Rabu, 20 Februari 2013

Kepelbagaian Dimensi Linguistik

Beberapa tahun lepas rasanya saya pernah letak buku ini di sini....
Ini adalah cetakan kedua kerana ramai yang berminat untuk memiliki buku ini...
Saya berandaian sendiri bahawa....
Tamai yang telah membaca isi kandungan buku ini...


Untuk pencinta bahasa Melayu diucapkan sila-silalah membaca...


Kepelbagaian Dimensi Linguistik
2009. 
Penerbit UKM: Bangi. 
ISBN 978-967-942-921-3 (kulit lembut). 
294 halaman. 
Nor Hashimah Jalaluddin, Mohamad Fadzeli Jaafar & Harishon Radzi. (suntingan).

Buku Kepelbagaian Dimensi Linguistik ini adalah kumpulan hasil penyelidikan peneliti bahasa dari pelbagai institut pengajian tinggi di Malaysia. Ilmu linguistik di Malaysia sangat dipengaruhi oleh perkembangan lnguistik semasa di dunia. Bersesuaian dengan tajuknya, buku ini menawarkan kepelbagaian cabang kajian dalam linguistik, termasuklah linguistik teoritis dan linguistik aplikasi. Cabang linguistik teoritis dalam buku ini mencukupi aspek fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik, manakala cabang linguistik aplikasi meliputi aspek sosiolinguistik, pragmatik, analisis wacana kritis, stilistik, antropologi linguistik dan analisis kesalahan bahasa. Kesemua cabang linguistik ini dibincang dan dibahas berdasarkan kerangka bahasa yang tertentu dan diaplikasikan terhadap bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Isu bahasa dalam buku ini telah dibahas secara ilmiah melalui paparan data bahasa. Gelombang kemajuan linguistik menjadi lebih realistik dengan kehadiran pelbagai dana penyelidikan yang menyokong pengkajian bahasa. Melalui data bahasa ini, maka penemuan oleh peneliti bahasa dapat menggambarkan hakikat penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Beberapa penemuan dalam buku ini turut mengemukakan persoalan, pandangan dan pengertian yang baru tentang sesuatu isu bahasa di Malaysia. Menariknya analisis data bahasa dalam buku ini dibuat berdasarkan teori bahasa yang terkini, misalnya pendekatan frasalogi, analisis tatabahasa peranan dan rujukan, analisis semantik kognitif, pendekatan wacana Fairclough dan kerangka nahu fungsian. Kepelbagaian dimensi menganalisis bahasa yang ditawarkan dalam buku ini dapat membantu para pembaca memahami bagaimana sesuatu teori beroperasi. Buku ini turut memberikan tinjauan yang jelas tentang perkembangan teoritis dalam kajian bahasa. Sekaligus, hal ini dapat membantu pembaca mengikut aliran atau mazhab dalam disiplin linguistik dan implikasinya terhadap perkembangan ilmu linguistik di Malaysia khususnya. Kepelbagaian perspektif penyelidikan linguistik memberi kesan positif kepada penghasilan analisis linguistik. Kehadiran buku ini diharap dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada pengkaji bahasa, peneliti bahasa dan pelajar bahasa di institusi pengajian tinggi dan di sekolah, malah peminat dan pengguna bahasa juga dapat mengikuti perkembangan isu bahasa di Malaysia. Penerbitan buku ini juga diharap akan mempergiat para penyelidik dalam kajian bahasa bagi menambahkan lagi khazanah ilmu linguistik.

NOR HASHIMAH JALALUDDIN, Ph. D., ialah profesor dalam bidang semantik dan pragmatik. MOHAMMAD FADZELI JAAFAR, Ph. D., ialah Profesor Madya yang mengkhusus dalam bidang stilistik dan pragmatik. HARISHON RADZI ialah penyarah kanan yang mengkhusus dalam bidang morfologi dan linguistik komunikasi. Mereka adalah tenaga pengajar di Program Linguistik, Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.

Tiada ulasan: