Isnin, 4 Mei 2009

Menunggu Majlis Pelancaran Buku...


Design By Khalid

Majlis akan berlangsung pada 19 Mei 2009 di Bankuasi UKM mulai jam 10.30 pagi -1.30 petang. Hadirin yang dijemput hadir sila maklumkan sebelum 12 Mei 2009. Sekian.

Terkini: Majlis ini ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. Penangguhan ini disebabkan beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Sebarang kesulitan amatlah dikesali.

Selasa, 28 April 2009

Menulis Ulasan Buku....

Wah! Seronoknya saya hari ini. Dapat buku baru. Panas daripada reban ayam. Rasa macam berterabur anak-anak ayam keluar dari rebannya....saya akan meratah isi-isi ayam tersebut. Nah! Bila usai hadam buku ini saya akan menulis untuk siaran resensinya. Tahniah untuk sifu saya. Encik Roosfa di atas kelahiran babynya ini...Menulis Ulasan Buku untuk akhbar, majalah dan jurnal ilmiah. Sesuai dengan pengalamannya yang yang sudah masak dengan silang baur dunia perbukuan.

Ahad, 26 April 2009

Usainya Pesta Buku...

Pesta buku tahun ini secara peribadinya telah mencipta sejarah dalam hidup saya. Pertamanya kerana saya berpeluang membentangkan kertas kerja bertajuk Penerbitan Sarjana Asing di Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia: Masalah dan Strategi bersama teman pembentang yang juga sifuku Encik Roosfa. Beliau memberi peluang ini kepada saya untuk berada di pentas pembentangan berganding dengan pembentang-pembentang yang telah mantap kedudukannya. Oleh itu Persidangan Kebangsaan Penerbitan Ilmiah 2009 di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur pada 18-19 April 2009 telah menjadi saksi dalam lakaran drama sebabak hidupku.

Keduanya, saya juga diberikan giliran untuk menjadi pencatat untuk sesi pembentangan bagi kertas kerja. Memang kerja ini agak susah. Agak memeningkan kepala dan saya tak kisah diberikan tugas-tugas seperti ini kerana telah biasa disumbatkan dengan tugasan yang pelbagai. Ini kerana bos telah membawa tugas ini untuk diagihkan kepada anak-anak buahnya.

Ketiganya, untuk tahun ini juga saya dikehendaki bertugas di Pusat Dagangan Hak Cipta bagi mewakili MAPIM. Rights Trade Mission for the Malaysian Book Industry Putra World Trade Centre (PWTC) Kuala Lumpur antara 17-26 April 2009. Tugasan ini diagih-agihkan menurut petugas yang telah dipilih.

Keempatnya, saya juga berpeluang mendengar sesi dialog bersama Mr. Peter Ripken dan Dr. Jing Barts...iaitu orang yang bertanggung jawab ke atas Pesta Buku di Frankfurt, Jerman. Dapat berkenalan, beramah mesra dan mendengar ceramahnya sudah cukup memberikan impak yang besar dalam hidup saya yang bergelumang dengan industri perbukuan.

Paling menarik juga adalah peraduan yang ditawarkan oleh ITNM...Beli buku ITNM & memenangi Hadiah Bernilai RM100,000.00 dan peraduan berakhir 26 April 2009 tertakluk kepada terma dan syarat...sertai & menang. Kalau menang dapat hadiah utama kereta Produa Myvi. Hanya beli buku minimum RM20.00 saja dan lekatkan resit pembelian di borang yang dihulurkan oleh petugas ITNM. Waw..besar tu tawarannya. Rasanya ini adalah pertama kali saya menerima tawaran sebegitu dengan nilai wang belian buku yang ditawarkan oleh pihak ITNM. Gerai buku yang lain bagaimana...ada berani ke?

Saya juga banyak bertembung dengan artis dan orang-orang ternama yang lalu lalang ke gerai buku dan paling mustahak saya juga banyak sekali membeli buku-buku termasuk buku Dato' Kadir Jasin, novel-novel remaja Alaf 21, Kamus Dewan Edisi Ke-4 dan pelbagai lagi buku-buku serta banyak majalah kewanitaan. Sekarang ini masa terluang hampir tiada kerana mahu hadam dan menghabiskan buku-buku yang dibeli. Untuk diriku sendiri, Selamat Membaca....

Selasa, 21 April 2009

Penerbitan Karya Sarjana Asing...

Tanggal 19 April 2009 lalu terlakar satu sejarah dalam hidupku. Yah! Episod demi episod, babak demi babak. Tika itu aku membentangkan sebuah kertas kerja yang agak berat pengisiannya. Sememangnya aku tidak menduga akan berada di hadapan khalayak akademik/semiakademik yang begitu ramai. Rasa berdebar, kecut dan takut bersilang baur. Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur menjadi saksi kepada hasil usahaku ini.

Hal ini ditambah pula dengan pengerusi sesinya orang gulek...yang fasih berbahasa Melayu. Rakan-rakan pembentang pula adalah ahli akademik dari Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia. Tetiba aku pula hanya seorang pegawai biasa yang tidak mempunyai kedudukan yang sebegitu tinggi dan ingin pula bercakap pasal penerbitan buku. Mujur aku berasa amat teruja kerana di hadapanku adalah peminat-peminat buku yang secara langsung pada diriku amat menyokong penglibatan seriusku dalam dunia penulisan dan penerbitan.

Melihat bekas-bekas sifu dan orang-orang kuat di dalam dunia penerbitan di hadapanku menyebabkan aku lebih teruja untuk bercakap dengan lebih lancar tanpa dibeban oleh perasaan takut. Akhirnya aku berjaya menyampaikan kertas kerjaku tulisan bersama Encik Roosfa Hashim dengan selamat. "Karya Sarjana Asing di Penerbit UKM: Masalah dan Strategi" - tajuk yang mengundang penyelidikan yang bukan sedikit dan sememangnya berat untuk diperkatakan.

Terima kasih di atas sokongan semangat rakan-rakan penerbitanku. Aku harap selepas ini ada impak yang boleh diterima kesan dari pembentangan kertas kerja ini. Aku tidak hanya mahu dikenali sebagai penyunting manuskrip yang bisu berkata-kata dengan berjuta-juta ayat dan dihempap oleh ketebalan manuskrip yang datang silih berganti. Oh! Maafkan aku...aku ingin menjadi pelarian di dunia penerbitan ini...

Rabu, 15 April 2009

Perginya Ikon Sastera Negara Yang Prolifik...



Arenawati dalam kenangan. Inilah antara petikan yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera April 2009. Bertapa gembiranya hati tidak terkira. Artikel ini benar-benar mengubat lara saya. Terima kasih DBP kerana menyuntik kembali semangat saya.

Hari Cerpen Melayu

Tanggal 10 April 2009 lalu, saya diundang mendengar pelancaran laman web dan hari cerpen Melayu di FSKK. Tempat lama lagi kan dikenang inikan pula tempat menimba ilmu. Banyak yang sudah berubah. Yah! Saya terkesima gitu...Saya ingin mengucapkan TAHNIAH atas usaha gigih mahasiswa SKMM1043 dan SKMM6053 yang selamat menjayakan Hari Cerpen Melayu tersebut. Maka mungkin akan lahir ramai cerpenis Melayu alaf baru di bawah asuhan Dr. Mawar Shafie. Beliau begitu gigih melestarikan cita-citanya untuk melahirkan ramai bakat-bakat baru. Biar saya sudah lama agak malas menulis cerpen...namun beliau tetap menginginkan idea yang lahir sebagai wadah cerpen. Namun bila agaknya saya akan mula bergerak kembali...menulis cerpen. Mungkin saya agak kecewa kerana apabila saya menghantar cerpen ke media cetak, cerpen tersebut 'dibakulsampahkan' saja oleh sang editor. Mungkin cerpen saya tidak bermutu, jadi saya menerawang ke cabang lain...menulis ulasan buku dan terkini saya menulis belasungkawa untuk Pak Arena di Dewan Sastera (April). Rasa berbunga amat kerana dapat tahniah dari Dr. Mawar kerana karya tersebut tembus di sana. Lantas terus saya cari majalah tersebut di kedai buku.

Pada hari cerpen Melayu itu sempat Dr. Misran lancarkan laman sawang yang dihasilkan oleh pelajar Dr. Mawar dan En Che Lah. Saya juga telah lama tidak berjumpa dengan Encik Nazri. Nampaknya mereka masih mengenali saya biar kita jauh berbeza. Sempat mendengar kembara cerpen SM Zakir dan paling saya suka jua merasa keenakan... pulut kuning (dengan rendang ayam) yang dipotong sewaktu acara pelancaran laman sawang. Enak sekali! Seakan-akan simbolik Melayu tulen gitu. Bagusnya idea...pulut kuning ditutup dengan tudung saji. Macam di dapur kita. Apa-apa pun tahniah. Suatu hari nanti cerpen saya pasti menyusul jua Dr. Mawar...saya tidak akan mengecewakan sifu saya.

Selasa, 7 April 2009

Idea-idea Pendidikan Berkesan...

Alahai! Tak sempat nak menulis kerana sibuk sakan menyiapkan buku Idea-idea Pendidikan Berkesan Konfusius dan al-Ghazali - Dr. Abdul Salam Yusoff. Harap-harap buku ini boleh siap cepat. Kesian pengarangnya...cukup sabar menanti. Saya tabik dengan kesabarannya. Susah untuk mencari pengarang yang sesabar ini...

Khamis, 2 April 2009

Demam FI Bermula...

Sekitar KLIA telah mula dibanjiri oleh tetamu asing kerana demam FI sudah bermula...

Wah! Tak sabar nak ke litar FI hujung minggu ni...ingin mengulang kenangan tahun sudah. Telinga mesti disumbat (takut pekak), tapi mulut menjerit melihat kenderaan FI yang lalu-lalang. Meriahnya tidak terkira. Macam berada kat litar luar negara pulak.

Rabu, 1 April 2009

Teknik Manipulasi Imej Fotografi Digital

Foto Ads By Google

Wah! Hari ini pejabatku amat meriah sekali. Ramai tetamu dan jurufoto datang bertandang. Ada yang 'curi-curi menangkap' foto bosku yang tersangkut berselerakan di serata ceruk pejabat ini. Mungkin mereka ingin mengambil idea tu...jangan ciplak ya. Hak cipta tetap kepunyaannya.

Jadi, sebentar nanti akan kedengaran ceramah mengenai teknik manipulasi imej fotografi digital oleh Prof. Dr. Kamaruddin M. Said (Ketua Pusat Penerbitan dan Percetakan) dan Encik Rosli Nasir (PPUKM).

Aku semacam berminat gak dengan tajuk ini... dan selamat tinggalah tugasan membaca...mindaku perlu diisi dengan ilmu fotografi pula.

Debar menanti Pesta Buku 2009

Sejarah berulang lagi...aku menanti Pesta Buku 2009 dengan debaran kerana aku akan membentangkan kertas kerja...

Wah gitu...tajuknya ala-ala pengaliran karya sarjana asing di tempat kerjaku...

Ini bukan kali pertama aku berada di hadapan pentas kerana membentangkan kertas kerja. Kadang kala biar tidak membentang kertas, aku selalu juga menyisipkan kertas untuk dijadikan kertas sisipan. Namun segala-galanya tidak diambil kira di dalam meningkatkan prestasi kerjaku. Jadi untuk apa aku harus bersusah-susah seandainya kalau kerja dengan santai-santai saja anda akan dijulang hingga ke langit biru. Aduhai! Ingatlah langit tidak selalunya biru!!!

Selasa, 31 Mac 2009

Berita Gembira Kisah Sedih


Seingat-ingat aku foto ini dirakamkan oleh Hj. Ismail Ibrahim dan buku tersebut aku yang menyusunnya. Ketika itu, aruah bapak melancarkan karya tersebut di teratak anaknya.


Hah! Untuk pertama kalinya tulisan aku tembus kat Dewan Sastera April 2009. Waktu bergulir. Akhirnya...terlakar di halaman 54-55. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut sila baca majalah tersebut.

Yah! Kisahnya tentang seakan-akan belasungkawa...walaupun tentang kisah sedih tetapi bagi aku kisah sedih ini menjadi penyejuk dalam perjalanan kerjaya seharian aku yang amat menggembirakan. Mungkin inilah yang dikatakan bergembira dengan kesedihan orang lain. al-Fatihah.

Rabu, 25 Mac 2009

Hak Cipta Kepengarangan

Saya dihubungi oleh seorang bekas wartawan yang usianya hampir mencecah ke angka 80 tahun pada 2009 ini. Bukunya hampir siap. Tiba-tiba beliau menyatakan kerisauannya tentang kebanyakan daripada tulisan tersebut pernah terbit di dalam majalah tersohor di Malaysia ini. Beliau hampir-hampir mahu menarik balik tulisan tersebut daripada diterbitkan oleh pejabat saya. Beliau takut anak cucunya akan disaman sedangkan usianya sudah hampir senja dan ada lagi kata-katanya yang amat tragis. Dalam erti kata lain tidak sesuai untuk saya tuliskan di sini. Saya menjadi gundah gulana kerana telah terlalu banyak masa terkorban kerana menangani karya ini. Agak susah dan boleh dikatakan rumit juga. Wah! Begini rupanya menangani kerenah orang lama dan saya mendapat pelajaran yang paling berharga daripada beliau.

Saya nyatakan kepadanya saya akan cuba mendapatkan hak cipta kepengarangan daripada majalah asal. Saya hanya menyatakan cadangan sahaja. Saya ke rumahnya dan beberapa kali menghubungi beliau di telefon dan menyakinkan saya akan buat kerja-kerja tersebut asalkan saya dapat menyelamatkan manuskripnya yang telah banyak mengorbankan masa saya...

Akhirnya saya berjaya mendapatkan hak untuk menyiarkan karya tersebut di dalam siri-siri terbitan pejabat saya. Saya menyatakan kepadanya yang saya berjaya...dan kita tunggu sahaja karya tersebut terbit.

Selasa, 24 Mac 2009

Daftar Haji...



Bertapa orang Malaysia semuanya sudah kaya raya dan berkemampuan untuk menunaikan fardu haji di Mekah. Pernahkah anda terfikir yang anda akan mendapat giliran yang begitu jauh... Saya sememangnya telah lama mencarum di dalam akaun Tabung Haji melalui potongan gaji setiap bulan. Namun, saya tidak pernah terfikir untuk mendaftarkan nama untuk ke Mekah. Saya fikir mungkin saya boleh berbuatnya apabila saya sudah memasang niat untuk bergelar hajah. Semua ahli keluarga saya telah mempunyai akaun masing-masing. Saya juga memotong gaji untuk dicarumkan ke akaun bonda saya.

Saya terfikir untuk ke Mekah kerana saya telah banyak merantau ke serata negara di dunia ini, sedangkan saya belum pernah ke Mekah biarpun untuk menunaikan umrah. Bertapa fikiran saya belum ke situ...maafkan saya duhai ibu bapaku. Saya ingin menjadi insan yang berguna tetapi saya belum didorongkan untuk ke Mekah. Setelah melihat jiran-jiran yang masih muda mahupun seusia saya ramai yang telah ke Mekah, biarpun terpaksa meninggalkan anak-anak yang masih kecil maka saya terfikir untuk berbuat sesuatu untuk kerja ibadah saya.

Saya harus meninggalkan rutin harian saya...membaca dan membaca...bekerja dan bekerja...lalu saya melapangkan masa pada hari ini untuk menambah lagi tabungan di Tabung Haji lantas mendaftar untuk ke Mekah. Tahukan bertapa kecewanya saya...saya harus menunggu ke tahun 2025 untuk menunaikan fardu haji. Rasanya terlalu lama, bayangkan umur saya dan suami ketika itu...itu saya belum lagi mendaftarkan untuk dia. Saya rasa esok saya akan terus mendaftarkan untuk dia pula. Saya tidak sanggup menunggu sehingga 2025. Biar apapun, saya harus berbuat sesuatu untuk mempercepatkan tempoh giliran tersebut....aduhai. Peringatan...Tolonglah jangan jadi seperti saya.

Terubuk Masin...




Foto Ads By Google

Pening rasanya memerhatikan cara penulisan pengarang buku Ekonomi Malaysia: Ke Arah Pembangunan Seimbang ini. Terutama pada bahagian bibiliografinya... Tebalnya mak datuk... Sudahlah malam tadi aku ditelefon dek pengarang senior...tentang manuskripnya yang sedang aku tangani...begitulah, beginilah. Rasanya pengarang tersebut telah meneliti manuskrip tersebut sebelum ini. Banyak pulak cakapnya... Biarpun dah malam, layan jugalah. Nasib baik belum dicetak lagi. Masih ada masa untuk diperbaiki.

Tiba-tiba pagi ini bos saya mengetuk pintu kamar kerjaku, sambil menghulurkan terubuk masin yang dibawanya dari Sarawak. Wah! Ingat juga bos tu pada saya biar di sana beliau sedang sibuk membentangkan kertas kerja. Terima kasih daun keladi atas ingatan...

Pandai ke saya memasak...

Sebenarnya saya ni tidaklah pandai sangat memasak. Cuma kedua-dua aruah ibu bapa mertua saya suka dengan masakan saya. Aruah bapa saya pun suka dengan masakan saya. Mungkin kerana saya rajin ke dapur. Zaman remaja banyak dihabiskan dengan belajar dan belajar. Saya ke kelas tusyen, siang dan malam. Untuk menjadi insan yang berguna. Namun saya tidak juga pandai-pandai. Nak kata lembab sangat tidak juga. Tapi kedua-dua orang tua saya sememangnya mementingkan pelajaran. Kami adik beradik tidak pernah diminta ke dapur. Kalau ada pun cuma diminta membasuh pinggan. Aruah abah tidak makan masakan kita. Cuma bonda sahaja yang memasak dan kita cuma duduk dan makan. Kadang-kala bawa bekal ke sekolah. Ini cara lama yang suri rumah mesti menyediakan masakan untuk keluarga. Hingga kini saya tetap terkenang-kenang masakan bonda yang sungguh enak. Sayangnya bonda saya kini tidak lagi boleh membuat kerja-kerja suri rumah kerana sakit. Biarlah tugasan tersebut diambil oleh anak cucu yang berselirat di sekeliling bonda tersayang.

Apabila saya keluar dari kampung untuk menuju ke Bangi kerana bekerja, terus terang saya katakan, saya tidak dibekalkan dengan ilmu memasak, hatta memasak nasi sekali pun. Saya pandai memasak nasi kerana diajar oleh rakan-rakan serumah yang agak pakar dan saya dengan tidak pernah jemu-jemu belajar dari mereka sedikit demi sedikit bermula dengan memasak gulai keladi...saya tidak akan lupa memori indah dan kenangan bersama-sama rakan-rakan serumah yang cukup baik hati dan ramai di antara mereka yang telah bermenantu...Kami seakan-akan dipaksa untuk memasak mengikut giliran masing-masing. Dan kami akan makan apa jua yang dimasak oleh rakan-rakan...jika nak komplen masih boleh kerana kami semua dalam proses belajar. Ada rakan serumah yang jauh lebih muda usianya daripada saya cukup pakar memasak dan sehingga sekarang saya tetap ingat kesedapan masakannya. Kadang-kala kami mengata juga rakan-rakan yang tidak pandai memasak!

Jadi apabila telah berumah tangga terpaksalah saya memasak untuk keluarga. Jalan singkat yang diambil ialah dengan menghadiri kelas-kelas masakan dan mencuba resepi yang banyak terdapat di pasaran. ...sekadar berkongsi pengalaman...dan saya memang suka belajar memasak tetapi malas untuk mencuba resepi yang susah-susah. Hanya mencuba resepi yang ringkas dan cepat dan sedap dimakan. Kadang-kala lari dari resepi yang diberikan oleh Tok Guru.