Rabu, 22 Oktober 2008

Cerita Dari Rumah Masa Depan


Foto: Imej From: Google
Baru-baru ini, usai menghadiri majlis pengebumian seorang pengarang memoir saya, saya terlihat satu catatan di atas salah satu kuburan - "Jangan Ambil Bunga Dari Atas Kubur" - saya terfikir saat itu, mengapa sampai ditulis begitu oleh keluarga si mati.

Untuk pengetahuan, sewaktu saya menziarahi rumah masa depan/pusara aruah ayahanda saya di Tangkak, ada keluarga yang meletakkan duit dengan ditindih oleh batu di atas pusara - mereka bersedekah untuk si penjaga kubur yang sentiasa memastikan kawasan itu tidak semak dan terjaga. Apalah ada dengan seringgit dua, jika kita sendiri yang telah berjauhan tinggal di ibu kota tidak sering melihat-lihat pusara keluarga kita kerana tuntutan tugas. Si penjaga kubur itu yang akan memastikan keadaannya terjaga. Mulia tugasnya. Tidak semua orang biasa boleh bekerja di Tanah Perkuburan jika tidak dikuat-kuatkan semangat. Semangat mesti kuat dan mesti ada pendinding diri.

Tidak bolehkah diambil kembang dari kuburan untuk diletakkan di atas kubur yang baru. Mungkin si keluarga saat itu sedang bersedih dan ingin meletakkan sesuatu tanda di atas pusara keluarga mereka. Mungkin selepas ditabur dengan bunga-bungaan dan daun pandan mereka ingin menanam puding atau tumbuhan kekal yang akan tumbuh selepas itu. Saya sendiri, suatu ketika dahulu, amat terkejut kerana ada insan yang tidak diketahui telah menanam kembang yang amat cantik di atas pusara ayahanda saya. Kami sekeluarga hingga kini tidak mengetahuinya siapa gerangan ampunya tugas. Namun, kami berterima kasih sahaja.

Apa salahnya - tolong halalkan dan sedekahkan saja atau panjang-panjangkan zuriat si kembang. Saya juga terpandang sederetan kuburan yang ada enam batu nisan. Kuburan tersebut amat besar sekali - besar kemungkinan kematiannya bersama-sama kerana catatannya pada tarikh yang sama. Mesti kesedihan bertapai di jiwa keluarga si mati saat menghadapi peristiwa itu. Mungkin jua takdir menentukan mereka kembali ke alam baqa bersama-sama dan disemadikan bersama-sama. Yah! Mereka dikebumikan dalam satu liang lahat. al-Fatihah untuk aruah.

Tiada ulasan: