Isnin, 4 Februari 2013

Bandar Baru Bangi - Fasa 3

Bandar Baru Bangi: 5 Februari 2013 - Sewaktu memulakan perjalanan ke tempat kerja saya rasakan pagi ini cukup dingin sekali.  Langit di atas sana nampak gelap seakan-akan mahu runtuh menyembah bumi sebentar nanti.  Saya rasa bila-bila masa sahaja akan melimpah ke serata Bandar Baru Bangi ini.  Dulu saya tidak pernah takut jika mahu ke tempat kerja dalam keadaan hujan selebat mana sekali pun.  Tetapi sekarang, apakala anda berada di mana-mana kawasan di BBB ini air akan naik mendadak di jalan-jalan raya.  Ramai yang ketakutan apakala hujan turun dengan lebat.

Bayangkanlah pokok yang saya tanam sendiri sudahpun menghasilkan buah dan boleh saya bawa hasilnya untuk dikongsi bersama-sama dengan jiran dan rakan-rakan di pejabat.  Ini menunjukkan tahap kematangan pokok tersebut sehingga sudah boleh berbakti kepada tuannya.  Pokok kelapa yang saya tanam sudah beberapa kali diambil daunnya untuk dibuat ketupat.  Begitu juga ada yang telah saya tebang kerana terlalu besar dan saya risau akan kematangannya yang bakal mengundang bahaya kepada kami sekeluarga.  Upah untuk menebang adalah RM200.00 untuk sebatang pokok kelapa. Umbutnya saya boleh makan dan batangnya saya bakar....(maka pencemaran alam pun berlaku).  Saya bakar sikit-sikit kerana orang yang menebang pokok saya itu melonggokkannya di tepi rumah saya.  Jadi saya terpaksa bakarlah sedikit demi sedikit pada waktu malam.  Pokok nangka saya juga sudah beberapa kali berbuah.  Itu tidak termasuk pokok mempelam, pisang,  jambu air dan lain-lain...  pokok mempelam saya sudah ada yang saya tebang.  Saya gantikan pula dengan pokok mempelam yang lain.  Bunyinya seperti ada kebun, tetapi ketahuilah bahawa saya tanam cuma di sekeliling rumah saya sahaja.  Semuanya sebagai hobi sahaja.

Sekarang ini jika kita mahu ke Universiti Kebangsaan Malaysia dari arah Klinik Kesihatan Kerajaan BBB (Pusat Kesihatan - saya lupa namanya) jalan itu memang selalunya banjir.  Kereta saya pernah terhenti di situ kerana saya melanggar air yang banyak di atas jalan raya sedia ada.  Dalam keadaan hujan yang amat lebat sekali ketika itu memangnya menakutkan sesiapa sahaja.  Kereta saya terhinggut-hinggut tetapi saya tetap menekan pedal minyak.  Akhirnya kereta saya jalan juga biarpun bergegar-gegar kerana mungkin air sudah masuk ke enjin.   Wah!  Bukan main takut sekali.  Semenjak hari itu, saya tidak lagi melalui jalan tersebut ketika hujan lebat.  Saya sanggup tunggu hingga teduh dulu (bak kata Faisal Tehrani - Tunggu Teduh Dulu) barulah saya bergerak untuk ke tempat kerja.  Begitu juga jika kita melalui jalan raya berhampiran dengan Billion berdekatan McDonald.  Di situ juga kerap banjir kilat.  Saya katakan ini berdasarkan kepada pengalaman saya.  Ada juga rumah jiran-jiran saya yang dinaiki air kerana longkang di belakang rumah mereka sudah dipenuhi air.  Longkang tidak diselenggara dengan betul dan tersumbat.  Jadi air akan naik dengan cepat terutama jika hujan terlalu lebat.  Air ini semacam tidak tahu ke mana hendak dituju, jadi melimpahlah ke atas jalan raya bersama-sama arus kereta yang melingkarinya.  Bahaya memang bahaya tetapi pengguna jalan raya terpaksa menghadapi perkara ini kerana mahu cepat menuju ke tempat yang dituju.

Oleh sebab BBB sudah melebihi 30 tahun lebih maka banyaklah pokok-pokoknya yang telah matang.  Saya rasa BBB sudah melebihi 40 tahun atau mahu menyamai angka jubli perak gitu.  Alasan ini  saya berikan jika kita lihat kepada kematangan pertumbuhan pesatnya.  Pokok-pokok yang besar ini benar-benar mengundang ketakutan kepada pemandu kereta mahupun motorsikal.  Bila-bila sahaja dahan pokok akan rapuh dan pokok akan tumbang menghalang pengguna jalan raya.  Begitu juga dengan tanah runtuh.

Pernah juga suatu petang ketika saya pulang daripada tempat kerja berlaku tanah runtuh berhampiran dengan stesen Petronas Fasa 3.  Tanah bukit tersebut runtuh dan tanah yang melimpah ke atas jalan raya hampir-hampir menutup jalan raya.  Agak menakutkan juga.  Saya dengar khabar tanah mangsa merupakan sebuah rumah kepunyaan kakitangan di UKM.  Mungkin benar mungkin tidak.  Sesiapa yang rajin kena siasatlah....

Pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kenalah bertindak memotong dahan-dahan dan menebang pokok-pokok yang bakal mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.  Petugas-petugas di MPKj juga harus mengawas dan memantau ke semua pokok-pokok yang telah tua.  Tindakan yang sewajarnya perlu diambil bagi keselamatan penduduk BBB.  Kita semua tidak tahu malang akan berlaku. Saya rasa pihak berkenaan terlalu sibuk maka hal ini boleh diswastakan  semua kerja-kerja ini kepada kontraktor yang berminat.

...akan bersambung

Tiada ulasan: