Isnin, 28 Februari 2011

Cerita Tiga Rasa

Tarikh 25 Februari 2011 ini mempunyai 3 rasa:

1. Ini adalah tarikh ayahandaku Haji Jaffar bin Esa meninggal dunia 11 tahun yang lampau. Aku masih teringat lagi tarikh inilah kuabadikan di dalam tesis sarjanamudaku pada tahun 2000 dahulu. Di kampungku di hujung Semenanjung telah diadakan majlis memperingati pemergian ayahanda dengan bacaan yassin di surau Kampung Anjung Batu. Doa anakanda, semoga roh ayahanda akan tenang, aman dan bahagia di sana. Al-Fatihah.

2. Kira-kira jam 11.30 pagi aku ke Hospital Kajang kerana ibu saudara sebelah bapaku sedang sakit tenat di situ. Sepupuku Itah menelefon/sms mengatakan bondanya mungkin tiada harapan untuk meneruskan hayat di dunia ini....setelah berbalas-balas sms lewat tengah malam aku mengambil keputusan untuk melawat bonda saudaraku yang ku panggil sebagai mak usu di Hospital Kajang usai sahaja percutianku di Port Dickson. Namun setelah melihat dengan sendirinya aku dapat mengagak yang memang hayatnya mungkin tidak panjang...
Sekembalinya aku di pejabat aku bercerita tentang hal ini dengan beberapa teman...dan kegusaranku menjadi nyata apakala jam 12.oo tengah malam Itah menelefonku mengatakan bondanya telah pergi buat selama-lamanya. Itulah satu-satunya bonda saudaraku yang masih tinggal pada sebelah abahku. Al-Fatihah. Tanggal 26 Februari aku pulang ke Tangkak untuk menziarahi aruah buat kali terakhir kerana keakrabanku dengan Itah semenjak kami sama-sama bersekolah rendah, menengah dan beliau juga menjadi pengapitku semasa hari perkahwinanku...

3. Hari lahir teman di bilik sebelah di kantorku...pegawai tadbir muda yang biasa ku sapa sebagai Salle jua yang bercita-cita mahu menjadi sasterawan...aku doakan agar cintanya kepada sastera akan mekar sempena dengan hari lahirnya...katanya kepadaku pada keesokkan harinya akulah orang pertama yang mengucapkan tahniah sempena dengan hari lahirnya...semoga dikau sasterawan muda akan bertambah matang bersama usiamu.

1 ulasan:

Nurul Nadia berkata...

-nadia pun rndu atok..
-happy birthday en.salleh... tak tau nk panggil abang ke pakcik.. encik boleh la ehh.. haha =P