Monday, December 17, 2007
Bantu penguasaan membaca murid tahun 1
Tajuk: Modul Asas Membaca Tahun 1
Pengarang: Muhammad Saiful Haq Hussin
Terbit: 2007
Penerbit: Persatuan Psikolinguistik Malaysia dan Jabatan Bahasa Melayu, FBMK, UPM
Pengulas: Saadah Jaffar
Buku ini menyentuh pelbagai aspek berkaitan trend pengajaran dan pembelajaran asas membaca tahun 1. Tumpuan perbincangan adalah pada pelaksanaannya dalam bilik darjah yang kebanyakannya meliputi konsep pengajaran dan pembelajaran khususnya untuk menguasai asas bacaan. Penghasilan buku ini adalah hasil pengalaman pengarang yang mengajar bacaan dalam bahasa Malaysia pada peringkat tahun 1 di sekolah kebangsaan selama enam tahun berturut-turut. Proses pengendalian pengajaran dan pembelajaran berasaskan modul ini dibuat dari satu peringkat ke satu peringkat. Pembahagian yang dibuat secara berperingkat-peringkat itu adalah melalui proses pengenalan bahagian huruf (prabacaan), suku kata terbuka (KV), perkataan, frasa dan ayat.Dengan pengalaman mengajar dimantapkan lagi usaha mengkaji dan menyelidik selama lebih kurang sepuluh tahun dan menekuni bidang berkenaan pada peringkat diploma sehingga ijazah kedoktoran, dicurahkan dalam buku ini. Pengarang buku ini berpandangan bahawa penguasaan asas bacaan bahasa Melayu dalam kalangan murid tahun 1, kadang-kala akan menerima gangguan daripada gejala-gejala dialek yang turut mempengaruhi pembelajaran bahasa Melayu mereka. Hal ini terjadi apabila murid-murid tahun 1 tidak cekap merencanakan peta kognitif mereka. Akibat daripada ketidakcekapan itu, gerak balas yang dihasilkan oleh murid tahun 1 tidak menepati kehendak-kehendak penguasaan asas bacaan dalam bahasa Melayu. Hasil gerak balas murid tahun 1 mungkin menampakkan ciri-ciri penyimpangan dari aspek fonologi dan penyebutan dalam bahasa Malaysia.Kerangka teoriDalam konteks pengajaran dan pembelajaran asas membaca bahasa Melayu ini, pengarang menggunakan kerangka teori berasaskan Teori Behaviorisme Bertujuan yang diasaskan oleh Edward Chase Tolman (1886-1959). Teori ini ialah teori pembelajaran psikolinguistik yang tergolong dalam keluarga teori kognitif. Rasional Teori Behaviorisme Bertujuan digunakan dalam penulisan ini kerana Teori Behaviorisme Bertujuan mengutarakan empat hipotesis, iaitu Diskriminasi Desakan, Pembelajaran Terpendam, Jangkaan-jangkaan Bidang dan Mod Bidang Kognisi.Pengarang buku ini membincangkan bahawa aspek berkaitan trend penguasaan asas bacaan murid tahun 1 banyak dipengaruhi oleh desakan dengan gerak balas yang teratur. Sebagai contoh, modul di dalam buku ini dibina oleh pengarang bertujuan membantu murid tahun 1 untuk memenuhi desakan faktor sosial atau psikologi mereka bagi membolehkan mereka merencanakan peta kognitif mereka secara cekap. Hal ini mengakibatkan perilaku yang lebih kongruen dan sekali gus menjelaskan matlamat yang ingin dicapai oleh mereka. Proses pemelajaran yang dilalui oleh murid tahun 1 secara terancang dan sistematik telah mempengaruhi persekitaran bacaan asas murid tahun 1 tersebut. Hal ini terbukti dengan kebolehan membaca yang dikuasai oleh mereka. Oleh yang demikian, penguasaan asas bacaan berlaku dalam kalangan murid yang mempraktikkan amalan psikolinguistik semasa mempelajari bacaan asas dalam bahasa Melayu.Kehadiran buku ini di pasaran dijangka akan dapat membantu para pembaca dan golongan pendidik yang berminat untuk mendekati trend dan cabaran bagi menguasai dan menangani kepelbagaian masalah dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat tahun 1. Kandungan di dalam buku ini boleh membantu pembaca bagi menambahkan penguasaan kemahiran membaca asas murid tahun 1 dan meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran bacaan asas. Buku ini juga amat sesuai untuk dijadikan rujukan bagi ibu bapa muda yang teringin untuk mengetahui beberapa permasalahan dari segi teknik pendekatan, kaedah dan cara terbaik untuk membolehkan anak-anak mereka yang masih pada peringkat awal penguasaan bacaan asas bahasa Melayu.
- Sehari Sebuah Buku Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan