Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan

Rabu, 30 Januari 2013

Singkap Perjuangan Rosli Dhoby


Oleh Saadah Jaffar


ROSLI Dhoby dilahirkan pada 18 Mac 1932 di nombor 94, Kampung Pulo, Sibu. Beliau adalah anak kepada pasangan Dhoby Buang dan Habibah Haji Lamit. Pasangan ini mempunyai tiga orang anak iaitu Fatimah (1928), Rosli (1932) dan Ainnie (1933). Rosli dibesarkan dalam suasana perkampungan Melayu. Hobinya tidak lekang daripada membaca buku, akhbar, menonton wayang, menonton bangsawan Melayu dan mendengar radio.

Sifatnya yang suka membaca dapat menambahkan pengetahuan dan membuka horizon pemikirannya, selain dapat mempertajam bahasanya. Beliau disifatkan sebagai anak muda yang pintar dan sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Sikapnya yang kreatif dan akrab dengan teman-teman amat menyenangkan pergaulan sesama mereka dengan mudah membangkitkan jati dirinya yang semulajadi berani dan dihormati oleh rakan-rakan seperjuangan.

Tutur kata sopan, baik budi bahasa dan berpengetahuan luas ini secara tidak langsung menonjolkan dirinya untuk bertugas sebagai guru di Sekolah Rakyat Sibu. Mindanya menerawang jauh untuk mempertajamkan ilmu bagi menyediakan diri sebagai seorang guru yang hebat dan pemimpin yang disegani.
Semangat nasionalisme yang tinggi terus-terusan mengalir bagai air lalu dalam jiwa pemuda yang juga berbakat dalam bidang penulisan ini. Jiwa seninya nyata terserlah dalam beberapa buah puisi yang terpapar dalam Utusan Sarawak. Biasanya Rosli menggunakan nama samaran bagi mengelakkan pengenalan dirinya diketahui umum.

Perjuangan dan pengorbanan para pahlawan negeri harus dikenang. Menjelang Hari Kemerdekaan, kerajaan Sarawak akan mengenang jasa para pahlawannya yang berkorban jiwa dan raga demi negara tercinta. Salah seorang daripadanya ialah Rosly Dhoby. Anak muda berusia 17 tahun ini telah memberanikan diri menikam Gabenor Duncan George Steward di Sibu pada tahun 1949 kerana jiwa dan raganya berkobar-kobar ingin menuntut kemerdekaan negara.

Kejadian berani mati yang dilakukan oleh Rosly Dhoby mendapat liputan pelbagai media. Beliau memang merupakan anak muda yang terlalu berani. Ekoran itu, nyawanya melayang di tali gantung di Penjara Pusat Kuching pada bulan Mac 1950 bersama-sama dengan tiga orang lagi rakannya iaitu Awang Rambli, Bujang Suntong dan Morshidi Sidek.

Siasatan dilakukan tanpa mengira siang atau malam, malah kadangkala pada dini hari bagi mengetahui siapakah di sebalik dalang kepada perancangan dan konspirasi pembunuhan itu. Rumah Rosly di Kampung Pulo segera digeledah pihak polis bagi mendapatkan bukti. Tiba-tiba keadaan di Sibu umpama diserang garuda. Polis mengawal setiap simpang siur jalan di Sibu termasuk membawa masuk anggota tambahan dari rumah pasung Kuching.

Rakyat Sarawak sentiasa tertunggu-tunggu akan perbicaraan kes yang penuh dengan sensitiviti dan sensasi lagi menggemparkan itu. Mereka ingin tahu keputusan perbicaraan berkenaan dengan memberikan pelbagai ramalan dan jangkaan yang tersendiri. Oleh sebab itu, tidak hairanlah semenjak awal-awal lagi mahkamah penuh sesak dengan orang ramai yang ingin mengikuti kes perbicaraan.

Jeniri menuangkan hampir seluruh dialog perbicaraan kes mengikut catatan dalam prosiding mahkamah. Di sini letaknya ketelitian fakta yang ingin dikongsikan oleh pengarang dan perkara ini jarang dilakukan oleh mana-mana penulis. Watak demi watak yang suatu ketika dahulu memang pernah wujud dalam lipatan sejarah Sarawak ditonjolkan oleh pengarang dalam buku ini.

Peristiwa bersejarah tersebut kemudiannya berlalu pergi dengan damai. Akhirnya, sejarah membuktikan mereka kemudiannya dinobatkan sebagai pahlawan oleh pihak Kerajaan Negeri Sarawak, termasuk pengiktirafan kerajaan negeri dengan memindahkan kubur mangsa yang ketika itu berada di Penjara Pusat Kuching. Usaha menggali semula kubur tersebut dilakukan oleh pihak kerajaan lalu dipindahkan ke Sibu pada 1996.

Biarpun pelbagai spekulasi timbul ekoran usaha pemindahan kubur tersebut, namun yang penting Rosly Dhoby tetap dianggap sebagai wira Sarawak. Membaca buku Rosli Dhoby: Merdeka dengan Darah bakal mendedahkan pelbagai rahsia dan konspirasi Kumpulan Rukun Tiga Belas untuk membunuh Gabenor Duncan Stewart pada 3 Disember 1949 dan lain-lain peristiwa yang berangkai dengan kehidupan Rosli sendiri.

Buku berunsur sejarah yang mengandungi 28 bab ini ditulis berdasarkan pelbagai dokumen yang diperoleh di London, Singapura, Kuala Lumpur dan Sarawak termasuk surat Rosli kepada ibu bapanya, kenyataan Rosli kepada polis dan majistret, minit mesyuarat Majlis Tertinggi Council Negeri pada 1949, prosiding mahkamah dan rakaman kenyataan 26 orang saksi, selain berita yang disiarkan oleh pelbagai akhbar di dalam dan luar negeri ketika itu.

Hasil penyelidikan dan pengumpulan maklumat yang komprehensif dan berwibawa oleh Jeniri Amir yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan dan akademik ini wajar dikongsikan bersama khalayak umum. Penulisannya yang melalui suatu perjalanan nan panjang bagi mendapatkan bukti sahih ini turut menarik perhatian kerana disulam dengan pelbagai temu bual bersama insan-insan terapat Rosly.

Transkripsi perbualan juga ada diselitkan oleh pengarang bagi mencantikkan lagi perjalanan cerita sejarah ini agar pembaca tidak dibebankan dengan pelbagai fakta berat yang menonjol di sana sini. Selaku pengarang yang juga anak Sarawak, Jeniri juga berjaya menemui dan mewawancara mereka yang masih hidup untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang kejadian berkenaan.

Sesungguhnya buku ini penuh dengan bukti-bukti sejarah yang agak berani dan akhirnya berjaya didokumentasikan oleh pengarang. Apa yang jelas, banyak watak-watak utama yang wujud suatu ketika dahulu wujud dalam pentadbiran negeri Sarawak berjaya dibongkar. Semuanya demi perjuangan bagi menuntut kemerdekaan Sarawak.

Buku ini juga didedikasikan kepada semua pejuang dan pahlawan negara yang gugur ke bumi termasuk para wira yang tidak didendang. Terlalu banyak paparan terkini dibentangkan khususnya tentang kejadian menggemparkan di bandar Sibu lebih 60 tahun lalu dapat dijadikan sebagai rujukan penting untuk peminat sejarah negara. Begitu juga sorotan tentang pelbagai kisah di sebalik pembunuhan Gabenor kolonial British ketika itu digalurkan dengan agak terperinci oleh pengarang.

*Artikel ini tersiar di akhbar Mingguan Malaysia, 13 Januari 2013.


Ahad, 4 November 2012

...Panduan Mengirim Manuskrip Cerpen

Saya sengaja meletakkan di sini.  Untuk pengetahuan, entri ini saya copy daripada blog Tuan Uthaya SB.  Tujuannya agar nota yang berguna ini dapat dimanfaatkan dan juga sekadar mengingatkan diri saya bahawa saya harus banyak lagi membaca.  Mohon izin diletakkan di entri saya ya Tuan Uthaya.  Terima kasih.

 

Panduan Mengirim Manuskrip Cerpen

Sejak dahulu, saya sentiasa mengalu-alukan sesiapa yang berminat dan berbakat menulis cerpen Bahasa Malaysia, mengirim manuskrip kepada saya untuk dinilai dan dikomen.
.
Bagaimanapun, saya sentiasa mengingatkan mereka supaya mementingkan aspek bahasa, kerana bahasalah wahana tunggal yang digunakan untuk menyampaikan keseluruhan cerita.
.
Aspek “bahasa” yang dimaksudkan termasuklah ejaan, tanda baca, imbuhan, kata sendi, perenggan, dialog dan kesilapan menaip.
.
Sekiranya ada mana-mana penulis baru yang mahu mengirim manuskrip cerpen kepada saya untuk dinilai dan dikomen, sila patuhi KESEMUA panduan berikut:
.
1. Pastikan anda sedia menerima komen dan kritikan pedas.
.
2. Taip manuskrip menggunakan Microsoft Word.
.
3. Jika tidak tahu menggunakan komputer, tolong belajar.
.
4. Gunakan fon (font) Century Gothic, Arial atau Times New Roman, saiz 12. Jangan gunakan fon yang sukar dibaca!
.
5. Gunakan langkau dua (double spacing) sahaja.
.
6. Pastikan judul cerpen, nama penulis, nombor telefon dan alamat e-mel dinyatakan pada manuskrip cerpen yang mahu dikirim kepada saya. Hubungi uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan contoh manuskrip.
.
7. Jangan kirim keseluruhan cerpen kepada saya. Kirim dua halaman sahaja. Ulang: dua halaman sahaja. (Kecuali saya secara khusus meminta anda mengirim keseluruhan cerpen.)
.
8. Kalau manuskrip yang sudah ditulis panjangnya sepuluh halaman sekalipun, kirim dua halaman sahaja kepada saya.
.
9. Jangan pula menulis sebuah cerpen yang panjangnya dua halaman sahaja!
.
10. Kalau cerpen belum siap sepenuhnya, tidak mengapa. Kirim dua halaman sahaja yang sudah siap ditulis.
.
11. Tolong tahu apa yang dimaksudkan dengan “cerpen”. Jangan kirim karya yang bukan cerpen.
.
12. Biasakan membaca cerpen bermutu supaya manuskrip yang dikirim kepada saya adalah cerpen bermutu.
.
13. Belajar menulis perenggan dengan betul. Tugas saya bukan mengajar anda mengenai cara membuat perenggan.
.
14. Sebagai panduan umum, setiap perenggan tidak melebihi lima baris.
.
15. Semak dua halaman manuskrip itu sekurang-kurangnya 10 kali sebelum dikirim kepada saya.

16. Kirim manuskrip cerpen (dua halaman sahaja) kepada saya secara lampiran (attachment) ke alamat e-mel uthayasb@yahoo.com.my
.
17. Pastikan cerpen yang dikirim adalah karya asli.
.
18. Setiap e-mel yang selamat diterima pasti akan dibalas sebagai pengesahan penerimaan.
.
19. Saya akan membaca manuskrip dua halaman itu apabila ada masa.
.
20. Sekiranya manuskrip lebih daripada dua halaman dikirim, saya tidak akan membacanya.
.
21. Sila KLIK DI SINI untuk panduan penggunaan kata sendi “dari” dan “daripada”. Pastikan tidak ada langsung kesalahan penggunaan “dari” dan “daripada” pada manuskrip yang dikirim.
.
22. Sila KLIK DI SINI jika mahu tahu mengapa tanda baca sangat penting.

23. Sekiranya terdapat lebih daripada 10 kesalahan bahasa (termasuk kesalahan ejaan, tanda baca, imbuhan, kata sendi, perenggan, dialog dan kesilapan menaip) pada manuskrip sepanjang dua halaman itu, maka saya tidak akan memberi apa-apa komen/penilaian.
.
24. Sekiranya ada lebih daripada 10 kesalahan bahasa, saya akan nasihatkan si pengirim belajar Bahasa Malaysia sebelum mula cuba menulis cerpen Bahasa Malaysia.
.
25. Komen, kritikan dan penilaian yang saya beri adalah pedas dan objektif. Jangan kirim manuskrip kepada saya jika mengharapkan pujian.
.
26. Manuskrip yang dicetak dan kirim melalui pos tidak dilayan.
.
27. Jadikan kamus teman setia.
.
28. Jika mahu menjadi penulis, berfikirlah seperti seorang penulis!
..
29. Sila KLIK DI SINI untuk panduan penggunaan imbuhan "pe-an" dan "per-an". Pastikan tiada kesilapan penggunaan imbuhan pada manuskrip.
.
30. Baca, fahami dan patuhi kesemua panduan di atas sebelum mengirim manuskrip cerpen kepada saya.
.
Tentulah segala panduan dan syarat yang ditetapkan ini kelihatan/kedengaran “amat menakutkan”. Apa pun, itulah pendirian saya. Saya hanya mampu membantu sesiapa yang bersedia untuk membantu dirinya sendiri.
.
Sedangkan Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Agung “sudi” dan “sanggup” permudahkan urusan untuk hamba-hamba-Nya, siapalah kita! Baca lagi DI SINI.
.
Sila KLIK DI SINI untuk ke blog saya yang memuatkan pelbagai bahan panduan penulisan; termasuk panduan menulis perenggan pertama.
.
Sila KLIK DI SINI untuk membaca sinopsis 14 cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkan Sasterawan Kavyan.
.
Sila KLIK DI SINI untuk sedikit panduan menulis perenggan pertama.
.
Anda lebih suka "bercerita" berbanding "menulis"? Sila KLIK DI SINI untuk kisah itu.
..
Panduan paling asas menulis karangan cereka peringkat kanak-kanak boleh dirujuk DI SINI.
..
Secara umum, panjang manuskrip cerpen kanak-kanak adalah 6 halaman dan panjang cerpen remaja adalah 9 halaman.
.
Manuskrip wajib ditaip langkau dua menggunakan fon Times New Roman, Arial atau Century Gothic dan saiz fon adalah 12.
..
Individu yang berminat digalakkan menyertai Bengkel Sehari Penulisan Cerpen anjuran Kavyan dari semasa ke semasa di pelbagai lokasi.
...
Sudilah menghubungi saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my atau talian 016-3288142 jika ada sebarang pertanyaan.
.
Nota: SMS akan dibaca tetapi tidak dibalas.

Jumaat, 22 Ogos 2008

Bantu Penguasaan Membaca Murid Tahun 1

Monday, December 17, 2007

Bantu penguasaan membaca murid tahun 1
Tajuk: Modul Asas Membaca Tahun 1
Pengarang: Muhammad Saiful Haq Hussin
Terbit: 2007
Penerbit: Persatuan Psikolinguistik Malaysia dan Jabatan Bahasa Melayu, FBMK, UPM
Pengulas: Saadah Jaffar

Buku ini menyentuh pelbagai aspek berkaitan trend pengajaran dan pembelajaran asas membaca tahun 1. Tumpuan perbincangan adalah pada pelaksanaannya dalam bilik darjah yang kebanyakannya meliputi konsep pengajaran dan pembelajaran khususnya untuk menguasai asas bacaan. Penghasilan buku ini adalah hasil pengalaman pengarang yang mengajar bacaan dalam bahasa Malaysia pada peringkat tahun 1 di sekolah kebangsaan selama enam tahun berturut-turut. Proses pengendalian pengajaran dan pembelajaran berasaskan modul ini dibuat dari satu peringkat ke satu peringkat. Pembahagian yang dibuat secara berperingkat-peringkat itu adalah melalui proses pengenalan bahagian huruf (prabacaan), suku kata terbuka (KV), perkataan, frasa dan ayat.Dengan pengalaman mengajar dimantapkan lagi usaha mengkaji dan menyelidik selama lebih kurang sepuluh tahun dan menekuni bidang berkenaan pada peringkat diploma sehingga ijazah kedoktoran, dicurahkan dalam buku ini. Pengarang buku ini berpandangan bahawa penguasaan asas bacaan bahasa Melayu dalam kalangan murid tahun 1, kadang-kala akan menerima gangguan daripada gejala-gejala dialek yang turut mempengaruhi pembelajaran bahasa Melayu mereka. Hal ini terjadi apabila murid-murid tahun 1 tidak cekap merencanakan peta kognitif mereka. Akibat daripada ketidakcekapan itu, gerak balas yang dihasilkan oleh murid tahun 1 tidak menepati kehendak-kehendak penguasaan asas bacaan dalam bahasa Melayu. Hasil gerak balas murid tahun 1 mungkin menampakkan ciri-ciri penyimpangan dari aspek fonologi dan penyebutan dalam bahasa Malaysia.Kerangka teoriDalam konteks pengajaran dan pembelajaran asas membaca bahasa Melayu ini, pengarang menggunakan kerangka teori berasaskan Teori Behaviorisme Bertujuan yang diasaskan oleh Edward Chase Tolman (1886-1959). Teori ini ialah teori pembelajaran psikolinguistik yang tergolong dalam keluarga teori kognitif. Rasional Teori Behaviorisme Bertujuan digunakan dalam penulisan ini kerana Teori Behaviorisme Bertujuan mengutarakan empat hipotesis, iaitu Diskriminasi Desakan, Pembelajaran Terpendam, Jangkaan-jangkaan Bidang dan Mod Bidang Kognisi.Pengarang buku ini membincangkan bahawa aspek berkaitan trend penguasaan asas bacaan murid tahun 1 banyak dipengaruhi oleh desakan dengan gerak balas yang teratur. Sebagai contoh, modul di dalam buku ini dibina oleh pengarang bertujuan membantu murid tahun 1 untuk memenuhi desakan faktor sosial atau psikologi mereka bagi membolehkan mereka merencanakan peta kognitif mereka secara cekap. Hal ini mengakibatkan perilaku yang lebih kongruen dan sekali gus menjelaskan matlamat yang ingin dicapai oleh mereka. Proses pemelajaran yang dilalui oleh murid tahun 1 secara terancang dan sistematik telah mempengaruhi persekitaran bacaan asas murid tahun 1 tersebut. Hal ini terbukti dengan kebolehan membaca yang dikuasai oleh mereka. Oleh yang demikian, penguasaan asas bacaan berlaku dalam kalangan murid yang mempraktikkan amalan psikolinguistik semasa mempelajari bacaan asas dalam bahasa Melayu.Kehadiran buku ini di pasaran dijangka akan dapat membantu para pembaca dan golongan pendidik yang berminat untuk mendekati trend dan cabaran bagi menguasai dan menangani kepelbagaian masalah dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat tahun 1. Kandungan di dalam buku ini boleh membantu pembaca bagi menambahkan penguasaan kemahiran membaca asas murid tahun 1 dan meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran bacaan asas. Buku ini juga amat sesuai untuk dijadikan rujukan bagi ibu bapa muda yang teringin untuk mengetahui beberapa permasalahan dari segi teknik pendekatan, kaedah dan cara terbaik untuk membolehkan anak-anak mereka yang masih pada peringkat awal penguasaan bacaan asas bahasa Melayu.

- Sehari Sebuah Buku Utusan Malaysia

Khamis, 7 Ogos 2008

Sentuhan Rashdan di universiti, korporat terbukti


Judul : Dari Menara Gading ke Mercu Korporat - Biografi Rashdan Baba
Pengarang : Universiti Kebangsaan Malaysia
Penerbit : Penerbit UKM
Tahun : 2004
Harga : RM 130 (paperback), RM150 (kulit keras) dan RM20 (edisi pelajar).


Pengulas : SAADAH JAFFAR

Buku ini memaparkan kisah suka duka seorang tokoh negara - Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Mohd. Rashdan Baba. Tidak ramai yang mengenali kelebihan yang ada pada diri Rashdan secara dekat. Anak jati kelahiran Kampung Berkat, di Chembong, Rembau ini lain daripada kanak-kanak seusianya. Beliau yang dilahirkan pada 31 Oktober 1935 seolah-olah menjenguk dunia dengan mempunyai pakej sebagai tokoh yang berkaliber dan pemimpin yang disegani.


Sewaktu zaman kanak-kanaknya, beliau banyak menghabiskan waktu sekolah dengan menjadikan membaca buku sebagai hobi utama bagi mengisi setiap masa lapangnya. Rashdan mencari tempat sunyi bagi mengelakkan gangguan sewaktu mengulang kaji pelajaran. Beliau memilih pondok di tengah-tengah sawah sebagai tempat mentelaah pelajaran.


Seusia muda lagi beliau telah menanamkan minat terhadap keindahan alam semula jadi dan menjadikan bidang pertanian sebagai fokus utamanya. Kesedaran untuk maju timbul kerana latar belakang hidupnya yang dibesarkan di kampung. Taraf hidup penduduk kampung yang mundur, merangsang minda Rashdan untuk cemerlang dalam bidang sains. Inilah yang membezakan karakter beliau dengan anak-anak desa lain pada zamannya.


Kelebihan yang ada pada dirinya disokong pula dengan faktor sampingan yang lain kerana beruntungnya beliau berada dalam sebuah keluarga yang amat mementingkan pelajaran.


Pada zaman persekolahannya, beliau sentiasa mengekalkan rekod kecemerlangan dirinya sehingga menjadi pelajar yang sentiasa dapat mengatasi rakan-rakan sedarjah yang lain. Dalam erti kata lain, pada zaman persekolahannya beliau sentiasa sarat dan membuak-buak dengan kejayaan.


Bakat kepimpinan semasa di sekolah menunjukkan Rashdan pernah menjadi ketua murid pertama di Government English School Tampin. Ini direkodkan sendiri oleh pihak sekolah. Namanya hingga kini terpapar di papan tanda di dewan sekolah tersebut. Kepimpinannya dianggap luar biasa dan unik, sama ada dari segi peribadi mahupun perwatakan sehari-harinya.


Menyambung


Beliau kemudiannya berada di Kolej Pertanian Malaya (1954-1957) untuk terus menggilap kecemerlangan akademik, aktif dalam bidang sukan dan menjadi pemimpin pelajar. Kecemerlangannya diteruskan dengan menyambung pengajian ke United Kingdom. Kejayaannya diukir dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (B.Sc.) pada tahun 1960 dan mendapat Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1964.


Jasa baktinya sebagai Pengetua ketika membangunkan Kolej Pertanian Malaya (1965-1969), Naib Canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1969-1971) dan Naib Canselor pertama Universiti Pertanian Malaysia (UPM) (1971-1982) menjadi ukuran kepada kecemerlangan memacu institusi pengajian tinggi di negara ini. Tidak ramai tokoh pendidik yang mampu untuk berada dalam situasi yang Rashdan sendiri alami.


Pada peringkat awal penubuhan UKM, tidak ramai yang mengetahuinya sejarah pelantikan beliau ke jawatan Naib Canselor pertama pada 1 September 1969 kerana UKM sendiri memulakan sesi pengajiannya pada 18 Mei 1970. Sungguhpun beliau menerajui UKM dalam masa yang agak singkat, namun peranannya sebagai Naib Canselor pertama telah banyak merintis pembangunan awal sehinggalah UKM dapat berdiri teguh di antara institusi-institusi pengajian tinggi lain hingga masa kini.


Bagaimanapun beliau masih meneruskan tugasnya sehingga kini sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UKM. Beliau dikenali sebagai seorang yang mempunyai gaya kerja yang cekap, teratur dan berdisiplin tinggi. Kebetulan jiwa, personaliti dirinya yang tersendiri dapat menyimpul kekuatan naluri Rashdan yang sering teruji dengan tugasan-tugasan baru yang sentiasa mencabar kepimpinannya.


Kesungguhannya menekuni setiap kerja yang diberi biasanya dapat dilaksanakan dengan baik. Sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata bagaimana beliau boleh membahagi-bahagikan masa semata-mata mahu melihat kejayaan anak bangsa berada pada tahap yang membanggakan. Beliau dilihat sebagai bersungguh-sungguh untuk memartabatkan pendidikan anak bangsa ke persada dunia.


Penswastaan


Apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan dasar penswastaan negara, Tan Sri Rashdan turut sama berganding bahu mencurah pengalaman menerajui penswastaan pertama negara, iaitu Syarikat Telekom Malaysia hingga menjadi konglomerat dalam industri telekomunikasi.


Ketika kerajaan mula mengambil alih syarikat asing, Rashdan sekali lagi dilantik menerajui Guthrie menggantikan pengurus British. Dalam memikul tanggungjawabnya, beliau sentiasa berhati-hati terhadap setiap dasar kerajaan yang diamanahkan kepadanya.


Rashdan juga berperwatakan sebagai pemimpin yang berkarisma, berdisiplin, berhemah tinggi dan sering dihormati oleh setiap peringkat usia.


Sifatnya yang senang didampingi dalam pergaulan dan selalu mengambil berat terhadap kebajikan kakitangannya memudahkan beliau menjalankan tugasan seharian.


Sebagai mengiktiraf sumbangan Rashdan dalam bidang pendidikan tinggi tanah air dan memajukan dasar penswastaan kerajaan, beliau dianugerahkan dengan pelbagai anugerah dan darjah kebesaran.


Kemuncak kepada ketokohannya sebagai tokoh pendidik apabila dianugerahi gelaran Profesor Emeritus daripada UPM pada 14 Ogos 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang UKM pada 3 Julai 1999. Beliau juga menerima Ijazah Kehormat Doctor of Science dari University of Reading dan Doctor of Law dari University of Leeds. Sehingga kini beliau masih menerajui badan-badan kehormat serta melibatkan diri dengan pelbagai badan sukarela dan kebajikan.


Rashdan yang berada dalam arusnya yang tersendiri, kaya dengan idea dan perubahan ketika berada di dunia akademik dan menerajui dunia korporat. Cetusan idea untuk memaparkan liku-liku hidupnya sebagai ahli akademik dan tokoh korporat yang dipaparkan di dalam biografi ini adalah sebagai memenuhi tuntutan sezaman di peringkat pengurusan UKM sendiri.


Rashdan dilihat sebagai ikon, tokoh pendidik dan ahli korporat yang berjaya mengharungi zamannya kerana berjaya meletakkan asas pendidikan tinggi negara di tempat yang kukuh. Banyak sudah idea yang disumbangkan olehnya yang dapat dilihat hasilnya seperti tersergam Menara Pucuk Rebung Telekom Malaysia dan Menara Telekom Alor Star.


Jika ditelusi dengan teliti susuk cerita biografi buku ini, terlalu banyak perkara yang boleh dicontohi dan diikuti jika seseorang ingin berjaya seperti Tan Sri Rashdan.


Terbit di Ruangan Sehari Sebuah Buku Utusan Malaysia