Khamis, 30 Oktober 2008

Gulai Umbut Kelapa

Rasanya setua usia saya ini, saya tidak pernah masak gulai umbut. Saya bawa umbut kelapa ke pejabat kerana saya tidak suka makan umbut. Ramai yang suka. Oleh sebab terpengaruh dengan keadaan persekitaran semasa di pejabat, saya telah mencuba memasak gulai lemak cili padi umbut kelapa. Saya letak udang kering, dan perencah-perencah gulai yang lain. Lalu, petangnya saya terus menganyam ketupat dan masak gulai lemak umbut tersebut. Peeerh...memang sedap. Hingga menjilat jari tu... Habis dimakan kesemuanya. Biar orang lain tidak memujinya, tetapi saya sendiri dapat merasakan masakan saya itu sememangnya sedap. Apa lagi, rasanya manis kerana umbut baru dan ada lagi lauk sayur goreng, tempe dan sambal. Tentulah menyelerakan. Hai...tak sia-sia saya mencuba masakan ini.

Rabu, 29 Oktober 2008

Pohon Nyiur Nan Sebatang...

Tanggal 29 Oktober 2008 tamatlah kisah sebatang pohon kelapa yang tuanya seusia rumah yang saya sekeluarga tinggal. Seperti kata, Prof. Madya Dr. Ahmad Mahmood Musanif di dalam kuliahnya, "Orang Jawa suka menanam pokok kelapa di keliling rumahnya. Dengan sebab itu, masyarakat Melayu di Pantai Barat suka menanam kelapa. Pokok kepala dikaitkan dengan orang Jawa." Pada hal, buah kelapa yang gugur boleh 'berenang sendiri' dan tumbuh di kawasan pantai. Pasal tu, banyak pokok kelapa dari pantai Selangor menganjur ke Perak sana!!! Agaknya di situ, ramai orang Jawa tinggal atau berhijrah. Bagi saya, pokok kelapa ni agak simbolik. Saya memang suka untuk menanamnya di halaman rumah saya, tetapi akarnya yang keras telah memaksa saya menumbangkannya. Saya takut pohon ini menghempap rumah. Akarnya merosakkan rumah pula. Tanah juga sudah keras, di sana sini di gali semuanya ada akar pokok kelapa. Paling saya terkejut pabila Si Penebang Kelapa berkata, "Pokok kelapa saya adalah pokok kelapa Jantan...." Mana hasilnya...

Isnin, 27 Oktober 2008

Cuti Umum Sempena Deepavali

Salam Deepavali untuk semua penganut India yang beragama Hindu. Saya banyak menerima jemputan untuk hadir ke rumah-rumah kenalan sempena Hari Deepavali ini. Dalam masa yang sama, ada juga jemputan hari terbuka Syawal yang belum lagi habis dan jemputan perkahwinan anak jiran.

Pada sebelah petang, kesempatan cuti umum sempena dengan hari Deepavali ini saya sempat mengunjungi MPH Mid Velley. Saya sempat membeli lima naskhah buku untuk dibaca. Sekarang saya sedang membaca Karya Nan Indah untuk Semua hasil nukilan Faizal Tehrani. Kulit bukunya seakan-akan kulit buku Nisah Haji Haron - Karya Kita Hak Kita. Saya tidak pernah membeli buku-buku Faizal, baik novel mahupun cerpennya. Saya tahu, beliau banyak menang pelbagai anugerah. Ini pertama kali saya cuba mendasari alam fikirnya. Kali terakhir saya mendengar mengenainya ketika hadir Kolokium Citra Dakwah dalam Novel di UKM. Pemikirannya diperkatakan oleh sifunya...Datuk Dr. Muhd. Zuhdi yang kini bekerja di UIA. Saya pernah mendengar orang berkata mengenai pemikirannya dalam banyak wadah penulisan, tetapi setakat ini saya belum mahu komen apa-apa sehingga khatam buku panduan karya kreatifnya ini. Saya juga pernah melihat bertapa tekunnya beliau membaca di satu sudut di meja makan di salah sebuah shopping kompleks suatu ketika dahulu. Saya berkata kepada suami dan anak-anak saya, tu Faizal Tehrani, sedang membaca buku sambil makan - patutlah idea menulis mencurah-curah datangnya. Tidak memperdulikan orang keliling...terus membaca dan membaca.

Rabu, 22 Oktober 2008

Cerita Dari Rumah Masa Depan


Foto: Imej From: Google
Baru-baru ini, usai menghadiri majlis pengebumian seorang pengarang memoir saya, saya terlihat satu catatan di atas salah satu kuburan - "Jangan Ambil Bunga Dari Atas Kubur" - saya terfikir saat itu, mengapa sampai ditulis begitu oleh keluarga si mati.

Untuk pengetahuan, sewaktu saya menziarahi rumah masa depan/pusara aruah ayahanda saya di Tangkak, ada keluarga yang meletakkan duit dengan ditindih oleh batu di atas pusara - mereka bersedekah untuk si penjaga kubur yang sentiasa memastikan kawasan itu tidak semak dan terjaga. Apalah ada dengan seringgit dua, jika kita sendiri yang telah berjauhan tinggal di ibu kota tidak sering melihat-lihat pusara keluarga kita kerana tuntutan tugas. Si penjaga kubur itu yang akan memastikan keadaannya terjaga. Mulia tugasnya. Tidak semua orang biasa boleh bekerja di Tanah Perkuburan jika tidak dikuat-kuatkan semangat. Semangat mesti kuat dan mesti ada pendinding diri.

Tidak bolehkah diambil kembang dari kuburan untuk diletakkan di atas kubur yang baru. Mungkin si keluarga saat itu sedang bersedih dan ingin meletakkan sesuatu tanda di atas pusara keluarga mereka. Mungkin selepas ditabur dengan bunga-bungaan dan daun pandan mereka ingin menanam puding atau tumbuhan kekal yang akan tumbuh selepas itu. Saya sendiri, suatu ketika dahulu, amat terkejut kerana ada insan yang tidak diketahui telah menanam kembang yang amat cantik di atas pusara ayahanda saya. Kami sekeluarga hingga kini tidak mengetahuinya siapa gerangan ampunya tugas. Namun, kami berterima kasih sahaja.

Apa salahnya - tolong halalkan dan sedekahkan saja atau panjang-panjangkan zuriat si kembang. Saya juga terpandang sederetan kuburan yang ada enam batu nisan. Kuburan tersebut amat besar sekali - besar kemungkinan kematiannya bersama-sama kerana catatannya pada tarikh yang sama. Mesti kesedihan bertapai di jiwa keluarga si mati saat menghadapi peristiwa itu. Mungkin jua takdir menentukan mereka kembali ke alam baqa bersama-sama dan disemadikan bersama-sama. Yah! Mereka dikebumikan dalam satu liang lahat. al-Fatihah untuk aruah.

Isnin, 20 Oktober 2008

Nangka




Tidak disangka-sangka, buah nangka yang dibeli dengan harga RM2.00 di pasar malam kini telah begitu mewah mewarni kebun kecil di halaman rumah saya. Puas sudah menuai hasilnya. Manis dan harum baunya....

Shamsiah Fakeh meninggal dunia



Petikan Utusan Malaysia Online
20/10/2008 3:53pm


KUALA LUMPUR 20 Okt. — Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Shamsiah Fakeh, 84, meninggal dunia kerana sakit tua di kediamannya di Tropicana, hari ini.

Shamsiah, yang juga bekas Ketua Angkatan Wanita Sedar (Awas), sebuah parti politik sayap kiri yang ditubuh pada 1946, meninggal dunia pada pukul 9 pagi.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungai Besi selepas solat Asar, kata anaknya Jamaluddin Ibrahim di sini hari ini.

Shamsiah yang sebelum ini tinggal di China dan kembali ke Malaysia pada tahun 1994 selepas termeterainya perjanjian damai antara PKM, kerajaan Malaysia dan Thailand pada tahun 1989, meninggalkan dua anak lelaki dan empat cucu.

Suami Shamsiah, Ibrahim Mohamad dan seorang lagi anaknya telah meninggal dunia sebelum beliau.

- Bernama

Dalam hujan yang tak putus-putus turun, saya sempat bersama-sama kaum keluarga dan sahabat handainya ketika jenazah Makcik Shamsiah disemadikan di Tanah Perkuburan Sungai Besi pada jam 6.00 petang.al-Fatihah. Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan yang solehin. Amin.

Ahad, 19 Oktober 2008

Menukangi Karya Pak Samad Said

Saya berkesempatan membeli buku-buku Pak Samad Said yang terbaru di pasaran. Saya anggap masih baru kerana saya baru sahaja memiliki buku-buku ini dan belum habis membacanya. Buku beliau dibuat dalam gaya santai dan senang untuk dibawa ke mana-mana. Juga kelihatan ranggi dan saya senang untuk membaca karya Sasterawan Negara ini di khalayak ramai. Dengan rasa bangga dan begitu teruja saya berjaya memiliki buku-buku ini. Dari Salina ke Langit Petang (Cetakan Kedua – 2008), Ilham di tepi Tasik (Cetakan Kedua – 2008), Rindu Ibu (Cetakan Keempat – 2006) dan buku Edisi Seni Warisan Melaka – Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri (2006).

Buku Pak Samad mengocak kalbu saya untuk kembali berkarya dan mengambil foto kerana sesungguhnya masa tidak akan menunggu saya untuk berkarya. Apabila sempat dan di mana juga kertas dan pena bersama. Secara kebetulan, petang tadi, saya juga sempat merakamkan gelaggat sang sesibur – pepatung dari luar jendela rumah saya juga kerana mendapat ilham dari buku Pak Samad Dari Salina ke Langit Petang. Pepatung itu saya rakamkan menerusi kamera digital kerana begitu asyik hinggap di dahan pokok bunga kertas yang baru saya tanam. Untuk Ilham di tepi Tasik pula, saya telah menemui lokasinya – di tasik hadapan dewan kuliah di Universiti Putra Malaysia. Sayangnya kembang tersebut berwarna merah jambu bukannya putih. Hidup Pak Samad….karyamu bisa mengocak jiwa yang lara…saya sudah beberapa kali ketemu Pak Samad untuk pelbagai acara ilmiah dan semiilmiah. Terakhir ketika di Pesta Buku PWTC lalu - Wira Bukit. Biar saya tidak beliau kenali tetapi saya tetap mengenali Pak Samad secara dekat lewat karya-karyanya.

Rabu, 15 Oktober 2008

Senario The Movie


Foto Ads By Google
Hujung minggu lalu saya dan suami berpeluang menonton Senario The Movie di Alamanda. Usai majlis rumah terbuka salah seorang VVIP di Putrajaya, saya bergerak menuju ke destinasi seterusnya. Kami punya masa lapang ketika itu, biarpun dengan berpakaian yang tidak sesuai untuk masuk panggung!!!! Saya juga suka bawa anak-anak untuk menonton, itu pun jika mereka lapang. Moral daripada cerita ini, saya dan pasangan sentiasa ada masa lapang untuk menonton wayang tidak kira filem Melayu, Cina, Hindustan mahupun Inggeris. Banyak perkara yang boleh kita pelajari bila menonton filem. Menonton di panggung tidak sama dengan menonton movie di rumah. Stuasinya agak lain. Kita boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada jalan cerita filem tersebut ketika menonton. Tidak perlu bertih jagung ataupun menonggak air. Hanya perlu tonton dan jadikan pengajaran daripada jalan cerita yang kita tonton.
Saya cukup tertarik dengan karektor Fauziah Nawi - memang kelas lakonannya. Tidak ada sendu dan juraian air mata. Malahan mengundang gelak sepanggung. Beliau lari daripada buaian lakonan yang sering dibawanya ditangan Rashid Sibir. Untuk Mazlan, kamu punya bakat yang luar biasa, tidak semua boleh menjadi sepertimu. Biarpun kadang-kadang seperti keanak-anakan tetapi itulah realitinya bakat semula jadi Mazlan yang saya kenal ketika terjun ke dunia lawak.
Kini, saya menantikan pula lawak Si Nabil. Secara peribadinya, saya suka kepada lawak Nabil yang begitu intelektual, punya inti pati cerita dan seolah-olah tidak membodoh-bodohkan penonton. Beliau menjadi seperti dirinya yang sebenar. Nasihat saya untuk anak muda Mambau ini, usah dibuai dek pujian. Menonton rancangan dan mengikuti jalur perjalanannya daripada program Raja Lawak Astro, saya akan rasa, Nabil seperti menghormati khalayak yang berada di hadapannya ketika mencurahkan idea. Memang patut beliau dinobatkan sebagai Raja Lawak Astro musim kedua. Semoga perjalanan senimu terurus dan penuh makna.

GARAM

HARI INI SAYA BELAJAR PASAL GARAM...MENERUSI PENGARANG SAYA. Biarpun remeh, tapi ingin saya catatkan di sini...Kata pengarang saya, garam adalah lambang kekuatan batin bagi masyarakat Melayu tradisional. Biarpun mudah didapati, manusia tidak boleh hidup tanpanya. Kematangan seseorang itu dilihat kepada diri mereka yang lebih banyak makan garam. Orang tua lebih banyak makan garam. Pengajarannya: Oleh itu hormatilah orang yang lebih tua, tolong respek ilmu mereka kerana mereka insan yang lebih berpengalaman dari kita dan tentulah lebih dahulu makan garam. Garam, Oh Garam... garam, patutle banyak bomoh menggunakan garam ketika mengubat...ikan dilaut tidak akan masin isinya disebabkan tinggal di lautan yang sememangnya air laut itu sudah semestinya masin.

Selasa, 14 Oktober 2008

Pantun Peranakan Baba - Mutiara Gemilang Negeri-negeri Selat

Pantun Peranakan Baba - Mutiara Gemilang Negeri-negeri Selat adalah karya Prof. Dr. Ding Choo Ming (2008). Buku ini berada di pasaran semenjak 28 Julai 2008. Profesor Dr. Ding adalah Profesor dan Felo Penyelidik Utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM. Sebelum ini beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat. Beliau juga pernah menjadi Pustakawan Tun Seri Lanang. Beliau adalah insan yang sangat gemar membaca dan jalur hidupnya dalam bidang akademik terhenti ke takat yang cukup tinggi iaitu menjadi seorang Profesor. Saya tabik dengan kerjaya beliau yang meningkat begitu.
Bekerja bersama-samanya saat menerbitkan buku ini, menuntut banyak kesabaran. Saya sendiri mengakui, saya sering dirundung masalah saat menerbitkan bukunya, namun saya tetap tabah dan tegar menghadapi saat-saat begitu. Itulah harga yang perlu dibayar sekiranya seseorang itu ingin terjun dalam bidang perbukuan negara. Bagi saya, disiplin diri amat penting.

ASPEK NAHU PRAKTIS BAHASA MELAYU

Aspek Nahu Praktis Bahasa Melayu adalah karya suntingan Prof. Dr. Zaharani Ahmad (2008). Mungkin saat ini, beliau telah berada di Korea kerana tuntutan tugasnya sebagai pensyarah jemputan di sana. Beliau adalah Profesor dan pensyarah linguistik di Program Linguistik, Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, UKM. Bidang tujahan beliau adalah fonologi dan morfologi.
Buku ini menemui sasaran pada 10 Jun 2008 lepas. Bagi saya, secara peribadinya, buku ini juga agak sukar untuk ditangani. Banyak simbol-simbol fonatik yang hanya pengarang sahaja yang boleh menentukan betul atau salahnya. Kita harus merujuk terus kepada pengarang kerana setiap simbol mempunyai maknanya. Buku ini agak berat isi kandungannya dan sesuai untuk bacaan pelajar pengajian tinggi, ahli bahasa, pejuang bahasa dan juga guru-guru Bahasa Melayu.
Di dalam buku ini, pengarangnya ada mendefinisikan tentang nahu praktis itu sendiri yang membawa maksud nahu yang memerlukan pendeskripsian tentang sistem dan peraturan kebahasaan berdasarkan penggunaan bahasa yang dipraktiskan oleh penuturnya dalam pelbagai konteks dan wacana penulisan.

PAKAI PATUT MELAYU

- salah satu gambar dalam Pakai Patut Melayu. Foto By. Ikhwan Hashim.
Buku Pakai Patut Melayu (2008) karya asal Mejar Dato' Mohd. Said Sulaiman kini akhirnya menjengah jua ke dunia. Saya mengambil masa yang cukup lama dan bersabar dengan kerja-kerja penyuntingan dan penerbitannya. Buku ini diajukan penerbitannya ke sini oleh Puan Azah melalui bos lama saya. Pada asalnya, saya menjangkakan buku ini tidak dapat diterbitkan kerana banyak faktor yang mengekangnya. Kebetulan saya boleh menulis dan membaca Jawi, maka kerja-kerja tersebut menjadi agak mudah.
Nah! tanggal 14 Oktober 2008 akhirnya buku ini berjaya menemui sasaran pembacanya. Dalam usaha menerbitkan buku ini, saya terpaksa membalik-balikkan antara kedua-dua versi - antara ejaan Rumi dan Jawi. Susah memang susah kerja ini. Saya tidak pernah membuat buku sebegini. Versi Rumi disediakan oleh Puan Khadijah Hashim, penulis yang tersohor. Saya telah pun berkomunikasi dengannya. Tuturnya begitu lembut.
Begitu juga saya hadir ketika sesi penggambaran yang dikendalikan oleh Ikhwan bersama-sama model-model UKM. Masa yang diambil begitu lama. Gigih dan bersemangat. Buatlah apa gaya sekali pun, mereka yang muda belia ini sanggup mengabadikan koleksi pakaian tradisional Melayu milik Pusat Kebudayaan UKM ini.
Saya bersyukur kerana dilorongkan jalan yang begitu mudah untuk kerja-kerja penerbitan buku ini. Saat saya berhadapan dengan pemilihan pakaian yang bersesuaian untuk diletakkan di dalam buku ini, Eton dari pihak Pusat Kebudayaan banyak membantu. Juga kepada pereka PP & P, Puan Insyirah yang telah merekaletak kulit dengan begitu kreatif dan kemas, terima kasih, terima kasih. Cantik cara kerjamu.
Saya juga meletakkan sedikit penghargaan dalam ruangan prakata Editor bagi mengabadikan mereka yang sanggup berkolaborasi bersama saya sehingga akhirnya buku ini berada di pasaran. Terima kasih semua.

Ahad, 12 Oktober 2008

Gaya Mewah Rumah Felda

Untuk lebaran lalu saya berpeluang mengunjungi rumah kakak ipar saya di Felda Palong 9. Saya sebenarnya telah bertahun-tahun masak dengan keadaan rumah di situ. Namun raya ini saya benar-benar terkejut kerana hampir ke semua rumah-rumah rancangan FELDA tersebut telah berubah wajah menjadi banglo-banglo mewah semacam rumah orang-orang kaya di Kuala Lumpur. Mungkin orang Kuala Lumpur, yang sudah bertahun-tahun mengumpul aset pun tidak mampu untuk membina rumah mewah sebegitu. Tanah yang luas memanjang ke belakang dimanfaatkan dengan binaan dan landskap yang cukup menarik.

Saya tidak pasti mengapa semua rumah papan identiti FELDA diganti dengan rumah atap genting yang mewah begitu. Memang teruja melihat rumah-rumah begitu. Adakah untuk memanggil anak-anak peneroka pulang ke kampung masing-masing!!! Bagi saya secara peribadinya, rata-rata gaya mewah begitu boleh menggamit anak-anak FELDA yang telah terdidik di bandar untuk pulang semula tinggal di FELDA untuk berbakti kepada negara. Ada juga yang sempat mengusik - semua pintu utama mereka diganti dengan pintu Sembilu macam rumah-rumah dalam cerita Sembilu Dato' Yusof Haslam. Kalau anda tidak percaya silalah berkunjung ke tanah rancangan tersebut sekarang. Oleh itu, janganlah terkejut. Itu bukan kejutan tetapi realiti di hadapan mata kita.

Hadiah Nobel milik Ahtisaari

OSLO – Bekas Presiden Finland, Martti Ahtisaari diumumkan sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan kerana mengenang jasa beliau yang menghabiskan masa lebih 30 tahun untuk membantu menghentikan konflik-konflik dunia termasuk di Kosovo, Namibia dan Aceh.

Ahli Jawatankuasa Nobel di Norway memilih Ahtisaari, 71, berikutan usahanya untuk menjadikan dunia lebih aman dan penduduk negara kembali bersatu.

Ahtisaari kemudian berkata, Namibia merupakan kejayaan terbesar dalam sejarah kerjayanya kerana usaha memulihkan keamanan di negara tersebut mengambil masa terlalu lama. – Kredit: Berita petikan dpd internet: AFP online.

Isnin, 6 Oktober 2008

Sayang: Pantun dan Seloka Kanak-kanak




Foto By: Ismail Ibrahim
Petikan daripada Utusan Malaysia: ARKIB : 02/06/2008

Ruangan Sehari Sebuah Buku

BUKU ini menyentuh pelbagai aspek berkaitan pantun dan seloka kanak- kanak. Antologi ini dikumpulkan oleh tokoh budayawan, Azah Aziz yang telah mengkaji sastera puisi Melayu zaman dahulu. Beliau mendapati dalam puisi Melayu lama terdapat banyak pantun dan seloka yang ditujukan kepada kanak-kanak.

Istilah seloka di sini bermaksud puisi atau rima kanak-kanak yang disebut nursery rhymes dalam bahasa Inggeris. Seloka seumpama ini biasanya pendek, ringkas dan amat mudah untuk diingati dan dihafal oleh golongan kanak-kanak.

Pantun yang dimaksudkan pada umumnya ialah pantun empat kerat. Pantun adalah puisi atau warisan kata-kata yang cukup indah dan sering-kali mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu serumpun.

Pantun selalunya digunakan dalam majlis-majlis rasmi seperti menyambut ketibaan pemimpin, upacara pembukaan majlis atau sewaktu diadakan majlis perkahwinan. Menerusi tradisi berpantun dapatlah seseorang itu menyampaikan pengajaran, nasihat, panduan dan bimbingan kepada semua lapisan anggota masyarakat yang turut mewarisinya secara turun-temurun.

Secara perbandingan mengapa pantun dapat bertahan padu hingga ke hari ini adalah disebabkan pantun dicipta oleh masyarakat lama yang kukuh dan padu, tidak pecah belah berserak seperti masyarakat moden.

Pantun adalah bentuk puisi yang teristimewa sekali dalam perbendaharaan sastera lisan Melayu. Keistimewaan pantun terletak pada keindahan dan popularitinya.
Apabila pantun-pantun Melayu digunakan sebagai media pengiring dan pemanis kata, maka suasana dan sekitar majlis akan berlangsung dengan penuh kemesraan, indah dan riang. Pastinya penggunaan pantun dalam sesuatu ucapan bukan sahaja akan menyentuh perasaan setiap yang hadir, tetapi akan membantu mempertajam penyampaian hajat dan hasrat serta pujian dan sanjungan.

Tradisi

Pantun juga lazim digunakan untuk menyampai hasrat rombongan ketika majlis peminangan dan perkahwinan. Usaha menghimpunkan pantun ini menjadi perlu khususnya sebagai bahan dokumentasi generasi masa kini dan akan datang dengan harapan tradisi berpantun dapat terus dilanjutkan.

Selain menunjukkan proses kreativiti orang Melayu, pantun juga turut menonjolkan seni berbahasa dan seni kreatif orang Melayu yang handal dalam menyampaikan sesuatu mesej menggunakan bahasa berirama sekali gus mewakili nilai sosiobudaya Melayu.
Pantun Melayu turut menyerlahkan lagi pemikiran dan latar belakang sosiobudaya masyarakatnya melalui pemakaian bahasa yang berangkap, bersifat umum dan berkias. Pantun Melayu adalah hak milik bangsa dan tamadun Melayu. Pantun wujud dan berkembang dalam tradisi lisan dan tradisi tulisan.

Perkara-perkara yang wajar diambil kira mengenai pantun adalah keunikan bahasanya, aspek estetika dan etikanya, nilai, pemikiran dan falsafahnya, jati diri dan pandangan serta persepsi dan akal budi. Pantun dan seloka dalam buku ini terbahagi kepada lima bahagian iaitu Bermain, Keluarga, Alam, Nasihat dan Dodoi.
Dalam khazanah sastera Melayu lama, ada banyak pantun dan seloka yang menggalakkan ahli-ahli keluarga bermain dan mengagah anak kecil.

Melaluinya boleh diberikan ajaran, bimbingan dan rangsangan yang berguna kepada anak yang sedang membesar supaya ia kelak menjadi insan yang sempurna.
Pantun dan seloka yang terkandung dalam antologi ini boleh diungkapkan begitu saja, didendangkan dengan timangan dan gerak-geri atau dinyanyikan sambil bermain dengan anak itu yang boleh mengundang perasaan gembira kanak-kanak yang masih kecil.
Kesemua pantun dan seloka yang terkumpul dalam buku setebal 96 halaman ini memaparkan semangat kasih sayang antara ahli keluarga, suatu tradisi dalam kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu.

Atas dasar semangat kasih sayang yang begitu tinggi dan mendalam telah mendorong Azah Aziz untuk menguatkan cita-citanya mengumpul puisi-puisi yang amat bermakna di dalam antologi yang digarapnya dalam bentuk mewah lagi berwarna-warni.

Tajuk: Sayang: Pantun dan Seloka Kanak-kanak
Dikumpulkan oleh: Azah Aziz
Dilukis oleh: Dzulkafli Buyong
Tebal: 96 halaman
Tahun: 2008
Penerbit: MPH Publishing
Harga: RM30
Pengulas: SAADAH JAFFAR