Isnin, 6 Oktober 2008

Sayang: Pantun dan Seloka Kanak-kanak




Foto By: Ismail Ibrahim
Petikan daripada Utusan Malaysia: ARKIB : 02/06/2008

Ruangan Sehari Sebuah Buku

BUKU ini menyentuh pelbagai aspek berkaitan pantun dan seloka kanak- kanak. Antologi ini dikumpulkan oleh tokoh budayawan, Azah Aziz yang telah mengkaji sastera puisi Melayu zaman dahulu. Beliau mendapati dalam puisi Melayu lama terdapat banyak pantun dan seloka yang ditujukan kepada kanak-kanak.

Istilah seloka di sini bermaksud puisi atau rima kanak-kanak yang disebut nursery rhymes dalam bahasa Inggeris. Seloka seumpama ini biasanya pendek, ringkas dan amat mudah untuk diingati dan dihafal oleh golongan kanak-kanak.

Pantun yang dimaksudkan pada umumnya ialah pantun empat kerat. Pantun adalah puisi atau warisan kata-kata yang cukup indah dan sering-kali mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu serumpun.

Pantun selalunya digunakan dalam majlis-majlis rasmi seperti menyambut ketibaan pemimpin, upacara pembukaan majlis atau sewaktu diadakan majlis perkahwinan. Menerusi tradisi berpantun dapatlah seseorang itu menyampaikan pengajaran, nasihat, panduan dan bimbingan kepada semua lapisan anggota masyarakat yang turut mewarisinya secara turun-temurun.

Secara perbandingan mengapa pantun dapat bertahan padu hingga ke hari ini adalah disebabkan pantun dicipta oleh masyarakat lama yang kukuh dan padu, tidak pecah belah berserak seperti masyarakat moden.

Pantun adalah bentuk puisi yang teristimewa sekali dalam perbendaharaan sastera lisan Melayu. Keistimewaan pantun terletak pada keindahan dan popularitinya.
Apabila pantun-pantun Melayu digunakan sebagai media pengiring dan pemanis kata, maka suasana dan sekitar majlis akan berlangsung dengan penuh kemesraan, indah dan riang. Pastinya penggunaan pantun dalam sesuatu ucapan bukan sahaja akan menyentuh perasaan setiap yang hadir, tetapi akan membantu mempertajam penyampaian hajat dan hasrat serta pujian dan sanjungan.

Tradisi

Pantun juga lazim digunakan untuk menyampai hasrat rombongan ketika majlis peminangan dan perkahwinan. Usaha menghimpunkan pantun ini menjadi perlu khususnya sebagai bahan dokumentasi generasi masa kini dan akan datang dengan harapan tradisi berpantun dapat terus dilanjutkan.

Selain menunjukkan proses kreativiti orang Melayu, pantun juga turut menonjolkan seni berbahasa dan seni kreatif orang Melayu yang handal dalam menyampaikan sesuatu mesej menggunakan bahasa berirama sekali gus mewakili nilai sosiobudaya Melayu.
Pantun Melayu turut menyerlahkan lagi pemikiran dan latar belakang sosiobudaya masyarakatnya melalui pemakaian bahasa yang berangkap, bersifat umum dan berkias. Pantun Melayu adalah hak milik bangsa dan tamadun Melayu. Pantun wujud dan berkembang dalam tradisi lisan dan tradisi tulisan.

Perkara-perkara yang wajar diambil kira mengenai pantun adalah keunikan bahasanya, aspek estetika dan etikanya, nilai, pemikiran dan falsafahnya, jati diri dan pandangan serta persepsi dan akal budi. Pantun dan seloka dalam buku ini terbahagi kepada lima bahagian iaitu Bermain, Keluarga, Alam, Nasihat dan Dodoi.
Dalam khazanah sastera Melayu lama, ada banyak pantun dan seloka yang menggalakkan ahli-ahli keluarga bermain dan mengagah anak kecil.

Melaluinya boleh diberikan ajaran, bimbingan dan rangsangan yang berguna kepada anak yang sedang membesar supaya ia kelak menjadi insan yang sempurna.
Pantun dan seloka yang terkandung dalam antologi ini boleh diungkapkan begitu saja, didendangkan dengan timangan dan gerak-geri atau dinyanyikan sambil bermain dengan anak itu yang boleh mengundang perasaan gembira kanak-kanak yang masih kecil.
Kesemua pantun dan seloka yang terkumpul dalam buku setebal 96 halaman ini memaparkan semangat kasih sayang antara ahli keluarga, suatu tradisi dalam kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu.

Atas dasar semangat kasih sayang yang begitu tinggi dan mendalam telah mendorong Azah Aziz untuk menguatkan cita-citanya mengumpul puisi-puisi yang amat bermakna di dalam antologi yang digarapnya dalam bentuk mewah lagi berwarna-warni.

Tajuk: Sayang: Pantun dan Seloka Kanak-kanak
Dikumpulkan oleh: Azah Aziz
Dilukis oleh: Dzulkafli Buyong
Tebal: 96 halaman
Tahun: 2008
Penerbit: MPH Publishing
Harga: RM30
Pengulas: SAADAH JAFFAR

Tiada ulasan: