Rabu, 7 Oktober 2009

Digital Metronome

Foto Adds By Google
Baru-baru ini guru piano yang cun mengajak aku ke konsert di KLCC...untuk persembahan pertengahan Disember 2009 ini. Guruku sanggup membelikan aku tiket untuk aku dan suami menyaksikannya kerana katanya aku harus melihat konsert tersebut. Dia cakap bayar pakai duit dia dulu....ahai baiknya hati dia. Aku cakap aku akan bayar harga tiket tersebut. Dia juga akan mencarikan tempat duduk yang strategik agar aku dapat melihat kedudukan orkestra ketika bermain.

Katanya pendedahan begini amat penting bagiku...

Terkini, dia meminta aku membeli sebuah digital metronome yang harganya seratus lebih untuk membolehkan aku mengira nota muzik yang dimainkan di piano dengan tepat. Kadang kala geli hati juga kerana mengapa aku tidak tahu perkara-perkara ini sebelum ini...Walaupun aku bermain hanya sebagai hobi tetapi dia mungkin beranggapan bahawa aku telah melabur wang dan masa yang banyak untuk hobi termahal aku ini.




Isnin, 28 September 2009

Pabila Hujan Turun

Hari ini saya membaca artikel yang ditulis oleh Sasterawan Negara Dato' Shahnon Ahmad di dalam majalah Dewan Sastera. Saya amat terguris hati membaca artikel ini kerana SN mengundur diri sebelum waktunya. Biarpun beliau memberikan 1,001 alasan di dalam tulisan tersebut namun saya yakin ramai peminat Dato' yang tidak bersetuju beliau mengundurkan diri. Ramai lagi peminat Dato' yang ternanti-nanti hasil buah tangan tulisan Dato' untuk dihadam. Ya..memang benar faktor kesihatan sebenarnya tidak dapat untuk kita elakkan. Itu sudah ditakdirkan dan sudah bahagian kita.

Saya secara jujurnya berani mengatakan di sini bahawa Dato' harus mencontohi kegigihan aruah Pak Arena Wati yang menulis hingga ke akhir hayatnya. Kegigihannya menjadi tunjang semangat saya. Walaupun saya bukanlah berada pada tahap-tahap penulis handalan namun saya kagum dengan semangat jitunya. Saya memerhatikan bagaimana aruah masih tetap menulis di katil hospital biarpun tulisan tangannya herot berot - ketika itu sudah tidak boleh difahami mahupun dibaca orang. Tulisan dan tanda tangannya pada hari-hari terakhirnya di hospital di dalam buku yang saya bawa ketika itu sudah condong ke kanan ke kiri dan saya menyimpannya di rumah supaya tidak hilang diambil orang. Kalau saya letakkan di pejabat, saya bimbang ada orang yang meminjam dan tak tahu mengembalikan semula kepada tuannya.

Apa-apa pun saya tetap mengenang dan ingat kepada "Pabila Hujan Turun" dan lain-lain karya SN yang menjadi antara koleksi pengarang kegemaran saya. Semoga Dato' sihat sejahtera dan terus menulis.

Khamis, 24 September 2009

SELAMAT HARI RAYA

SEMPENA DENGAN BULAN SYAWAL INI...SAYA MENERIMA BEBERAPA PANGGILAN TELEFON DAN SMS MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA KEPADA DIRI SAYA DAN KELUARGA. KEPADA SEMUA YANG TERINGAT MENGIRIMKAN UCAPAN KEPADA SAYA MAKA SESUNGGUHNYA SAYA CUKUP TERHARU DI ATAS INGATAN TERSEBUT. SEKALI LAGI SAYA MENGUCAPKAN RIBUAN TERIMA KASIH, KHUSUSNYA KEPADA KAUM KELUARGA, RAKAN TAULAN DAN PENGARANG-PENGARANG SAYA.

SALAM SYAWAL DAN MAAF ZAHIR BATIN.

Khamis, 17 September 2009

Nostalgia raya...

Catatan ini hanyalah sebelum zaman aku berumah tangga dan suasana ketika berada di kampung halamanku di Tangkak. Suasana beraya di rumah mertuaku pula agak berlainan...

Ketika ini semua orang sibuk membuat persiapan hari raya puasa. Aku terkenang zaman silamku ketika berada di kampung. Dahulu, aruah abah selalu membelikan aku baju gaun yang cantik di Tangkak. Kemudian aku diminta menempah baju kurung dan baju maxi batik daripada tukang jahit - ikut ukuran masing-masing. Nampaknya ketika itu, aruah abah memang hendakkan anak-anaknya stail di pagi raya. Cuma kasut raya tetap kasut sekolah. Katanya selepas raya aku boleh pakai pergi sekolah. Aruah abah juga akan meminta kita anak-anaknya menggunting rambut pendek di kedai Ah Moi di Jalan Muar. Aku tidak tahu sama ada kedai itu masih wujud lagi atau tidak. Dahulu kedai itu terletak dekat dengan kedai membuat bakul rotan. Rambut kita dipotong pendek dengan bayaran 40 sen sahaja. Wah! Cantik sungguh ketika itu apakala berjalan raya dengan memakai baju maxi labuh yang diikat dengan reben di belakangnya.
Emak pula akan membuat kuih raya sendiri. Tidak pernah beli-beli. Emak akan membakar kuih dengan menggunakan oven berwarna hitam. Dapur yang digunakan adalah dapur minyak tanah. Kuih bahulu akan dibakar sendiri dengan menggunakan sabut yang diletak di atasnya. Ini bermakna atas bawah pakai api yang dijadikan bara terlebih dahulu. Kerja menhenjut bahulu itu dilakukan oleh kami adik beradik yang seramai 10 orang. Bergilir-gilir menghenjut telur dalam tempayan kecil.
Menjelang hampir hendak raya, aruah abah selalu mengacau dodol. Emak akan meminta kami memarut kelapa sendiri. Santan menggunakan kelapa sendiri. Selalunya emak akan mengupah dan meminta aruah Atan Tua memanjat kelapa. Masa itu ada parut kayu dan kukur. Kita akan sama-sama memarut kelapa dan memerah santan. Selepas itu kita akan membancuh santan dan tepung pulut. (Al-Fatihah abah, abang Din dan Ngah Syukor). Aruah abah, aruah abang dan Uda serta adik-adik lelakiku yang lain akan mengacau dodol hingga jam 3.00 petang. Paling kita suka adalah dodol ketika cair. Sanggup simpan untuk berbuka tu... Resepi dodol aruah abah cukup sedap. Emak akan menempah topong kelamai daripada orang yang pandai menganyamnya. Dodol itu akan dimasukkan ke dalam topong dan disimpan di dalam dulang yang diletakkan di atas meja. Semuanya bagi mengelakkan daripada serangan semut. Hingga kini aku tetap akan mengingati kesedapan resepi dodol aruah abah.
Menjelang malam raya, aruah abah akan menganyam ketupat pula. Hanya aruah seorang sahaja yang pandai menganyam ketupat. Tidak seorang pun anak-anaknya yang pandai menganyam ketupat ketika itu. Aku tidak tahu mengapa tidak diturunkan ilmu itu kepada anak-anaknya. Kini, ada di antara adik beradikku yang pandai menganyam ketupat. Kami belajar dan berguru daripada orang lain. Ada adik beradikku mengatakan mereka berguru daripadaku. Aku agak terang hati. Mungkin aku cepat belajar menganyam. Seingatku, aku berguru dengan sepupuku ilmu menganyam ketupat ini. Kemudian, emak akan merebus ketupat dan memasak lauk pauk raya hingga ke pagi. Keenakkannya tiada tandingan. Kini, emakku sudah tidak boleh memasak lagi kerana faktor usia dan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Tetakala malam 7 likur menjelang, abang-abangku akan mula bermain meriam buluh. Hingga satu tahap pernah rumah kami di serbu polis kerana mereka berlawan-lawan meriam buluh. Aku ingat lagi peristiwa ini. Mereka semua tidak takut kepada polis dan akan sambung semula bermain apakala keadaan telah reda. Kebait pula dibeli dari kedai Cina. Meriam buluh akan diikat dengan kawat dan ditanam di dalam tanah. Bunyinya akan kebabommmmm...satu Tangkak boleh dengar. Sebelum bermain meriam, mereka akan memasang pelita minyak tanah di sekeliling rumah. Wah! Terang benderang sekali selepas waktu senja. Bunyi meriam buluh akan sahut menyahut apakala lepas waktu berbuka dan berterawikh. Semua tidak takut kepada putus tangan ke, putus jari ke atau polis. Apa yang mereka suka, cuma suka aja. Kini rasanya sudah tiada lagi yang berani bermain meriam buluh seperti zaman abang-abangku dan kawan-kawannya.
Pada malam raya, baru emak akan mengerah kami memasang langsir. Biasanya emak akan 'memaksa' aruah abah untuk menggantikan langsir hampir setiap tahun. Itu memang hobi emak. Begitu juga dengan bekas kuih raya. Anak-anak yang datang beraya mesti akan datang dua tiga kali ke rumahku kerana emak akan bagi duit raya yang banyak. Budak-budak ini akan memberitahu kawan-kawannya yang mereka akan mendapat duit raya yang banyak jika datang ke rumah kami.
Kini segala-galanya tinggal dalam kenangan... nostalgia silam...berulang kembali, namun suasananya tidak sama biarpun aku telah mempunyai keluarga sendiri. Anak-anakku akan menyambut raya di perantauan kerana tuntutan ilmu. Semoga mereka tabah dan berjaya menjadi insan yang berguna kepada nusa dan bangsa. Doa ayahanda dan bonda sentiasa mengiringi kejayaan anakanda berdua. Salam kasih sayang mengenang pagi Syawal.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA

KEPADA SEMUA PEMBACA SEKALIAN, KESEMPATAN INI SAYA GUNAKAN UNTUK MENGUCAPKAN SALAM LEBARAN DAN MAAF ZAHIR DAN BATIN. KEPADA YANG MEMANDU SEMASA BERHARI RAYA, BERHATI-HATI DI JALAN RAYA, JANGAN JADIKAN SENDU DAN AIR MATA MENANTI KEPULANGAN ANDA PADA HARI RAYA.

Ahad, 13 September 2009

Pembangunan dan Pengurusan: Modal Insan Negara

Pagi ini saya menerima panggilan telefon daripada Dr. Hair...rasanya inilah kali pertama saya menerima panggilan telefon daripada pengarang yang saya ulas bukunya di akhbar. Biasanya, saya yang akan menghubungi pengarang mengatakan bukunya telah keluar di akhbar. Buku ini setebal 284 dan diterbitkan oleh Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, UKM. Atas keperihatinannya itu saya mengucapkan terima kasih.
Untuk mereka yang berminat untuk memiliki buku ini bolehlah dapatkan akhbar Utusan Malaysia hari ini (Isnin, 14 September 2009 - hlm. 11) dan baca ulasannya yang telah saya paparkan. Saya ucapkan selamat membaca.

Bersiar-siar di hujung minggu...

Minggu ini kami agak lapang. Usai melunaskan apa yang patut di rumah, saya berkesempatan mengunjungi adik ipar yang sedang menjalani rawatan kerana sakit batu karang di KPJ Hospital, Shah Alam. Saya melihat keadaannya yang sedang menanggung kesakitan yang amat sangat kerana baru sahaja selesai menjalani proses rawatan mengeluarkan batu karang yang agak banyak. Kami berbual panjang kerana sudah lama tidak bertemu.
Selepas singgah di sebuah masjid di Banting, kami meneruskan perjalanan menuju ke Sungai Buaya, Banting kerana ingin menziarahi seorang lagi adik ipar saya yang sedang dalam tempoh pantang bersalin. Saya seronok melihat bayi yang cukup comel dan agak lupa bagaimana caranya untuk mengangkat bayi secomel itu. Walau bagaimanapun saya cuba juga walaupun ditertawakan oleh orang sekeliling yang melihat saya. Lalu mereka bertanya kepada saya, sudah berapa lama saya tidak memegang baby sehingga agak kekok begitu....Yah! Hampir 20 tahun.
Selepas itu, saya membeli ikan segar yang baru naik dari kuala...hanya dengan membayar RM55.00 saya memperoleh seekor ikan tenggiri, ikan parang dan separuh ikan talang yang beratnya 5kilo dan masih ada telurnya.
Kemudiannya saya menuju ke pekan mencari kalau-kalau ada kerepek untuk dimakan sewaktu hari raya kelak. Saya bercadang untuk membeli buah buah tangan kepada adik-adik saya di kampung kelak. Berbekalkan arahan yang diberikan kepada saya maka saya terjumpa produk industri kampung yang rasanya agak jauh juga daripada pekan Banting. Namun saya puas hati kerana dapat melihat-lihat keadaan di sekeliling kampung, beberapa buah rumah homestay yang selalu saya baca di akhbar dan yang paling penting jiwa saya amat tenang melihat kecantikan rumah-rumah di sepanjang perjalanan menuju ke tempat menjual kerepek. Dengan membayar RM86.00 saya telah membawa pulang pelbagai jenis kekacang dan kerepek yang entah bila akan habisnya - untuk dimakan.
Kemudian kami mencari jalan potong menuju ke Bangi melalui Banting. Saya sempat singgah di Bazar Ramadhan untuk membeli sedikit kuih muih juadah berbuka puasa. Saya sampai di rumah hampir jam 7.00 petang dan terus memasak nasi kerana saya ingin sangat berlaukkan ikan yang baru sahaja saya beli tadi. Yah! Memang sedap dan cukup menyelerakan sekali. Memang benar ikan yang baru naik dari laut agak segar. Patutlah mereka tidak mahu memotong-motong ikan-ikan saya kepada saiz yang lebih kecil kerana katanya kurang enak apabila sudah dipotong.

Selasa, 8 September 2009

Nasi Ambang...

Bulan puasa ni selera kita untuk makan berbeza-beza. Secara kebetulan ketika saya pulang ke kampung halaman baru-baru ini, saya telah membeli enam bungkus nasi ambang di Bazar Ramadhan yang terletak tidak jauh dari rumahku. Pada mulanya saya hanya membeli satu bungkus sahaja untuk suamiku kerana nasi ambang memang kesukaannya. Kemudian saya beli lagi lima bungkus untuk adik-adikku yang turut ada membeli juadah berbuka puasa ketika itu. Anak-anakku yang tinggal di Moscow pun suka makan nasi ambang. Paling seronok kami "belanja membelanja" sesama sendiri ketika itu. Adikku memberiku roti john untukku, adik perempuanku memberiku air tahu. Manakala seorang lagi adik lelakiku yang lain memberiku kuih kuci... Walaupun kita sama-sama ada duit, tapi nak juga merasa dibelanja tu.
Adik perempuanku yang sama-sama mengikutku membeli murtabak turut meminta aku membelikannya murtabak. Memang rasa seronok dan meriah. Kereta kami yang bergerak menuju ke Kuala Lumpur sarat dengan juadah berbuka puasa yang dibeli di Bazar Ramadhan Tangkak. Adik-adikku tidak biasa membeli makanan di mana-mana Bazar Ramadhan. Kata mereka, isteri masing-masing suka memasak sendiri di rumah.

Petang itu, kami berbuka dengan nasi ambang dan juadah yang dibeli tadi. Bercakap mengenai nasi ambang ni, suamiku agak fanatik sedikit dengan menu nasi ambang ini. Saya pula hanya mengetahui keenakan nasi ambang ini setelah agak lama merasai resepi ini yang dibuat sendiri oleh orang-orang kampung suamiku ketika majlis perkahwinan, kenduri kendara doa selamat, nyunati dan lain-lain majlis keramaian. Jadi, saya sudah agak terbiasa dengan menu ini yang biasanya disajikan oleh masyarakat keturunan Jawa di kampung-kampung terpencil.

Namun, kini di Bandar Baru Bangi sudah mula dijual nasi ambang. Sebungkus dijual dengan harga RM4.00. Jika mahu membeli nasi ambang, anda boleh ke Seksyen 3 berhampiran dengan kedai kereta Proton. Di situ ada dua orang Mamat yang menjual nasi ambang. Bulan puasa ni mereka tidak berjual pula. Ketika kami baru-baru mendarat di KLIA - pulang dari Seoul, Korea Selatan, kami terus singgah ke gerai ini hanya kerana mahu membeli nasi ambangnya. Begitulah ceritanya. Rindu dengan nasi ambang....

Isnin, 7 September 2009

Cuti yang panjang....

Hari Isnin cuti lagi. Cuti ini bersambung-sambung mulai daripada Sabtu lagi. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan sempena dengan cuti yang panjang ini.

Kami berkumpul adik beradik kerana membersihkan 'rumah tiang seri tegak bersepuluh' di tanah tumpah darah (tanah leluhur) kami di Tangkak, Johor. Tanah tempat kami dilahirkan oleh seorang ibu dengan seribu kepayahan bersama ketegasan seorang bapa yang cukup digeruni (ketika itu...). Kami membesar dengan disiplin yang diterapkan oleh bapa. Yah! Sesungguhnya kami berbangga kerana beribubapakan mereka. Ibu bapa kami sentiasa menyepuh doa agar kami semua menjadi insan yang berguna dan memperoleh jodoh dalam kalangan insan yang baik-baik juga tidak kira di mana jua kami bertemu jodoh.

Oleh itu, setelah berpulangnya ke rahmatullah ayahanda tercinta pada 25 Februari 2000 maka bonda tercinta terpaksa di bawa ke sana sini kerana tiada siapa lagi yang mahu tinggal di rumah kelahiran kami, sementelahan pula bonda kami bukannya sihat sangat....Kami terpaksa reda dengan keadaan yang menimpa bonda. Kami semua terpaksa meninggalkan kampung halaman kerana tuntutan kerjaya dan keluarga baru yang dibina. Bonda terpaksa mengikut kata hati anak-anak yang hampir kesemuanya telah berjaya di bidang masing-masing...pastinya ayahanda bersyukur kerana memperoleh anak-anak seperti kami. Kami pasti almarhum ayahanda tahu niat baik kami semua.

Ramadan yang dititi kini, kami tetap pulang...biarpun seketika. Syawal yang dinanti kami juga akan tetap pulang bersama dengan keluarga besar kami...

Isnin, 31 Ogos 2009

Santai bersama hobi...

Cuti panjang sempena dengan Hari Kemerdekaan baru-baru ini, saya tidak ke mana-mana...cuma asyik dengan hobi saya iaitu membaca, menulis, shopping dan bermain piano. Saya tidak akan jemu dengan keempat-empat hobi ini.

Saya mulakan dengan membaca buku Lentera Mustika, karya Nisah Haron. Setakat ini belum habis baca lagi. Kebetulan buku ini baru sahaja saya peroleh - yang dihantar sendiri oleh pengarangnya kepada saya. Kebetulan anak perempuan saya yang meminta saya memberikan nama pengarang yang saya gemari untuk dicari bukunya sebelum beliau bertolak pulang ke Moscow. Yah! Anak saya sempat melihat 15 buah buku (kalau tak silap kiraan, seperti yang dihajatinya). Saya katakan padanya saya mahukan buku Nisah Haron. Sebelum ini saya cuma ada 2 naskhah karyanya. Rasanya saya sudah punya kesemua koleksi karyanya. Cuma sekarang ini saya sedang mencuri ruang untuk membaca kesemua buku-buku tersebut di samping hambatan kerjaya yang terlampau sibuk.

Macam hari raya juga, semua orang pakai tema warna baju, jadi untuk hadiah hari lahir atau hari ulang tahun perkahwinan pun ada tema juga. Saya sudah ada tema pengarang untuk buku-buku kegemaran saya. Saya pilih seperti Shahnon, Arena Wati, A. Samad Said dan terkini Nisah Haron. Saya akan mencari lagi tema-tema pengarang yang lain seperti Anwar Ridhwan yang telah beberapa kali saya temui di pelbagai acara sastera dan di rumah Pak Arena. Saya juga akan mencari karya Mawar (sudah ada 2 karyanya), Pak Hamka, A. Samad Ismail dan lain-lain pengarang.

Tahun lepas saya peroleh koleksi Pak Samad - yang anak saya beli untuk saya jua. Wah! Anak-anak saya sememangnya pencinta buku. Kalau yang perempuan tu, satu almari penuh dengan novelnya, dijaga rapi, dibalut dengan plastik dan diberi indeks. Tak boleh pinjam!!! Takut rosak. Bagus, bagus, bagus....Kalau orang lain sudah baca, mood untuk kita baca semakin kurang. Biarpun kini sedang belajar jurusan perubatan tetapi minatnya kepada novel Melayu tidak pernah padam. Buku-buku yang dibeli itu akan dibaca apakala beliau pulang bercuti nanti. Saya sudah balut kesemuanya dengan plastik. Lagi setahun dia akan baca koleksi tersebut, ...saya akan baca dulu kerana katanya buku-buku itu untuk saya juga. Satu kagum dengan minatnya itu. Suka membeli dan membaca buku. Cuma dia belum ada minat untuk menulis novel lagi.

Pesanan menerusi Ujana Ilmu agak cepat dan berkualiti kerjanya. Buku-buku yang dipesan dibalut dengan plastik yang cantik. Pengarangnya Nisah, menandatangani ke semua buku karyanya.

Kemudian saya membaca dan menulis untuk beberapa buah buku yang diberikan secara percuma kepada saya, untuk ruangan resensi buku. Saya agak lama tidak menulis untuk ruangan ini kerana malas. Asyik tertangguh-tangguh kerana banyak sangat kerja. Kalau saya rajin memang boleh siap kerana saya akan 'memaku' diri di kerusi sehingga selesai apa yang hendak saya tulis. Saya juga menyiapkan dua buah cerpen yang saya sasarkan untuk dihantar ke Berita Harian dan Mingguan Malaysia. Saya telah hantar puisi merdeka untuk Mingguan Malaysia, tetapi masih tidak keluar-keluar. Hari merdeka pun telah berlalu. Mungkin istilah biasa terpaksa saya terima hakikatnya...'dibakulsampahkan'. Maaf cakap, tembok yang dibina amat tebal. Agak sukar untuk ditembusi. Namun, saya harus mencuba dan terus mencuba.

Apakala telah penat untuk kedua-dua hobi di atas, saya akan beralih arah. Untuk minggu ini sahaja saya dapat memainkan beberapa buah lagu di piano saya. Agak seronok. Walaupun tidak seenak orang profesional bermain, tetapi saya cukup puas hati kerana dapat memuaskan hati sendiri. Saya membaca notasi muziknya dan bermain mengikut apa yang ditulis oleh penulisnya. Itu pun sudah cukup baik buat diri saya. Minta maaf kepada jiran-jiran kalau bulan-bulan puasa ini saya menganggu...

Untuk merehatkan minda saya akan ke pusat membeli belah kerana banyak perkara boleh dibeli di situ. Sayangnya, saya tak tahu nak beli apa dan untuk siapa. Saya telah menyiapkan kelengkapan untuk hari raya sebelum ini. Jadi, apakala keluar shopping saya hanya menjamu mata bagi melihat-lihat jikalau ada koleksi beg tangan terbaru.

Sekian.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Tanggal 31 Ogos boleh dikatakan sebagai tarikh keramat yang mesti diingati oleh seluruh warga Malaysia. Itulah tarikh hari kemerdekaan negara kita Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus menyayangi negara kita yang tercinta ini. Saya juga telah menggantungkan bendera Malaysia di luar kediaman dan di luar pejabat saya sebagai tanda wujudnya semangat patriotik terhadap negara ini. Salam Hari Kemerdekaan.

Khamis, 27 Ogos 2009

al-Fatihah, Senator Prof. Dr. Ismail Salleh

Saya petik berita ini di dalam e-warga UKM...ekoran daripada itu sepanjang pagi saya menerima sms dan panggilan telefon khususnya daripada pensyarah-pensyarah Fakulti Ekonomi yang mengatakan beliau telah pun pergi buat selama-lamanya...ya, saya memang mengenalinya...

Saya amat kagum dengan semangat yang ada pada dirinya. Beliau berjaya melonjakkan diri...Bagi diri saya, beliau adalah satu-satunya insan mulia yang perlu dicontohi dari segi nilai murni dan dunia akademiknya yang begitu tinggi. Beliau berjaya mengangkat martabat diri yang sememangnya patut dicontohi oleh insan lain. Takziah untuk keluarga beliau.

Berita dalam e-warga UKM.
Dukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Prof. Senator Datuk Dr. Ismail Salleh ,bekas Pensyarah Fakulti Ekonomi, UKM telah kembali ke Rahmatullah pada jam 3.50 pagi, 27 Ogos 2009. Jenazah masih berada di Singapura dan akan sampai ke rumahnya pada petang ini. Alamat rumah:

Lot 7140,
Jalan Melati 2, Sg. Kantan, Kajang


Warga UKM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang solehah. Al Fatihah.

Selasa, 25 Ogos 2009

Tekiding

Saat ini aku sedang membaca pruf untuk cetakan kali kedua, Enda Gulingku....sepatutnya tak usah dibaca lagi kerana hanya untuk cetakan sahaja, namun atas dasar bertanggungjawab dan ingin mendasari intipati di dalamnya, maka aku gagahi juga menelusuri kandungan memoir Arena Wati ini. Saat ini aku telah tiba di halaman 965. Nyaris sekali aku membuang perkataan tekiding kerana aku tidak faham istilah tersebut.

Oleh sebab aku sudah lama mengenali karya pengarang, maka aku berhati-hati untuk memotong perkataan itu. Setelah aku menyemak kembali rupa-rupanya memang wujud istilah itu, iaitu sejenis raga yang biasanya dibawa oleh mereka untuk mengisi barang-barang. Aku belajar istilah baru hari ini, dan aku akan lebih berhati-hati dengan istilah asing yang baru ditemui - kaji dahulu dan semak di dalam kamus.

Ahad, 23 Ogos 2009

Salam Ramadan


Selamat menyambut bulan Ramadan yang mulia. Semoga dapat mencari keberkatan dan pahala yang berganda sempena dengan kehadiran bulan yang paling dinanti-nantikan ini. Amin.

Khamis, 20 Ogos 2009

Dapatkan Krisis Identiti Seni Bina Malaysia di pasaran sekarang


Saya perturunkan blurb yang terdapat di bahagian belakang buku ini:

Krisis identiti seni bina Malaysia yang wujud sejak empat dekad yang lalu mengundang pelbagai kritikan dan pandangan dari tokoh seni bina di negara ini. Masalah penyebaran idea seni bina melalui penerbitan dikatakan antara punca wujudnya krisis identiti seni bina tersebut. Antara isu yang diketengahkan ialah isi kandungan penulisan yang meyempitkan lagi istilah seni bina kepada bangunan sahaja. Sekiranya itu berlaku, sudah tentu perbincangan isu seni bina sukar menembusi pemikiran masyarakat kerana dianggap sebagai isu elit. Walaupun dilihat ada kebenaranyya, namun kritikan yang diketengahkan tidak disertakan dengan bukti lanjut. Justeru, perbincangan buku ini akan melihat secara serius pandangan tokoh tersebut melalui penelitian terhadap sumber penerbitan seni bina yang moden terulung di Eropah iaitu Pergerakan Arts and Crafts di Britain dan Institusi Deutshe Werkbund di Jerman pada pertengahan buku ini bakal membuka perspektif baru dalam memahami peranan penyebaran idea berkesan kepada kejayaan pelaksanaan sesuatu agenda seni bina. Rasional perbincangan ini ialah untuk melihat potensi pelaksanaannya di Malaysia. Secara ringkasnya terdapat tiga persamaan strategi, penyebaran idea oleh kedua-dua pergerakan tersebut, iaitu penglibatan pelbagai pihak dalam penerbitan seni bina. Unsur seni dan kemasyarakatan wujud dalam penerbitan juga dalam penyebaran idea. Melaluinya, kedua-dua pergerakan ini telah Berjaya mengembangkan pengaruh mereka ke sebahagian besar Eropah dan Amerika Syarikat. Ketiga-tiga strategi tersebut kemudiannya menjadi kerangka utama perbincangan krisis wacana identity seni bina Malaysia yang melibatkan 674 sampel penerbitan seni bina iaitu terdiri daripada buku, majalah dan surat khabar. Pandangan tokoh seni bina yang terkenal banyak diketengahkan di dalam buku ini khususnya mengenai penyebaran idea seni bina di Malaysia.

KAMARUL AFIZI KOSMAN, Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM. Beliau mengkhusus dalam bidang sejarah dan teori seni bina.

SELAMAT MEMBACA.