Isnin, 17 Januari 2011

Kalau berpacaran....


Imej and Chorus Add By Google

Tiba-tiba aku minat kat lagu ini...nostalgia mengenang Sohaimi setelah membaca artikel mengenainya di Mingguan Malaysia Ahad lalu... kepada semua anak muda sila ikuti jalur hidup, tatacara dan kejayaan yang dimiliki oleh pemilik suara jantan anak kelahiran Beruas, Perak ini. Pelantun suara "Epilog Cinta Dari Broemly" ini juga seorang yang tegar dengan dunia muziknya... aku rasa aku pun macam dialah... chewaaaaaaaaaah... sayangnya aku tak punya suara semerdunya.. laungan sang katak pun lebih sedap daripada suaraku untuk menandingi suara 'garau jantan' Sohaimi. Percaturannya bersama Ana Rafali amat menjadi... lebih-lebih lagi inilah x-faktor yang melonjakkan nama Ana sehingga boleh mempengaruhi populariti "Tolong Ingatkan Aku".

Aku teringin nak pergi ke Beruas... nak tenguk muzium dan projek cari gali arkeologi di sana. Ada sesapa ke yang sudi menjadi pemandu pelancong... sudah sekian lama aku teringin nak ke sana. Jemputan kahwin pun tak pernah dapat daripada sana. Kalau ada boleh juga sambil menyambil tu singgah tenguk kesan-kesan sejarah...

Sohaimi Mior Hassan

Kalau berpacaran
Memang banyak pantang larang
Menjaga susila
Ibu bapa adik abang

Apabila berdua
Carilah tempat yang terang
Agar tidak pula
Mencuba aksi terlarang


Korus
Boleh pandang-pandang
Jangan pegang-pegang
Duduk renggang-renggang
Bertambah sayang

Biar malu-malu
Biar segan-segan
Kerna malu itu
Perisai orang beriman

Ana Raffali

Kalau berpacaran
Jangan tunggu lama-lama
Kalau dah berkenan
Jumpalah ayah dan mama

Hantarkan rombongan
Meminang dengan segera
Kalau terlambat kasihmu disambar buaya

Ulang korus

Altimet

Yeah
Kita sambung cerita
Kalau kamu berdua
Aku yang ketiga

Aku penambah perasa
Akulah pendarab nafsu serakah
Hai teruna bikin perangai selamba
Hati si dara kata tak apa

Berani buat terima padah
Kalau tak sedia
Ucap syahadah

Ulang korus 2x

Dunia muzikku...


Imej By Google

Agak sukar untuk mengingat huruf-huruf di mata piano. Namun, apabila kita belajar muzik moden (piano), jari-jari mesti sensitif pada white and black key pada piano. Kita juga mesti kenal huruf-hurufnya iaitu G A B C D E F / Do Re Me Fa Sa La Ti Do dengan baik. Huruf menaik dan huruf menurun juga kena dihafal. Kemahiran dan kedudukan huruf C mesti sentiasa diperhatikan. Selepas itu kita harus bijaksana menadah telinga bagi menangkap bunyi hasil daripada petikan jejari di mata piano. Ingatkan apakah bunyi itu dan sebut dengan kuat sambil menyanyi.... Transkripsi bunyi semahunya sambil layan perasaan kita sehabisnya…

Apabila semua orang berbicara soal Interlok...


Imej Interlok Kredit to Blog Nisah Haji Haron

Astro pun sibuk memperkatakan tentang Interlok lewat bicaranya U-Wartawan... penulis muda @ orang kampungku Saudara Shamsudin Othman dengan agak berani memperkatakan tentang buku itu di televisyen. Bukan semua orang berani untuk muncul di kaca tv sementelahan isu ini masih lagi panas dan hangat diperkatakan orang... syabas Saudara Shamsudin...

Surat khabar arus perdana apa tah lagi ... masih belum reda memperkatakan tentang isu ini hari demi hari...

Rupa-rupanya aku agak ketinggalan dengan banyaknya edisi/cetakan buku Interlok ini semenjak 40 lampau... Naskhah yang ada ditanganku adalah untuk cetakan edisi Sasterawan Negara terbitan tahun 1996.
Syabas SN Datuk Abdullah Hussin dengan banyaknya terbitan bagi karya yang sama. Aku rasa inilah salah satu daripada punca mengapa orang agak cemburu dengan karya datuk. Biasanya untuk satu-satu cetakan yang jumlahnya 750 naskhah pun sukar untuk habis.

Ahad, 16 Januari 2011

Corat Coret Juara Lagu AJL 25

Tiba-tiba nama Ana Raffali yang sentiasa berbaju Melayu, kurung moden sambil menyanyi sambil memetik gitar meletop-letop disebut orang...kerana apa kerana tanggal 9 Januari 2011 itu Ana menjadi juara menerusi lagu ciptaannya Tolong Ingatkan Aku...Malam itu Ana terkurung-kurung di dalam sangkar. Akhirnya Ana terkeluar dari kepompongnya menjadi sang juara. Juara baru yang disakiti oleh sekian banyak pihak. Namun, teruskan identiti anda Ana...pedulikan kata-kata sumbang yang ingin menjatuhkan kamu. Tidak rugi Sohaimi Meor Hassan berduet dengannya dalam lagu yang ada lirik jangan pegang-pegang, duduk renggang renggang...iya...saat berpacaran...jika berpacaran...

Kemenangan Ana? Kenapa? Tak percaya ke? Semua orang tidak percaya. Aku pun tak percaya tetapi hakikatnya keputusan juri adalah muktamad. Beberapa kali Faizal Ismail menyebut-yebut ...wow wow wow...itu tandanya dia pun tidak percaya!!!

Anugerah Juara Lagu ke-25 telah dimulakan dengan persembahan medley yang memukau oleh Francessca Peter, Nash (Pada Syurga diwajahmu...pergggh masih menusuk-nusuk jantung hatiku...) dan M. Nasir.

Persembahan akhir memperlihatkan penyanyi evergreen Dato' Sharifah Aini, diva no 1 Dato' Siti Nurhaliza dan paling meletop pada malam itu adalah Ziana Zain dengan gaun malamnya...waw ZZZZzzzzz masih anggun dan boleh pukul semua baju-baju artis pada malam itu.

Faizal Tahir... seperti biasa mencipta kelainan di dalam setiap persembahannya. Aku takut je si Faizal ni lemas dan tak boleh naik balik. Apa akan jadi jika dia terlemas... Faizal direndam dan terendam dan mujurlah dapat juga anugerah persembahan terbaik. Dengan auranya yang tersendiri...membawa sekian banyak artis lama dan baru termasuk menampilkan Datok Aziz dan Datin Shima, Cikgu Faty dan anak daranya dan paling menarik ada pelawak Nurkhiriah yang betul-betul dikhabarkan sedang mengandung anak kedua.

Shahir...pergggh terkena tamparan seorang wanita...tak menang tapi dapat tamparan Nasha Aziz. Nasib baik tidak ditampar dek Rozita Che Wan.

Adira...sudah buat perkara yang klise...buai buai buai...buaiku laju...cuma nampak wajahnya agak berlainan daripada biasa...

Hafiz... juga mencipta kejutan dalam adegan tembak menembak. Hafiz kasi suspens...ingatkan dia betul-betul pengsan. Umum mengetahui Hafiz kan baru sahaja mendapat kemalangan jalan raya. Jadi, aku ingatkan dia terpengsan semasa membuat persembahan...

Black...suaranya sedap. Wajah black tapi suara white. Black boleh maju lagi pada masa hadapan. Anda termasuk dalam yang terbaik pada malam itu. Cuma nasib tidak bersamamu. Mungkin lain tahun boleh menang.

Yuna...anda memang berbakat besar, cantik dan ada aura tersendiri. Imejmu sedang menjadi kegilaan anak-anak dara zaman sekarang.

Tomok...persembahan Tomok sangat bertenaga. Berlariiiiiiiii... ke sana sini di setiap pepenjuru pentas. Tomok tidak bernasib baik biarpun persembahannya agak menarik dan tertarik. Cukup bertenaga.

Hujan. A.P.I. dan Bunkface...aku kurang minat dengan band indie ni.... cuma bolehlah layan sikit-sikit lagu mereka.

Stacy...wow...masih seperti biasa...dengan step tariannya yang jahat jahat jahat...begitu memukau...cuma masih belum lagi berjaya memujuk hati juri untuk memilihnya dalam persembahan terbaik... sebenarnya Stacy cukup bertenaga dan lain daripada yang lain. Artis lain ada berani ke menari dan menyanyi sepertinya.... setakat ni pancit semua bila buat dua-dua. Tariannya cukup memukau dan menarik perhatian.

Senarai Lagu Anugerah Juara Lagu (AJL) 25 | 2010
Debaran untuk menanti keputusan AJL bagi kali ke-25 telah pun berakhir. AJL 25 menyaksikan 14 lagu dipertandingkan di Stadium Putra Bukit Jalil dalam suasana yang gemilang dan meriah. 14 lagu yang telah bertanding pada edisi ke-25 Anugerah Juara Lagu-lagu tersebut adalah:
1. Cinta Sempurna – Yuna / Yuna / Yuna
2. Pelita – A.P.I / Loque / Loque
3. Berlari – Tomok / Audi Mok dan Shahzee Ishak / Tomok
4. Drama King – Meet Uncle Hussain dan Black / Taja / Tun Teja
5. Tolong Ingatkan Aku – Ana Rafali / Ana Rafali / Ana Rafali
6. Kebahagian Dalam Perpisahan – Shahir / Edry Abdul Halim / Edry Abdul Halim
7. Noktah Cinta – Hafiz / Ajai/ Shah Qalam
8. Selamat Malam – Faizal Tahir / Audi Mok / Faizal Tahir
9. Ku Ada Kamu – Adira / Edry Abdul Halim / Edry Abdul Halim
10. Extravaganza – Bunkface / Sam Bunkface/ Bunkface
11. Sofea Jane – Black / Shah Kamikaze dan Iswandy / Farril
12. Hanyut – Faizal Tahir / Audi Mok / Faizal Tahir
13. Jahat – Stacy / Edry Abdul Halim / Edry Abdul Halim
14. Mencari Konklusi – Hujan / Noh Hujan / Noh Hujan

Senarai penuh pemenang AJL 25 adalah seperti berikut:

Persembahan Terbaik
Faizal Tahir – Hanyut

Vokal Terbaik
Hafiz – Noktah Cinta

Juara AJL 25
Tolong Ingatkan Aku – Ana Rafali / Ana Rafali / Ana Rafali

Naib Juara AJL 25
Drama King – Meet Uncle Hussain dan Black / Taja / Tun Teja

Tempat Ketiga AJL 25
Noktah Cinta – Hafiz / Ajai/ Shah Qalam

Majlis diacarakan oleh Faizal Ismail (Hot FM), Cherry Samad dan Ally Iskandar.

Khurafat

Imej by Google
Hujung minggu yang lapang aku berpeluang menonton Khurafat...sebuah filem Shamsul Yusof. Anak muda ini memang berbakat besar dalam bidang pengarahan tetapi untuk berlakon masih nampak kekok-kekok. Suaranya mendatar. Air muka nampak ketat. Paling saya suka watak Sabrina. Sabrina nampak begitu matang, berani dan bagi saya dia boleh menang hadiah terbaik untuk apa-apa kategori perfileman. Aku suka sangat saat dia mengasah-asahkan pisau ditangannya, kemudian mencucuk-cucuk pisau dipehanya. Nampak macam betul. Aku suka juga masa dia menjadi jenazah. Saat dia dimasukkan ke peti sejuk di Bilik Mayat, dikafan, dimandi dan tiba-tiba ada pula di rumah Syamsul. Tapi aku tak suka masa si Syamsul mengangkat Sabrina dari van jenazah. Nampak macam angkat orang hidup. Boleh melayot-layot badan Sabrina tak macam dah mati. Tu, nampak macam tak menjadi.
Lain-lain watak aku suka pada A. Galak. Perggghhh! Mata dia memang menakutkan...suaranya juga menyeramkan. Mariani juga suaranya ada tone turun naik. Orang lama. Lakonannya cukup bagus.
Liyana Jasmay, aku belum nampak lagi kehebatannya jika dibandingkan dengan Fauziah Nawi. Fauziah seperti biasa. Lakonannya masih terkesan dan mengujakan.
Iman pun bagus juga. Ni kalau dibagi pada aruah M. Rajoli mesti lagi menjadi watak ni. Imam ni masih belum terkenal....Apa kata Imam Muda yang bela kambing kat Pahang tu. Dia boleh jadi pelakon. (Aku lupa nama dia...tapi dia ada bakat dan munkin ramai peminat).
Jadi dalam banyak-banyak aku paling suka pada Sabrina Ali....dari watak di Night Club, di rumah sewa, di hospital, di dalam van jenazah hingga di tanah perkuburan.... Syabas kepada Sabrina dan pengarahnya Syamsul.

Ahad, 9 Januari 2011

Hadiah Buku



Hari ini (10 Januari 2010) aku menerima hadiah buku "Dalam Mihrab Cinta" (Habiburrahman El-Shirazy dan "Kita Hidup Hanya Sekali" (Remy Sylado). Terima kasih Salleh. Ini adalah ole-ole Bandung sebagai tanda kenangannya. Salleh mungkin tak tahu hari ini hari jadi anak bujangku. Sekali gus aku menganggap ini adalah pemberian hadiah untuk si bujangku.

Aku akan kumpulkan buku-buku SM Zakir yang kubeli baru-baru ini bersama-sama dengan buku-buku hadiah daripada Salleh ini untuk si bujangku. Esok bila balik ke Malaysia anakanda boleh baca kesemuanya. Anakku juga peminat setia kepada buku.... Selamat hari lahir anakku. Semoga anakanda berjaya dalam bidang yang sedang dilalui dan agar tambah matang meniti usia di kejauhan. Amin.

Sabtu, 8 Januari 2011

Hari Tanpa Beg Plastik

Hari ini hari Sabtu. Aku seperti biasa ke kelas piano. Usai kelas pastinya aku akan membeli belah. Selain daripada beg untuk ke kelas, aku juga membawa bersama beg untuk diisi dengan barang-barang yang bakal dibawa pulang ke rumah.

Hari ini, Miss Tiff sangat baik, seperti biasa seksi dan manja...wahhhhhhhhhhhh...

Aku tak terasa tua bila ke kelas.....wahhhhhhhhhhhhh... lagi sekali

Ishhh....usai membeli barang...tiba-tiba budak yang jadi jurujual/cashier tu memasukkan barang-barangku ke dalam beg plastik... Aku siang-siang cakap. Ni, kalau minta 20sen saya tak nak bayar. Saya dah bawa beg siap-siap... Ishhh...tak puan, hari ni special saya bagi puan beg ni kerana puan beli barang banyak..... wahhhhh..... lagi sekali.

Macam mana ni... aku tak kisah sangat, tapi jangan pulak lagi sekali datang kau minta duit 20sen pada aku...siap kau. Mungkin masa tu aku tak bawa beg lebih....

Jumaat, 7 Januari 2011

Bagaimana Saya Menulis...


Wah! Aku menemui cinta baru...Bagaimana Saya Menulis... Ni mesti tak jadi makan minum...asyik bergulat dengan buku baru ini... Kepada sesiapa yang ingin menjadi penulis dan berjinak-jinak dalam bidang penulisan... maka aku sarankan kepada mereka supaya membeli dan membaca buku ini sampai habis dan amalkan apa yang ada di dalamnya...Wah! Kempen ni...isinya bagus. Saringan daripada pengetahuan dan pengalaman penulis sendiri... terbaik dari ladang beb. Selamat membaca.

2 Cerita 1 Tarikh

Mungkin kampung mertuaku (...tak boleh sebut nama kampung...) boleh berbangga dengan pelantikan Dato' Kusrin Munawi sebagai Ketua Setiausaha Negeri Selangor...( tahniah dato')..harap dato' boleh berkhidmat dengan baik biarpun banyak cabaran yang terpaksa dihadapi di negeri pembangkang ini...insya-Allah dato' boleh. kami menyokong apa jua yang dato' buat...yang patut-patut le...kan.

Nah! Dalam masa yang sama mungkin masyarakat kampung juga berasa kehilangan orang tersayang dengan kembalinya ke rahmatullah Wak Ajis...(takziah kepada keluarga wak...wak memang orang lama ... rasanya dah hampir tiada seusianya di kampung tersebut (berusia lebih 80 tahun)...lama berkhidmat sebagai ketua kampung... wak meninggal di HKL setelah lama dirawat di wad suamiku... isteri wak pun dah lama meninggal... suamiku anak jati kampung tersebut dengan rela hati ingin membantu merawat wak tetapi ajal dan maut di tangan Tuhan... mungkin setakat itu sahaja yang mampu suamiku bantu keluarga wak.

Mungkin tidak ada siapa yang menjangka perkara ini berlaku di dalam satu masa...satu di istana Selangor (istiadat angkat sumpah dato') dan majlis menyempurnakan jenazah aruah wak Ajis di masjid kampung.

Apa-apa pun aku tabik kat aruah wak yang sanggup datang ke kampungku kira-kira 26 tahun lalu kerana mengiringi aruah mertuaku dan keluarga ipar duaiku bagi majlis pernikahan kami... (so sweet masa tu ....). Yah! Kini abahku dan mertuaku pun dah tiada...maka wajarlah diterima pemergian aruah wak...al-Fatihah.

Isnin, 3 Januari 2011

SELAMAT TINGGAL 2010 SELAMAT DATANG TAHUN BARU 2011

2010 meninggalkan pelbagai kisah suka duka - 2011 menanti dengan pelbagai juadah cerita...yang mahu diisi dengan jalur yang kita bina sendiri landasannya.

Khamis, 23 Disember 2010

Lampin

Huh! Lama rasanya aku tak melihat kain lampin tersidai di ampaian... Dulu kat kampung aku kan, asal ada aje lampin tersidai ... dah sah-sah orang tu ada anak kecik @ tuan punya rumah tu ada anak kecil. Confirmlah... Nah! Tetiba pepagi tadi (kawasan bandar ni)... aku terlihat ada kain lampin berwarna putih tersidai di ampaian... Wah! Nostalgia sungguh makcik ni... kenapa dia tak ikut perkembangan zaman ye... kan sekarang ni orang dah pakai pampers... (pelbagai jenama pulak dah sekarang). Kalau rumah yang aku lalu tu rumah flat tak apa juga..ni banglo beb... hehehehe.... anda fikir-fikirkan... rasa-rasanya kalau cucu aku esok pun aku pakai lampin juga rasanya... ada ke lagi jual lampin jenama.... punya le terlalu lama sampai terlupa jenama tu... hahahaha...

Isnin, 20 Disember 2010

Alahai Novel oh Novel...


Jemari Seni Sdn Berhad dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM telah bermurah hati untuk berkongsi rasa dan mencicip rezekinya dengan bakal penulis novel dalam satu majlis yang sangat mengujakan...pada 12 Disember 2010 bertempat di Makmal PPBKKM, FSSK, UKM.

Oleh itu, sms yang diterima lewat Prof. Madya Dr. Mawar Shafei tidak saya abaikan....

Banyak perkara yang saya belajar lewat Puan Su, ...biarpun baru berkenalan tetapi impaknya cukup besar...terima kasih. Saya juga menerima sijil yang diposkan kepada saya ...Bengkel Asas Pembinaan Kreatif I (Novel Umum)...insya-Allah suatu hari nanti saya akan terjun ke bidang ini....

Patin

Hah! Aku teringin sangat nak makan lauk ikan patin. Lantas, baru-baru ini dalam perjalanan ke Kuantan...aku singgah di hentian rehat dan makan lauk ikan patin. Perggg...semangkuk RM7.00 tu...patin sangkar, kalau patin liar jadi RM12.00. Dek kerana nak makan sangat macam orang mengandung bunting pelamin...


imej dan resepi adds by Google:


Bahan utama:-

1 Ekor Ikan Patin


Bahan untuk di kisar:-

10 Biji Cili Padi

1 Inci Kunyit Hidup

2 Sudu Besar Tempoyak.



Lain-lain bahan:-

Daun Kesum Secukupnya

2 Kuntum Bunga Kantan

Air

Garam Secukup Rasa

5 Biji Limau Nipis

2 Biji Mentimun



Cara membuatnya:

Ikan patin yang siap di potong di basuh dan dibersihkan dengan limau nipis supaya hilang bau. Isi air ke dalam periuk dan masukkan bahan yang dikisar, bunga kantan, daun kesum beserta dengan ikannya sekali. Apabila ikan hampir masak masukkan mentimun dan garam secukup rasa. Setelah masak bolehlah di hidangkan.

Ahad, 19 Disember 2010

Interlok

Imej kulit by Google
Dalam sibuk-sibuk dengan urusan harian, saya sempat juga selak-selak akhbar dan mengikuti perkembangan terkini dunia sastera tanah air. Nah! Isu baru diperkatakan...saya tak tahu nak komen apa-apa cuma saya teringat yang saya pernah memiliki buku ini beberapa tahun nan lalu.

Saya membongkar setiap sudut dan almari rumah bagi mencari di mana letaknya Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Yah! Maklumlah novel ini diasaskan kepada pengalaman hidup SN dan pernah pula memenangi hadiah penghargaan Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka tahun 1967. Akhirnya saya menemuinya dan ingin sekali lagi membongkar isi kandungannya. Novel cetakan kedua, edisi cetakan tahun 1996 ini saya beli sekitar tahun 1997. Pengarangnya menitipkan sayang "...untuk Saroja yang selalu berhati-hati untuk Patria yang sejak kecil selalu keras hati untuk Tariq yang selalu tersenyum tanpa mengerti."

Saya akan mula membaca kembali kisah keluarga Seman, keluarga Cing Huat dan keluarga Maniam....Interlok...

Selasa, 14 Disember 2010

Saat Cinta Menggapai

Suasana petang itu agak kedinginan. Pesawat milik Syarikat La Royal Air Maroc selamat mendarat di Dubai. Penerbangan diteruskan ke Casablanca. Orang kata kota bulan madu. Begitu indah dan mengasyikkan. Damai segala-galanya. Kebenaran itu adalah hakikatnya. Arenim sudah lama berhijrah meninggalkan Malaysia untuk menuntut jurusan sarjana pengurusan perniagaan di Marrakesh.

Bumi asing itu begitu jauh untuk seorang anak gadis. Nah! Benar kata orang. Rupa-rupanya sungguh cantik pemandangan hidup di luar. Arenim tegar menghantar dirinya. Kekuatan diri membaluti benak dan mengatasi segala-gala rintangan yang datang.. Biar bertandang rindu nan silih berganti. Hidupnya terdampar keseorangan sudah menjadi kebiasaan. Saban waktu dan ketikanya hanya ditemani rakan-rakan sekuliah. Ralit berulitkan buku-buku tebal. Kini, kebanyakannya menjadi rakan seperniagaan pula. Kelmarin ditinggalkan. Tiada lagi dalam kamus hidupnya. Hari ini dunia urus niaga mula digauli dan diterjahnya. Inilah mandala barunya.

"Arenim kental jiwanya."

"Arenim ada prinsip sendiri."

"Jati dirinya merentasi segala."

Siang bagai malam. Malam bagai siang. Bulan dan bintang sama sahaja bagi Arenim. Tabah dan kental hati Arenim bersilang baur mewarnai hidupnya. Seusai raya korban 10 tahun yang lampau, kota Marrakesh yang asing dijejaki dengan setia tapak demi tapak. Arif benar Arenim dengan simpang siur bandar pelancongan yang popular di Morroko itu. Kedai Souk dan supermarket Marjane begitu setia dikunjungi saban waktu. Apa ada di sana? Segala keperluan harian mudah diperoleh di situ. Sekali sekala Arenim beralih arah pula ke Casablanca mencari ayam panggang. Denai demi denai laluan berkuda masak dihafalnya. Tegar laluan itu bersarang dalam mindanya.

Bumi itu tidak lagi begitu asing bagi Arenim. Petah berbahasa Perancis dan Belanda memberi input barunya. Sikap tidak malunya ketika bertutur menjadi aset berharga dalam dirinya. Terus terang Arenim katakan dia suka bertutur dalam bahasa asing. Lidahnya kian petah menari-nari menuturkan buah bicara. Semua kliennya hampir tidak mengetahui Arenim adalah orang Asia. Namun, lidah Melayunya masih berbekas dengan nasi lemak sambal sotong. Makan tengah hari yang masih erat bersulam sambal belacannya.

"Ah! Apa yang hendak dimalukan."

"Lidah Arenim lebih Arab dari Arab. Lebih Perancis dari Perancis."

Hobi mempelajari bahasa asing menjadi aset utama Arenim. Ya! Memang tidak rugi bertemankannya saat kesukaran berkomunikasi. Sesiapa sahaja boleh menjadi rakan bicaranya. Sikapnya peramah. Semua mata merenung kaku ke arahnya bila Arenim mula berbicara. Gerak bibirnya memukau. Arenim tidak rasa terhimpit dengan masalah bual bicara. Ini semua mematangkan dirinya di perantauan.

Irama

Hidangan demi hidangan sampai. Selera Arenim mula terbuka. Semuanya enak-enak belaka. Irama dan lagu silih berganti tambah memanaskan lagi halwa telinga. Menariknya penari-penari tradisional Morocco saban waktu bertukar-tukar senyuman. Tidak menjemukan. Ruang restoran bertaraf lima bintang di Fantasia Czes Ali yang dipenuhi oleh para delegasi dunia itu meriah dengan pertunjukan ala-ala tradisional orang Morocco. Macam bunyi ghazal pun ada. Macam bunyi kompang Jawa pun ada. Yang penting irama pukulan gambus sebati dengan alunan muzik mereka.

Untuk seketika terbuai-buai naluri pengunjung dibuatnya. Wah! Memang sungguh ramai pengunjung tika itu. Pelbagai ragam. Senyum dan tawa riang, saling bertebaran di sana sini melihat acara bersilih ganti. Tenggelam Arenim dalam keasyikan. Ralit dibawa irama 1,000 satu malam. Kheeder kembali menguak rasa meneruskan bicara. Bicara yang sering terputus-putus. Irama petikan piano oleh Sebastian lewat lagu "Can't Help Falling In Love" gubahan muzik oleh Carol Klose mengambil tempat dalam situasi yang tidak dijangka. Namun, harapan digantung setinggi mungkin. Bagai menggapai awan nan biru di angkasaraya.

"Kheeder bercakap seperti seorang pemidato yang sedang mempertahankan hujahnya."

"Kheeder memperkatakan tentang masa depan yang harus dibentangkan di hadapan."

"Jalannya seakan-akan lurus."

Kheeder dengan keras merenung keayuan mata Arenim tanpa mengerdip kelopak mata bundarnya. Kheeder tahu Arenim tidak memberi sebarang respons kepada bual bicaranya. Mencabar sungguh mahu dijinakkan hati si dara nan satu ini. Getus Kheeder dalam diam. Mindanya masih waras dan berasakan dirinya tidak mungkin tersungkur ke bumi lantaran dek keegoon Arenim. Tiba-tiba Kheeder diam terpana lalu diajaknya Arenim keluar dari restoran dan menonton persembahan teater terbuka.

Namun, Arenim hanya terpaku kepada kegagahan dan kecekapan penunggang-penunggang kuda anak kelahiran Morocco. Kelihatan begitu gagah dan begitu mempersonakan. Tangkas dan bergaya memacu ke arah yang dituju. Rata-rata ketangkasan pemuda Morocco itu jelas terpamer pada persembahan acara berkuda. Dentuman demi dentuman yang meletus dari muncung senapang yang dibawa pemuda Morocco nan gagah tambah mendebarkan jiwa Arenim. Serta merta nalurinya bergetar. Dengan menghimpun seluruh tenaganya, Arenim menoleh kasihan ke arah Kheeder yang tidak jemu-jemu mengocak jantung hatinya.

Nampaknya Arenim harus akur kepada ketentuan takdir. Puas sudah ditangkis, namun kenyataannya si teruna ini tidak pernah mahu mengalah jua tidak jemu menganyam kasih menyimpul sayang dengan selambanya. Kenapa pemuda ini begitu degil memancing cintanya. Pintar pula mengatur bicara. Murah dengan sejuta senyuman bagaikan perisai pelengkap diri. Adakah ini wajah sebenar kekasih Arenim. Bagaimana lagi kata putus lagi pasti yang mahu diberikan. Cuping telinganya sudah panas dipasak dengan ayat-ayat cinta berlagu rindu bikinan Kheeder.

"Ayuh! Berilah jawapan segera. Mengapa masih membisu."

"Adakah tiada sekelumit ruang di hatimu untukku isi dengan cebisan cinta ini."

Kheeder tetap sabar dan akur. Kekasih yang disukainya itu keras membatu. His! Bagaimana lagi mahu dirayu. Ya, lambat laun pasti gadis Asia ini akan cair, getus naluri Kheeder. Perlukah dihamparkan ambal merah merentasi Czes Ali ke Marjane. Kelihatannya, Arenim begitu berhati-hati. Dan, tiada seorang jejaka di Morocco ini yang berjaya dan berupaya mengetuk pintu hatinya. Walau apapun alasan yang dimuntahkan di hadapannya, Kheeder tetap setia menanti dengan apa jua yang terjadi. Apa istimewanya gadis ini yang diburu hatinya untuk kesekian kalinya. Dadanya berkocak gementar.

Jantungnya berdegup tidak keruan. Bagi Kheeder, ternyata Arenim sudah matang. Mindanya cukup matang sesuai dengan usianya. Kheeder tidak pernah jemu bercerita tentang perancangan masa depan mereka. Dunia perniagaan tinggalan legasi keluarga. Kheeder bakal merubah kehidupan baru yang sedang dicari-cari jalan penyelesaiannya. Tembok kasih yang bakal dibina dipercayai dapat mengutuhkan lagi empayar perniagaan yang terbentang luas di hadapan mata. Semua masalah boleh diatasi. Apa yang penting asalkan Arenim boleh menerima kehendak takdir dan suratan jodohnya. Nah! Ternyata Arenim akur dengan pantun Melayu lama yang berbunyi:

Jika menanam pohon selasih;

Jangan ditebang pohon lenggudi;

Jika hendak orang mengasih;

Hendaklah baik bicara budi.

Demi sekelumit cinta sejatinya, Arenim akur dengan naluri kewanitaannya. Ingin dicintai dan mencintai. Kheeder, pemuda Morocco bertubuh sasa, berjambang lebat yang ditemui setelah beberapa tahun berpisah ketika jamuan makan malam di Czes Ali Marrakesh kembali mengocak naluri kewanitaan merentas jiwa keibuannya. Arenim kurang mengenalinya. Pemuda itu mengasak dengan pelbagai topik. Bicaranya biasa-biasa sahaja. Topik bertukar antara benua. Roti Perancis yang keras kematu terbiar tidak diindahkan. Hidangan kus-kus dihias campuran sayur kentang dan lobak merah masakan tradisional Morocco dijamah sedikit demi sedikit. Agak enak rasanya. Biar asing, namun itulah juga rutin harian makanan Arenim sejak bertapak di Morocco.

Arenim berkhayal. Alam fikirnya menerawang entah ke mana-mana benua. Mindanya menerjah ke bulan, ke bintang. Namun, Kheeder benar-benar amat mengerti jiwanya. Kasih Kheeder tersimpul erat untuk si jantung hati. Bagi Kheeder, Arenim gadis penuh istimewa. Seawal tahun pertama perkenalan lagi Kheeder mengasak cinta Arenim. Benar. Memorinya tidak banyak bertaut. Arenim tidak pernah mahu tahu dunia lain. Tragedi cinta dalam hidupnya amat mematangkan langkah Arenim lebih-lebih lagi setelah berada di Morroko. Onak dan duri pasrah dilalui. Arenim leka dengan nota kuliah hingga lupa dirinya patut dicintai dan mencintai. Lantaran itulah sikapnya yang sebenar. Fokus dan fikirannya tertancap utuh kepada nota-nota pelajaran. Sikapnya yang tetap keras mengental memang tidak suka bersosial dan bergaul. Dunianya hanya buku. Arenim dikenali dalam kalangan rakan-rakannya sebagai melekat dengan sikap ulat bukunya. Kitaran hidupnya hanya berlingkar segar antara universiti, perpustakaan dan asrama penginapan.

Tersenyum

Arenim hanya tersenyum dan sekali sekala membalas setiap pertanyaan yang dilontarkan kepadanya. Jiwa Arenim sudah lama dikebumikan di bumi kelahirannya lantaran tandusnya kasih sayang terhadap keluarga di kampung halaman. Air matanya sudah kering kontang. Tidak lagi meluncur sederas curahan hujan. Ah! Sudah tiada apa yang ingin ditangisi. Tiada siapa yang boleh membantunya kecuali berbekalkan semangat dan motivasinya untuk maju yang cukup tinggi. Tegas hatinya berulang-ulang kali. Langkahnya ingin maju ke hadapan membawa sinar yang kian cerah.

Entah mengapa Arenim tidak mahu pulang ke tanah leluhurnya. Kejayaannya menamatkan pengajian dengan susah payah sepatutnya menjadi kebanggaan. Kecewa dengan pemberontakan jiwanya yang kian parah, mengasak nalurinya untuk terus berkhidmat di Marrakesh. Pasrah benar dengan rezekinya di rantauan. Memang Arenim berwawasan tinggi dan benar-benar tidak mahu pulang. Begitu jitu hati anak gadis ini.

Sekeras-keras kerikil, maka keras lagi naluri dan jiwanya. Teman-teman sekuliah terbiasa memanggilnya sebagai Are. Sikapnya digeruni. Arenim seorang gadis timur yang dilahirkan pintar, berbudi bahasa dan berakhlak tinggi. Bekerja keras. Tahan diuji. Lasak dengan masalah.

Siang di Marrakesh. Seawal suria pagi memancarkan sinarnya, peserta leka berseminar, berdiskusi dan berbual mesra. Kes demi kes dibentangkan di Dewan Karam I, Hotel Kongres, Marrakesh. Kadang-kala kedinginan dewan yang bernada serius diserikan dengan gelak tawa peserta. Serentak dengan itu semua dewan seminar penuh sesak dengan para delegasi perniagaan dari serata dunia membentangkan kes negara masing-masing dalam sesi selari. Sesekali deraian tawa peserta terburai jua di luar dewan oleh peserta yang kedinginan yang masih tidak jemu-jemu menikmati guyuran sinar mentari biar peserta lain di dalam dewan tegar berdiskusi dengan selantang-lantangnya.

Mereka pula leka di luar sambil menjamah biskut disulam dengan kopi o panas. Perdebatan antara peserta kian hangat berlanjutan dalam membicarakan soal-soal pemasaran dan penjenamaan produk masing-masing untuk merentasi antara benua. Jua segar berlingkar sekitar sistem pengurusan perniagaan yang enak dibicarakan bersilang baur dalam sesi acara tidak rasmi di dewan makan. Poster-poster bergantungan. Paling menarik poster kempen ke Malaysia, Indonesia, Korea dan Jepun. Masing-masing melobi untuk mendapat tempat penganjuran peringkat dunia. Arenim juga mendapat kipas percuma tanda mata berkempen sumbangan agensi pelancongan Korea. Beberapa orang si cantik manis kelahiran Bali juga tidak kurang berkempen mewakili negaranya.

Setiap kali langkah dihayun, dada Arenim berkocak gelombangnya. Warna-warni bumi Marrakesh membenamkan cinta Arenim pada keseniannya. Cantik, indah dan menawan. Taman bunganya dipenuhi mawar di sana sini. Merah jambu, putih, merah bersilang baur mewarnai taman. Ah! Keharumannya menusuk-nusuk kalbu. Kota yang rata-rata dipenuhi dengan bangunan yang disinari dengan warna coklat ini tambah menarik menjelang lembayung senja. Setiap sore penduduk tempatan tidak jemu-jemu menatap keindahan taman ini. Pepohonan tamar pula tetap gagah membarisi jalan-jalan utama ke Hotel Kongres, Marrakesh. Hah! Terlalu mengasyikkan dan saujana mata memandang. Aliran kesenian nampak terus berkembang pesat di kota ini menampakkan lagi keindahan seni bina, arca dan lukisannya yang unggul. Kecantikan seninya jelas terserlah di sana sini. Ini menandakan kemajuan kota ini dari segi seni binanya. Semuanya terpana di jiwa Arenim. Setiap apa yang terdampar di hadapannya betul-betul sama dengan apa yang wujud dalam kehidupan seharian Arenim.

Demikianlah. Kembara Arenim berakhir di sini. Arenim menemui cinta baru di Marrakesh. Melihat mentari terbenam ke perut bumi, hati Arenim tersentuh. Kesetiaan Kheeder memadamkan kedegilan hatinya untuk dicintai. Mengapa dahulu Arenim tidak pernah sekelumit pun memikirkan siapakah pasangan hati belahan jiwa untuk masa depannya. Sekian lama, Arenim kelaparan, kehausan dan mengalami kedinginan yang melampau di rantauan. Namun Arenim tetap tabah.

Tersadung hati Arenim melihat ragam manusia. Ada ketikanya Arenim bernasib baik menemui insan yang berhati mulia menghulurkan simpati. Marrakesh yang begitu terkenal dengan kota pelancongan terus menggamit nalurinya untuk terus menapak di denai-denai harapan. Arenim jatuh cinta dengan keindahan alam semula jadinya. Cinta sejati jua ditemui di sini. Inikah yang dikatakan cinta berlainan benua? Benarlah, jauh berjalan luas pandangan. Saat umat Islam sedang sibuk mengerjakan ibadah haji di kota suci Mekah, Arenim akhirnya terkorban dan akur dengan panahan cinta Kheeder. Impiannya agar Marrakesh menjadi kota cinta bagi mereka berdua.

"Ahhh….aku cinta padamu."

"Cintamu maha agung dan luar biasa."

Adaptasi semangat korban tambah menyerlahkan lagi kebahagiaan Kheeder dan Arenim dalam mengenal erti penghayatan sebenar kehidupan mereka yang menanti dengan tenang di hadapan.


Cerpen ini telah diterbitkan dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 5 Disember 2010.