Saya berkesempatan membeli buku-buku Pak Samad Said yang terbaru di pasaran. Saya anggap masih baru kerana saya baru sahaja memiliki buku-buku ini dan belum habis membacanya. Buku beliau dibuat dalam gaya santai dan senang untuk dibawa ke mana-mana. Juga kelihatan ranggi dan saya senang untuk membaca karya Sasterawan Negara ini di khalayak ramai. Dengan rasa bangga dan begitu teruja saya berjaya memiliki buku-buku ini. Dari Salina ke Langit Petang (Cetakan Kedua – 2008), Ilham di tepi Tasik (Cetakan Kedua – 2008), Rindu Ibu (Cetakan Keempat – 2006) dan buku Edisi Seni Warisan Melaka – Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri (2006).
Buku Pak Samad mengocak kalbu saya untuk kembali berkarya dan mengambil foto kerana sesungguhnya masa tidak akan menunggu saya untuk berkarya. Apabila sempat dan di mana juga kertas dan pena bersama. Secara kebetulan, petang tadi, saya juga sempat merakamkan gelaggat sang sesibur – pepatung dari luar jendela rumah saya juga kerana mendapat ilham dari buku Pak Samad Dari Salina ke Langit Petang. Pepatung itu saya rakamkan menerusi kamera digital kerana begitu asyik hinggap di dahan pokok bunga kertas yang baru saya tanam. Untuk Ilham di tepi Tasik pula, saya telah menemui lokasinya – di tasik hadapan dewan kuliah di Universiti Putra Malaysia. Sayangnya kembang tersebut berwarna merah jambu bukannya putih. Hidup Pak Samad….karyamu bisa mengocak jiwa yang lara…saya sudah beberapa kali ketemu Pak Samad untuk pelbagai acara ilmiah dan semiilmiah. Terakhir ketika di Pesta Buku PWTC lalu - Wira Bukit. Biar saya tidak beliau kenali tetapi saya tetap mengenali Pak Samad secara dekat lewat karya-karyanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan