Sabtu, 29 November 2008

Institusi Fatwa di Malaysia


Buku ini ditulis oleh pensyarah kanan di Pusat Pengajian Umum, UKM. Kecenderungan beliau adalah dalam bidang penyelidikan dan penulisan terhadap beberapa aspek pemikiran dan tamadun Islam. Buku ini tidak berapa sukar untuk ditangani. Namun, pada peringkat akhir pruf buku ini, saya ada meminta pengarang membaca sekali lagi sebelum dicetak kerana saya bimbang ada beberapa perkara mengenai fatwa yang tersilap. Saya harap kehadiran buku ini di pasaran dapat membantu khalayak pembaca untuk mengetahui tentang fatwa di Malaysia. Tahniah untuk pengarang: Ustaz Hasnan Kasan.

Untuk pembaca semua diperturunkan blurb buku sebagai panduan pembelian:

Fatwa membawa makna hukum syarak yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan fatwa dalam sesuatu masyarakat Islam bagi menjadi panduan dalam berdepan dengan permasalahan baru yang timbul dan yang masih belum mempunyai hukum yang jelas dan tetap. Fatwa amat penting bagi setiap individu dalam masyarakat yang terikat dengan hukum-hukum syariat dalam menjalani kehidupan seharian dalam berbagai-bagai aspek hidup. Oleh kerana individu terikat dengan hukum syarak dan hukum ini pula dikelola oleh pihak pengurusan hukum dalam masyarakat, maka adalah penting setiap individu mengetahui kedudukan dan peranan pihak pengurusan hukum ini bagi memudahkan mereka berurusan dan memberikan reaksi terhadap hukum yang dikeluarkan. Bagi tujuan mengenali pihak pengurusan hukum atau fatwa ini, penulis telah berusaha untuk menghasilkan penjelasan mengenainya berbentuk buku. Buku ini membincangkan institusi fatwa di Malaysia secara berstruktur bagi menemui kedudukannya dalam syariat Islam, peruntukan perundangan yang diberikan oleh negara, evolusi pengurusan dan penginstitusian pentadbiran serta peranannya dalam memandu aktiviti masyarakat Islam di negara ini. Melalui penjelasan yang dibuat dalam penulisan buku ini diharapkan dapat memberi sumbangan ilmu kearah kestabilan sosial dalam masyarakat Islam hari ini.

HASNAN KASAN, adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Kecenderungan beliau adalah dalam penyelidikan dan penulisan terhadap beberapa aspek pemikiran dan tamadun Islam.

SELAMAT MEMBACA

Tiada ulasan: