Isnin, 18 Ogos 2008

Mengabadikan Busana Tradisi Bangsa

Saat-saat manis ketika Puan Azah Aziz memenangi Anugerah Utama Buku Terpilih Malaysia 2007 di Universiti Malaya.
TAHNIAH. Sesungguhnya, saya cukup teruja dan berbangga dapat mengenali hati budimu. Sukar untuk saya mempercayainya ketika berhadapan dengan beliau, menerima panggilan telefon dan berbual-bual santai...sambil menghirup secangkir demi secangkir teh Jepun, sambil bersulamkan kuih-kuih Melayu, bertemankan haruman cempaka di ruang tamu meja kerjanya... nostalgia gitu. Jua, saya terkenang saat-saat manis ketika sama-sama mengorbankan jiwa dan raga ketika menyiapkan penerbitan buku ini. Aduhai!! Terima kasih kepada kepercayaan Penerbit UKM.
Mengabadikan busana tradisi bangsa
Tajuk Buku : Rupa dan Gaya: Busana Melayu
Pengarang : Azah Aziz
Penerbit : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Tahun Terbit : 2006
ISBN : 967-942-755-2 (buku mewah - Edisi Kulit Keras)
Harga : RM150.00

AZAH Aziz seorang tokoh budayawan negara yang amat mencintai busana dan tekstil Melayu merungkai pelbagai persoalan yang bermain di minda masyarakat Melayu di Malaysia menerusi tulisannya dalam Rupa dan Gaya: Busana Melayu.

Semangat juangnya terhadap seni, bahasa dan warisan bangsa Melayu cukup kental dan tiada tolok bandingnya dewasa ini. Beliau begitu mencintai warisan Melayu. Kesemuanya dianggap sebagai satu pusaka nan indah yang perlu terus diwarisi, dijaga dan dipelihara keasliannya.

Buku ini dilatari dengan kepelbagaian rencam tulisan beliau yang begitu indah dan puitis serta diselang-selikan pula dengan gurindam, ungkapan, pantun dan persuratan Melayu. Kreativiti dan keunikan cita rasa busana dan tekstil Melayu jelas terserlah dan dihidangkan di dalam buku ini khususnya dari segi mewahnya setiap persalinan yang dipaparkan. Menariknya buku mewah (edisi kulit keras) setebal 376 halaman ini disulam dan dihiasi indah dengan 511 keping gambar warna-warni tentang busana dan tekstil Melayu.

Beliau yang juga bekas wartawan, menerusi buku ini cuba mengumpulkan kepelbagaian ciri, unsur-unsur, sifat-sifat, adat resam dan artifak yang dirasakannya dapat memancarkan murninya nilai-nilai keindahan yang menjadi pegangan orang Melayu sejak zaman silam. Beliau mengetengahkannya menerusi garapan tulisan beliau semata-mata untuk berkongsi setiap pengalaman yang dikutipnya agar dapat dinikmati bersama oleh semua generasi pada ketika ini.

Buku terkini terbitan Penerbit UKM ini dipecahkan kepada kandungan yang mendasari kepada 12 bab yang agak rencam tentang isu-isu tekstil dan busana Melayu. Pengarangnya memfokuskan setiap tajuk dengan teliti dan memudahkan khalayak pembaca menelusuri isu-isu yang dibawa. Bagaimana indahnya tenunan kain songket, kain sutera dan kain batik yang menjadi kebanggaan warisan Melayu, begitulah mewahnya terbentang corak dan reka letak tekstil tersebut di dalam buku ini.

Pegangan

Segala yang baik dan indah dalam peradaban Melayu dan nilai murni yang menjadi pegangan hidup masyarakat Melayu selama ini juga seolah-olah termaktub di dalam buku ini. Perkara-perkara lain yang dibincangkan antaranya termasuklah alam Melayu, awan Melayu, warna mengerna, kain ini kain nan indah, abadinya kain sarung, busana Melayu, busana dewangga, busana perkasawan dan busana persembahan.

Bahagian terakhir buku ini dinyatakan juga tentang hiasan dan alatan, mayang mengurai serta busana dan rajah. Sehubungan dengan itu jejeran bab demi bab juga memperihalkan kaitan antara satu bab dengan bab yang lain yang boleh dijadikan rujukan oleh penggemar persalinan Melayu. Tumpuan diberi oleh pengarang kepada amalan sebenar masyarakat Melayu terutama dalam menilai unsur estetika yang menjadi pegangan orang-orang Melayu.

Bagi mereka yang kurang pandai dalam selok-belok memotong pakaian dan menjahit baju Melayu pada zaman silam, buku ini juga mempunyai jawapannya. Khalayak boleh menemui kerencaman foto dan rajah baju kurung cekak musang (lelaki dan wanita), baju kurung lelaki dan perempuan teluk belanga (lelaki dan perempuan), baju kurung lelaki dan seluar panjang bertongkah, baju kurung teluk belanga lelaki dan seluar Cina serta paten baju kurung asal yang dipakai di Johor. Lubang leher baju ini yang bulat atau bercekak musang lebar sejari menggunakan sebutir kancing dan berkocek dua. Turut dimuatkan adalah foto dan rajah baju Riau Pahang, baju kebaya labuh, baju belah, baju belah teluk belanga, kebaya pendek bersulam, kebaya labuh bersulam, kebaya pendek wanita Kelantan, baju Kedah, baju sikap berpesak serong dan seluar Aceh.

– SAADAH JAFFAR (tersiar di Ruangan Sehari Sebuah Buku Utusan Malaysia)

Tiada ulasan: