Ahad, 24 Mei 2009

Apabila Saya Terkenang Kisah Lalu...

Kenangan ini wajar diabadikan di sini...
i

Saya terkenang ketika meredah jalan-jalan batu berkuda di Vrijdag Mark beberapa tahun nan lalu di kota Leuven, Belgium. Saya ke sana kerana membeli sayur, barangan dapur dan sudah semestinya mencari buku kulit keras untuk anak-anak saya. Ketika itu saya belum terjun ke dunia perbukuan. Cuma saya suka lepak di gerai orang menjual buku-buku lama... Bertimbun saya bawa pulang buku. Hinggakan tiada siapa menyangka itu adalah himpunan buku-buku yang saya beli untuk tujuan bacaan anak-anak dan saya sendiri. Ketika itu, saya suka membeli buku masakan dan buku kanak-kanak. Apa lagi kalau ada berita buku bergambar yang cukup cantik - mesti saya bawa pulang bersama dengan barangan dapur...orang tak ada kerja. Jadi, kerjanya merayau-rayau di sekitar kota setelah menghantar anak-anak ke sekolah.

ii

Saya juga suka lepak di kedai buku. Saya membelek-belek buku dan kadang kala terus membawa pulang buku-buku yang berkenan di hati. Biarpun mahal tetap mampu untuk dibeli!

iii

Saban Sabtu, saya ke Perpustakaan Awam Leuven. Saya juga menjadi ahli perpustakaan universiti Leuven. Buku-buku banyak di situ. Saya membiasakan anak-anak lepak di situ. Mereka santai membaca buku-buku secara percuma di situ. Saya juga meminjam buku-buku untuk dibawa pulang. Ketika itu seolah-olahnya saya sudah terjun ke dunia perbukuan. Saya buat begitu kerana saya tiada ramai kawan di sana. Jadi, saya hanya ke perpustakaan kerana meminjam buku dan ke pasar membeli barangan keperluan harian.

iv

Jika ada masa terluang, saya akan menaiki trem, tren atau bas untuk ke luar kota. Saya juga berbasikal untuk seluruh kota Leuven. Menelusuri kota-kota lama dengan berbekalkan wang yang ada bersama-sama keluarga. Justeru itu, saya sudah pun lepak di Luxemburg, Belanda, Jerman, Switzerland dan ke England. Saya dan keluarga tidak pernah pulang ke tanah air kerana mengisi sepenuh masa di perantauan.

Kesimpulannya: Kepada siapa yang suka...boleh ikut cara saya. Saya tidak boleh paksa orang ikut cara saya. Saya juga tidak suka membeli pinggan mangkok. Saya suka beli buku dan berjalan ke sana sini menonton panorama yang tidak ada di Malaysia. Jangan bila ada masa cuti asyik pulang ke tanah air. Manfaatkan sepenuhnya masa kita semasa berada di luar negara.

2 ulasan:

Nurul Nadia berkata...

"Jangan bila ada masa cuti asyik pulang ke tanah air. Manfaatkan sepenuhnya masa kita semasa berada di luar negara." <-- aik.. macam mengata org kat sini jerr... haha...

teratai berkata...

Aiii terasa pulak ke! Sabar...sabar....sabar itu separuh daripada iman.