Selasa, 24 Februari 2009

al-Fatihah

Foto Add By Google
Hari ini 25 Februari 2009 - genap ulang tahun ke-8, kembalinya ke rahmatullah ayahanda saya menyahut panggilan Ilahi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Gontang Tangkak. Abah abadi di situ...Abah kembali ke rahmatullah pada 25 Februari 2000 - saya sengaja mengabadikan tarikh tersebut di dalam tesis yang saya buat ketika itu. Ketika abah menyahut panggilan Ilahi saya sedang dalam proses terakhir menyiapkan tulisan tesis saya di bawah penyeliaan Prof. Madya Dr. Amran Kasimin. Ketika itu beliau adalah Prof. Madya di Jabatan Pengajian Melayu, FSSK, UKM. Biar menitik air mata ketika itu, saya harus kuat dan tabah dan kembali ke kampung halaman untuk turut membantu menyempurnakan jenazah abah. Saya telah kehilangan abah yang banyak menyuntik semangat untuk saya belajar di usia yang telah matang. Abah selalu kata, saya boleh...kerana sewaktu sakitnya abah sering berada di rumah saya. Saya dan adik beradik yang lain selalu menghantar abah ke Hospital Universiti di KL.
Kini, tarikh ini berulang untuk kesekian kalinya. Biasanya saya akan mengabadikan tarikh ini dengan mencetak surah yasin. Ada juga adik-adik saya yang membeli telekong dan sejadah dan diletakkan di masjid, mengadakan majlis tahlil dan sebagainya. Tahun ini pula saya meletakkan selipar Jepun di bilik-bilik air di masjid yang terpilih. Tahun ini juga, abang saya dan keluarga kami mengambil keputusan untuk mengadakan satu majlis tahlil di sebuah masjid di kampung halaman saya di Tangkak. Semoga roh abah dicucuri rahmat dan berada dalam kalangan mereka yang solihin. al-Fatihah.

Isnin, 23 Februari 2009

Aku dan Imigresen

Foto Add by google
Hari ini aku ke pejabat imigresen Kajang kerana paspot antarabangsa hampir tamat. Aku ingin keluar negara. Visa tidak boleh dikeluarkan kerana tarikh tamat paspotku tidak sampai 6 bulan. Aku tak perasan yang tarikhnya hampir luput dek terlalu sibuk dengan tugasan yang aku tidak tahu sampai bila akan habisnya. Mungkin setelah aku tidak bekerja lagi di sini.
Pagi-pagi lagi aku telah ke Kajang kerana otakku telah fokus pejabatnya terletak di Metro Plaza Kajang. Sesampai saja di sana, kereta tidak boleh lalu kerana jalan rosak dan tempat parking yang selalu aku gunakan telah ditutup. Lalu aku berputar sekitar pekan Kajang mencari parking. Aku tidak biasa menggunakan mesin bayaran parking, jadi ada si pemuda yang baik hati telah membantu aku membayarkan yuran parking kereta sebanyak 50 sen kerana aku sangka mesti tak lama pasal aku telah datang awal pagi. Aku mencari-cari pintu Parkson yang masih ditutup. Berputar-putar sekitar shooping complex lalu terjumpa dan naik ke atas - di tingkat 4 bersebelahan kelas muzik Yamaha.
Aduh! Pejabatnya telah berpindah. Aku setiap minggu ke Kajang. Mengapa aku tidak tahu. Pada hal itu memang laluanku...nampak sangat aku tidak fokus. Aku bertanya kepada jaga di mana pejabat imigresen telah pindah kerana setahu aku, di situlah aku membuat paspot anak daraku untuk belajar keluar negara tahun lepas. Rupa-rupanya aku ketinggalan zaman.
Setelah mendapat maklumat aku terus ke Hentian Kajang. Naik tangga yang penuh dengan bau hancing - agaknya mereka ni tidak jumpa bilik air. Sesuka hati saja kencing di sana sini di atas tangga tu. Peleknya kenapa pihak pengurusan tidak mengarahkan tangga tersebut dibersihkan. Agak semput juga mendaki tangga yang setinggi empat tingkat tu.
Aku masih tidak berjumpa di mana pejabat imigresen. Aku bertanya kepada si tukang cuci di situ. Barulah aku terjumpa. Maka di situ orang sudah ramai. Aku mula menjadi seperti kera masuk pekan. Berputar-putar mata hitamku. Pakcik jaga tu memang baik hatilah. Dia boleh jadi penyambut tetamu. Mengarahkan kita pergi ke kaunter mengambil borang, mengambil nombor giliran dan menerangkan apa yang patut. Terima kasih Pakcik Jaga. Saya tabiklah. Itu bukan kerja dia tapi dia sanggup menolong tidak kira siapa.
Hampir jam 12.30 baru tugasan aku selesai. Seingat aku, aku telah berada di situ pada jam 9.00 pagi. Walaupun ramai aku terpaksa tunggu kerana aku perlu menyiapkan paspot tersebut bagi keperluan membuat visa. Setelah membayar sebanyak RM300.00 aku diminta datang jam 2.10 petang untuk mengambil nombor baru. Aku terlalu penat. Duduk dibangku sambil membaca manuskrip yang dibawa. Selesai sebanyak 52 muka surat. Aku memang penat, mengantuk, bosan dan lapar. Kakak yang di sebelahku sempat mengusik...ai rajinnya membaca. Itu memang tabiatku. Di dalam kapalterbang pun aku memang membaca. Sambil menunggu di dalam kereta pun aku membaca. Minta maaf aku tidak dapat melepaskan tabiat tersebut.
Akhirnya jam 2.45 semua selesai. Aku dapat paspot baru. Itulah perjalananku untuk hari ini. Bayangkanlah jika anda tidak mempunyai kenderaan sendiri, tidak tahu lokasi pekan Kajang dan tidak tahu membaca...fikir-fikirkanlah.

Khamis, 19 Februari 2009

Pasar Tani dan Wajik


Foto Add by google

Sudah lama saya tidak ke Pasar Tani. Di tempat saya pasar tani akan diadakan pada hari Khamis. Rasa cukup seronok sangat bila ke pasar tani. Bahan-bahan yang dijual kelihatan segar dan menaikkan mood kita untuk terus memasak. Memang banyak dan rambang mata kita dibuatnya. Kalau boleh semuanya mahu diborong. Hari ini saya dapat melihat wajik - makanan Melayu yang begitu sedap dan susah untuk dibuat. Seumur hidup saya, saya tidak pernah 'mengacau' wajik ini. Saya teringat kisah wajik ini bila mengendalikan penerbitan buku Busana Melayu. Saya dan pengarang boleh bercerita panjang lebar tentang kuih-kuih Melayu ini. Rindu pula rasanya suasana tersebut.


Ketika hari raya pula wajik hanya boleh didapati di rumah mak-mak saudara saya yang sudah seusia bonda saya. Biasanya saya dapat bahagian sedikit bila menziarahi mereka pada hari raya. Dodol pun dapat sedikit...seronoknya bila dapat buah tangan dari orang-orang tua yang kita sayangi. Kuih-kuih Melayu ini manis dan saya melangkah pergi meninggalkan kenangan manis apabila meninggalkan rumah mereka...Kini di pasar tani pun ada wajik.

Ahad, 15 Februari 2009

Bual Bicara Santai Malam Minggu A. Kadir Jasin

Foto Add By Google
Apabila promo di Astro keluar akan ada bual bicara bersama tokoh wartawan Kadir Jasin - saya menanti-nantikannya. Saya biasa dengar nama ini. Cuma tidak mengikuti penulisannya. Apa yang saya tau beliau adalah orang besar dalam bidang kewartawanan. Bagi saya, slot tersebut amat bermakna sekali. Semua pertanyaan yang diajukan oleh penonton begitu intelektual soalannya. Saya masih teringat - ada seorang pelajar yang bertanya lebih kurang begini...tuan dikenali sebagai seorang ketua yang cukup berdisiplin, teliti, cerewet berkenaan dengan kerja...maka beliau menjawab iya, apa yang dipentingkan sekali adalah tentang ejaan. Ejaan mesti betul. Ni, memang saya setuju. Saya pun tengah belajar banyak tentang ejaan ni. Katanya lagi, nanti kalau keluar dalam surat khabar ejaan yang salah, beliau sebagai ketuanya akan menjawab. Semalam keluar di akhbar tentang kesalahan ejaan yang amat ketara sekali tentang ejaan pengarah muda dengan pengarah mudah - merujuk kepada Farid Kamil, mungkin penulisnya ingin menulis pengarah muda... itu satu contoh terbaik, pruf tidak dibaca dengan teliti. Perkara seperti inilah yang perlu ditekankan.
Beliau juga menyatakan tentang blog, pelbagai saman terhadap NST dan projek penulisannya di Kutub Utara, Gunung Himalaya dan Kutub Selatan. Maknanya beliau ingin sunyi dari segala-galanya untuk terus menulis. Apa kata jadi Felo Tamu di UKM. Boleh menulis terus dan terikat dengan apa yang hendak kita buat...terus menulis dan menulis. Isu-isu lain adalah berkenaan dengan penulisan - dan yang paling saya nanti-nantikan adalah tentang penulisan memoirnya. Saya harap Dato' sudi hantar di sini, Penerbit UKM. Saya nanti-nantikan kehadirannya. Saya teringin untuk menanganinya. Pasti sekali menarik ceritanya. Saya sedang menukangi kisah seorang wartawan wanita zaman lampau... penulisan era 1950-an-1990-an. Jadi, baguslah ada seorang lagi penulis lelaki menulis tentang isu kewartawanan - suka duka, pahit getir bermain dengan tinta.

Celo dan Piano

Foto Add By Google
Sabtu yang indah. Saya tidak pernah mendengar bunyi celo. Bunyi macam 'baru keluar dari rimba gitu'. Tiba-tiba guru muzikku mengubah teknik belajar piano. Beliau bermain celo dan saya bermain piano.

Wah! Susahnya mahu mengejar tempo yang diberikan. Kiraannya haruslah tepat, baru boleh masuk ke nota muzik yang dimainkan. Namun saya rasa ini adalah pelajaran baru, dan saya cukup gembira.

PraPersaraan




Pada 10-11 Februari 2009, saya berpeluang mengikuti kursus prapersaraan yang diadakan di Bukit Unggul Country Club, Dengkil. Bengkel yang dikendalikan oleh Fitrah Res. ini banyak memberi makna kepada kehidupan saya di UKM. Sesungguhnya saya amat berterima kasih kepada UKM kerana membenarkan saya mengikuti kursus ini. Sekurang-kurangnya saya boleh bersedia untuk hari depan saya dan mencorakkannya dengan apa jua yang telah saya lalui selama ini. Terima kasih UKM.

Ahad, 25 Januari 2009

Pulangnya Bapak Arena Wati...

Dengan rasa cukup sedih dan tulus dirakamkan al-Fatihah untuk pulangnya Bapak Arena Wati ke rahmatullah pada jam 1.30 pagi (30 Julai 1925-25 Januari 2009). Saya kehilangan seorang penulis yang amat saya kagumi sepanjang karier dan penglibatan saya di Penerbit UKM. Saya benar-benar berbangga mengenalinya. Seorang sasterawan yang berjiwa kental, bersemangat waja dan sanggup menulis sehingga ke akhir hayatnya. Jika boleh, izinkan saya untuk meminjam semangat kentalnya ketika berada di industri penerbitan yang cukup mencabar ini.
Sebelum ini saya telah lama mengenali aliran pemikiran dan penulisan bapak lewat karya-karya besarnya sewaktu zaman persekolahan dan peringkat pengajian tinggi. Saya mengkaji sastera Melayu yang sekaligus mengkaji hasil penulisan beliau yang banyak bertemakan dunia kelautan. Kebetulannya, saya pula mengkhusus di dalam jurusan Persuratan Melayu di UKM. Arena Wati dengan karya berat dan dunia kelautan/samudera sememangnya tidak dapat dipisahkan langsung. Inilah identiti beliau. Perkara ini memang tidak boleh dipisahkan langsung. Elemen-elemen kelautan cukup sarat, membuak-buak dan kental di dalam karyanya. Novelnya berbaur serius dan pada saya hanya sesuai untuk dikaji oleh orang yang benar-benar berminat dengan sastera. Karya Bapak sememangnya benar-benar berat dan terlalu serius. Saya berkeyakinan banyak kajian dilakukan oleh Bapak sebelum menghasilkan setiap karyanya. Kerjanya cukup bersistematik. Beliau memancang-mancang kerjanya bagi menghasilkan sesuatu karya dan mengejar date-line. Beliau juga seorang penulis besar yang amat prolifik dan mencintai dunia penulisan sepenuhnya. Bukan calang-calang orang mahu menangani buah fikiran yang dilontarkan lewat karyanya.
Tidak pernah terlintas difikiran saya yang saya secara peribadinya akan menemui beliau secara bersemuka ketika saya mendapat kerja di sini. Segala-galanya bermula dengan tugasan penerbitan novel Cakra Waruga (2006).
Saya dan keluarga khususnya anak-anak saya menjadi agak rapat dengan ibu Halimah dan bapak hanya kerana berurusan mengenai buku tersebut. Kami juga akan dijemput untuk majlis-majlis yang dianjurkan oleh bapak dan keluarganya. Secara peribadi, saya dapati Bapak amat mementingkan hal-hal kekeluargaan dan hidup dengan penuh kasih sayang tanpa menyusahkan orang lain. Baginya, keluarga jangan sekali-sekali dikesampingkan. Mereka adalah kekuatan kita untuk berkarya.
Anak perawan saya juga turut berminat mengkaji pemikiran bapak dan sempat menulis folio mengenainya ketika di sekolah menengah. Saya nyatakan hal itu kepadanya. Beliau amat gembira sekali dan mahu menemui anak-anak saya untuk bertanya khabar. Saya bawa mereka menemui Bapak di rumahnya di Kepong.
Bagi saya, agak senang berurusan dengan bapak yang begitu memahami dunia penerbitan. Walau saya kadang kala menghadapi masalah dengan penerbitannya tetapi Bapak seakan-akan memahaminya. Saya berterus terang dengannya. Oleh itu, saya tiada masalah ketika menguruskan apa jua yang dikehendakinya. Bapak kerap kali mendekatkan diri dengan majlis-majlis besar anjuran DBP dan UKM. Jika di dalam menguruskan hal bukunya di UKM, biar tidak berapa sihat, Bapak masih mahu datang ke UKM dengan menaiki komuter. Saya menjemputnya di stesen dan setelah selesai tugasan saya menghantarnya pulang ke stesen. Selalunya Bapak mesti belanja makan dahulu sebelum pulang. Kadang kala Bapak akan datang bersama dengan anaknya. Bapak mempunyai anak-anak yang berjaya di dalam karier masing-masing. Paling saya ingati ketika Bapak mengirimkan goreng pisang untuk ibu saya kerana saya katakan ibu saya datang ke rumah saya petang tersebut. Bapak seorang yang baik hati, kuat bekerja, peramah dan berwawasan.
Sepanjang penerbitan bukunya, hampir setiap apa yang dikehendaki saya turuti. Saya yakin karya beliau bermutu dan nama beliau juga cukup harum di arena kesusasteraan Nusantara.
Beliau juga ada ketikanya menyatakan hanya boleh bekerja dari rumah disebabkan faktor kesihatan. Saya amat memahaminya kerana faktor usia beliau.
Sepanjang sakitnya di HUKM saya dan suami telah beberapa kali menziarahinya. Saya akui saya mengikuti perkembangannya dari sehari ke sehari. Mengenai situasinya di HUKM, beliau sendiri yang memberitahu saya yang beliau ditempatkan di Bilik 9, Wad Baldu. Ketika menerima panggilan, petang itu juga saya datang menziarahinya (sekitar pertengahan bulan September 2008). Saya juga nyatakan kepada anak-anak saya di luar negara mengenai kesihatan bapak yang hanya Tuhan sahaja maha mengetahuinya bertapa bapak bertarung dengan penuh ketabahan dan keazaman melawan cabaran tersebut. Beliau dan isteri serta anak-anaknya begitu tabah dan cukup sabar. Saya yakin, Ibu Halimah seorang yang cukup kuat semangat. Bapak berjaya pun kerana kekuatan dan kekentalan semangat ibu. Beliau cukup menyokong kerjaya Bapak.
Sebagai orang luar, saya benar-benar menghormati keluarga ini.
SMS datang bertalu-talu di telefon bimbit saya seawal jam 1.30 pagi mengenai berita pulangnya ke rahmatullah bapak. Pada hari Sabtu, saya dan suami memang bercadang untuk menziarahi bapak di HUKM pada hari Ahad (25.1.09), kerana sudah lama tidak mendengar berita mengenainya. Kali terakhir saya melawatnya adalah pada awal Disember 2008. Selalunya saya sendiri yang akan dapat call daripada bapak. Sudah lama beliau tidak menelefon saya. Disebabkan kesibukan saya, saya terlupa. Sehinggalah pada 20 Januari 2009, saya mendapat tahu daripada teman-teman yang mengatakan keadaan kesihatan Bapak... Ibu Halimah cukup setia, cintanya cukup mendalam dan saya boleh simpulkan kasih sayang Bapak kepada Ibu sememangnya sehingga akhir hayat. Bagaikan tidak boleh berpisah langsung. Kehidupan keluarga ini penuh dengan kasih sayang. Ibu Halimah sentiasa menemani Bapak di katil hospital. Begitu begitu memahami, sayang menyayangi dan sanggup susah senang , sakit pening bersama-sama. Saya juga ingin meminjam situasi ini. Cinta antara suami isteri hingga ke akhir garisan...
Saya tidak mengetahui berita pemergian Bapak hanya kerana telefon bimbit saya berada di dalam nada senyap disebabkan pada petang tersebut saya ke kelas piano (biasanya saya senyapkan telefon tersebut) dan selepas itu saya ada temu janji kerana berbincang pula mengenai penerbitan buku bersama pengarang saya. Saya benar-benar tidak perasan, pada hal pada malam tersebut saya meneruskan rutin pembacaan sehingga jam 3.00 pagi bagi menghabiskan suntingan sebuah manuskrip memoir (juga pengarang yang telah berusia lebih 70 tahun) yang bakal diterbitkan oleh pejabat saya. Saya ingin menerbitkan manuskrip tersebut secepat mungkin.
Pada pagi 25 Januari 2009, saya dan suami hanya menunggu ketibaan jenazah bapak di Masjid Wilayah Persekutuan. Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke masjid itu. Di situlah saya melihat perjalanan terakhir seorang Sasterawan Negara yang abadi. Terima kasih kepada suamiku kerana membantu mengusung jenazah bapak untuk dibawa masuk ke masjid bagi disembahyangkan. Saya dapat lihat juga Dato' Anwar Ridhwan turut sama mengusung jenazah bapak bersama-sama yang lain. Saya juga melihat saudara Faisal Tehrani dengan kameranya di sana sini, memeluk Dato' Anwar. Juga kelihatan kelibat Dato' Dr. Wan Hashim, Dato' Kemala, Encik Hasrom, Dato' Firdaus dan lain-lain yang saya duga adalah rakan-rakan media dan teman seangkatan Bapak dalam bidang sastera.
Pagi ini, saya menerima SMS daripada anak lelaki saya di negara Kremlin yang mengatakan bahawa beliau mengetahui mengenai berita pemergian Bapak di Internet... dan beliau inginkan pengesahan daripada saya sambil menyampaikan salam takziahnya buat keluarga Bapak. Bapak seorang yang mementingkan hal-hal kekeluargaan dan selalu mengingatkan kepada saya supaya anak-anak saya belajar bersungguh-sungguh supaya menjadi orang yang berjaya. Beliau selalu menitipkan salam dan pesanan buat mereka. Hinggakan anak-anak saya diminta olehnya mencari roti hitam dan memasak daging dengan keju di Rusia. Bapak katakan kepada saya, beliau juga pernah tinggal di Rusia. Bermacam-macam lagi pesanan dititipkan termasuklah menjaga keselamatan dan kesihatan ketika musim sejuk. Kalau bercakap pasal kejayaan, Bapak begitu bersemangat dan sering meminta supaya saya meneruskan lagi pengajian walaupun beliau tahu saya sudah lanjut usia.
Kini, beliau telah pergi meninggalkan kita semua. Aman disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara setelah disembahyangkan di Masjid Wilayah Persekutuan dengan diimamkan oleh teman saya ketika belajar di Fakulti Pengajian Islam 23 tahun dahulu. Itupun kerana gambar teman saya itu keluar di akhbar ketika mengimamkan solat jenazah. Ketika itu beliau masih muda dan kini menjadi imam di Masjid yang begitu canggih itu. Kecil sungguh dunia ini. Saya hanya mengetahuinya setelah menerima sms dari teman-teman yang mengatakan suami kawan saya mengimamkan solat jenazah tersebut. Sebelum itu, arwah Bapak dibawa balik ke Hulu Langat untuk kali terakhir. Rumah yang cukup cantik seakan-akan resort di tepian sungai. Tinggallah jua ruang kamar kerja Bapak di Kepong. Untuk Ibu Halimah dan keluarga, semoga tabah, cekal dan bersabar dengan dugaan ini. Allah lebih menyayanginya. Untuk Kakak Heryati, terima kasih kerana menelefon saya. Akan saya kenang sehingga ke akhir hayat pengalaman yang tidak mungkin dapat saya lupakan ini. Saya benar-benar kehilangan seorang pengarang yang amat saya hormati cara kerja dan lontaran buah fikirannya. Tinggallah segala-gala tinta yang digarap oleh Bapak untuk tatapan generasi mendatang. Kini, namamu akan terus mewangi seharum kemboja di kuburan. al-Fatihah.

Selasa, 20 Januari 2009

Isnin, 19 Januari 2009

Membaca...dan membaca...

Aktiviti membaca sudah saya ibaratkan seperti makan dan minum. Sudah menjadi darah daging. Setiap hari saya mesti membaca biarpun sehelai pamplet di kaki lima...Aktiviti ini tidak timbul sebelum saya melanjutkan pengajian pada peringkat pengajian tinggi. Sebenarnya aktiviti ini baru sahaja bermula...Bila...iaitu, setelah saya menekuni beberapa buah novel dan cerpen ketika mengambil jurusan pengajian Melayu, saya mula meminati aktiviti membaca dan membeli buku...sekitar akhir 1997. Minda saya bertukar terus kerana terlalu lama meneliti kehidupan masyarakat Belgium.

Semua orang hairan dengan hobi baru saya termasuk ahli keluarga saya. Dulu saya cukup malas membaca. Betul-betul malas. Pasal tu saya sekolah tak pandai. Kini, pasal rajin membaca, dah jadi lain pula. Duit habis ke buku. Hatta anak dara saya sendiri sanggup menghadiahkan novel dan buku-buku lain untuk saya baca sempena hari lahir dan hari ulang tahun perkahwinan kami berdua. Terima kasih Nak.. kerana cukup memahami.

Tolong jangan kata tak ada masa untuk membaca. Mengantuklah, jemulah...luangkan sedikit masa untuk membaca. Kita boleh membaca apa yang kita suka. Jika tinggal di bilik hotel pun di situ ada bahan bacaan, sekurang-kurangnya penerangan mengenai tempat-tempat menarik yang boleh dilawati....sumbangan TDC dan pihak hotel.

Bagi saya tidak rugi kita rajin membaca. Banyak ilmu pengetahuan yang boleh kita peroleh hasil daripada aktiviti ini. Apabila saya berasa jemu dengan bahan-bahan ilmiah yang bertimbun di kamar kerja, saya mula melayari laman web, blog dan terus membaca di situ. Di situ, saya akan mendapat pelbagai ilmu lain, jiwa kita boleh bergetar jika tidak membaca.

Memang benar, jika banyak membaca kita boleh mengantuk. Baca hal-hal yang ringan dalam bahan lain seperti majalah popular yang boleh kita baca... saya suka kepada JELITA, MANGGA, URTV, WANITA dan sesekali layan juga MASTIKA. Namun, saya sering ditanya...tak penat ke asyik kerja membaca...soalan yang datang daripada orang yang tidak sepatutnya menanya perkara sebegitu kepada saya. Saya menjadi marah...kerana kerja saya sememangnya setiap hari membaca dan membaca. Tolong hormati kerjaya saya.

Ahad, 18 Januari 2009

Anugerah Juara Lagu Ke-23

Malam minggu yang damai, sempat layan Anugerah Juara Lagu Ke-23. Agak menyeronokkan dan saya rasa amat-amat terhibur. Masing-masing dengan kreativiti, kekuatan dan bakat yang ada. Apa yang saya duga semuanya menjadi, kecuali juara lagu tu saja. saya kecundang dalam meneka. Saya suka kalau Faizal yang menang kerana dia telah menang bagi tiga kategori (vokal, persembahan dan balada). Kenapa tak boleh sapu bersih. Saya nampak kekuatan lagu itu di samping kreativiti Faizal...Untuk Bapak Husin tu, saya serasa dipermainkan oleh badut-badut yang bersepah di Eropah semasa zaman saya merayau-rayau di kota-kota lama, di jalan-jalan berkuda dulu. Memang banyak watak sebegitu di jalanan, lalu Bapak Husin mengangkat martabatnya ke Juara Lagu, serasa terpukul pula saya. Muzik jalanan dinobat juara...

Faizal, saya dah agak lagu Sampai Syurga boleh layan sampai menang kerana ada Hazami di dalam kategori jurinya. Hazami suka kepada koir...Adibah Nor pula kepada vokal, Shaharudin pula dengan lirik lagu... kombinasi ini seakan-akan memihak kepada lagu Ahmad Izham Omar dan Audi Mok ini.

Ziana yang sampai mencampakkan kasutnya tidak mendapat apa-apa. Saya teruja dengan persembahannya. Akak memang kelas...Anak-anak anda pasti berbangga dengan hot mamanya. Beliau begitu bersemangat melayan anak-anak muda ingusan di kelibat juara lagu. Bertenaga. Syabas Ziana. Persembahan anda mantap walaupun tidak memenangi apa-apa. Bagi saya, anda telah menang...saya ingatkan kurang-kurang sangkut kat vokal terbaik. Tak apa anda telah menang dalam kekalahan...

Stacy, anak muda yang begitu bertenaga. Saya suka cara anda. Begitu memukau, tidak pancit. Rentak yang jitu. Teruskan...anda bisa membelasah Juara Lagu akan datang. Belum ada serancak anda, boleh menari sambil menari dari mula hingga ke akhir lagu.

Tam Spider dan Spidernya... nampak lesu dalam kelayuan. Nampak seperti asal main sahaja. Biarpun menyanyi tapi seakan-akan tidak bersedia ke Anugerah Juara Lagu. Kenapa begitu...

Farawahida, seakan-akan ingin menjadi Noraniza Idris...membawa gerombolannya di pentas. Nasib baik sangkut. Kreativiti anda menjadi. Saya suka dengan penampilan muzik etnik begitu.

Tahniah. untuk iluminasi muzik. Saya kena tengok kamus nusantara untuk memberi erti kepada perkataan ini.

Kombinasi yang lama dan yang baru, dua alunan suara generasi muzik bergabung. anak-anak kecil program idola muncul bersama sifu-sifunya. Saya suka kepada Haqiem dan rakan-rakannya, suara anak memukau ketika layan Isabela. Saya pasti M. Nasir bangga berduet dengan anak-anak semua. Generasi pelapis iluminasi muzik.

Rabu, 14 Januari 2009

Stesyen atau Stesen

Tiba-tiba hari ini saya menerima panggilan telefon daripada seseorang yang 'berwibawa' bertanya mengenai ejaan. Tidak salah menelefon saya. Apa salahnya kalau kita tahu...boleh terus kita menjawabnya pada masa itu juga. Jika tidak pasti, kita berikan masa untuk mencari jawapannya. Untuk pengetahuan, saya biasa ditanya begini...agaknya mereka yang sewaktu dengannya ini besar berkemungkinan tidak mengambil inisiatif sendiri untuk melihat Kamus Dewan atau merujuk di mana-mana buku istilah atau lembar bahasa. Walaupun kerja saya hampir '25 jam' membaca dan membaca...sehingga kadang kala menjemukan, namun sejujurnya saya sebenarnya masih lemah di dalam soal ejaan ini. Dengan sebab itu saya sentiasa berpandukan kepada Kamus Dewan atau Kamus Nusantara mahupun kepada Lembar Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka. Ejaan pun cepat bertukar...kadang kala kita pun pening kepala dibuatnya. Nah! Tidak bermakna anda bergelumang dengan buku, setiap perkataan itu boleh sesenangnya muncul di minda anda... Anda tetap mahukan rujukan di depan anda.

Jadi apa pula ejaan sebenar antara stesyen atau stesen ini....Urusetia dengan Urus Setia, Walau bagaimanapun dengan Walaubagaimanapun, hakmilik dengan hak milik ini...
untuk pelajaran hari ini:

Ejaan yang Betul
Stesen
Urus Setia
Walau bagaimanapun
Hak Milik

Moral daripada cerita tadi, rajin-rajinlah membaca dan merujuk kepada rujukan yang tepat. Sekian.

Selasa, 13 Januari 2009

Salam dari Lombok

Wah! Hari ini saya mendapat salam dari Lombok, terujanya...macam tak percaya tapi nyata gitu.

Tanam pisang rapat-rapat
Biar senang puyuh berlari
Kupinang-pinang tak dapat
kupujuk-pujuk kubawa lari

Hah saya nantikan rentetannya pagi minggu ini, bagaimana hero Lombok dengan kisah cintanya. TQ Dr. Mawar

Ahad, 11 Januari 2009

Salam Asyura...

Tanggal 10 Muharam harus diingat oleh semua umat Islam. Pastinya tarikh ini akan mengingatkan kita kepada kebesaran Tuhan. Bagi generasi lama, mereka gemar memasak bubur asyura pada hari ini dan berbuka dengannya pada waktu Maghrib dengan keenakan bubur asyura yang sudah dimasak. Lain negeri lain resepinya di Malaysia ini.

Kini, umat Islam di Tanah Arab seakan-akan berada di dalam kesusahan kerana kesan peperangan... ah!! Sedihnya melihat keadaan ini. Mangsa perang berlambakan, disaluti darah yang memerah... di jalanan. Ramai anak-anak yang tidak berdosa turut terkorban, ibu-ibu menjadi mangsa perang, manakala si ayah pula pastinya sibuk mempertahankan keluarga dan negara. Yuk! Mari kita sama-sama doakan kesejahteraan mereka.

Isnin, 5 Januari 2009

...dan kuliah di universiti ini pun bermula

Kampus Bangi KINI sibuk kembali. Di sana sini sudah terdengar deru motosikal mahasiswanya. Rupa-rupanya kuliah di universiti ini telah pun bermula. Patutlah jalanraya di kampus ini sibuk. Selamat belajar dan menjadi insan yang berguna di dunia dan di akhirat. Rajin-rajinlah ke perpustakaan TSL. Saya lihat kemudahannya telah pun diangkat dalam kategori amat canggih.

Ahad, 4 Januari 2009

...dan sesi persekolahan pun bermula

Pagi ini, seperti biasa, jalanraya mula sibuk dengan kenderaan yang menghantar anak-anak ke sekolah. Ibubapa dan anak-anak mula sibuk menuju ke destinasi masing-masing... ke sekolah. Pemandangan ini telah lama tidak saya perhatikan semenjak cuti persekolahan bermula tidak berapa lama dahulu. Saya hanya tahu musim persekolahan atau cuti apabila melihat kesibukan kenderaan di jalanraya. Untuk semua anak-anak dan cikgu-cikgu semua...selamat memulakan alam persekolahan 2009.