Memaparkan catatan dengan label Bandar Baru Bangi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bandar Baru Bangi. Papar semua catatan

Rabu, 8 Mei 2013

Bandar Baru Bangi 6

Pada 5 Mei 2013 nan lalu, hampir seluruh penduduk Bandar Baru Bangi keluar mengundi.  Oleh sebab itu saya mengambil kesempatan untuk pergi ke Pusat Pembuangan Undi dengan menaiki kereta yang dihantar oleh anak saya.  Ini semata-mata untuk mengelakkan jem.  Kami berempat telah berpecah membuang undi masing-masing mengikut kawasan yang telah ditentukan oleh pihak berwajib.  Destinasi terakhir, saya pulang ke kampung kerana menghantar bonda saya yang akan membuang undi di Dun Ledang.  Di BBB saya beratur selama 2 jam.  Punyalah ramai orang.....rasa-rasanya semua penduduk BBB keluar mengundi....

Isnin, 18 Februari 2013

Bandar Baru Bangi - Fasa 5

Bandar Baru Bangi:  19 Februari 2013.  Pagi ini seperti biasa pergi ke tempat kerja agak lewat kerana kesesakan jalan raya bermula daripada simpang rumah saya ke tempat kerja.  Oh, rupanya barulah saya ingat bahawa pelajar UKM  sudah memulakan kuliah baru.  Itulah antara sebab yang menyebabkan jalan menjadi jem.  Aduh!  Bisa telaat ni pak...  memang pun saya sudah terlewat.  Bajet-bajet masa sudah terlebih sudah jam 8.00 pagi.  Kereta masih lagi tidak bergerak-gerak ni.  Mungkin cuaca yang dingin dan ditambah dengan hujan yang masih lagi malu-malu tetap setia turun membasahi bumi.

Sampai sahaja tempat bekas lombong yang sudah ditambah dengan tanah kawasan lain dan didirikan bangunan/perumahan pun masih lagi jem tak bergerak-gerak.  Tasik yang yang terbentang di hadapan mata sesekali menyejukkan mata memandang.  Sebelum ini kawasan itulah yang menjadi tumpuan apabila tidak ada air di Bandar Baru ini.  Ramai yang suka mandi manda di situ, terutama pelajar UKM.  Itu suatu ketika dahulu.  Kini, tidak lagi.  Banyak pula rumah kongsi di kawasan itu.  Pada pandangan saya, mereka ni rasa-rasanya menggunakan tasik bekas lombong itu.....

Kalau sebelah petang ada juga yang rajin memancing.  Saya pun tak tahu mereka ni dapat ikan atau tidak.  Tapi adalah juga kereta yang parking di kawasan rumah contoh dan memancing di kawasan lombong tinggal itu.  Dengar-dengarnya ada cerita seram di situ....kawan-kawan saya cakap kalau dia pergi memancing di situ, ada 'orang tak nampak' baling-baling batu ke tengah tasik.  Itu tidak dapat saya pastikan.  Kena cuba dulu memancing di situ, baru ada pengalaman dan mungkin boleh cerita di sini.  Hah! Itulah satu-satunya lombong tinggal yang masih ada.  Selebihnya sudah ditambak dan dijadikan kawasan perumahan.  Hai!  Kita tidak tahu apa akan jadi kepada mereka yang membeli rumah itu.  Harap-harap mereka semua baik-baik kerana mereka sudah melabur wang yang cukup besar kerana membeli rumah tersebut.  Hampir semua wang dicurahkan untuk memiliki rumah itu.

Oleh sebab sudah agak lewat maka saya pun terlupa di mana saya letakkan telefon genggam.  Sebelum itu saya menyiapkan sarapan pagi.  Aduh...di mana ye...saya terlupa di mana saya letak telefon genggam saya.  Jadinya sepagi-pagi ini saya tidak diganggu oleh sebarang deringan telefon.  Rasa seperti orang bercinta tanpa oksigen pun ada ni.  Rupanya tanpa telefon genggam agak menyukarkan pergerakan kita untuk menghubungi sesiapa atau mahu mengetahui siapa yang menghubungi kita.  Sedangkan sebelum ini kalau timbul nombor-nombor yang saya tidak dikenali kadang kala malas juga saya mahu mengangkatnya.  Tambahan pula kalau ketika itu saya sedang sibuk dengan urusan rasmi yang memang saya tidak gemar langsung untuk berkomunikasi dengan sesiapa.  Saya selalu fokus kepada kerja dan saya jadi mual dengan rakan-rakan yang sibuk berbalas tweet ataupun melayan fb....apa lagi menjawab telefon secara tidak malu-malu bercakap dengan suara yang kuat.

Pagi yang dingin ini jiwa saya agak tersentuh hati apabila makcik yang sering menyapu kamar kerja saya bertanya tentang bagaimana saya memasak nasi goreng.  Saya pun berhenti menaip dan mengajarnya supaya memasukkan itu, ini dan jangan hanya tumbuk bawang dengan cili.  Kena letak sekurang-kurangnya 15 bahan masakan!  Maka makcik pun ketawa geli hati.  Agaknya makcik ingat saya ni bercanda di pagi hari.  Seperti biasa selepas dia menyapu bilik saya, saya hulurkan bekalan saya kepadanya.  Kalau saya makan seorang mesti tak habis-habis.  Tambah-tambah pula kalau saya makan banyak tentu akan menjadi-jadi bertambahlah berat badan ini....

"Ni, hah makcik bahagian saya masih ada lagi..."  kata saya kepadanya.

Jujurnya saya selalu masak nasi goreng kerana itulah antara sarapan pagi yang cukup mudah selain daripada makan roti bakar atau roti goreng.  Biarpun saya hampir empat tahun bermastautin di Belgium, tetapi hati dan jiwa saya tetap Melayu.  Saya masih lagi makan nasi setiap hari.  Ketika di luar negara pun saya memang suka mencari nasi.  Biasanya kalau ada nasi beryani pun saya sapu juga.  Maklumlah ramai orang Turki, Arab atau lain-lain bangsa yang Muslim membuka restoran nasi ala-ala selera mereka di mana-mana di dunia ini.  Kalau setakat goreng jemput-jemput bawang tu saya kurang minatlah....

Selasa, 12 Februari 2013

Bandar Baru Bangi - Fasa 4

Bandar Baru Bangi:  13 Februari 2013 - Kita kerja, kita dapat gaji. Oleh sebab itu, mana-mana kita nak beli barangan keperluan dapur  itu juga menjadi hak peribadi kita.  Kalau kita membeli belah di pusat membeli belah tidak menjadi masalah rasanya kalau kita mempunyai wang yang banyak.... tetapi kalau kita membeli belah di pasar malam sudah nampak lain... Ada perbezaan di antara membeli belah di pusat membeli belah untuk kedua-dua tempat ini....pendek kata ada kelas-kelas yang tersendiri.  Itu semua bergantung kepada pusat membeli belah yang bagaimana rupanya....Siapa yang datang belanja dan siapa yang menjualnya.

Untuk kes penduduk di Bandar Baru Bangi ini, mereka sudah terbiasa membeli belah di Warta dan Billion.  Dua buah pusat membeli belah ini agak sinonim dengan penduduk asal BBB.  Apa sahaja ada di sini.  Biarpun nampak macam tak ada kelas bila kita membeli di sini tetapi jiwa agak tenang dan senang membeli.  Parking pun tak payah bayar.  Kecuali di Billion ada sekat sana sekat sini.  Saya dah lama tak ke sana sejak ada palang-palang kat bawah tempat parking tu.  Ada pulak yang dikhaskan untuk pegawai-pegawai petugas yang entah datang ke entah tidak ke tempat kerja.  Sudahlah susah nak parking....tempat parking pun terhad.  Saya pulak  malas nak parking kat luar.  Saya lebih suka pergi ke Warta.  Di sini, kita boleh mengambil apa sahaja dan terus pulang.  Fikiran kita perlu fokus kepada apa yang kita nak beli.  Tempatnya kecil tetapi telah mengalami banyak anjakan paradigma yang begitu menakjubkan.  Ada banyak tempat makan.  Itu bagi pencinta makanan segeralah.  Saya beli dan balik masak sendiri.  Ikut mood sayalah.  Malas nak makan-makan kat situ.  Kalau nak makan KFC pun saya bungkus dan bawa balik.  Tetapi sejak akhir-akhir ini saya dah macam terasa loya nak makan KFC.  Ini semua gara-gara saya terlihat sekeping gambar yang dipostkan di wall fb saya.  Agak meloyakan bila saya tenguk foto tersebut.  Tak payahlah saya nak cerita di sini.  Tetapi memang ada kesan kepada saya.  Untuk orang lain saya tak tahu. Terpulanglah.  Bagi saya, janganlah disekat-sekat rezeki orang ni.  Itu saja.

Suatu ketika dahulu, penduduk BBB, tidak kira apa jawatannya sama ada makcik suri rumah, pakcik pencen ke, Profesor ke, Profesor Madya ke, Dr. ke atau pensyarah ke...kerani ke, par ke dengan isteri-isterinya sangat suka membeli sayur-sayur segar di pasar malam dan pasar tani.  Setahu saya, ramai yang dah berpangkat besar sekarang.  Sekarang ni mungkin kerana saya tidak lagi kerap ke pasar malam saya tidak lagi terjumpa dengan orang-orang yang sama.  Dulu mereka ni siap membawa bakul/raga.  Ada satu profesor tu siap pakai terendak lagi....(dah aruah dah)...aruah dato' ni memang suka sangat membeli sayur di pasar malam.  Mungkin pasar malam belakang rumahnya sahaja.  Kemudian pasar malam berpindah randah.  Ada banyak pulak seksyen di BBB ini dan ada banyak pulak hari-harinya.  Jadi sudah tak ada nilai eksklusif lagi.  Ada pasar malam Ahad dan Selasa dekat Shell, pasar malam Rabu dekat Fasa 4 dan lain-lain itu tidak ada dalam minda saya kerana saya tidak tahu.  Dulu fasa malam Ahad dekat dengan Restoran Adam Seafood - dekat depan  rumah YB Adun Bangi Dr. Shafie,.  Saya jalan kaki sahaja masa itu.  Kerana saya pun duduk menyewa dekat sangat dengan rumahnya - barisan belakang rumahnya - rumah hujung.  Kita duduk ramai-ramai.  Tak payah masak.  Pergi sahaja ke pasar malam dan bawak balik terus makan.  Sekarang ni ramai pulak mamat dan minah yang pergi ke pasar malam yang saya dah memang tak kenal.  Tambahan pula, pernah kereta saya ditabrak orang di tempat parking di pasar malam fasa 4.  Saya jadi lagi marah dengan orang yang 'tidak bertamadun' ni.  Sudahlah kereta saya ditabrak, ditinggalkan macam tu sahaja.  Bukan sahaja saya  yang kerugian, tetapi menjadi bertambah-tambah sangat marah dengan keadaan itu.  Jadi, itulah yang membuatkan saya malas... dan mungkin itulah juga antara faktornya saya lebih selesa untuk ke tempat lain bagi membeli barangan keperluan dapur.

....akan bersambung


Isnin, 4 Februari 2013

Bandar Baru Bangi - Fasa 3

Bandar Baru Bangi: 5 Februari 2013 - Sewaktu memulakan perjalanan ke tempat kerja saya rasakan pagi ini cukup dingin sekali.  Langit di atas sana nampak gelap seakan-akan mahu runtuh menyembah bumi sebentar nanti.  Saya rasa bila-bila masa sahaja akan melimpah ke serata Bandar Baru Bangi ini.  Dulu saya tidak pernah takut jika mahu ke tempat kerja dalam keadaan hujan selebat mana sekali pun.  Tetapi sekarang, apakala anda berada di mana-mana kawasan di BBB ini air akan naik mendadak di jalan-jalan raya.  Ramai yang ketakutan apakala hujan turun dengan lebat.

Bayangkanlah pokok yang saya tanam sendiri sudahpun menghasilkan buah dan boleh saya bawa hasilnya untuk dikongsi bersama-sama dengan jiran dan rakan-rakan di pejabat.  Ini menunjukkan tahap kematangan pokok tersebut sehingga sudah boleh berbakti kepada tuannya.  Pokok kelapa yang saya tanam sudah beberapa kali diambil daunnya untuk dibuat ketupat.  Begitu juga ada yang telah saya tebang kerana terlalu besar dan saya risau akan kematangannya yang bakal mengundang bahaya kepada kami sekeluarga.  Upah untuk menebang adalah RM200.00 untuk sebatang pokok kelapa. Umbutnya saya boleh makan dan batangnya saya bakar....(maka pencemaran alam pun berlaku).  Saya bakar sikit-sikit kerana orang yang menebang pokok saya itu melonggokkannya di tepi rumah saya.  Jadi saya terpaksa bakarlah sedikit demi sedikit pada waktu malam.  Pokok nangka saya juga sudah beberapa kali berbuah.  Itu tidak termasuk pokok mempelam, pisang,  jambu air dan lain-lain...  pokok mempelam saya sudah ada yang saya tebang.  Saya gantikan pula dengan pokok mempelam yang lain.  Bunyinya seperti ada kebun, tetapi ketahuilah bahawa saya tanam cuma di sekeliling rumah saya sahaja.  Semuanya sebagai hobi sahaja.

Sekarang ini jika kita mahu ke Universiti Kebangsaan Malaysia dari arah Klinik Kesihatan Kerajaan BBB (Pusat Kesihatan - saya lupa namanya) jalan itu memang selalunya banjir.  Kereta saya pernah terhenti di situ kerana saya melanggar air yang banyak di atas jalan raya sedia ada.  Dalam keadaan hujan yang amat lebat sekali ketika itu memangnya menakutkan sesiapa sahaja.  Kereta saya terhinggut-hinggut tetapi saya tetap menekan pedal minyak.  Akhirnya kereta saya jalan juga biarpun bergegar-gegar kerana mungkin air sudah masuk ke enjin.   Wah!  Bukan main takut sekali.  Semenjak hari itu, saya tidak lagi melalui jalan tersebut ketika hujan lebat.  Saya sanggup tunggu hingga teduh dulu (bak kata Faisal Tehrani - Tunggu Teduh Dulu) barulah saya bergerak untuk ke tempat kerja.  Begitu juga jika kita melalui jalan raya berhampiran dengan Billion berdekatan McDonald.  Di situ juga kerap banjir kilat.  Saya katakan ini berdasarkan kepada pengalaman saya.  Ada juga rumah jiran-jiran saya yang dinaiki air kerana longkang di belakang rumah mereka sudah dipenuhi air.  Longkang tidak diselenggara dengan betul dan tersumbat.  Jadi air akan naik dengan cepat terutama jika hujan terlalu lebat.  Air ini semacam tidak tahu ke mana hendak dituju, jadi melimpahlah ke atas jalan raya bersama-sama arus kereta yang melingkarinya.  Bahaya memang bahaya tetapi pengguna jalan raya terpaksa menghadapi perkara ini kerana mahu cepat menuju ke tempat yang dituju.

Oleh sebab BBB sudah melebihi 30 tahun lebih maka banyaklah pokok-pokoknya yang telah matang.  Saya rasa BBB sudah melebihi 40 tahun atau mahu menyamai angka jubli perak gitu.  Alasan ini  saya berikan jika kita lihat kepada kematangan pertumbuhan pesatnya.  Pokok-pokok yang besar ini benar-benar mengundang ketakutan kepada pemandu kereta mahupun motorsikal.  Bila-bila sahaja dahan pokok akan rapuh dan pokok akan tumbang menghalang pengguna jalan raya.  Begitu juga dengan tanah runtuh.

Pernah juga suatu petang ketika saya pulang daripada tempat kerja berlaku tanah runtuh berhampiran dengan stesen Petronas Fasa 3.  Tanah bukit tersebut runtuh dan tanah yang melimpah ke atas jalan raya hampir-hampir menutup jalan raya.  Agak menakutkan juga.  Saya dengar khabar tanah mangsa merupakan sebuah rumah kepunyaan kakitangan di UKM.  Mungkin benar mungkin tidak.  Sesiapa yang rajin kena siasatlah....

Pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kenalah bertindak memotong dahan-dahan dan menebang pokok-pokok yang bakal mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.  Petugas-petugas di MPKj juga harus mengawas dan memantau ke semua pokok-pokok yang telah tua.  Tindakan yang sewajarnya perlu diambil bagi keselamatan penduduk BBB.  Kita semua tidak tahu malang akan berlaku. Saya rasa pihak berkenaan terlalu sibuk maka hal ini boleh diswastakan  semua kerja-kerja ini kepada kontraktor yang berminat.

...akan bersambung

Ahad, 3 Februari 2013

Bandar Baru Bangi - Fasa 2

Bandar Baru Bangi:  4 Februari 2013 - Pagi ini di bulatan Seksyen 16 Bandar Baru Bangi (BBB) menuju ke UKM berlaku lagi kemalangan jalan raya.  Tempat itu memang biasa terjadi kemalangan.  Ada orang langgar lampu elektrik, langgar belakang kereta orang dan macam-macam lagilah.   Agaknya kawasan itu perlu ada lampu isyarat.  Senang cakap, dalam erti kata lain, sudah terlalu banyak kereta menelusuri jalan-jalan berliku di BBB ini.  Jika kita tinjau pada waktu petang, terutamanya masa orang balik kerja - jemnya mengalahkan Kuala Lumpur.  Semua orang mahu pulang ke 'sarang' masing-masing dengan cepat.  Bulan puasa tak boleh nak cakap lagilah.  Jemnya.....aduh!  sampai kena telan panadol 2-3 biji sekali gus ni.  Ramai pulak orang yang suka duduk di BBB ini.  Entahlah apa tarikannya, saya pun tidak tahu.  Rumah makin banyak, pembangunan kian meningkat dan apa lagi, penduduknya kian bertambahlah.  Ramai yang datang dari pelbagai pelusuk rantau di Malaysia ini mahu menetap di BBB....

Bercakap pasal kemalangan di bulatan ini, anak bujang saya juga pernah mengalami hal yang sama tatkala beliau memandu kereta saya.  Sewaktu kemalangan yang melibatkan kereta saya yang dipandu oleh anak saya itu berlaku saya benar-benar amat terkejut, tetapi tetap akur dengan takdir yang menimpa.  Yangn penting dia tak apa-apa.  Mungkin perasaanya sahaja ketika itu caca marba bersilang baur... Mana-mana pun kemalangan boleh berlaku.  Kereta Kancil yang dilanggarnya dari arah belakang agak teruk dan ini memaksa saya membayar pampasan yang bukan sedikit untuk tuan ampunya kereta.   Sewaktu pulang daripada tempat kerja, saya juga kerap melihat kemalangan kereta berlaku di bulatan itu.  Sekarang ni, pokok-pokok besar yang ditanam di bulatan besar itu sudah pun ditebang. Sayangnya kerana pokok yang sudah begitu besar ditebang dalam sekelip mata sahaja.  Nampak terang benderang pula.  Saya pun tidak tahu untuk projek apa.  Mungkin projek mega barang kali.  Jadi, kita sebagai penduduk BBB kena tunggu dan lihat sahaja apa yang berlaku untuk pembangunan di bulatan itu.

Dahulu sewaktu memandu di Bandar Baru Bangi sedikit pun saya tidak mempunyai perasaan takut.  Tidak banyak kereta dan memandu pun dalam keadaan yang amat tenang sahaja.  Tak sampai 10 minit sudah sampai ke tempat kerja.  Balik pun tak sampai 10 minit.  Kalau hari dah gelap, langit bagaikan nak runtuh, nak angkat kain di jemuran pun sempat lagi.  Hujan tak sempat turun gitu.  Air di tempayan pun sempat dituang ke tanah bagi menadah hujan yang bakal turun...  Yah!  Saya mula belajar memandu pun di BBB dengan Encik Mazlan iaitu tuan punya MAZRIS.  Terkial-kial memandu.  Tetapi sekali jer dah lulus tu.  Saat itu kalau diingat-ingatkan  memang belajar pusing-pusing di BBB sahaja.  Saya pun  tidak ada kereta waktu itu.  Tetapi tetap hati keras bagai kerikil mahu belajar memandu bersama-sama rakan-rakan serumah yang lain.  Sekarang ni, saya pun tidak tahu di mana Encik Mazlan berada.  Ada orang cakap-cakap dan saya dengar-dengar mungkin beliau sudah menjadi seorang usahawan yang terkemuka.  Sesekali bertemu, beliau masih mengenali saya lagi.  Anak-anak saya pun belajar memandu dengan sekolah memandunya.  Wah!  Bayangkanlah - sudah dua generasi tu.  Harap-harap beliau juga sihat sejahtera.  Orangnya sangat baik dan tidak berkira sangat dengan kami.  Apa yang penting kami merupakan 'graduan sulung' sekolah memandunya.  Masa itu memang tidak ada orang yang mahu belajar memandu.  Beliau mencari-cari siapa yang mahu belajar memandu.  Itulah sebabnya semua rakan-rakan kami belajar memandu.  YES! Rasa bangga tu dapat pengajaran terus daripada air tangan guru memandu kami.  Dahulu kami serumah semuanya memang belajar memandu dengan beliau.  Tapi, ada seorang teman serumah saya tu sampai sekarang ni tak lulus-lulus....kesian Ecah,  tapi anaknya dah boleh membawanya ke mana-mana.   Agaknya Ecah malas nak ambil ujian lagi dek kerana gagal dalam ujian memandu.  Encik Mazlan akan mengambil kami seorang demi seorang untuk belajar dan kami juga menjalani ujian memandu jalan raya di Petaling Jaya.  Pagi-pagi lagi sudah ke PJ untuk membiasakan dengan jalan-jalan yang akan di pandu uji.  Wah!  Seronoknya sesekali dapat keluar daripada BBB.

Namun, perlu saya nyatakan di sini bahawa setelah berlaku insiden kereta saya dipecah oleh dua orang pemandu motorsikal yang tidak dikenali serta tidak berhemah langsung, berhampiran lampu isyarat juga di Bandar Baru Bangi menyebabkan saya amat takut  sekali.  Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi wang.  Mujurlah saya tidak mengalami apa-apa.  Memang saya sangat fobia, tetapi hidup mesti diteruskan juga.  Bagi saya, hati budi orang-orang seperti ini yang tinggal di BBB memang sudah tidak lagi berhemah.  Fikiran mereka sudah terarah ke arah itu.  Orang seperti ini tidak patut tinggal di BBB.  Mahu mencari jalan singkat bagi mendapatkan keuntungan.  Insiden, pintu cermin besar untuk masuk ke kedai stesen Petronas di Fasa 3 pun boleh dipecah orang.  Inikan pula cermin kereta.  Perompak sekarang sudah berani beralih arah ke kawasan-kawasan di luar Kuala Lumpur.  Jadi, untuk semua penduduk BBB berhati-hatilah bukan sahaja di rumah, di jalan raya pun sudah tidak selamat lagi.  Berdoa sahajalah apabila memulakan perjalanan.

...akan bersambung

Rabu, 30 Januari 2013

Bandar Baru Bangi - Fasa 1

31 Januari 2013 - Pagi ini saya ke tempat kerja seperti biasa.  Zaman telah berubah benar...Ingin saya ceritakan di sini pengalaman silam sebermula awal kedatangan saya sebagai pendatang baru di Bandar Baru Bangi (BBB) awal dekad 1980.  Saya berhijrah daripada kampung halaman di Johor untuk mencari rezeki di Selangor. Saya sangat muda remaja ketika itu.  Betul-betul baru habis sekolah.  Masak pun tak tahu langsung.  Masih berkepit dengan ibu bapa.  (Ibu bapa yang sangat-sangat mementingkan nilai-nilai murni sebagai seorang anak perempuan).   Dapat kerja di UKM sangatlah mengujakan.  Wah!  Sudah semacam bebas ni.....bebas bagai burung berterbangan keluar dari sangkarnya.

Saya tinggalkan keluarga yang disayangi dan memulakan hidup baru bersama rakan-rakan serumah.  Rakan-rakan serumah ini saya temui di tempat kerja.  Beberapa kali kami berpindah rumah kerana tuan rumah mahu menyewakan kepada orang lain.  Seingat-ingat saya...sepanjang tempoh tinggal di BBB sehingga berumah tangga ini, saya pernah tinggal di Jalan 1/6, 1/2, 1/3, 2/3 dan kini menetap di Fasa 3.....(Jadi saya mengaku amat arif dengan semua perkembangan BBB).  Jadi, tolong jangan kelentong dengan apa jua yang berlaku di BBB.  Saya tahu semuanya!  Rupa-rupanya jodoh saya di sini.  Saya bertemu jodoh dengan orang Selangor....

Tetapi, hari ini keluar sahaja daripada rumah sudah jem bagai nak rak.  Kereta punyalah banyak.  Bukannya ada hujan atau kemalangan.  Saya pun tidak mengerti mengapa banyak sangat kenderaan pada pagi ini.  Mungkin di UKM ada majlis Maulidur Rasul.  Jadi ramai warganya yang tinggal di Bandar Baru Bangi mahu buru-buru sampai sebelum jam 8.00 pagi.  Selalunya saya tidak lewat untuk sampai kerana saya sudah bajet-bajet waktu untuk sampai sebelum jam 8.00 pagi.

Awal dekad 1980-an dahulu, tiada kereta langsung untuk menuju ke UKM.  Biasanya saya menumpang teman-teman sekerja yang tinggal berdekatan untuk ke tempat kerja.  Saya akan bayar bulan-bulan.  Biasanya suami isteri yang bekerja akan membenarkan anak dara menumpang keretanya.  Kereta tersebut mesti penuh dengan tiga orang penumpang yang bayar bulan.  Tidak ada rasa cemburu buta.  Semuanya nak ke tempat kerja.  Kami pun dah mengenali hati budi pasangan suami isteri tersebut sebelum menumpang dan membayar secara bulanan.

Saat ada acara di DECTAR pada malam hari, kami rakan-rakan serumah akan berjalan kaki dengan rasa gembira tidak terhingga daripada Fasa 1 menuju ke DECTAR.  Tidak penat langsung!  Kami akan berjalan kaki  beramai-ramai pergi dan balik.  Memang tidak ada kenderaan langsung.  Cukup lenggang biarpun jam sudah menunjukkan ke angka 12.00 malam.  Biasanya jika ada acara kebudayaan di DECTAR kami akan hadir.  Itu sahaja hiburan yang ada untuk kami yang muda-muda ini.

Hari Sabtu bila pulang daripada tempat kerja (12.45 tengah hari) kami akan terus ke Great Wall di Kajang.  Untuk apa?  Itulah satu-satunya tempat untuk kami lepak dan mencari barang-barang keperluan.  Tidak ada pusat membeli belah yang gah seperti sekarang.  Tetapi Great Wall dah tak ada.  Ada Parkson, Warta, Billion, Metro Kajang dan sebagainya.  Mahu ke Kuala Lumpur kita harus menaiki bas Foh Hup.  Punyalah ramai orang tidak terkira.  Tapak Parkson itulah stesen bas lama.  Bas Sum akan berhenti di situ.  Kami akan mengikut masa bas Sum.  Kalau tidak akan ketinggalan untuk balik ke Bandar Baru Bangi (BBB).  Semua yang balik ke BBB kami kenal mukanya.  Komuniti kami cukup kecil.  Penumpang pun tak ramai.  Rakan-rakan mahu berdating pun susah.  Semua komuniti BBB kenal.  Yah!  Grup kami cukup dikenali di BBB.  Wajah saya dan rakan-rakan serumah mungkin cukup popular untuk masyarakat awal BBB.  Ramai jiran-jiran kami sudah meninggal dunia.  Anak-anak mereka pun sudah bekerja.  Rata-rata sudah berusia awal 30-an dan telah berumah tangga.  Mereka pasti menjemput kami jika diadakan majlis kenduri kahwin.  Saya dan suami akan pergi kerana mengenang persahabatan dengan komuniti BBB yang lama ini.  Begitulah eratnya persahabatan kami hingga kini.  Generasi baru keluarga mereka pun ada yang mengenali kami. Anak-anak ini akan menelefon saya untuk memberitahu jika ada yang sakit atau meninggal dunia.


...akan bersambung