Rabu, 30 Januari 2013

Singkap Perjuangan Rosli Dhoby


Oleh Saadah Jaffar


ROSLI Dhoby dilahirkan pada 18 Mac 1932 di nombor 94, Kampung Pulo, Sibu. Beliau adalah anak kepada pasangan Dhoby Buang dan Habibah Haji Lamit. Pasangan ini mempunyai tiga orang anak iaitu Fatimah (1928), Rosli (1932) dan Ainnie (1933). Rosli dibesarkan dalam suasana perkampungan Melayu. Hobinya tidak lekang daripada membaca buku, akhbar, menonton wayang, menonton bangsawan Melayu dan mendengar radio.

Sifatnya yang suka membaca dapat menambahkan pengetahuan dan membuka horizon pemikirannya, selain dapat mempertajam bahasanya. Beliau disifatkan sebagai anak muda yang pintar dan sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Sikapnya yang kreatif dan akrab dengan teman-teman amat menyenangkan pergaulan sesama mereka dengan mudah membangkitkan jati dirinya yang semulajadi berani dan dihormati oleh rakan-rakan seperjuangan.

Tutur kata sopan, baik budi bahasa dan berpengetahuan luas ini secara tidak langsung menonjolkan dirinya untuk bertugas sebagai guru di Sekolah Rakyat Sibu. Mindanya menerawang jauh untuk mempertajamkan ilmu bagi menyediakan diri sebagai seorang guru yang hebat dan pemimpin yang disegani.
Semangat nasionalisme yang tinggi terus-terusan mengalir bagai air lalu dalam jiwa pemuda yang juga berbakat dalam bidang penulisan ini. Jiwa seninya nyata terserlah dalam beberapa buah puisi yang terpapar dalam Utusan Sarawak. Biasanya Rosli menggunakan nama samaran bagi mengelakkan pengenalan dirinya diketahui umum.

Perjuangan dan pengorbanan para pahlawan negeri harus dikenang. Menjelang Hari Kemerdekaan, kerajaan Sarawak akan mengenang jasa para pahlawannya yang berkorban jiwa dan raga demi negara tercinta. Salah seorang daripadanya ialah Rosly Dhoby. Anak muda berusia 17 tahun ini telah memberanikan diri menikam Gabenor Duncan George Steward di Sibu pada tahun 1949 kerana jiwa dan raganya berkobar-kobar ingin menuntut kemerdekaan negara.

Kejadian berani mati yang dilakukan oleh Rosly Dhoby mendapat liputan pelbagai media. Beliau memang merupakan anak muda yang terlalu berani. Ekoran itu, nyawanya melayang di tali gantung di Penjara Pusat Kuching pada bulan Mac 1950 bersama-sama dengan tiga orang lagi rakannya iaitu Awang Rambli, Bujang Suntong dan Morshidi Sidek.

Siasatan dilakukan tanpa mengira siang atau malam, malah kadangkala pada dini hari bagi mengetahui siapakah di sebalik dalang kepada perancangan dan konspirasi pembunuhan itu. Rumah Rosly di Kampung Pulo segera digeledah pihak polis bagi mendapatkan bukti. Tiba-tiba keadaan di Sibu umpama diserang garuda. Polis mengawal setiap simpang siur jalan di Sibu termasuk membawa masuk anggota tambahan dari rumah pasung Kuching.

Rakyat Sarawak sentiasa tertunggu-tunggu akan perbicaraan kes yang penuh dengan sensitiviti dan sensasi lagi menggemparkan itu. Mereka ingin tahu keputusan perbicaraan berkenaan dengan memberikan pelbagai ramalan dan jangkaan yang tersendiri. Oleh sebab itu, tidak hairanlah semenjak awal-awal lagi mahkamah penuh sesak dengan orang ramai yang ingin mengikuti kes perbicaraan.

Jeniri menuangkan hampir seluruh dialog perbicaraan kes mengikut catatan dalam prosiding mahkamah. Di sini letaknya ketelitian fakta yang ingin dikongsikan oleh pengarang dan perkara ini jarang dilakukan oleh mana-mana penulis. Watak demi watak yang suatu ketika dahulu memang pernah wujud dalam lipatan sejarah Sarawak ditonjolkan oleh pengarang dalam buku ini.

Peristiwa bersejarah tersebut kemudiannya berlalu pergi dengan damai. Akhirnya, sejarah membuktikan mereka kemudiannya dinobatkan sebagai pahlawan oleh pihak Kerajaan Negeri Sarawak, termasuk pengiktirafan kerajaan negeri dengan memindahkan kubur mangsa yang ketika itu berada di Penjara Pusat Kuching. Usaha menggali semula kubur tersebut dilakukan oleh pihak kerajaan lalu dipindahkan ke Sibu pada 1996.

Biarpun pelbagai spekulasi timbul ekoran usaha pemindahan kubur tersebut, namun yang penting Rosly Dhoby tetap dianggap sebagai wira Sarawak. Membaca buku Rosli Dhoby: Merdeka dengan Darah bakal mendedahkan pelbagai rahsia dan konspirasi Kumpulan Rukun Tiga Belas untuk membunuh Gabenor Duncan Stewart pada 3 Disember 1949 dan lain-lain peristiwa yang berangkai dengan kehidupan Rosli sendiri.

Buku berunsur sejarah yang mengandungi 28 bab ini ditulis berdasarkan pelbagai dokumen yang diperoleh di London, Singapura, Kuala Lumpur dan Sarawak termasuk surat Rosli kepada ibu bapanya, kenyataan Rosli kepada polis dan majistret, minit mesyuarat Majlis Tertinggi Council Negeri pada 1949, prosiding mahkamah dan rakaman kenyataan 26 orang saksi, selain berita yang disiarkan oleh pelbagai akhbar di dalam dan luar negeri ketika itu.

Hasil penyelidikan dan pengumpulan maklumat yang komprehensif dan berwibawa oleh Jeniri Amir yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan dan akademik ini wajar dikongsikan bersama khalayak umum. Penulisannya yang melalui suatu perjalanan nan panjang bagi mendapatkan bukti sahih ini turut menarik perhatian kerana disulam dengan pelbagai temu bual bersama insan-insan terapat Rosly.

Transkripsi perbualan juga ada diselitkan oleh pengarang bagi mencantikkan lagi perjalanan cerita sejarah ini agar pembaca tidak dibebankan dengan pelbagai fakta berat yang menonjol di sana sini. Selaku pengarang yang juga anak Sarawak, Jeniri juga berjaya menemui dan mewawancara mereka yang masih hidup untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang kejadian berkenaan.

Sesungguhnya buku ini penuh dengan bukti-bukti sejarah yang agak berani dan akhirnya berjaya didokumentasikan oleh pengarang. Apa yang jelas, banyak watak-watak utama yang wujud suatu ketika dahulu wujud dalam pentadbiran negeri Sarawak berjaya dibongkar. Semuanya demi perjuangan bagi menuntut kemerdekaan Sarawak.

Buku ini juga didedikasikan kepada semua pejuang dan pahlawan negara yang gugur ke bumi termasuk para wira yang tidak didendang. Terlalu banyak paparan terkini dibentangkan khususnya tentang kejadian menggemparkan di bandar Sibu lebih 60 tahun lalu dapat dijadikan sebagai rujukan penting untuk peminat sejarah negara. Begitu juga sorotan tentang pelbagai kisah di sebalik pembunuhan Gabenor kolonial British ketika itu digalurkan dengan agak terperinci oleh pengarang.

*Artikel ini tersiar di akhbar Mingguan Malaysia, 13 Januari 2013.


Tiada ulasan: