Selasa, 18 Mei 2010

Mengapa Orang Bercakap Mengenai SHAHIR...

Foto diambil melalui carian Google
Sejujurnya saya sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku dalam dunia muzik masa kini...dengan berbuat demikian kita boleh mempertajamkan minda dan bersikap terbuka kepada dunia luar...Saya tidak kisah apa orang cakap mengenai diri saya...yang penting saya suka. Kalau ada orang yang suka membaca entri ini silakan...kalau tak suka pun tak apa...juga silakan....

Dalam kerjaya seharian, sememangnya saya sentiasa hidup dengan dunia yang penuh keseriusan dan bergulit mahupun bergulir dengan buku-buku ilmiah tulisan para ahli bijak pandai di UKM. Terus terang saya katakan saya seorang yang sangat serius dalam apa jua bidang yang saya ceburi. Di luar bidang itu, saya jua mendalami bidang muzik di Sekolah Yamaha Muzik Kajang (piano) dan mengikuti program Sijil Pengajian Muzik di UKM (violin)... justeru pengetahuan saya dalam bidang muzik agak banyak membantu diri saya untuk mengetahui sendiri carta alir lagu-lagu popular masa kini yang saya minati di Malaysia. Kekuatan saya dalam bidang pendidikan secara dalaman dan luarannya adalah mengkhusus dalam bidang sejarah, bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu. Saya juga amat suka membaca dan meminati kajian mengenai bahasa-bahasa asing.

Isu terkini yang saya ikuti adalah mengenai Akademi Fantasia 8...saya mengikuti dan mengenali setiap pelajarnya dan sesekali dapat menelah watak dan perwatakan yang dipertontonkan kepada orang awam lewat diari harian mereka.

Kebiasaannya saya agak tepat menelah dan menilai seseorang....dalam blog ini saya ingin memperkatakan tentang penampilan dan aura si SHAHIR dari kaca mata seorang penonton televisyen....pada peringkat awal biasa-biasa saja tetapi semakin lama semakin menonjol pula aura yang ditunjukkan kepada rakyat Malaysia...tiba-tiba nama Shahir menjadi sebutan...

Semenjak dari mula diari dan konsert pertama lagi saya perhatikan Shahir - sejujurnya saya rasa beliau tidak mempunyai latar belakang bidang muzik - cuma bakatnya cukup terserlah dalam bidang nyanyian - jua seorang pelajar lelaki yang muda belia, tampan, baik tingkah laku, menjaga tutur bicara dan bagi saya beliau mempunyai potensi untuk diketengahkan dalam dunia muzik tanah air...namun sayangnya beliau tersingkir kerana kurang mendapat mandat daripada penonton. Untuk lebih maju ke hadapan lagi, selepas ini saya cadangkan beliau mengikuti bidang yang diminatinya - beliau boleh mempelajari selok belok dunia muzik - khususnya alat muzik dan vokal...bagus untuk masa depannya. Saya yang sudah setua ini boleh lakukan, mengapa beliau yang muda belia tidak boleh...anak-anak saya selalu cakap..."Mak Boleh!!! Mak Boleh!!! Mak Boleh!!!" - Nah! Ini satu cabaran untuk Shahir setelah bergelar artis...Shahir...sila sambut cabaran ini...sekurang-kurangnya belajarlah bermain gitar atau violin....cari cikgu muzik atau pergi saja ke sekolah muzik....

Setelah keluarnya Shahir si pemuda yang memakai pendakap gigi besi lagi petah berkata-kata ini daripada Akademi Fantasia 8 - berlakulah suatu fenomena baru yang di luar jangkaan penonton ASTRO - seperti tidak diduga...mereka (peminatnya) seolah-olah 'meroyan habis' kerana kehilangan jejaka yang bernama Shahir ini...secara peribadi saya juga dapati memang benar diari tiada seri dan hilang mood untuk menonton rancangan tersebut...namun apabila berpeluang untuk diadakan AFMASUK BELIAU SEKALI GUS MENEPATI RAMALAN DAN MULA BERAKSI UNTUK konsert selanjutnya...saya perhatikan mungkin keluarnya beliau menemui keluarga di Kampar untuk kesekian kalinya telah menyuntik semangat, jati diri dan azam baru buat pelajar yang dilahirkan pada 5 September 1988 ini.

Bagi saya, kemasukan semula Shahir adalah antara hadiah hari ibu kepada semua ibu-ibu di Malaysia - saya yakin ramai ibu-ibu seperti saya yang ingin menjadikan beliau sebagai calon menantu masing-masing. Renungan matanya bagai menusuk-nusuk penonton lewat kaca televisyen...biar beliau memperkatakan dirinya keras bagaikan kayu tetapi hayunan tarinya semakin hari semakin memikat hati penonton....dan lahirlah fan klubnya yang tersendiri....bakal-bakal ibu mertua di Malaysia...menjadi penonton setia, tidak termasuk anak-anak gadis yang mencuba-cuba nasib selepas ini untuk menggodanya...Namun itu semua adalah lumrah menjadi artis dan pujaan ramai wahai Shahir....selepas ini jaga diri, jaga tingkah laku, adab sopan, hormat pengundimu dan yang paling penting tidak berubah sikap kepada riak dan takabur...untuk semua anak-anak dara semua...memang agak mustahil kerana beliau dan keluarganya mungkin mempunyai pilihan yang tersendiri. Gadis yang bakal terpilih menjadi suri hatinya pasti bertuah kerana bakal jua memiliki hati budi si teruna yang juga mempunyai sikap yang kelakar ini. Bagi saya, beliau boleh juga berlakon untuk watak-watak yang harus beliau pilih sesuai dengan perwatakannya di luar. Jangan hanyut dalam arus populariti yang bakal menanti di luar sana. Onak dan ranjau berduri penuh selumbar jiwa menantimu dalam industri seni tanah air. Bak kata Mawi, hari ini kita disorak, esok lusa kita diboo pula...dia sendiri tidak tahu mengapa...oleh itu duhai anak teruna sulung kepada Encik Zawawi, hati-hati dengan keadaan ini. Namun, dalam usia yang terlalu muda - sejujurnya saya ingin beliau belajar lagi...sesuai dengan kelulusan akademiknya yang cukup baik...ya kelulusannya amat baik sebaik tingkah lakunya yang kita dapat perhatikan.

Ketika beraksi untuk konsert setelah minggu debaran dan minggu selepas penyingkirannya beliau telah mempertontonkan sesuatu yang baru. Beliau amat menjaga apa jua yang berlaku di diari, kelihatan amat sopan jika dibandingkan dengan pelajar lelaki lain dan mungkin itu ada faedahnya setelah beliau keluar. Beliau mungkin telah 'dibancuh mindanya' ketika di luar oleh penonton dan kaum keluarga - memang terdapat sedikit perbezaan di situ dan itulah kelebihan yang beliau peroleh. Saya akui saya memang pemilih dalam meminati artis yang ada di persada seni tanah air ini. Kalau yang terpilih itu, menunjukkan beliau mempunyai kualiti yang saya sendiri cari dan ada sebab mengapa saya memilih mereka untuk duduk di dalam facebook saya.

Mengapa saya memilih Shahir:

Saya rasakan beliau boleh menjadi ikon remaja masa kini...menerusi rancangan trek selebriti beliau telah mempertontonkan kepada umum yang beliau jujur, baik, naif, berbakat dalam mengaji al-Quran dan sekali gus boleh melagukannya dengan baik. Kita tunggu sahaja bulan Ramadan ini, pasti ASTRO ada rancangan istimewa menggunakan ikon barunya ini. Bakat yang ada pada jejaka Perak ini jarang ada pada artis remaja masa kini. Mungkin ada seorang dua tetapi tiada masuk dalam senarai saya. Keluarga bahagianya cukup teratur apabila bercakap dan dalam nada yang boleh diterima umum, ibunya penuh sopan ketika diminta memperkatakan tentang isu pengkritik dan saya yakin ibu bapanya adalah dalang sebenar yang telah mendidik beliau berperwatakan demikian. Saya amat terkilan kerana tidak dapat menonton ibunya di dalam diari ketika hari ibu yang lalu. Semua pelajar didatangkan ibu masing-masing tetapi beliau tiada. Namun beliau boleh terima hakikat itu mungkin baru sahaja insiden diundi keluar/tersingkir daripada konsert. Sebagai seorang ibu, sejujurnya saya suka dengan sikap keluarga ini. Mereka tidak mencampur adukkan hobi anak-anak dengan minat mereka. Kalau diikutkan kelulusan yang ada pada Shahir agak baik juga. Sepatutnya pemuda yang berwatakan pemalu ini masih berada di universiti sekarang ini kerana kelulusan yang ada pada peringkat awal pendidikannya amat baik. Saya pun tidak tahu mengapa beliau memilih untuk menjadi artis sebelum menamatkan pelajarannya ke peringkat universiti. Namun, itu tidak usah risau, beliau boleh memilih untuk berkecimpung dalam bidang yang diminatinya terlebih dahulu dan kemudian apabila telah mempunyai wang yang mencukupi boleh memilih untuk sambung belajar semula. Saya cadangkan agar si kacak bergaya ini belajar di luar negara kerana di sana tiada gangguan daripada peminat di tanah air. Beliau boleh fokus terhadap pelajaran...mungkin gangguan di alam maya boleh dielakkan sekiranya beliau fokus, fokus dan fokus.

Jadi menjelang hari-hari terakhir Shahir menuju ke kemuncak Juara AF8 ini, saya doakan agar Shahir sihat tubuh badan, jaga makan minum, jaga keadaan suara supaya baik dan mendapat sokongan daripada semua ibu-ibu dan rakyat di Malaysia untuk membolehkannya berada di kemuncaknya sebagai Juara AF8. Tidak mustahil suatu hari nanti saya memberikan lirik atau melodi lagu ciptaan saya ala-ala cita rasa saya untuk dinyanyikan oleh beliau lewat Adnan Abu Hassan (juga komposer yang amat saya kagumi ciptaan ilham kreatifnya)...Insya-Allah. Saya memang selalu berangan-angan - sama ada tergapai atau sebaliknya terpulanglah kepada masa dan keadaan yang menentukannya. SELAMAT DATANG KE INDUSTRI MUZIK TANAH AIR - SHAHIR AF8. Perjalanannya baru bermula dan jauh lagi denai berliku yang harus dilaluinya...Saya pasti akan membeli CD lagu-lagu yang beliau nyanyikan ...Kebahagiaan dalam Perpisahan...sebagai sokongan kepadanya untuk menceburi bidang ini. Semoga berjaya menjadi juara AF8...sama-samalah kita rakyat Malaysia dan peminatnya nantikan detik 22 Mei 2010 ini. Insya-Allah.

Tiada ulasan: