Sabtu, 23 Ogos 2008

Lagu Dodoi Melayu Patani


Monday, July 2, 2007
(Diterbitkan di Ruangan Sehari Sebuah Buku Di Utusan Malaysia)

Ulasan Buku

BUKU yang dibahagikan kepada tujuh bab ini memaparkan secara rinci tentang beberapa buah lagu dodoi yang biasa didendangkan oleh majoriti masyarakat Melayu Islam di Pattani. Penampilan contoh lagu yang dikutip di kawasan kajian terpapar melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Nureeyan Saleh. Pengarang juga menyatakan tentang kesenian, ciri, fungsi serta peranan lagu dodoi dalam masyarakat.

Lagu dodoi biasanya digunakan sebagai salah satu cara untuk menidurkan anak-anak kecil. Mesej yang terkandung di dalam lagu merangkumi persoalan yang merangkumi aspek tema, isi dan fungsi mendidik yang cukup dalam maknanya.Manifestasi utama yang terkandung di dalam lagu dodoi amat berkait rapat dengan kehidupan pada peringkat awal kehidupan bayi terutama sewaktu mereka masih di dalam peringkat belum memahami bahasa formal.

Lagu dodoi merupakan nyanyian atau puisi yang pertama didengar oleh bayi. Bentuk lagu dodoi yang biasa didendangkan termasuklah dalam bentuk pantun, syair dan nazam. Manusia, tidak kira keturunan, bangsa atau agama memiliki cara-cara tersendiri meluahkan rasa kasih sayang kepada anak-anak mereka. Salah satu cara yang begitu seni sekali ialah dengan menyanyikan lagu-lagu mengulit anak.

Lagu dodoi ialah lagu yang dinyanyikan untuk menghiburkan dan menidurkan bayi supaya cepat terlena. Ia dicipta dan dinyanyikan secara spontan mengikut emosi dan imaginasi ibu atau bapa.Oleh itu kata-kata dipilih dan disusun supaya menjadi puisi yang indah dan menarik serta mengandungi nilai-nilai moral atau seni kata yang sesuai dengan bayi. Nyanyian dodoi di kalangan masyarakat Melayu Pattani juga adalah satu cabang seni yang menjelaskan sudut pandangan, nilai-nilai dan keistimewaan yang terdapat dalam masyarakat tersebut.

Budaya tradisi dodoi merentasi sempadan tanpa mengenal batasan kelas. Ia menyeberang dari istana hingga ke kawasan pedalaman yang dapat dikesan melalui pemilihan kata-kata indah terpilih.EtikaBerdasarkan kepada contoh-contoh lagu dodoi yang dibincangkan di dalam buku ini, pengarangnya berpendapat bahawa nilai etika kemasyarakatan dan ajaran Islam untuk menunjuk ke jalan hidup yang sempurna dapat dilaksanakan semenjak dari dalam buaian lagi.

Seni kata lagu dodoi dengan jelas memperlihatkan pelbagai aspek pengajaran yang dapat membimbing kanak-kanak untuk mencapai taraf hidup yang sempurna. Di antaranya yang dapat dikutip ialah kepentingan beragama, berbudi bahasa, menghormati ibu bapa dan orang tua serta tekun mencari ilmu pengetahuan.Kekuatan buku ini jelas terletak pada kematangan pengarangnya mengolah penyelidikan yang dibuat terhadap contoh lagu-lagu dodoi dalam pelbagai versi yang dikumpulkan dari serata ceruk kawasan kajian.Keupayaan pengarang mengolah dan merungkaikannya dalam bentuk bacaan umum menjadikan buku ini kelihatan lebih menarik dan bersifat akademik.

Pengolahan kajiannya kelihatan agak matang dengan disulami oleh penggunaan bahasa yang mudah dan lancar. Istimewanya buku ini ialah terdapatnya contoh-contoh gambar buaian yang biasa digunakan dalam kehidupan masyarakat Melayu Pattani ketika mendodoikan anak.Buaian kain atau endoi kain mempunyai perkataan yang rapat dengan kajian lagu dodoi.

Lazimnya, buaian yang sering terdapat di wilayah Pattani termasuklah buaian kain, buaian tangguk, buaian rotan, buaian papan atau kayu dan buaian jamai atau kong.Pengarang juga menurunkan versi dodoi dalam versi-versi seperti Melaka, Yala, Bangkok, Pattani dan Kelantan. Buku ini juga banyak menggunakan bahasa Thai yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Buku setebal 183 halaman ini sesuai untuk pelajar universiti juga untuk bacaan khalayak umum yang meminati kajian bidang budaya dan cabang seni.


Judul: LAGU DODOI MELAYU PATANI

Pengarang: Nureeyan Saleh

Penerbit: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Harga: RM25.00 (Terbitan 1999)

ISBN: 967-942-441-3

Tebal: 183 halaman

Pengulas: Saadah Jaffar

Tiada ulasan: