Isnin, 20 Disember 2010

Patin

Hah! Aku teringin sangat nak makan lauk ikan patin. Lantas, baru-baru ini dalam perjalanan ke Kuantan...aku singgah di hentian rehat dan makan lauk ikan patin. Perggg...semangkuk RM7.00 tu...patin sangkar, kalau patin liar jadi RM12.00. Dek kerana nak makan sangat macam orang mengandung bunting pelamin...


imej dan resepi adds by Google:


Bahan utama:-

1 Ekor Ikan Patin


Bahan untuk di kisar:-

10 Biji Cili Padi

1 Inci Kunyit Hidup

2 Sudu Besar Tempoyak.



Lain-lain bahan:-

Daun Kesum Secukupnya

2 Kuntum Bunga Kantan

Air

Garam Secukup Rasa

5 Biji Limau Nipis

2 Biji Mentimun



Cara membuatnya:

Ikan patin yang siap di potong di basuh dan dibersihkan dengan limau nipis supaya hilang bau. Isi air ke dalam periuk dan masukkan bahan yang dikisar, bunga kantan, daun kesum beserta dengan ikannya sekali. Apabila ikan hampir masak masukkan mentimun dan garam secukup rasa. Setelah masak bolehlah di hidangkan.

Ahad, 19 Disember 2010

Interlok

Imej kulit by Google
Dalam sibuk-sibuk dengan urusan harian, saya sempat juga selak-selak akhbar dan mengikuti perkembangan terkini dunia sastera tanah air. Nah! Isu baru diperkatakan...saya tak tahu nak komen apa-apa cuma saya teringat yang saya pernah memiliki buku ini beberapa tahun nan lalu.

Saya membongkar setiap sudut dan almari rumah bagi mencari di mana letaknya Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Yah! Maklumlah novel ini diasaskan kepada pengalaman hidup SN dan pernah pula memenangi hadiah penghargaan Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka tahun 1967. Akhirnya saya menemuinya dan ingin sekali lagi membongkar isi kandungannya. Novel cetakan kedua, edisi cetakan tahun 1996 ini saya beli sekitar tahun 1997. Pengarangnya menitipkan sayang "...untuk Saroja yang selalu berhati-hati untuk Patria yang sejak kecil selalu keras hati untuk Tariq yang selalu tersenyum tanpa mengerti."

Saya akan mula membaca kembali kisah keluarga Seman, keluarga Cing Huat dan keluarga Maniam....Interlok...

Selasa, 14 Disember 2010

Saat Cinta Menggapai

Suasana petang itu agak kedinginan. Pesawat milik Syarikat La Royal Air Maroc selamat mendarat di Dubai. Penerbangan diteruskan ke Casablanca. Orang kata kota bulan madu. Begitu indah dan mengasyikkan. Damai segala-galanya. Kebenaran itu adalah hakikatnya. Arenim sudah lama berhijrah meninggalkan Malaysia untuk menuntut jurusan sarjana pengurusan perniagaan di Marrakesh.

Bumi asing itu begitu jauh untuk seorang anak gadis. Nah! Benar kata orang. Rupa-rupanya sungguh cantik pemandangan hidup di luar. Arenim tegar menghantar dirinya. Kekuatan diri membaluti benak dan mengatasi segala-gala rintangan yang datang.. Biar bertandang rindu nan silih berganti. Hidupnya terdampar keseorangan sudah menjadi kebiasaan. Saban waktu dan ketikanya hanya ditemani rakan-rakan sekuliah. Ralit berulitkan buku-buku tebal. Kini, kebanyakannya menjadi rakan seperniagaan pula. Kelmarin ditinggalkan. Tiada lagi dalam kamus hidupnya. Hari ini dunia urus niaga mula digauli dan diterjahnya. Inilah mandala barunya.

"Arenim kental jiwanya."

"Arenim ada prinsip sendiri."

"Jati dirinya merentasi segala."

Siang bagai malam. Malam bagai siang. Bulan dan bintang sama sahaja bagi Arenim. Tabah dan kental hati Arenim bersilang baur mewarnai hidupnya. Seusai raya korban 10 tahun yang lampau, kota Marrakesh yang asing dijejaki dengan setia tapak demi tapak. Arif benar Arenim dengan simpang siur bandar pelancongan yang popular di Morroko itu. Kedai Souk dan supermarket Marjane begitu setia dikunjungi saban waktu. Apa ada di sana? Segala keperluan harian mudah diperoleh di situ. Sekali sekala Arenim beralih arah pula ke Casablanca mencari ayam panggang. Denai demi denai laluan berkuda masak dihafalnya. Tegar laluan itu bersarang dalam mindanya.

Bumi itu tidak lagi begitu asing bagi Arenim. Petah berbahasa Perancis dan Belanda memberi input barunya. Sikap tidak malunya ketika bertutur menjadi aset berharga dalam dirinya. Terus terang Arenim katakan dia suka bertutur dalam bahasa asing. Lidahnya kian petah menari-nari menuturkan buah bicara. Semua kliennya hampir tidak mengetahui Arenim adalah orang Asia. Namun, lidah Melayunya masih berbekas dengan nasi lemak sambal sotong. Makan tengah hari yang masih erat bersulam sambal belacannya.

"Ah! Apa yang hendak dimalukan."

"Lidah Arenim lebih Arab dari Arab. Lebih Perancis dari Perancis."

Hobi mempelajari bahasa asing menjadi aset utama Arenim. Ya! Memang tidak rugi bertemankannya saat kesukaran berkomunikasi. Sesiapa sahaja boleh menjadi rakan bicaranya. Sikapnya peramah. Semua mata merenung kaku ke arahnya bila Arenim mula berbicara. Gerak bibirnya memukau. Arenim tidak rasa terhimpit dengan masalah bual bicara. Ini semua mematangkan dirinya di perantauan.

Irama

Hidangan demi hidangan sampai. Selera Arenim mula terbuka. Semuanya enak-enak belaka. Irama dan lagu silih berganti tambah memanaskan lagi halwa telinga. Menariknya penari-penari tradisional Morocco saban waktu bertukar-tukar senyuman. Tidak menjemukan. Ruang restoran bertaraf lima bintang di Fantasia Czes Ali yang dipenuhi oleh para delegasi dunia itu meriah dengan pertunjukan ala-ala tradisional orang Morocco. Macam bunyi ghazal pun ada. Macam bunyi kompang Jawa pun ada. Yang penting irama pukulan gambus sebati dengan alunan muzik mereka.

Untuk seketika terbuai-buai naluri pengunjung dibuatnya. Wah! Memang sungguh ramai pengunjung tika itu. Pelbagai ragam. Senyum dan tawa riang, saling bertebaran di sana sini melihat acara bersilih ganti. Tenggelam Arenim dalam keasyikan. Ralit dibawa irama 1,000 satu malam. Kheeder kembali menguak rasa meneruskan bicara. Bicara yang sering terputus-putus. Irama petikan piano oleh Sebastian lewat lagu "Can't Help Falling In Love" gubahan muzik oleh Carol Klose mengambil tempat dalam situasi yang tidak dijangka. Namun, harapan digantung setinggi mungkin. Bagai menggapai awan nan biru di angkasaraya.

"Kheeder bercakap seperti seorang pemidato yang sedang mempertahankan hujahnya."

"Kheeder memperkatakan tentang masa depan yang harus dibentangkan di hadapan."

"Jalannya seakan-akan lurus."

Kheeder dengan keras merenung keayuan mata Arenim tanpa mengerdip kelopak mata bundarnya. Kheeder tahu Arenim tidak memberi sebarang respons kepada bual bicaranya. Mencabar sungguh mahu dijinakkan hati si dara nan satu ini. Getus Kheeder dalam diam. Mindanya masih waras dan berasakan dirinya tidak mungkin tersungkur ke bumi lantaran dek keegoon Arenim. Tiba-tiba Kheeder diam terpana lalu diajaknya Arenim keluar dari restoran dan menonton persembahan teater terbuka.

Namun, Arenim hanya terpaku kepada kegagahan dan kecekapan penunggang-penunggang kuda anak kelahiran Morocco. Kelihatan begitu gagah dan begitu mempersonakan. Tangkas dan bergaya memacu ke arah yang dituju. Rata-rata ketangkasan pemuda Morocco itu jelas terpamer pada persembahan acara berkuda. Dentuman demi dentuman yang meletus dari muncung senapang yang dibawa pemuda Morocco nan gagah tambah mendebarkan jiwa Arenim. Serta merta nalurinya bergetar. Dengan menghimpun seluruh tenaganya, Arenim menoleh kasihan ke arah Kheeder yang tidak jemu-jemu mengocak jantung hatinya.

Nampaknya Arenim harus akur kepada ketentuan takdir. Puas sudah ditangkis, namun kenyataannya si teruna ini tidak pernah mahu mengalah jua tidak jemu menganyam kasih menyimpul sayang dengan selambanya. Kenapa pemuda ini begitu degil memancing cintanya. Pintar pula mengatur bicara. Murah dengan sejuta senyuman bagaikan perisai pelengkap diri. Adakah ini wajah sebenar kekasih Arenim. Bagaimana lagi kata putus lagi pasti yang mahu diberikan. Cuping telinganya sudah panas dipasak dengan ayat-ayat cinta berlagu rindu bikinan Kheeder.

"Ayuh! Berilah jawapan segera. Mengapa masih membisu."

"Adakah tiada sekelumit ruang di hatimu untukku isi dengan cebisan cinta ini."

Kheeder tetap sabar dan akur. Kekasih yang disukainya itu keras membatu. His! Bagaimana lagi mahu dirayu. Ya, lambat laun pasti gadis Asia ini akan cair, getus naluri Kheeder. Perlukah dihamparkan ambal merah merentasi Czes Ali ke Marjane. Kelihatannya, Arenim begitu berhati-hati. Dan, tiada seorang jejaka di Morocco ini yang berjaya dan berupaya mengetuk pintu hatinya. Walau apapun alasan yang dimuntahkan di hadapannya, Kheeder tetap setia menanti dengan apa jua yang terjadi. Apa istimewanya gadis ini yang diburu hatinya untuk kesekian kalinya. Dadanya berkocak gementar.

Jantungnya berdegup tidak keruan. Bagi Kheeder, ternyata Arenim sudah matang. Mindanya cukup matang sesuai dengan usianya. Kheeder tidak pernah jemu bercerita tentang perancangan masa depan mereka. Dunia perniagaan tinggalan legasi keluarga. Kheeder bakal merubah kehidupan baru yang sedang dicari-cari jalan penyelesaiannya. Tembok kasih yang bakal dibina dipercayai dapat mengutuhkan lagi empayar perniagaan yang terbentang luas di hadapan mata. Semua masalah boleh diatasi. Apa yang penting asalkan Arenim boleh menerima kehendak takdir dan suratan jodohnya. Nah! Ternyata Arenim akur dengan pantun Melayu lama yang berbunyi:

Jika menanam pohon selasih;

Jangan ditebang pohon lenggudi;

Jika hendak orang mengasih;

Hendaklah baik bicara budi.

Demi sekelumit cinta sejatinya, Arenim akur dengan naluri kewanitaannya. Ingin dicintai dan mencintai. Kheeder, pemuda Morocco bertubuh sasa, berjambang lebat yang ditemui setelah beberapa tahun berpisah ketika jamuan makan malam di Czes Ali Marrakesh kembali mengocak naluri kewanitaan merentas jiwa keibuannya. Arenim kurang mengenalinya. Pemuda itu mengasak dengan pelbagai topik. Bicaranya biasa-biasa sahaja. Topik bertukar antara benua. Roti Perancis yang keras kematu terbiar tidak diindahkan. Hidangan kus-kus dihias campuran sayur kentang dan lobak merah masakan tradisional Morocco dijamah sedikit demi sedikit. Agak enak rasanya. Biar asing, namun itulah juga rutin harian makanan Arenim sejak bertapak di Morocco.

Arenim berkhayal. Alam fikirnya menerawang entah ke mana-mana benua. Mindanya menerjah ke bulan, ke bintang. Namun, Kheeder benar-benar amat mengerti jiwanya. Kasih Kheeder tersimpul erat untuk si jantung hati. Bagi Kheeder, Arenim gadis penuh istimewa. Seawal tahun pertama perkenalan lagi Kheeder mengasak cinta Arenim. Benar. Memorinya tidak banyak bertaut. Arenim tidak pernah mahu tahu dunia lain. Tragedi cinta dalam hidupnya amat mematangkan langkah Arenim lebih-lebih lagi setelah berada di Morroko. Onak dan duri pasrah dilalui. Arenim leka dengan nota kuliah hingga lupa dirinya patut dicintai dan mencintai. Lantaran itulah sikapnya yang sebenar. Fokus dan fikirannya tertancap utuh kepada nota-nota pelajaran. Sikapnya yang tetap keras mengental memang tidak suka bersosial dan bergaul. Dunianya hanya buku. Arenim dikenali dalam kalangan rakan-rakannya sebagai melekat dengan sikap ulat bukunya. Kitaran hidupnya hanya berlingkar segar antara universiti, perpustakaan dan asrama penginapan.

Tersenyum

Arenim hanya tersenyum dan sekali sekala membalas setiap pertanyaan yang dilontarkan kepadanya. Jiwa Arenim sudah lama dikebumikan di bumi kelahirannya lantaran tandusnya kasih sayang terhadap keluarga di kampung halaman. Air matanya sudah kering kontang. Tidak lagi meluncur sederas curahan hujan. Ah! Sudah tiada apa yang ingin ditangisi. Tiada siapa yang boleh membantunya kecuali berbekalkan semangat dan motivasinya untuk maju yang cukup tinggi. Tegas hatinya berulang-ulang kali. Langkahnya ingin maju ke hadapan membawa sinar yang kian cerah.

Entah mengapa Arenim tidak mahu pulang ke tanah leluhurnya. Kejayaannya menamatkan pengajian dengan susah payah sepatutnya menjadi kebanggaan. Kecewa dengan pemberontakan jiwanya yang kian parah, mengasak nalurinya untuk terus berkhidmat di Marrakesh. Pasrah benar dengan rezekinya di rantauan. Memang Arenim berwawasan tinggi dan benar-benar tidak mahu pulang. Begitu jitu hati anak gadis ini.

Sekeras-keras kerikil, maka keras lagi naluri dan jiwanya. Teman-teman sekuliah terbiasa memanggilnya sebagai Are. Sikapnya digeruni. Arenim seorang gadis timur yang dilahirkan pintar, berbudi bahasa dan berakhlak tinggi. Bekerja keras. Tahan diuji. Lasak dengan masalah.

Siang di Marrakesh. Seawal suria pagi memancarkan sinarnya, peserta leka berseminar, berdiskusi dan berbual mesra. Kes demi kes dibentangkan di Dewan Karam I, Hotel Kongres, Marrakesh. Kadang-kala kedinginan dewan yang bernada serius diserikan dengan gelak tawa peserta. Serentak dengan itu semua dewan seminar penuh sesak dengan para delegasi perniagaan dari serata dunia membentangkan kes negara masing-masing dalam sesi selari. Sesekali deraian tawa peserta terburai jua di luar dewan oleh peserta yang kedinginan yang masih tidak jemu-jemu menikmati guyuran sinar mentari biar peserta lain di dalam dewan tegar berdiskusi dengan selantang-lantangnya.

Mereka pula leka di luar sambil menjamah biskut disulam dengan kopi o panas. Perdebatan antara peserta kian hangat berlanjutan dalam membicarakan soal-soal pemasaran dan penjenamaan produk masing-masing untuk merentasi antara benua. Jua segar berlingkar sekitar sistem pengurusan perniagaan yang enak dibicarakan bersilang baur dalam sesi acara tidak rasmi di dewan makan. Poster-poster bergantungan. Paling menarik poster kempen ke Malaysia, Indonesia, Korea dan Jepun. Masing-masing melobi untuk mendapat tempat penganjuran peringkat dunia. Arenim juga mendapat kipas percuma tanda mata berkempen sumbangan agensi pelancongan Korea. Beberapa orang si cantik manis kelahiran Bali juga tidak kurang berkempen mewakili negaranya.

Setiap kali langkah dihayun, dada Arenim berkocak gelombangnya. Warna-warni bumi Marrakesh membenamkan cinta Arenim pada keseniannya. Cantik, indah dan menawan. Taman bunganya dipenuhi mawar di sana sini. Merah jambu, putih, merah bersilang baur mewarnai taman. Ah! Keharumannya menusuk-nusuk kalbu. Kota yang rata-rata dipenuhi dengan bangunan yang disinari dengan warna coklat ini tambah menarik menjelang lembayung senja. Setiap sore penduduk tempatan tidak jemu-jemu menatap keindahan taman ini. Pepohonan tamar pula tetap gagah membarisi jalan-jalan utama ke Hotel Kongres, Marrakesh. Hah! Terlalu mengasyikkan dan saujana mata memandang. Aliran kesenian nampak terus berkembang pesat di kota ini menampakkan lagi keindahan seni bina, arca dan lukisannya yang unggul. Kecantikan seninya jelas terserlah di sana sini. Ini menandakan kemajuan kota ini dari segi seni binanya. Semuanya terpana di jiwa Arenim. Setiap apa yang terdampar di hadapannya betul-betul sama dengan apa yang wujud dalam kehidupan seharian Arenim.

Demikianlah. Kembara Arenim berakhir di sini. Arenim menemui cinta baru di Marrakesh. Melihat mentari terbenam ke perut bumi, hati Arenim tersentuh. Kesetiaan Kheeder memadamkan kedegilan hatinya untuk dicintai. Mengapa dahulu Arenim tidak pernah sekelumit pun memikirkan siapakah pasangan hati belahan jiwa untuk masa depannya. Sekian lama, Arenim kelaparan, kehausan dan mengalami kedinginan yang melampau di rantauan. Namun Arenim tetap tabah.

Tersadung hati Arenim melihat ragam manusia. Ada ketikanya Arenim bernasib baik menemui insan yang berhati mulia menghulurkan simpati. Marrakesh yang begitu terkenal dengan kota pelancongan terus menggamit nalurinya untuk terus menapak di denai-denai harapan. Arenim jatuh cinta dengan keindahan alam semula jadinya. Cinta sejati jua ditemui di sini. Inikah yang dikatakan cinta berlainan benua? Benarlah, jauh berjalan luas pandangan. Saat umat Islam sedang sibuk mengerjakan ibadah haji di kota suci Mekah, Arenim akhirnya terkorban dan akur dengan panahan cinta Kheeder. Impiannya agar Marrakesh menjadi kota cinta bagi mereka berdua.

"Ahhh….aku cinta padamu."

"Cintamu maha agung dan luar biasa."

Adaptasi semangat korban tambah menyerlahkan lagi kebahagiaan Kheeder dan Arenim dalam mengenal erti penghayatan sebenar kehidupan mereka yang menanti dengan tenang di hadapan.


Cerpen ini telah diterbitkan dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 5 Disember 2010.

Tips Menulis


Kepada sesiapa yang ingin bertatih-tatih dalam bidang penulisan...sila baca akhbar The Sun hari ini (15 Disember 2010), halaman 19. Puan Nisah menurunkan banyak petua untuk menjadi seorang penulis sepetinya.

Isnin, 13 Disember 2010

Apabila Bos Mencemar Diri....

Imej by google
Aku sangat terkejut dan benar-benar terkejut dengan kedatangan bekas bosku...(dah hampir 10 tahun aku di sini)...inilah kali pertama bos datang ke pejabatku....

Hi! .........sibuk nampak...(ayat selebihnya tak boleh tulis kat sini...) sendiri aja yang tau...heheheh....

Aku rasa sangat terharu dan benar-benar terharu ni...kerana bos sendiri yang datang menyerahkan kad jemputan perkahwinan anak perempuannya...sayangnya aku tak boleh datang bos...aku dah tempah hotel...tetapi insya-Allah sebelum aku bertolak ke destinasi yang akan dituju, aku akan ke rumahnya (walaupun majlis akan diadakan di dewan) bagi mengucapkan tahniah di atas perkahwinan anak perempuannya...kerana aku amat-amat menghormatinya yang sudi dan datang sendiri menjemputku...

Begitulah kalau bos yang baik, walau lama mana kita mengenalinya kita pasti akan terkenang segala kebaikannya.....bos terlalu baik hati, dan sebenarnya aku memang terhutang budi dengan kebaikannya semasa bertugas di tempat lamaku...

Apabila tersiarnya "Saat Cinta Menggapai"...

Tanggal 5 Disember 2010 merupakan hari yang paling indah dalam karier penulisan kreatif dalam hidupku...cerpenku yang berjudul "Saat Cinta Menggapai" telah disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia...halaman 18 (Pancaindera). Rasanya sangat indah, sedih, suka, malu dan segala-galanya bersilang baur. Inilah perjalanan yang sedang aku lalui untuk terus maju dalam bidang penulisan...
Banyak juga komen yang dituliskan di dalam facebook yang dibuat secara senyap dan terbuka oleh orang-orang yang mengenaliku...semuanya aku terima dengan tangan terbuka. Bagiku bukannya senang untuk menembusi lubuk yang temboknya amat utuh binaannya itu...aku amat-amat bersyukur...dan insya-Allah akan terus menulis...

...isu bahasa

Wacana bahasa kebangsaan: Isu-isu bahasa kebangsaan telah didebatkan pada 8 Disember 2010, bertempat di Bilik Majlis, UKM. Aku pergi suka-suka aja, kerana aku minat dengan tajuk yang bakal diwacanakan...tetapi salah seorang daripada pegawai kanan UKM meminta aku menulis tentang wacana ini....Adoooiiiiiiiiiiiiiiii....

Ahad, 5 Disember 2010

Pen

Suatu hari aku ke sebuah restoran untuk makan malam...saat itu aku didatangi oleh seorang lelaki dengan menawarkan harga murah untuk pen yang dibawanya...

Aku mula berminat untuk memiliki pen tersebut setelah mencubanya beberapa kali saat menulis beberapa perkataan...kerana nampak sedap ketika menulis...bukan tak boleh beli di kedai tetapi sengaja gatal nak membeli juga...

Lantas aku pun membelinya....

Ketika aku menconteng-conteng bagi mencuba pen tersebut... aku teringat kepada dua orang penulis tersohor tanah air yang agak akrab dengan aku saat menyiapkan buku-buku penulisannya...

Kata mereka...kita kena ada pen banyak...kalau kita tak ada mood untuk menulis...kita buangkan aja pen tersebut...campak aja ke mana-mana kita suka biarpun masih ada dakwat lagi. Bila mood kita baik, kita ambil balik dan gunakan balik untuk menulis. Mungkin saat itu mood untuk menulis datang kembali...Jadi, kesimpulannya kita kena ada banyak pen untuk menulis....untuk dibaling-baling dan dipungut semula....yang untung adalah penjual pen tersebut....

Rabu, 3 November 2010

Kehilangan Sebutir Mutiara Sejarawan...

Kira-kira jam 11.00 pagi aku bertolak dari UKM menuju ke Bandar Baru Bangi untuk makan-makan. Tetapi naluri dan jiwaku tiba-tiba bertukar. Kotak mindaku berputar mengarahkan diriku ke HUKM untuk melihat guruku, pengarangku yang dikhabarkan kepadaku sedang koma...PROF. Datuk Dr. NIK ANUAR Nik Mahmud di Bilik 2, Wad Warga HUKM. Aku tenang sahaja ketika melihat keadaan beliau. Hampir jam 2.00 aku meninggalkan beliau yang ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu keadaannya dan harapan keluarganya terhadap beliau. Datin begitu tenang dan setia disisi Datuk yang sedang berperang dengan keadaan...Oleh sebab aku pergi seorang diri, jadi aku tiada teman untuk berbual bicara dan berkongsi rasa mengenai kondisi beliau ketika itu.

Namun aku sempat menghantar beberapa SMS kepada beberapa orang tokoh yang patut mengetahui tentang kondisi beliau. Kemudian aku meneruskan derap perjalanan ke kedai makan kerana sejak pagi lagi perutku belum diisi...KFC depan HUKM menjadi destinasiku...

Oleh sebab ketika itu aku sedang leka dengan Chooti Babu di TV8 dan Maghrib, jadi aku tidak perasaan sms aku penuh dengan berita yang sedih lagi mendukacitakan. Guru dan pengarangku yang kini sedang menanti-nanti kelahiran biografi yang ditulisnya yang sedang aku tangani dengan seserius rasa telah pergi untuk selama-lamanya, kembali ke rahmatullah di Hospital Universiti Kebangsaan, Kuala Lumpur, pada jam
6.55 petang - 28 Oktober 2010 - Khamis. Hanya beberapa jam sahaja setelah aku tinggalkan katil hospital tempat beliau dirawat ketika itu. Jenazah beliau dibawa balik ke rumah beliau, di No.3, Jln 1/3D, Bandar Baru Bangi.

Pada pagi Jumaat, 29 Oktober, aku ke rumahnya, tetapi jenazahnya telah dibawa ke Masjid UKM untuk urusan seterusnya...dimandi, dikafan, disembahyangkan dan dibawa ke Tanah Perkuburan Sungai Tangkas (perkuburan lama). Dengan perasaan sayu aku melihat perjalanan terakhir pengarang yang suatu ketika dahulu pernah bersama-samaku dan rakan-rakan di Jabatan Sejarah UKM melawat Thailand (ketika itu aku pelajarnya...Pattani, Yala, Naratiwat dll di selatan Siam). Kenangan bersama allahyarham yang sungguh baik hati, peramah dan tegas dengan pandangannya amat aku hormati.

Ketika beliau datang menemui aku untuk menyerahkan manuskrip lewat thumdrive, keadaannya masih sihat. Aku sempat menyapa dan berbual rancak dengannya tentang beliau yang dikurniakan gelaran datuk oleh kerajaan Kelantan. "Wah! Susah tu nak dapat Datuk Kelantan...", kataku padanya suatu ketika dahulu....Namun rasanya beliau memang telah lama layak untuk mendapat gelaran tersebut kerana jasa baktinya dalam bidang penulisan sejarah terlalu banyak.

Al-Fatihah. Semoga keluarganya tabah dan roh aruah datuk tenang dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang solihin.

Rabu, 20 Oktober 2010

Penulis Muda Berbakat Besar....

Mereka adalah pelapis kepada ramai penulis veteran yang pergi meninggalkan kita semua. Ada penulis lama yang kini sudah tidak mahu menulis disebabkan faktor kesihatan. Ada yang merajuk sakan dan ada yang cuma mahu membaca dan melihat perkembangan dunia penulisan Tanah Air.

Sewaktu saya menghadiri seminar di UPM baru-baru ini sudah ada bunyi-bunyi cerita tentang keputusan ini, tetapi sebagai pendengar di bawah (duduk di kerusi peserta ketika itu) saya cuma menjadi pendengar sahaja....

Namun setelah guruh dan petir berdentum...maka ingin saya ucapkan kalungan TAHNIAH kepada dua orang penulis muda tersohor masa kini yang baharu sahaja diumumkan oleh DBP sebagai penerima anugerah sastera. S.M Zakir membawa pulang gelaran Penulis Muda MASTERA sementara Zaen Kasturi meraih SEA Write Award. Saya berharap semoga mereka akan terus menulis dan berbakti kepada mereka yang memerlukan buah fikirnya.

Sejujurnya kedua-dua karya penulis ini saya rasakan ada suatu yang amat bagus untuk dijadikan rujukan oleh penulis-penulis muda. Mereka kaya dengan idea yang sentiasa membuak-buak lahir di kertas.... Kalau sembarangan orang malas mahu pun bosan membacanya kerana karyanya agak berat...seberat batu digalas... Untuk SM Zakir ke manalah tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi...tidak mustahil suatu hari nanti beliau akan menjadi pengganti kepada legasi kepengarangan bapanya S. Othman Kelantan (Prof. Dato' Dr. Hashim cukup berbangga dengan S. Othman Kelantan ni).

Tahniah sekali lagi dan selamat maju jaya.

Ahad, 3 Oktober 2010

...Hujung Minggu yang Sibuk

Tanggal 2-3 Oktober 2010 ni aku banyak menerima undangan makan free...
Ini rentetan apa yang terdaya aku buat bagi memenuhi undangan yang diterima...
Antaranya aku bermula dengan pergi ke rumah jiranku buat majlis kenduri perkahwinan anak bujangnya...kemudian aku ke Bangi Golf Resort...juga ada majlis perkahwinan anak dara jiranku...

Kemudiannya aku malas nak pergi ke rumah yang lagi satu kerana dah terlalu kenyang. Lagi pun aku harus ke kelas piano...dah petang aku harus ke majlis hari jadi anak buahku...sampai di pertengahan jalan aku terpaksa berpatah balik kerana memikirkan sudah terlalu lewat...jemputan jam 2.00 petang, sedangkan di luar sana sudah semakin gelap dan bang Maghrib sudah mula menyusul...(maaf..walaupun tuan rumah menjemput...datang malam pun tak apa...) aku tak jadi pergi kerana harus ke rumah seorang rakan yang akan menunaikan fardu haji....aku nak keberkatan...kerana...teringin juga nak pergi haji...orang sekeliling selalu menyindir aku...satu dunia sudah pusing keliling...

Keesokannya aku masih lagi ada jemputan kenduri majlis perkahwinan dan makan-makan hari raya...tapi hari ini aku menyibukkan diri kerana harus berlatih bermain piano dan membaca...aku sedang prepare untuk pembentangan...akhirnya hingga lewat petang...kemudiannya aku sibuk berkebun.....geram dengan tukang kebun yang biasa buat kerja tetapi sekarang semakin ketwat...sesuka hati sahaja nak potong rumput...kalau ikutkan hati banyak bangla yang nak buat kerja tu...tetapi mengenangkan dia ni dah bertahun-tahun buat kerja ni...jadi aku fikir cuma kesian kat anak-anak dia je...hisshhh geram....

Rabu, 29 September 2010

Tips Lembar Bahasa....1

Saya sering keliru dengan banyak ejaan ketika menyunting...biarpun hari-hari kerjanya asyik membaca.... Ikhlasnya saya selalu lupa dan keliru dan kerap pula lakukan kesalahan ejaan untuk perkataan yang tidak sepatutnya. Ikhlasnya juga, saya selalu ditelefon oleh insan yang malas untuk merujuk Kamus Dewan dan Lembar Bahasa DBP...Di sini kita bermula....saya tulis hanya yang betul....

atur cara
Aidiladha / Aidilfitri
baucar
berserta
boling
cendekiawan
catat
definisi
draf
e-mel
faks
gambar rajah
gembleng
graf
hak milik
ibu bapa
insurans
insya-Allah
jawatankuasa
Johor Bahru bukan Johor Bharu
kereta api
komersial
Kota Bharu bukan Kota Bahru
landskap
leukemia
maksimum bukan maksima
memperoleh bukan memperolehi
minimum bukan minima
nasionalisme bukan nasionalisma
pemprosesan bukan pemerosesan
pelancaran
persaraan
reka bentuk
sebut harga
silaturahim
stesen
stoking
skala
temu bual
urus setia
surat khabar


Sekian....

Selasa, 28 September 2010

Pesta Buku Indore, India

Saya berpeluang menyaksikan Pesta Buku Indore India anjuran National Book Trust India yang berlangsung mulai 18-26 September di Indore, India. Dengan menaiki beca roda tiga dan membayar Rs20 saya sudah pun berada di Pesta Buku Indore. Perjalanan daripada hotel agak sesak juga kerana ramai yang baru pulang daripada kerja. Jarak antara pesta dengan hotel tempat penginapanku tidak jauh rupanya...tetapi disebabkan aku tidak tahu tempat, maka aku lebih rela naik beca...lagi pun kelas juga naik beca ni...hehehe. Si penarik beca ni asyik berludah aja...makan sirih banyak sangat. Geli pulak aku.

Sampai saja di sana, (Shri Madhyabharat Hindi Sahitya Samiti, 11 Rabindranath Tagore Marg Indore) aku terus membelek-belek buku. Namun aku beli sedikit sahaja walaupun dalam hati teringin untuk memborong pelbagai genre buku yang amat menarik. Ni, mesti berat dan lebih muatan bila beli banyak-banyak...sari lagi nak beli...Lantaran pula harganya pula teramatlah murah jika nak dibandingkan dengan Malaysia. Aku terkesima melihat terlalu banyak buku memoir, biografi dan buku autubiografi yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan Hindi (baca...tulisan Tamil...).

Buku-buku muzik pun aku ada beli juga...begitu juga untuk buku pasal editor... aku rasa macam tak percaya pula bila sudah berada di situ kerana bukannya aku nak pergi Pesta Buku Indore sebenarnya...cuma kebetulan aku berada di sana dan terbaca iklan/promosi yang menghantar aku ke pesta buku... ini pengalaman pertama aku ke pesta buku peringkat antarabangsa selain daripada Kuala Lumpur!!!! Pihak atasan aku tak hantar aku ke luar negara pun tak apa...kalau aku ada rezeki aku akan pergi sendiri...kerana itu lebih berkat dan aku akan lebih-lebih amat menghargainya.

Ahad, 26 September 2010

Dabangg...



Foto: Credit to Google
Kunjungan ke Indore, India baru-baru ini melengkapkan percutian kami dengan menonton filem terkini paling termasyhur Bollywood lakonan Salman Khan berjudul Dabangg..

Aku masuk panggung dengan tak tau apa-apa pasal filem ini.... Kamera dan beg disimpan di tempat jaga keselamatan. Tiket yang dibeli pun paling mahal. Tempat duduk pun agak istimewa. Aku pun tak tau pasal apa dia orang bagi tempat yang special yang tak ada orang duduk...hanya aku dan suamiku sahaja di barisan itu. Tukang jual tiket siap cakap...This is Hindi movie...not English movie...yes yes yes...aku memang dah tau...

Agaknya mereka terkejut tengok makcik dan pakcik ni tengok wayang cerita Dabangg...

Aku tersangat enjoy dengan perjalanan cerita dalam filem ini...amat menarik dan aku pun suka dengan hero dan heroin yang berlakon dalam filem ini...

Isnin, 13 September 2010

Salam Lebaran dan My Birthday....

Hari raya tahun ini,aku dan suami menunaikan solat sunat hari raya di Surau al-Madani, Bandar Baru Bangi. Khatib pada hari itu orang tempatan...lupa namanya...dan khutbahnya dibacakan oleh al-Hafiz...Aku lupa namanya juga...khutbahnya menusuk kalbu..indah bahasanya, kandungannya penuh motivasi dan terselit juga katanya dahulu beliau seorang mantan mubaligh Kristian daripada Sabah...mendengarkan bacaan ayat-ayat suci yang dibacakan seperti seakan-akan tidak percaya pun ada. Beliau begitu fasih dan lancar. Pagi raya tahun ini aku masak nasi himpit, sayur campur goreng dan kari ayam...aku jarang masak kari ayam di pagi raya kerana biasanya aku akan masak ayam goreng kicap...

Kemudian aku ke Kelang menziarahi pusara kedua-dua mertuaku...Mula-mula sampai membentangkan kertas surat khabar dan membaca yasin bagi kedua-dua pusara. Kemudian kami mencabut rumput. Agak lama aku tidak ziarah pusara mereka...tidak tahu kenapa tetapi mungkin lupa atau tiada masa kerana sibuk sangat dengan tugasan seharian. Kemudian menjirus air dengan disertai taburan bunga dan daun pandan...Pulang daripada pusara aku ke rumah saudara mara suamiku....bertanya khabar sambil makan-makan kuih raya. Ada yang sihat dan ada yang sakit. Aku berjalan hingga ke malam ke rumah bibik/maman dan semua rumah ipar duaiku...

Hari raya kedua aku bertolak ke Tangkak menemui ibuku...aku menziarahi rumah saudara mara sebelahku pula...kebetulan raya kedua adalah hari lahirku dan aku menerima banyak ucapan selamat hari lahir juga nyanyian hari lahir daripada uncle/antie dan anak-anak saudaraku...Kami juga menziarahi saudara mara hingga ke malam...kakak iparku masak mee hoon sup kegemaranku...sedapnyaaaaa...

Raya tahun ini aku tidak menziarahi pusara abah...al-Fatihah sahaja yang sempat dikirimkan...biasanya aku selalu juga menziarahi pusara abah sebelum ini. Namun kali ini aku tidak berkesempatan untuk menziarahi...Insya-Allah pada lain kesempatan aku akan ziarahi...

Hari raya ketiga, aku ke Batu Pahat...menziarahi kakak dan ipar duaiku di sana...abang iparku belaja makan di Rest House Batu Pahat...waw....terima kasih terima kasih terima kasih...kemudian aku ke rumah adik iparku menziarahi keluarganya Datuk Salleh dan Datin...kami dijamu laksa johor...wau best giler....sedappppp...

Kemudian kami bertolak balik ke Kuala Lumpur...singgah di Restoran Jejentas Air Keruh kerana ada yang nak belanja makan Kentucky untuk my birthday...Aku dan adikku serta anak-anak saudaraku menunggu akan lama juga kerana terlalu ramai orang yang entri menunggu ayam goreng yang sentiasa kehabisan setelah digoreng....perghhhh lama betul...aku siap suruh pekerja tu sapu sampah dan lap meja tempat makan lagi kerana seperti tidak terurus lagaknya...budak tu cakap orang terlalu ramai...tetapi kebersihan tempat makan perlu dijaga. Sampah sarap, tisu, straw dan lain-lain kotoran di lantai mesti dibersihkan kerana kita tidak tahu siapa pelanggan yang bakal makan di kedai kita....wahhhh aku macam penguasa kementerian kesihatan gitu....

Hari semalam aku bekerja seperti biasa...dan si Azrul mengajak aku ke rumahnya...dan geng-geng budak bujang pejabat ni pun dijamu nasi himpit, kuah kacang, ayam goreng kentucy dan rendang...(sedap sungguh rendang yang mak Azrul masak).
Pendek kata, sepanjang raya ni aku tidak jemu-jemu dijamu makan...baik kuih raya, jamuan raya, kek birthday, jambangan bunga, cokelat, hamper, dan hadiah-hadiah yang diluar jangkaanku...Aku juga banyak menerima pesanan ringkas, panggilan telefon dan e-mel birtyday...

Rasanya tahun ini paling indah, bahagia dan bermakna...kerana ramai yang mengetahuinya terutama kenalan rakan-rakan taulan serta anak-anak saudaraku yang memberitahu ibu bapa mereka tentang birthdayku melalui facebook...Aku bukan sahaja juga menerima ucapan hari lahir dan salam hari raya daripada Malaysia, malahan sejauh Indonesia, Belgium dan Russia. Lecturerku Det Deprez yang pernah mengajarku di Belgium juga tidak lupa mengucapkan salam kelahiran untukku...teman baikku Helen Tionardi yang dikenali sewaktu di Belgium, juga mengirim salam untukku...Helen sudah bermenantu...sayangnya beliau lewat menghantar kad undangan untukku...kalau tidak aku pasti ke Indonesia menghadiri hari bahagia anaknya si Gleen...
Sekian...catatan lebaran dan hari kelahiranku yang bermakna sekali tahun ini...2010...