Isnin, 18 Februari 2013

Bandar Baru Bangi - Fasa 5

Bandar Baru Bangi:  19 Februari 2013.  Pagi ini seperti biasa pergi ke tempat kerja agak lewat kerana kesesakan jalan raya bermula daripada simpang rumah saya ke tempat kerja.  Oh, rupanya barulah saya ingat bahawa pelajar UKM  sudah memulakan kuliah baru.  Itulah antara sebab yang menyebabkan jalan menjadi jem.  Aduh!  Bisa telaat ni pak...  memang pun saya sudah terlewat.  Bajet-bajet masa sudah terlebih sudah jam 8.00 pagi.  Kereta masih lagi tidak bergerak-gerak ni.  Mungkin cuaca yang dingin dan ditambah dengan hujan yang masih lagi malu-malu tetap setia turun membasahi bumi.

Sampai sahaja tempat bekas lombong yang sudah ditambah dengan tanah kawasan lain dan didirikan bangunan/perumahan pun masih lagi jem tak bergerak-gerak.  Tasik yang yang terbentang di hadapan mata sesekali menyejukkan mata memandang.  Sebelum ini kawasan itulah yang menjadi tumpuan apabila tidak ada air di Bandar Baru ini.  Ramai yang suka mandi manda di situ, terutama pelajar UKM.  Itu suatu ketika dahulu.  Kini, tidak lagi.  Banyak pula rumah kongsi di kawasan itu.  Pada pandangan saya, mereka ni rasa-rasanya menggunakan tasik bekas lombong itu.....

Kalau sebelah petang ada juga yang rajin memancing.  Saya pun tak tahu mereka ni dapat ikan atau tidak.  Tapi adalah juga kereta yang parking di kawasan rumah contoh dan memancing di kawasan lombong tinggal itu.  Dengar-dengarnya ada cerita seram di situ....kawan-kawan saya cakap kalau dia pergi memancing di situ, ada 'orang tak nampak' baling-baling batu ke tengah tasik.  Itu tidak dapat saya pastikan.  Kena cuba dulu memancing di situ, baru ada pengalaman dan mungkin boleh cerita di sini.  Hah! Itulah satu-satunya lombong tinggal yang masih ada.  Selebihnya sudah ditambak dan dijadikan kawasan perumahan.  Hai!  Kita tidak tahu apa akan jadi kepada mereka yang membeli rumah itu.  Harap-harap mereka semua baik-baik kerana mereka sudah melabur wang yang cukup besar kerana membeli rumah tersebut.  Hampir semua wang dicurahkan untuk memiliki rumah itu.

Oleh sebab sudah agak lewat maka saya pun terlupa di mana saya letakkan telefon genggam.  Sebelum itu saya menyiapkan sarapan pagi.  Aduh...di mana ye...saya terlupa di mana saya letak telefon genggam saya.  Jadinya sepagi-pagi ini saya tidak diganggu oleh sebarang deringan telefon.  Rasa seperti orang bercinta tanpa oksigen pun ada ni.  Rupanya tanpa telefon genggam agak menyukarkan pergerakan kita untuk menghubungi sesiapa atau mahu mengetahui siapa yang menghubungi kita.  Sedangkan sebelum ini kalau timbul nombor-nombor yang saya tidak dikenali kadang kala malas juga saya mahu mengangkatnya.  Tambahan pula kalau ketika itu saya sedang sibuk dengan urusan rasmi yang memang saya tidak gemar langsung untuk berkomunikasi dengan sesiapa.  Saya selalu fokus kepada kerja dan saya jadi mual dengan rakan-rakan yang sibuk berbalas tweet ataupun melayan fb....apa lagi menjawab telefon secara tidak malu-malu bercakap dengan suara yang kuat.

Pagi yang dingin ini jiwa saya agak tersentuh hati apabila makcik yang sering menyapu kamar kerja saya bertanya tentang bagaimana saya memasak nasi goreng.  Saya pun berhenti menaip dan mengajarnya supaya memasukkan itu, ini dan jangan hanya tumbuk bawang dengan cili.  Kena letak sekurang-kurangnya 15 bahan masakan!  Maka makcik pun ketawa geli hati.  Agaknya makcik ingat saya ni bercanda di pagi hari.  Seperti biasa selepas dia menyapu bilik saya, saya hulurkan bekalan saya kepadanya.  Kalau saya makan seorang mesti tak habis-habis.  Tambah-tambah pula kalau saya makan banyak tentu akan menjadi-jadi bertambahlah berat badan ini....

"Ni, hah makcik bahagian saya masih ada lagi..."  kata saya kepadanya.

Jujurnya saya selalu masak nasi goreng kerana itulah antara sarapan pagi yang cukup mudah selain daripada makan roti bakar atau roti goreng.  Biarpun saya hampir empat tahun bermastautin di Belgium, tetapi hati dan jiwa saya tetap Melayu.  Saya masih lagi makan nasi setiap hari.  Ketika di luar negara pun saya memang suka mencari nasi.  Biasanya kalau ada nasi beryani pun saya sapu juga.  Maklumlah ramai orang Turki, Arab atau lain-lain bangsa yang Muslim membuka restoran nasi ala-ala selera mereka di mana-mana di dunia ini.  Kalau setakat goreng jemput-jemput bawang tu saya kurang minatlah....

Tiada ulasan: