ARKIB : 31/03/2008
Ke arah penjanaan modal insan berkualiti
BUKU ini menyentuh pelbagai aspek berkaitan teori dan bukti empirik lampau tentang sumbangan pelaburan pendidikan dan latihan dalam pembangunan modal insan kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan.
Hal ini dilihat selari dengan hasrat kerajaan bagi mencapai status negara maju menjelang 2020. Modal insan adalah suatu elemen penting yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.
Modal insan yang berkualiti akan memberikan nilai tambah yang diperlukan oleh sesebuah negara yang sedang membangun bagi mempertingkatkan produktiviti yang dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.
Usaha ke arah penjanaan modal insan yang berkualiti, mencukupi dan berterusan akan menjadi pemangkin kepada proses peningkatan kemajuan dan juga kesejahteraan masyarakat. Kepesatan pembangunan negara sememangnya memerlukan modal insan yang berilmu dan berkemahiran dalam melaksanakan tanggungjawab pembangunan.
Justeru, modal insan dilihat memainkan peranan yang besar dalam proses perancangan dan pelaksanaan agenda pembangunan negara.
Pembangunan modal insan menjadi topik hangat dalam pentadbiran sesebuah organisasi kerana isu perkembangan aset yang sering kali dikaitkan dengan manusia dalam pentadbiran sesebuah organisasi.
Sebenarnya, bukanlah suatu perkara yang mudah dan boleh dipandang remeh apabila isu-isu modal insan diketengahkan. Pihak majikan dalam usaha untuk mempertingkatkan produktiviti dan keuntungan, tidak seharusnya mengabaikan kepentingan dan kehendak para kakitangan.
Perkembangan dan kejayaan sesebuah organisasi sebenarnya banyak bergantung kepada modal insan yang ada selain daripada pelbagai aset seperti kewangan, infrastruktur dan material.
Bergantung
Pelaburan dalam pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan di Malaysia adalah sangat penting dalam menyediakan masyarakat yang berpengetahuan dan berkemahiran. Kejayaan masa hadapan negara sangat bergantung kepada kualiti modal insan yang dimiliki, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga keperibadian.
Justeru modal insan menjadi peneraju utama dalam usaha membentuk sebuah negara yang maju serta seimbang pembangunan ekonomi dan sosialnya, memiliki warga yang bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh.
Buku setebal 218 halaman ini turut memaparkan beberapa langkah yang lebih agresif dan berkesan dalam pelaburan di sektor pendidikan modal insan dan pelaburan bagi modal fizikal.
Hal ini dijangka dapat meningkatkan daya serap teknologi agar terus mengukuhkan daya saing negara dalam pasaran antarabangsa.
Kandungan buku yang mengandungi 14 bab ini secara khusus turut memaparkan pelbagai isu dan cabaran dalam pembangunan modal insan yang perlu ditangani dalam proses perancangan dan pelaksanaan agenda pembangunan negara. Liputan isu dan cabaran yang dipilih melibatkan sektor awam, swasta, masyarakat dan individu pada peringkat lokal dan global.
Buku ini juga membincangkan tentang peranan modal insan yang berkualiti dalam memberikan sumbangan yang diperlukan oleh sesebuah negara yang sedang membangun bagi mempertingkatkan produktiviti ke arah kemajuan dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan.
Kehadiran buku ini di pasaran dijangka akan dapat membantu para pembaca dan golongan pelajar yang berminat untuk mengetahui tentang isu dan cabaran bagi menguasai dan menangani kepelbagaian masalah dalam konteks pembangunan modal insan.
Penulisan di dalam buku ini hampir keseluruhannya berasaskan kepada penyelidikan ilmiah yang boleh meletakkan buku ini antara khazanah ilmu yang menjadi penyumbang utama bahan rujukan bermutu di peringkat pengajian tinggi.
Tajuk Buku : Pembangunan Modal Insan: Isu dan Cabaran
Nama Penyunting: Prof. Madya Dr. Yahaya Ibrahim dan Dr. Abd. Hair Awang
Penerbit: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Harga: RM30
Tahun Terbitan: 2008
No. ISBN: 978-967-942-840-7
Pengulas: Saadah Jaffar

Tiada ulasan:
Catat Ulasan