Khamis, 17 September 2009

Nostalgia raya...

Catatan ini hanyalah sebelum zaman aku berumah tangga dan suasana ketika berada di kampung halamanku di Tangkak. Suasana beraya di rumah mertuaku pula agak berlainan...

Ketika ini semua orang sibuk membuat persiapan hari raya puasa. Aku terkenang zaman silamku ketika berada di kampung. Dahulu, aruah abah selalu membelikan aku baju gaun yang cantik di Tangkak. Kemudian aku diminta menempah baju kurung dan baju maxi batik daripada tukang jahit - ikut ukuran masing-masing. Nampaknya ketika itu, aruah abah memang hendakkan anak-anaknya stail di pagi raya. Cuma kasut raya tetap kasut sekolah. Katanya selepas raya aku boleh pakai pergi sekolah. Aruah abah juga akan meminta kita anak-anaknya menggunting rambut pendek di kedai Ah Moi di Jalan Muar. Aku tidak tahu sama ada kedai itu masih wujud lagi atau tidak. Dahulu kedai itu terletak dekat dengan kedai membuat bakul rotan. Rambut kita dipotong pendek dengan bayaran 40 sen sahaja. Wah! Cantik sungguh ketika itu apakala berjalan raya dengan memakai baju maxi labuh yang diikat dengan reben di belakangnya.
Emak pula akan membuat kuih raya sendiri. Tidak pernah beli-beli. Emak akan membakar kuih dengan menggunakan oven berwarna hitam. Dapur yang digunakan adalah dapur minyak tanah. Kuih bahulu akan dibakar sendiri dengan menggunakan sabut yang diletak di atasnya. Ini bermakna atas bawah pakai api yang dijadikan bara terlebih dahulu. Kerja menhenjut bahulu itu dilakukan oleh kami adik beradik yang seramai 10 orang. Bergilir-gilir menghenjut telur dalam tempayan kecil.
Menjelang hampir hendak raya, aruah abah selalu mengacau dodol. Emak akan meminta kami memarut kelapa sendiri. Santan menggunakan kelapa sendiri. Selalunya emak akan mengupah dan meminta aruah Atan Tua memanjat kelapa. Masa itu ada parut kayu dan kukur. Kita akan sama-sama memarut kelapa dan memerah santan. Selepas itu kita akan membancuh santan dan tepung pulut. (Al-Fatihah abah, abang Din dan Ngah Syukor). Aruah abah, aruah abang dan Uda serta adik-adik lelakiku yang lain akan mengacau dodol hingga jam 3.00 petang. Paling kita suka adalah dodol ketika cair. Sanggup simpan untuk berbuka tu... Resepi dodol aruah abah cukup sedap. Emak akan menempah topong kelamai daripada orang yang pandai menganyamnya. Dodol itu akan dimasukkan ke dalam topong dan disimpan di dalam dulang yang diletakkan di atas meja. Semuanya bagi mengelakkan daripada serangan semut. Hingga kini aku tetap akan mengingati kesedapan resepi dodol aruah abah.
Menjelang malam raya, aruah abah akan menganyam ketupat pula. Hanya aruah seorang sahaja yang pandai menganyam ketupat. Tidak seorang pun anak-anaknya yang pandai menganyam ketupat ketika itu. Aku tidak tahu mengapa tidak diturunkan ilmu itu kepada anak-anaknya. Kini, ada di antara adik beradikku yang pandai menganyam ketupat. Kami belajar dan berguru daripada orang lain. Ada adik beradikku mengatakan mereka berguru daripadaku. Aku agak terang hati. Mungkin aku cepat belajar menganyam. Seingatku, aku berguru dengan sepupuku ilmu menganyam ketupat ini. Kemudian, emak akan merebus ketupat dan memasak lauk pauk raya hingga ke pagi. Keenakkannya tiada tandingan. Kini, emakku sudah tidak boleh memasak lagi kerana faktor usia dan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Tetakala malam 7 likur menjelang, abang-abangku akan mula bermain meriam buluh. Hingga satu tahap pernah rumah kami di serbu polis kerana mereka berlawan-lawan meriam buluh. Aku ingat lagi peristiwa ini. Mereka semua tidak takut kepada polis dan akan sambung semula bermain apakala keadaan telah reda. Kebait pula dibeli dari kedai Cina. Meriam buluh akan diikat dengan kawat dan ditanam di dalam tanah. Bunyinya akan kebabommmmm...satu Tangkak boleh dengar. Sebelum bermain meriam, mereka akan memasang pelita minyak tanah di sekeliling rumah. Wah! Terang benderang sekali selepas waktu senja. Bunyi meriam buluh akan sahut menyahut apakala lepas waktu berbuka dan berterawikh. Semua tidak takut kepada putus tangan ke, putus jari ke atau polis. Apa yang mereka suka, cuma suka aja. Kini rasanya sudah tiada lagi yang berani bermain meriam buluh seperti zaman abang-abangku dan kawan-kawannya.
Pada malam raya, baru emak akan mengerah kami memasang langsir. Biasanya emak akan 'memaksa' aruah abah untuk menggantikan langsir hampir setiap tahun. Itu memang hobi emak. Begitu juga dengan bekas kuih raya. Anak-anak yang datang beraya mesti akan datang dua tiga kali ke rumahku kerana emak akan bagi duit raya yang banyak. Budak-budak ini akan memberitahu kawan-kawannya yang mereka akan mendapat duit raya yang banyak jika datang ke rumah kami.
Kini segala-galanya tinggal dalam kenangan... nostalgia silam...berulang kembali, namun suasananya tidak sama biarpun aku telah mempunyai keluarga sendiri. Anak-anakku akan menyambut raya di perantauan kerana tuntutan ilmu. Semoga mereka tabah dan berjaya menjadi insan yang berguna kepada nusa dan bangsa. Doa ayahanda dan bonda sentiasa mengiringi kejayaan anakanda berdua. Salam kasih sayang mengenang pagi Syawal.

1 ulasan:

Nurul Nadia berkata...

trimas!! salam lebaran diterima... =) syok cerita hari raya tuh.. nnt nadia pun bleh buat juga.. hehe..