Khamis, 7 Ogos 2008

Sentuhan Rashdan di universiti, korporat terbukti


Judul : Dari Menara Gading ke Mercu Korporat - Biografi Rashdan Baba
Pengarang : Universiti Kebangsaan Malaysia
Penerbit : Penerbit UKM
Tahun : 2004
Harga : RM 130 (paperback), RM150 (kulit keras) dan RM20 (edisi pelajar).


Pengulas : SAADAH JAFFAR

Buku ini memaparkan kisah suka duka seorang tokoh negara - Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Mohd. Rashdan Baba. Tidak ramai yang mengenali kelebihan yang ada pada diri Rashdan secara dekat. Anak jati kelahiran Kampung Berkat, di Chembong, Rembau ini lain daripada kanak-kanak seusianya. Beliau yang dilahirkan pada 31 Oktober 1935 seolah-olah menjenguk dunia dengan mempunyai pakej sebagai tokoh yang berkaliber dan pemimpin yang disegani.


Sewaktu zaman kanak-kanaknya, beliau banyak menghabiskan waktu sekolah dengan menjadikan membaca buku sebagai hobi utama bagi mengisi setiap masa lapangnya. Rashdan mencari tempat sunyi bagi mengelakkan gangguan sewaktu mengulang kaji pelajaran. Beliau memilih pondok di tengah-tengah sawah sebagai tempat mentelaah pelajaran.


Seusia muda lagi beliau telah menanamkan minat terhadap keindahan alam semula jadi dan menjadikan bidang pertanian sebagai fokus utamanya. Kesedaran untuk maju timbul kerana latar belakang hidupnya yang dibesarkan di kampung. Taraf hidup penduduk kampung yang mundur, merangsang minda Rashdan untuk cemerlang dalam bidang sains. Inilah yang membezakan karakter beliau dengan anak-anak desa lain pada zamannya.


Kelebihan yang ada pada dirinya disokong pula dengan faktor sampingan yang lain kerana beruntungnya beliau berada dalam sebuah keluarga yang amat mementingkan pelajaran.


Pada zaman persekolahannya, beliau sentiasa mengekalkan rekod kecemerlangan dirinya sehingga menjadi pelajar yang sentiasa dapat mengatasi rakan-rakan sedarjah yang lain. Dalam erti kata lain, pada zaman persekolahannya beliau sentiasa sarat dan membuak-buak dengan kejayaan.


Bakat kepimpinan semasa di sekolah menunjukkan Rashdan pernah menjadi ketua murid pertama di Government English School Tampin. Ini direkodkan sendiri oleh pihak sekolah. Namanya hingga kini terpapar di papan tanda di dewan sekolah tersebut. Kepimpinannya dianggap luar biasa dan unik, sama ada dari segi peribadi mahupun perwatakan sehari-harinya.


Menyambung


Beliau kemudiannya berada di Kolej Pertanian Malaya (1954-1957) untuk terus menggilap kecemerlangan akademik, aktif dalam bidang sukan dan menjadi pemimpin pelajar. Kecemerlangannya diteruskan dengan menyambung pengajian ke United Kingdom. Kejayaannya diukir dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (B.Sc.) pada tahun 1960 dan mendapat Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1964.


Jasa baktinya sebagai Pengetua ketika membangunkan Kolej Pertanian Malaya (1965-1969), Naib Canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1969-1971) dan Naib Canselor pertama Universiti Pertanian Malaysia (UPM) (1971-1982) menjadi ukuran kepada kecemerlangan memacu institusi pengajian tinggi di negara ini. Tidak ramai tokoh pendidik yang mampu untuk berada dalam situasi yang Rashdan sendiri alami.


Pada peringkat awal penubuhan UKM, tidak ramai yang mengetahuinya sejarah pelantikan beliau ke jawatan Naib Canselor pertama pada 1 September 1969 kerana UKM sendiri memulakan sesi pengajiannya pada 18 Mei 1970. Sungguhpun beliau menerajui UKM dalam masa yang agak singkat, namun peranannya sebagai Naib Canselor pertama telah banyak merintis pembangunan awal sehinggalah UKM dapat berdiri teguh di antara institusi-institusi pengajian tinggi lain hingga masa kini.


Bagaimanapun beliau masih meneruskan tugasnya sehingga kini sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UKM. Beliau dikenali sebagai seorang yang mempunyai gaya kerja yang cekap, teratur dan berdisiplin tinggi. Kebetulan jiwa, personaliti dirinya yang tersendiri dapat menyimpul kekuatan naluri Rashdan yang sering teruji dengan tugasan-tugasan baru yang sentiasa mencabar kepimpinannya.


Kesungguhannya menekuni setiap kerja yang diberi biasanya dapat dilaksanakan dengan baik. Sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata bagaimana beliau boleh membahagi-bahagikan masa semata-mata mahu melihat kejayaan anak bangsa berada pada tahap yang membanggakan. Beliau dilihat sebagai bersungguh-sungguh untuk memartabatkan pendidikan anak bangsa ke persada dunia.


Penswastaan


Apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan dasar penswastaan negara, Tan Sri Rashdan turut sama berganding bahu mencurah pengalaman menerajui penswastaan pertama negara, iaitu Syarikat Telekom Malaysia hingga menjadi konglomerat dalam industri telekomunikasi.


Ketika kerajaan mula mengambil alih syarikat asing, Rashdan sekali lagi dilantik menerajui Guthrie menggantikan pengurus British. Dalam memikul tanggungjawabnya, beliau sentiasa berhati-hati terhadap setiap dasar kerajaan yang diamanahkan kepadanya.


Rashdan juga berperwatakan sebagai pemimpin yang berkarisma, berdisiplin, berhemah tinggi dan sering dihormati oleh setiap peringkat usia.


Sifatnya yang senang didampingi dalam pergaulan dan selalu mengambil berat terhadap kebajikan kakitangannya memudahkan beliau menjalankan tugasan seharian.


Sebagai mengiktiraf sumbangan Rashdan dalam bidang pendidikan tinggi tanah air dan memajukan dasar penswastaan kerajaan, beliau dianugerahkan dengan pelbagai anugerah dan darjah kebesaran.


Kemuncak kepada ketokohannya sebagai tokoh pendidik apabila dianugerahi gelaran Profesor Emeritus daripada UPM pada 14 Ogos 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang UKM pada 3 Julai 1999. Beliau juga menerima Ijazah Kehormat Doctor of Science dari University of Reading dan Doctor of Law dari University of Leeds. Sehingga kini beliau masih menerajui badan-badan kehormat serta melibatkan diri dengan pelbagai badan sukarela dan kebajikan.


Rashdan yang berada dalam arusnya yang tersendiri, kaya dengan idea dan perubahan ketika berada di dunia akademik dan menerajui dunia korporat. Cetusan idea untuk memaparkan liku-liku hidupnya sebagai ahli akademik dan tokoh korporat yang dipaparkan di dalam biografi ini adalah sebagai memenuhi tuntutan sezaman di peringkat pengurusan UKM sendiri.


Rashdan dilihat sebagai ikon, tokoh pendidik dan ahli korporat yang berjaya mengharungi zamannya kerana berjaya meletakkan asas pendidikan tinggi negara di tempat yang kukuh. Banyak sudah idea yang disumbangkan olehnya yang dapat dilihat hasilnya seperti tersergam Menara Pucuk Rebung Telekom Malaysia dan Menara Telekom Alor Star.


Jika ditelusi dengan teliti susuk cerita biografi buku ini, terlalu banyak perkara yang boleh dicontohi dan diikuti jika seseorang ingin berjaya seperti Tan Sri Rashdan.


Terbit di Ruangan Sehari Sebuah Buku Utusan Malaysia

3 ulasan:

Unknown berkata...

You go girl!

Tanpa Nama berkata...

congratulations on all ur work.. u r the greatest

Tanpa Nama berkata...

Apa khabar.. saya sering mengikuti tulisan anda di surat khabar.. MOga anda terus menulis... Semoga maju jaya