Isnin, 18 Ogos 2008

Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi - Zurinah Hassan


Nyiur Gading Puncak Mahligai
- Kalam Hamidi













Sanggar Buku Bersama Pengarang
Saadah Hj. Jaffar – Penerbit UKM


Sanggar Buku Bersama Pengarang anjuran Penerbit UKM berlangsung pada 10 September 2005, bertempat di M.S. Garden Hotel Kuantan. Sanggar ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan petang. Penyertaannya adalah terhad kepada 80 orang peserta dan terbuka secara percuma kepada semua pelajar dan guru sekolah menengah sekitar Kuantan.

Matlamat utama majlis ini adalah untuk mencetuskan minat menulis dan menjalinkan hubungan yang lebih erat di antara pelajar, pengarang dan pihak penganjur. Penerbit UKM juga berpeluang mendekatkan minat pelajar dengan pengarang melalui sesi dialog dua hala pelajar-pengarang. Inilah julung-julung kalinya Penerbit UKM cuba mendekati pelajar dengan majlis yang santai dan cukup meriah. Dalam majlis ini peserta disaran supaya mengambil inisiatif agar meningkatkan kecemerlangan diri melalui cetusan idea dan garapan ilmu serta pengalaman penulisan yang dicurahkan oleh pengarang menerusi buku-buku yang dikupas dan idea-idea yang dilontarkan semasa majlis.

Peserta juga berpeluang berkenalan dengan pengarang yang mengambil bahagian iaitu Kalam Hamidi dan Zurinah Hassan. Zurinah Hassan yang juga seorang yang berjiwa seni serta banyak menulis puisi secara rinci dan tuntas memperkatakan tentang pengalamannya menggarap penulisan Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi. Peserta amat bertuah kerana dapat mendengar dengan lebih dekat lagi dari hati nurani pengarang yang memenangi dua anugerah melalui buku ini. Kemenangan itu termasuklah Anugerah Sastera Perdana 2004 bagi kategori Biografi dan Anugerah Perpustakaan Negara 2004. Dengan penulisan yang agak banyak, Zurinah juga melayakkan dirinya menerima Anugerah Sea Write daripada kerajaan Thailand bagi tahun yang sama.

Selain itu, sanggar ini diserikan dengan kehadiran dramatis, pengarah drama dan penulis Kalam Hamidi yang memperkatakan tentang suka duka kembara tulisannya menerusi Memoir Kalam Hamidi: Dari Panggung Victoria ke Istana Budaya dan Fatamorgana: Kembara dari Nusantara ke Eropah. Peserta disaran mengambil peluang menimba pengalaman sebanyak mungkin dengan menadah ilmu terutamanya semasa masih menuntut ini daripada penulis-penulis tersohor yang dibawa khas ke Kuantan oleh Penerbit UKM.

Sanggar ini dipengerusikan oleh Encik Anuwar Omar Din daripada Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Majlis yang diadakan bersempena dengan Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2005 ini juga diserikan dengan deklamasi puisi, sesi soal jawab dan lakonan drama sepontan yang dibuat oleh kedua-dua pengarang.

1 ulasan:

SHAH berkata...

Kalam Hamidi ialah ayahanda saya.
Beliau menetap di Tmn Samudra Gombak.
Sekiranya tuan berminat utk berbual bicara atau berprogram dgn beliau, sila hubungi no telefon rumahnya iaitu : 03-61886119

Sekian wassalam.
Shah
013-3020954