Ahad, 25 Januari 2009

Pulangnya Bapak Arena Wati...

Dengan rasa cukup sedih dan tulus dirakamkan al-Fatihah untuk pulangnya Bapak Arena Wati ke rahmatullah pada jam 1.30 pagi (30 Julai 1925-25 Januari 2009). Saya kehilangan seorang penulis yang amat saya kagumi sepanjang karier dan penglibatan saya di Penerbit UKM. Saya benar-benar berbangga mengenalinya. Seorang sasterawan yang berjiwa kental, bersemangat waja dan sanggup menulis sehingga ke akhir hayatnya. Jika boleh, izinkan saya untuk meminjam semangat kentalnya ketika berada di industri penerbitan yang cukup mencabar ini.
Sebelum ini saya telah lama mengenali aliran pemikiran dan penulisan bapak lewat karya-karya besarnya sewaktu zaman persekolahan dan peringkat pengajian tinggi. Saya mengkaji sastera Melayu yang sekaligus mengkaji hasil penulisan beliau yang banyak bertemakan dunia kelautan. Kebetulannya, saya pula mengkhusus di dalam jurusan Persuratan Melayu di UKM. Arena Wati dengan karya berat dan dunia kelautan/samudera sememangnya tidak dapat dipisahkan langsung. Inilah identiti beliau. Perkara ini memang tidak boleh dipisahkan langsung. Elemen-elemen kelautan cukup sarat, membuak-buak dan kental di dalam karyanya. Novelnya berbaur serius dan pada saya hanya sesuai untuk dikaji oleh orang yang benar-benar berminat dengan sastera. Karya Bapak sememangnya benar-benar berat dan terlalu serius. Saya berkeyakinan banyak kajian dilakukan oleh Bapak sebelum menghasilkan setiap karyanya. Kerjanya cukup bersistematik. Beliau memancang-mancang kerjanya bagi menghasilkan sesuatu karya dan mengejar date-line. Beliau juga seorang penulis besar yang amat prolifik dan mencintai dunia penulisan sepenuhnya. Bukan calang-calang orang mahu menangani buah fikiran yang dilontarkan lewat karyanya.
Tidak pernah terlintas difikiran saya yang saya secara peribadinya akan menemui beliau secara bersemuka ketika saya mendapat kerja di sini. Segala-galanya bermula dengan tugasan penerbitan novel Cakra Waruga (2006).
Saya dan keluarga khususnya anak-anak saya menjadi agak rapat dengan ibu Halimah dan bapak hanya kerana berurusan mengenai buku tersebut. Kami juga akan dijemput untuk majlis-majlis yang dianjurkan oleh bapak dan keluarganya. Secara peribadi, saya dapati Bapak amat mementingkan hal-hal kekeluargaan dan hidup dengan penuh kasih sayang tanpa menyusahkan orang lain. Baginya, keluarga jangan sekali-sekali dikesampingkan. Mereka adalah kekuatan kita untuk berkarya.
Anak perawan saya juga turut berminat mengkaji pemikiran bapak dan sempat menulis folio mengenainya ketika di sekolah menengah. Saya nyatakan hal itu kepadanya. Beliau amat gembira sekali dan mahu menemui anak-anak saya untuk bertanya khabar. Saya bawa mereka menemui Bapak di rumahnya di Kepong.
Bagi saya, agak senang berurusan dengan bapak yang begitu memahami dunia penerbitan. Walau saya kadang kala menghadapi masalah dengan penerbitannya tetapi Bapak seakan-akan memahaminya. Saya berterus terang dengannya. Oleh itu, saya tiada masalah ketika menguruskan apa jua yang dikehendakinya. Bapak kerap kali mendekatkan diri dengan majlis-majlis besar anjuran DBP dan UKM. Jika di dalam menguruskan hal bukunya di UKM, biar tidak berapa sihat, Bapak masih mahu datang ke UKM dengan menaiki komuter. Saya menjemputnya di stesen dan setelah selesai tugasan saya menghantarnya pulang ke stesen. Selalunya Bapak mesti belanja makan dahulu sebelum pulang. Kadang kala Bapak akan datang bersama dengan anaknya. Bapak mempunyai anak-anak yang berjaya di dalam karier masing-masing. Paling saya ingati ketika Bapak mengirimkan goreng pisang untuk ibu saya kerana saya katakan ibu saya datang ke rumah saya petang tersebut. Bapak seorang yang baik hati, kuat bekerja, peramah dan berwawasan.
Sepanjang penerbitan bukunya, hampir setiap apa yang dikehendaki saya turuti. Saya yakin karya beliau bermutu dan nama beliau juga cukup harum di arena kesusasteraan Nusantara.
Beliau juga ada ketikanya menyatakan hanya boleh bekerja dari rumah disebabkan faktor kesihatan. Saya amat memahaminya kerana faktor usia beliau.
Sepanjang sakitnya di HUKM saya dan suami telah beberapa kali menziarahinya. Saya akui saya mengikuti perkembangannya dari sehari ke sehari. Mengenai situasinya di HUKM, beliau sendiri yang memberitahu saya yang beliau ditempatkan di Bilik 9, Wad Baldu. Ketika menerima panggilan, petang itu juga saya datang menziarahinya (sekitar pertengahan bulan September 2008). Saya juga nyatakan kepada anak-anak saya di luar negara mengenai kesihatan bapak yang hanya Tuhan sahaja maha mengetahuinya bertapa bapak bertarung dengan penuh ketabahan dan keazaman melawan cabaran tersebut. Beliau dan isteri serta anak-anaknya begitu tabah dan cukup sabar. Saya yakin, Ibu Halimah seorang yang cukup kuat semangat. Bapak berjaya pun kerana kekuatan dan kekentalan semangat ibu. Beliau cukup menyokong kerjaya Bapak.
Sebagai orang luar, saya benar-benar menghormati keluarga ini.
SMS datang bertalu-talu di telefon bimbit saya seawal jam 1.30 pagi mengenai berita pulangnya ke rahmatullah bapak. Pada hari Sabtu, saya dan suami memang bercadang untuk menziarahi bapak di HUKM pada hari Ahad (25.1.09), kerana sudah lama tidak mendengar berita mengenainya. Kali terakhir saya melawatnya adalah pada awal Disember 2008. Selalunya saya sendiri yang akan dapat call daripada bapak. Sudah lama beliau tidak menelefon saya. Disebabkan kesibukan saya, saya terlupa. Sehinggalah pada 20 Januari 2009, saya mendapat tahu daripada teman-teman yang mengatakan keadaan kesihatan Bapak... Ibu Halimah cukup setia, cintanya cukup mendalam dan saya boleh simpulkan kasih sayang Bapak kepada Ibu sememangnya sehingga akhir hayat. Bagaikan tidak boleh berpisah langsung. Kehidupan keluarga ini penuh dengan kasih sayang. Ibu Halimah sentiasa menemani Bapak di katil hospital. Begitu begitu memahami, sayang menyayangi dan sanggup susah senang , sakit pening bersama-sama. Saya juga ingin meminjam situasi ini. Cinta antara suami isteri hingga ke akhir garisan...
Saya tidak mengetahui berita pemergian Bapak hanya kerana telefon bimbit saya berada di dalam nada senyap disebabkan pada petang tersebut saya ke kelas piano (biasanya saya senyapkan telefon tersebut) dan selepas itu saya ada temu janji kerana berbincang pula mengenai penerbitan buku bersama pengarang saya. Saya benar-benar tidak perasan, pada hal pada malam tersebut saya meneruskan rutin pembacaan sehingga jam 3.00 pagi bagi menghabiskan suntingan sebuah manuskrip memoir (juga pengarang yang telah berusia lebih 70 tahun) yang bakal diterbitkan oleh pejabat saya. Saya ingin menerbitkan manuskrip tersebut secepat mungkin.
Pada pagi 25 Januari 2009, saya dan suami hanya menunggu ketibaan jenazah bapak di Masjid Wilayah Persekutuan. Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke masjid itu. Di situlah saya melihat perjalanan terakhir seorang Sasterawan Negara yang abadi. Terima kasih kepada suamiku kerana membantu mengusung jenazah bapak untuk dibawa masuk ke masjid bagi disembahyangkan. Saya dapat lihat juga Dato' Anwar Ridhwan turut sama mengusung jenazah bapak bersama-sama yang lain. Saya juga melihat saudara Faisal Tehrani dengan kameranya di sana sini, memeluk Dato' Anwar. Juga kelihatan kelibat Dato' Dr. Wan Hashim, Dato' Kemala, Encik Hasrom, Dato' Firdaus dan lain-lain yang saya duga adalah rakan-rakan media dan teman seangkatan Bapak dalam bidang sastera.
Pagi ini, saya menerima SMS daripada anak lelaki saya di negara Kremlin yang mengatakan bahawa beliau mengetahui mengenai berita pemergian Bapak di Internet... dan beliau inginkan pengesahan daripada saya sambil menyampaikan salam takziahnya buat keluarga Bapak. Bapak seorang yang mementingkan hal-hal kekeluargaan dan selalu mengingatkan kepada saya supaya anak-anak saya belajar bersungguh-sungguh supaya menjadi orang yang berjaya. Beliau selalu menitipkan salam dan pesanan buat mereka. Hinggakan anak-anak saya diminta olehnya mencari roti hitam dan memasak daging dengan keju di Rusia. Bapak katakan kepada saya, beliau juga pernah tinggal di Rusia. Bermacam-macam lagi pesanan dititipkan termasuklah menjaga keselamatan dan kesihatan ketika musim sejuk. Kalau bercakap pasal kejayaan, Bapak begitu bersemangat dan sering meminta supaya saya meneruskan lagi pengajian walaupun beliau tahu saya sudah lanjut usia.
Kini, beliau telah pergi meninggalkan kita semua. Aman disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara setelah disembahyangkan di Masjid Wilayah Persekutuan dengan diimamkan oleh teman saya ketika belajar di Fakulti Pengajian Islam 23 tahun dahulu. Itupun kerana gambar teman saya itu keluar di akhbar ketika mengimamkan solat jenazah. Ketika itu beliau masih muda dan kini menjadi imam di Masjid yang begitu canggih itu. Kecil sungguh dunia ini. Saya hanya mengetahuinya setelah menerima sms dari teman-teman yang mengatakan suami kawan saya mengimamkan solat jenazah tersebut. Sebelum itu, arwah Bapak dibawa balik ke Hulu Langat untuk kali terakhir. Rumah yang cukup cantik seakan-akan resort di tepian sungai. Tinggallah jua ruang kamar kerja Bapak di Kepong. Untuk Ibu Halimah dan keluarga, semoga tabah, cekal dan bersabar dengan dugaan ini. Allah lebih menyayanginya. Untuk Kakak Heryati, terima kasih kerana menelefon saya. Akan saya kenang sehingga ke akhir hayat pengalaman yang tidak mungkin dapat saya lupakan ini. Saya benar-benar kehilangan seorang pengarang yang amat saya hormati cara kerja dan lontaran buah fikirannya. Tinggallah segala-gala tinta yang digarap oleh Bapak untuk tatapan generasi mendatang. Kini, namamu akan terus mewangi seharum kemboja di kuburan. al-Fatihah.

Tiada ulasan: