Rabu, 30 Januari 2013

Bandar Baru Bangi - Fasa 1

31 Januari 2013 - Pagi ini saya ke tempat kerja seperti biasa.  Zaman telah berubah benar...Ingin saya ceritakan di sini pengalaman silam sebermula awal kedatangan saya sebagai pendatang baru di Bandar Baru Bangi (BBB) awal dekad 1980.  Saya berhijrah daripada kampung halaman di Johor untuk mencari rezeki di Selangor. Saya sangat muda remaja ketika itu.  Betul-betul baru habis sekolah.  Masak pun tak tahu langsung.  Masih berkepit dengan ibu bapa.  (Ibu bapa yang sangat-sangat mementingkan nilai-nilai murni sebagai seorang anak perempuan).   Dapat kerja di UKM sangatlah mengujakan.  Wah!  Sudah semacam bebas ni.....bebas bagai burung berterbangan keluar dari sangkarnya.

Saya tinggalkan keluarga yang disayangi dan memulakan hidup baru bersama rakan-rakan serumah.  Rakan-rakan serumah ini saya temui di tempat kerja.  Beberapa kali kami berpindah rumah kerana tuan rumah mahu menyewakan kepada orang lain.  Seingat-ingat saya...sepanjang tempoh tinggal di BBB sehingga berumah tangga ini, saya pernah tinggal di Jalan 1/6, 1/2, 1/3, 2/3 dan kini menetap di Fasa 3.....(Jadi saya mengaku amat arif dengan semua perkembangan BBB).  Jadi, tolong jangan kelentong dengan apa jua yang berlaku di BBB.  Saya tahu semuanya!  Rupa-rupanya jodoh saya di sini.  Saya bertemu jodoh dengan orang Selangor....

Tetapi, hari ini keluar sahaja daripada rumah sudah jem bagai nak rak.  Kereta punyalah banyak.  Bukannya ada hujan atau kemalangan.  Saya pun tidak mengerti mengapa banyak sangat kenderaan pada pagi ini.  Mungkin di UKM ada majlis Maulidur Rasul.  Jadi ramai warganya yang tinggal di Bandar Baru Bangi mahu buru-buru sampai sebelum jam 8.00 pagi.  Selalunya saya tidak lewat untuk sampai kerana saya sudah bajet-bajet waktu untuk sampai sebelum jam 8.00 pagi.

Awal dekad 1980-an dahulu, tiada kereta langsung untuk menuju ke UKM.  Biasanya saya menumpang teman-teman sekerja yang tinggal berdekatan untuk ke tempat kerja.  Saya akan bayar bulan-bulan.  Biasanya suami isteri yang bekerja akan membenarkan anak dara menumpang keretanya.  Kereta tersebut mesti penuh dengan tiga orang penumpang yang bayar bulan.  Tidak ada rasa cemburu buta.  Semuanya nak ke tempat kerja.  Kami pun dah mengenali hati budi pasangan suami isteri tersebut sebelum menumpang dan membayar secara bulanan.

Saat ada acara di DECTAR pada malam hari, kami rakan-rakan serumah akan berjalan kaki dengan rasa gembira tidak terhingga daripada Fasa 1 menuju ke DECTAR.  Tidak penat langsung!  Kami akan berjalan kaki  beramai-ramai pergi dan balik.  Memang tidak ada kenderaan langsung.  Cukup lenggang biarpun jam sudah menunjukkan ke angka 12.00 malam.  Biasanya jika ada acara kebudayaan di DECTAR kami akan hadir.  Itu sahaja hiburan yang ada untuk kami yang muda-muda ini.

Hari Sabtu bila pulang daripada tempat kerja (12.45 tengah hari) kami akan terus ke Great Wall di Kajang.  Untuk apa?  Itulah satu-satunya tempat untuk kami lepak dan mencari barang-barang keperluan.  Tidak ada pusat membeli belah yang gah seperti sekarang.  Tetapi Great Wall dah tak ada.  Ada Parkson, Warta, Billion, Metro Kajang dan sebagainya.  Mahu ke Kuala Lumpur kita harus menaiki bas Foh Hup.  Punyalah ramai orang tidak terkira.  Tapak Parkson itulah stesen bas lama.  Bas Sum akan berhenti di situ.  Kami akan mengikut masa bas Sum.  Kalau tidak akan ketinggalan untuk balik ke Bandar Baru Bangi (BBB).  Semua yang balik ke BBB kami kenal mukanya.  Komuniti kami cukup kecil.  Penumpang pun tak ramai.  Rakan-rakan mahu berdating pun susah.  Semua komuniti BBB kenal.  Yah!  Grup kami cukup dikenali di BBB.  Wajah saya dan rakan-rakan serumah mungkin cukup popular untuk masyarakat awal BBB.  Ramai jiran-jiran kami sudah meninggal dunia.  Anak-anak mereka pun sudah bekerja.  Rata-rata sudah berusia awal 30-an dan telah berumah tangga.  Mereka pasti menjemput kami jika diadakan majlis kenduri kahwin.  Saya dan suami akan pergi kerana mengenang persahabatan dengan komuniti BBB yang lama ini.  Begitulah eratnya persahabatan kami hingga kini.  Generasi baru keluarga mereka pun ada yang mengenali kami. Anak-anak ini akan menelefon saya untuk memberitahu jika ada yang sakit atau meninggal dunia.


...akan bersambung

Tiada ulasan: