Sabtu, 29 November 2008

Warna Hati Era Remaja

Tanggal 13 November 2008, untuk kali ketiganya saya datang menziarahi Pak Arena Wati di hospital. Beliau tidak berapa sihat. Namun dari pengamatan saya, beliau terus gagah untuk meneruskan rutin hariannya ... menulis dan menulis ... biar kesihatannya menganggu rutin harian Sasterawan Negara ini tetap tegar. Saya kagum dengan beliau yang bersemangat waja begini. Saya diminta datang oleh bapak bagi mengambil novel terbarunya yang diterbitkan oleh UPSI - Warna Hati Era Remaja. Saya benar-benar tersinggung kerana gagal mempertahankan penerbitan novel ini bersama penerbit tempat kerja saya. Saya tidak dapat membantu bapak. Apalah daya saya kerana saya bukan insan yang boleh membuat keputusan pada peringkat tertinggi di tempat kerja saya. Walau apapun saya bersyukur akhirnya novel bapak ini terbit juga.

Di dalam 'kata pengantarnya' untuk saya di dalam novel tersebut bapak mencoretkan ... "Semoga dapat dihayati... anakanda Saadah Hj. Jaffar sekeluarga dari pengarang Arena Wati 13 November 2008. Dituliskan sekali nombor kamar tempat bapak sedang dirawat. Saya sesungguhnya berasa terharu kerana terpilih untuk menerima novel ini dari tangan bapak yang meminta saya untuk datang mengambilnya. Senaskhah lagi minta dititipkan buat bos saya. Saya tiada halangan dan amat berbesar hati untuk membawa titipan tersebut. Saya telah menyerahkan titipan tersebut pada keesokan harinya.

Sekali lagi, terima kasih, terima kasih yang teramat sangat. Saya akan membaca novel ini. Doa saya semoga bapak cepat sembuh dan boleh meneruskan rutin hariannya menulis dan menulis.

1 ulasan:

Hussaini Amran berkata...

Assalamualaikum puan, saya baru sahaja selesai membaca novel ini. Adakah watak utama dalam novel ini, Abdul Rahim Daeng Massare @ Sahak bin Muhammad Ali adalah Allahyarham Bapak Arena Wati sendiri?