Isnin, 11 Mei 2009

Selamat Hari Jururawat

Foto Ads By Google

Hari ini 12 Mei 2009 - untuk semua petugas-petugas yang setia membantu suamiku bekerja...sekalung penghargaan Selamat Hari Jururawat. Mereka ini bekerja tanpa mengira waktu..siang dan malam membantu pesakit. Kerjaya mereka harus dihormati dan disanjung tinggi. Untuk semua jururawat di hospital kerajaan, semoga terus tabah menghadapi cabaran dalam bekerja.

Wah...Hadiah Hari Ibu



Terima kasih terima kasih terima kasih

Cantik dan menawan kreativitimu anakanadaku

Ibumu dipakaikan tiara...apakah karektornya persis...principal AF7

Tahlil 100 Hari Arena Wati

Sabtu yang lalu (9 Mei 2009) seluruh keluarga Arena Wati berkumpul di Ulu Langat kerana mengadakan majlis tahlil 100 hari berpulangnya ke rahmatullah bapak Arena Wati. Di situ, saya lihat kebanyakan lauk pauk yang di masak sendiri oleh ibu Halimah adalah lauk pauk kegemaran aruah. Memang air tangan ibu Halimah sungguh menjadi. Enak dan sedap.

Terima kasih kerana turut mengundang keluarga kami hadir ke majlis tersebut.

Waktu yang sama saya gunakan untuk memberitahu ibu Halimah yang memoir aruah yang setebal 1,124 halaman akan diulang cetak. Ini adalah antara pesanan terakhir aruah di katil hospital kepada saya yang teringin untuk melihat hasil karyanya yang telah lama habis itu berada di pasaran semula. Saya berdoa agar dapat melunasi tugasan ini dengan baik kerana saya jua teringin untuk melihat karya ini menemui khalayaknya yang setia menanti.

Selamat Hari Wesak

Sabtu yang lalu, saya menghabiskan masa lapang di rumah kerana cuti umum hari Wesak. Banyak aktiviti yang boleh dibuat termasuk membaca bahan bacaan yang banyak dibeli ketika Pesta Buku 2009 lalu. Banyak juga buku-buku yang belum dibaca termasuk hadiah yang diterima kerana membentangkan kertas kerja MAPIM di Seri Pacific baru-baru ini. Walaupun saya menerima banyak buku-buku perubatan tetapi saya tetap senang menukanginya.

Selamat Hari Wesak

Selamat Hari Ibu

Bonda tersayang
Ibu, dikaulah permata hatiku,
ibu, insan tersayang yang paling ku cintai,
Ibu, kaulah penawar hatiku kala lara,
Ibu, tempat aku menumpang kasih dan bermanja,
Ibu, jantung hatiku,
Selamat Hari Ibu untuk bondaku tercinta.

Aduhai Ibu Mertuaku @ ibuku jua
Ibu mertuaku telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini
al-fatihah untukmu ibu...
Dikau jua ibu sejatiku
Aku memahami jerih payahmu membesarkan teman akrabku @ suamiku
Aku tenang menerima berita pulangmu ke rahmatullah
Ibu, setelah sekian lama menderita,
Ibu pergi membawa semua lara yang ditanggung

Suamiku berkata, beliau telah kehilangan ibunya,
tetapi masih mempunyai ibu mertua lagi.

Lantas...aku katakan padanya...sedekahkan al-Fatihah

Untuk bonda kami pula...

lantas aku menghantar sms ringkas kepada adindaku yang hingga kini belum terjawab:

Pls sent my big hug n kiss to mum, hehehe

Apakah ada nada nakal di situ, tetapi di situlah aku dengan bondaku...
Yang sejak akhir-akhir ini berubah watak seperti keanak-anakkan
Namun, ibu tetap ibu


Untuk anakandaku berdua di luar negara

Terima kasih kerana menelefon untuk menyampaikan salam hari ibu...agak lucu tetapi aku bahagia sekali menerima panggilan yang merentas beberapa lautan...

terima kasih terima kasih terima kasih

Isnin, 4 Mei 2009

Menunggu Majlis Pelancaran Buku...


Design By Khalid

Majlis akan berlangsung pada 19 Mei 2009 di Bankuasi UKM mulai jam 10.30 pagi -1.30 petang. Hadirin yang dijemput hadir sila maklumkan sebelum 12 Mei 2009. Sekian.

Terkini: Majlis ini ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. Penangguhan ini disebabkan beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Sebarang kesulitan amatlah dikesali.

Selasa, 28 April 2009

Menulis Ulasan Buku....

Wah! Seronoknya saya hari ini. Dapat buku baru. Panas daripada reban ayam. Rasa macam berterabur anak-anak ayam keluar dari rebannya....saya akan meratah isi-isi ayam tersebut. Nah! Bila usai hadam buku ini saya akan menulis untuk siaran resensinya. Tahniah untuk sifu saya. Encik Roosfa di atas kelahiran babynya ini...Menulis Ulasan Buku untuk akhbar, majalah dan jurnal ilmiah. Sesuai dengan pengalamannya yang yang sudah masak dengan silang baur dunia perbukuan.

Ahad, 26 April 2009

Usainya Pesta Buku...

Pesta buku tahun ini secara peribadinya telah mencipta sejarah dalam hidup saya. Pertamanya kerana saya berpeluang membentangkan kertas kerja bertajuk Penerbitan Sarjana Asing di Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia: Masalah dan Strategi bersama teman pembentang yang juga sifuku Encik Roosfa. Beliau memberi peluang ini kepada saya untuk berada di pentas pembentangan berganding dengan pembentang-pembentang yang telah mantap kedudukannya. Oleh itu Persidangan Kebangsaan Penerbitan Ilmiah 2009 di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur pada 18-19 April 2009 telah menjadi saksi dalam lakaran drama sebabak hidupku.

Keduanya, saya juga diberikan giliran untuk menjadi pencatat untuk sesi pembentangan bagi kertas kerja. Memang kerja ini agak susah. Agak memeningkan kepala dan saya tak kisah diberikan tugas-tugas seperti ini kerana telah biasa disumbatkan dengan tugasan yang pelbagai. Ini kerana bos telah membawa tugas ini untuk diagihkan kepada anak-anak buahnya.

Ketiganya, untuk tahun ini juga saya dikehendaki bertugas di Pusat Dagangan Hak Cipta bagi mewakili MAPIM. Rights Trade Mission for the Malaysian Book Industry Putra World Trade Centre (PWTC) Kuala Lumpur antara 17-26 April 2009. Tugasan ini diagih-agihkan menurut petugas yang telah dipilih.

Keempatnya, saya juga berpeluang mendengar sesi dialog bersama Mr. Peter Ripken dan Dr. Jing Barts...iaitu orang yang bertanggung jawab ke atas Pesta Buku di Frankfurt, Jerman. Dapat berkenalan, beramah mesra dan mendengar ceramahnya sudah cukup memberikan impak yang besar dalam hidup saya yang bergelumang dengan industri perbukuan.

Paling menarik juga adalah peraduan yang ditawarkan oleh ITNM...Beli buku ITNM & memenangi Hadiah Bernilai RM100,000.00 dan peraduan berakhir 26 April 2009 tertakluk kepada terma dan syarat...sertai & menang. Kalau menang dapat hadiah utama kereta Produa Myvi. Hanya beli buku minimum RM20.00 saja dan lekatkan resit pembelian di borang yang dihulurkan oleh petugas ITNM. Waw..besar tu tawarannya. Rasanya ini adalah pertama kali saya menerima tawaran sebegitu dengan nilai wang belian buku yang ditawarkan oleh pihak ITNM. Gerai buku yang lain bagaimana...ada berani ke?

Saya juga banyak bertembung dengan artis dan orang-orang ternama yang lalu lalang ke gerai buku dan paling mustahak saya juga banyak sekali membeli buku-buku termasuk buku Dato' Kadir Jasin, novel-novel remaja Alaf 21, Kamus Dewan Edisi Ke-4 dan pelbagai lagi buku-buku serta banyak majalah kewanitaan. Sekarang ini masa terluang hampir tiada kerana mahu hadam dan menghabiskan buku-buku yang dibeli. Untuk diriku sendiri, Selamat Membaca....

Selasa, 21 April 2009

Penerbitan Karya Sarjana Asing...

Tanggal 19 April 2009 lalu terlakar satu sejarah dalam hidupku. Yah! Episod demi episod, babak demi babak. Tika itu aku membentangkan sebuah kertas kerja yang agak berat pengisiannya. Sememangnya aku tidak menduga akan berada di hadapan khalayak akademik/semiakademik yang begitu ramai. Rasa berdebar, kecut dan takut bersilang baur. Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur menjadi saksi kepada hasil usahaku ini.

Hal ini ditambah pula dengan pengerusi sesinya orang gulek...yang fasih berbahasa Melayu. Rakan-rakan pembentang pula adalah ahli akademik dari Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia. Tetiba aku pula hanya seorang pegawai biasa yang tidak mempunyai kedudukan yang sebegitu tinggi dan ingin pula bercakap pasal penerbitan buku. Mujur aku berasa amat teruja kerana di hadapanku adalah peminat-peminat buku yang secara langsung pada diriku amat menyokong penglibatan seriusku dalam dunia penulisan dan penerbitan.

Melihat bekas-bekas sifu dan orang-orang kuat di dalam dunia penerbitan di hadapanku menyebabkan aku lebih teruja untuk bercakap dengan lebih lancar tanpa dibeban oleh perasaan takut. Akhirnya aku berjaya menyampaikan kertas kerjaku tulisan bersama Encik Roosfa Hashim dengan selamat. "Karya Sarjana Asing di Penerbit UKM: Masalah dan Strategi" - tajuk yang mengundang penyelidikan yang bukan sedikit dan sememangnya berat untuk diperkatakan.

Terima kasih di atas sokongan semangat rakan-rakan penerbitanku. Aku harap selepas ini ada impak yang boleh diterima kesan dari pembentangan kertas kerja ini. Aku tidak hanya mahu dikenali sebagai penyunting manuskrip yang bisu berkata-kata dengan berjuta-juta ayat dan dihempap oleh ketebalan manuskrip yang datang silih berganti. Oh! Maafkan aku...aku ingin menjadi pelarian di dunia penerbitan ini...

Rabu, 15 April 2009

Perginya Ikon Sastera Negara Yang Prolifik...



Arenawati dalam kenangan. Inilah antara petikan yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera April 2009. Bertapa gembiranya hati tidak terkira. Artikel ini benar-benar mengubat lara saya. Terima kasih DBP kerana menyuntik kembali semangat saya.

Hari Cerpen Melayu

Tanggal 10 April 2009 lalu, saya diundang mendengar pelancaran laman web dan hari cerpen Melayu di FSKK. Tempat lama lagi kan dikenang inikan pula tempat menimba ilmu. Banyak yang sudah berubah. Yah! Saya terkesima gitu...Saya ingin mengucapkan TAHNIAH atas usaha gigih mahasiswa SKMM1043 dan SKMM6053 yang selamat menjayakan Hari Cerpen Melayu tersebut. Maka mungkin akan lahir ramai cerpenis Melayu alaf baru di bawah asuhan Dr. Mawar Shafie. Beliau begitu gigih melestarikan cita-citanya untuk melahirkan ramai bakat-bakat baru. Biar saya sudah lama agak malas menulis cerpen...namun beliau tetap menginginkan idea yang lahir sebagai wadah cerpen. Namun bila agaknya saya akan mula bergerak kembali...menulis cerpen. Mungkin saya agak kecewa kerana apabila saya menghantar cerpen ke media cetak, cerpen tersebut 'dibakulsampahkan' saja oleh sang editor. Mungkin cerpen saya tidak bermutu, jadi saya menerawang ke cabang lain...menulis ulasan buku dan terkini saya menulis belasungkawa untuk Pak Arena di Dewan Sastera (April). Rasa berbunga amat kerana dapat tahniah dari Dr. Mawar kerana karya tersebut tembus di sana. Lantas terus saya cari majalah tersebut di kedai buku.

Pada hari cerpen Melayu itu sempat Dr. Misran lancarkan laman sawang yang dihasilkan oleh pelajar Dr. Mawar dan En Che Lah. Saya juga telah lama tidak berjumpa dengan Encik Nazri. Nampaknya mereka masih mengenali saya biar kita jauh berbeza. Sempat mendengar kembara cerpen SM Zakir dan paling saya suka jua merasa keenakan... pulut kuning (dengan rendang ayam) yang dipotong sewaktu acara pelancaran laman sawang. Enak sekali! Seakan-akan simbolik Melayu tulen gitu. Bagusnya idea...pulut kuning ditutup dengan tudung saji. Macam di dapur kita. Apa-apa pun tahniah. Suatu hari nanti cerpen saya pasti menyusul jua Dr. Mawar...saya tidak akan mengecewakan sifu saya.

Selasa, 7 April 2009

Idea-idea Pendidikan Berkesan...

Alahai! Tak sempat nak menulis kerana sibuk sakan menyiapkan buku Idea-idea Pendidikan Berkesan Konfusius dan al-Ghazali - Dr. Abdul Salam Yusoff. Harap-harap buku ini boleh siap cepat. Kesian pengarangnya...cukup sabar menanti. Saya tabik dengan kesabarannya. Susah untuk mencari pengarang yang sesabar ini...

Khamis, 2 April 2009

Demam FI Bermula...

Sekitar KLIA telah mula dibanjiri oleh tetamu asing kerana demam FI sudah bermula...

Wah! Tak sabar nak ke litar FI hujung minggu ni...ingin mengulang kenangan tahun sudah. Telinga mesti disumbat (takut pekak), tapi mulut menjerit melihat kenderaan FI yang lalu-lalang. Meriahnya tidak terkira. Macam berada kat litar luar negara pulak.

Rabu, 1 April 2009

Teknik Manipulasi Imej Fotografi Digital

Foto Ads By Google

Wah! Hari ini pejabatku amat meriah sekali. Ramai tetamu dan jurufoto datang bertandang. Ada yang 'curi-curi menangkap' foto bosku yang tersangkut berselerakan di serata ceruk pejabat ini. Mungkin mereka ingin mengambil idea tu...jangan ciplak ya. Hak cipta tetap kepunyaannya.

Jadi, sebentar nanti akan kedengaran ceramah mengenai teknik manipulasi imej fotografi digital oleh Prof. Dr. Kamaruddin M. Said (Ketua Pusat Penerbitan dan Percetakan) dan Encik Rosli Nasir (PPUKM).

Aku semacam berminat gak dengan tajuk ini... dan selamat tinggalah tugasan membaca...mindaku perlu diisi dengan ilmu fotografi pula.

Debar menanti Pesta Buku 2009

Sejarah berulang lagi...aku menanti Pesta Buku 2009 dengan debaran kerana aku akan membentangkan kertas kerja...

Wah gitu...tajuknya ala-ala pengaliran karya sarjana asing di tempat kerjaku...

Ini bukan kali pertama aku berada di hadapan pentas kerana membentangkan kertas kerja. Kadang kala biar tidak membentang kertas, aku selalu juga menyisipkan kertas untuk dijadikan kertas sisipan. Namun segala-galanya tidak diambil kira di dalam meningkatkan prestasi kerjaku. Jadi untuk apa aku harus bersusah-susah seandainya kalau kerja dengan santai-santai saja anda akan dijulang hingga ke langit biru. Aduhai! Ingatlah langit tidak selalunya biru!!!