Ahad, 3 Februari 2013

Bandar Baru Bangi - Fasa 2

Bandar Baru Bangi:  4 Februari 2013 - Pagi ini di bulatan Seksyen 16 Bandar Baru Bangi (BBB) menuju ke UKM berlaku lagi kemalangan jalan raya.  Tempat itu memang biasa terjadi kemalangan.  Ada orang langgar lampu elektrik, langgar belakang kereta orang dan macam-macam lagilah.   Agaknya kawasan itu perlu ada lampu isyarat.  Senang cakap, dalam erti kata lain, sudah terlalu banyak kereta menelusuri jalan-jalan berliku di BBB ini.  Jika kita tinjau pada waktu petang, terutamanya masa orang balik kerja - jemnya mengalahkan Kuala Lumpur.  Semua orang mahu pulang ke 'sarang' masing-masing dengan cepat.  Bulan puasa tak boleh nak cakap lagilah.  Jemnya.....aduh!  sampai kena telan panadol 2-3 biji sekali gus ni.  Ramai pulak orang yang suka duduk di BBB ini.  Entahlah apa tarikannya, saya pun tidak tahu.  Rumah makin banyak, pembangunan kian meningkat dan apa lagi, penduduknya kian bertambahlah.  Ramai yang datang dari pelbagai pelusuk rantau di Malaysia ini mahu menetap di BBB....

Bercakap pasal kemalangan di bulatan ini, anak bujang saya juga pernah mengalami hal yang sama tatkala beliau memandu kereta saya.  Sewaktu kemalangan yang melibatkan kereta saya yang dipandu oleh anak saya itu berlaku saya benar-benar amat terkejut, tetapi tetap akur dengan takdir yang menimpa.  Yangn penting dia tak apa-apa.  Mungkin perasaanya sahaja ketika itu caca marba bersilang baur... Mana-mana pun kemalangan boleh berlaku.  Kereta Kancil yang dilanggarnya dari arah belakang agak teruk dan ini memaksa saya membayar pampasan yang bukan sedikit untuk tuan ampunya kereta.   Sewaktu pulang daripada tempat kerja, saya juga kerap melihat kemalangan kereta berlaku di bulatan itu.  Sekarang ni, pokok-pokok besar yang ditanam di bulatan besar itu sudah pun ditebang. Sayangnya kerana pokok yang sudah begitu besar ditebang dalam sekelip mata sahaja.  Nampak terang benderang pula.  Saya pun tidak tahu untuk projek apa.  Mungkin projek mega barang kali.  Jadi, kita sebagai penduduk BBB kena tunggu dan lihat sahaja apa yang berlaku untuk pembangunan di bulatan itu.

Dahulu sewaktu memandu di Bandar Baru Bangi sedikit pun saya tidak mempunyai perasaan takut.  Tidak banyak kereta dan memandu pun dalam keadaan yang amat tenang sahaja.  Tak sampai 10 minit sudah sampai ke tempat kerja.  Balik pun tak sampai 10 minit.  Kalau hari dah gelap, langit bagaikan nak runtuh, nak angkat kain di jemuran pun sempat lagi.  Hujan tak sempat turun gitu.  Air di tempayan pun sempat dituang ke tanah bagi menadah hujan yang bakal turun...  Yah!  Saya mula belajar memandu pun di BBB dengan Encik Mazlan iaitu tuan punya MAZRIS.  Terkial-kial memandu.  Tetapi sekali jer dah lulus tu.  Saat itu kalau diingat-ingatkan  memang belajar pusing-pusing di BBB sahaja.  Saya pun  tidak ada kereta waktu itu.  Tetapi tetap hati keras bagai kerikil mahu belajar memandu bersama-sama rakan-rakan serumah yang lain.  Sekarang ni, saya pun tidak tahu di mana Encik Mazlan berada.  Ada orang cakap-cakap dan saya dengar-dengar mungkin beliau sudah menjadi seorang usahawan yang terkemuka.  Sesekali bertemu, beliau masih mengenali saya lagi.  Anak-anak saya pun belajar memandu dengan sekolah memandunya.  Wah!  Bayangkanlah - sudah dua generasi tu.  Harap-harap beliau juga sihat sejahtera.  Orangnya sangat baik dan tidak berkira sangat dengan kami.  Apa yang penting kami merupakan 'graduan sulung' sekolah memandunya.  Masa itu memang tidak ada orang yang mahu belajar memandu.  Beliau mencari-cari siapa yang mahu belajar memandu.  Itulah sebabnya semua rakan-rakan kami belajar memandu.  YES! Rasa bangga tu dapat pengajaran terus daripada air tangan guru memandu kami.  Dahulu kami serumah semuanya memang belajar memandu dengan beliau.  Tapi, ada seorang teman serumah saya tu sampai sekarang ni tak lulus-lulus....kesian Ecah,  tapi anaknya dah boleh membawanya ke mana-mana.   Agaknya Ecah malas nak ambil ujian lagi dek kerana gagal dalam ujian memandu.  Encik Mazlan akan mengambil kami seorang demi seorang untuk belajar dan kami juga menjalani ujian memandu jalan raya di Petaling Jaya.  Pagi-pagi lagi sudah ke PJ untuk membiasakan dengan jalan-jalan yang akan di pandu uji.  Wah!  Seronoknya sesekali dapat keluar daripada BBB.

Namun, perlu saya nyatakan di sini bahawa setelah berlaku insiden kereta saya dipecah oleh dua orang pemandu motorsikal yang tidak dikenali serta tidak berhemah langsung, berhampiran lampu isyarat juga di Bandar Baru Bangi menyebabkan saya amat takut  sekali.  Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi wang.  Mujurlah saya tidak mengalami apa-apa.  Memang saya sangat fobia, tetapi hidup mesti diteruskan juga.  Bagi saya, hati budi orang-orang seperti ini yang tinggal di BBB memang sudah tidak lagi berhemah.  Fikiran mereka sudah terarah ke arah itu.  Orang seperti ini tidak patut tinggal di BBB.  Mahu mencari jalan singkat bagi mendapatkan keuntungan.  Insiden, pintu cermin besar untuk masuk ke kedai stesen Petronas di Fasa 3 pun boleh dipecah orang.  Inikan pula cermin kereta.  Perompak sekarang sudah berani beralih arah ke kawasan-kawasan di luar Kuala Lumpur.  Jadi, untuk semua penduduk BBB berhati-hatilah bukan sahaja di rumah, di jalan raya pun sudah tidak selamat lagi.  Berdoa sahajalah apabila memulakan perjalanan.

...akan bersambung

Tiada ulasan: