman untuk berbual bicara dan berkongsi rasa mengenai kondisi beliau ketika itu.

Namun aku sempat menghantar beberapa SMS kepada beberapa orang tokoh yang patut mengetahui tentang kondisi beliau. Kemudian aku meneruskan derap perjalanan ke kedai makan kerana sejak pagi lagi perutku belum diisi...KFC depan HUKM menjadi destinasiku...

Oleh sebab ketika itu aku sedang leka dengan Chooti Babu di TV8 dan Maghrib, jadi aku tidak perasaan sms aku penuh dengan berita yang sedih lagi mendukacitakan. Guru dan pengarangku yang kini sedang menanti-nanti kelahiran biografi yang ditulisnya yang sedang aku tangani dengan seserius rasa telah pergi untuk selama-lamanya, kembali ke rahmatullah di Hospital Universiti Kebangsaan, Kuala Lumpur, pada jam
6.55 petang - 28 Oktober 2010 - Khamis. Hanya beberapa jam sahaja setelah aku tinggalkan katil hospital tempat beliau dirawat ketika itu. Jenazah beliau dibawa balik ke rumah beliau, di No.3, Jln 1/3D, Bandar Baru Bangi.

Pada pagi Jumaat, 29 Oktober, aku ke rumahnya, tetapi jenazahnya telah dibawa ke Masjid UKM untuk urusan seterusnya...dimandi, dikafan, disembahyangkan dan dibawa ke Tanah Perkuburan Sungai Tangkas (perkuburan lama). Dengan perasaan sayu aku melihat perjalanan terakhir pengarang yang suatu ketika dahulu pernah bersama-samaku dan rakan-rakan di Jabatan Sejarah UKM melawat Thailand (ketika itu aku pelajarnya...Pattani, Yala, Naratiwat dll di selatan Siam). Kenangan bersama allahyarham yang sungguh baik hati, peramah dan tegas dengan pandangannya amat aku hormati.

Ketika beliau datang menemui aku untuk menyerahkan manuskrip lewat thumdrive, keadaannya masih sihat. Aku sempat menyapa dan berbual rancak dengannya tentang beliau yang dikurniakan gelaran datuk oleh kerajaan Kelantan. "Wah! Susah tu nak dapat Datuk Kelantan...", kataku padanya suatu ketika dahulu....Namun rasanya beliau memang telah lama layak untuk mendapat gelaran tersebut kerana jasa baktinya dalam bidang penulisan sejarah terlalu banyak.

Al-Fatihah. Semoga keluarganya tabah dan roh aruah datuk tenang dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang solihin.