Sempena dengan Syawal yang menjelang, saya berpeluang pulang ke kampung halaman menjengok rumah tiang seri ayahanda yang telah uzur dan dimakan dek anai-anai. Namun, saya rasa cukup bahagia berada di sana. Nostalgia sungguh saat itu. Setelah pulangnya semua keluarga ke rumah masing-masing mengikut haluan - ada yang pulang ke rumah sendiri, ada yang pulang menjengok mertua, maka saya dan keluarga adik saya yang juga isterinya orang Kuala Lumpur - melunasi tugasan dan sisa-sisa kuih raya yang tinggal. Masing-masing ada rumah batu...atap genting. Seronok juga melihat telatah anak buah begitu... biarkan mereka begitu. Biasalah, semua tak betah tinggal di rumah usang begitu... tak selesalah, panaslah, rimaslah, tak bestlah, banyak nyamoklah....alasan biasa yang saban tahun singgah di cuping telinga saya. Saya biarkan saat-saat begitu berlalu. Dalam hal ini, kita kena ikut keselesaan dan haluan masing-masing. Jangan dipaksa-paksa kerana laluan hidup kita yang mencorakkannya.
Pada hari raya ketiga, laman rumah ayahanda kami kerjakan. Menjulang-julang api hasil dari daun-daun kering yang kami bakar. Seronok main api begitu. Mujur bomba tidak mampir. Bila tetangga menyapa, kenapa tak beraya..selamba saja saya menjawab. MALAS. Membersihkan rumah pusaka lebih seronok bersama-sama anak buah saya. Sesekali tabuan datang menjengah, lari lintang pukang mereka semua. Air panas sejuk entah berapa gelas habis ditonggang. Ibu saya bising kerana api yang menjulang-julang hampir mencecah talian elektrik. Hai, bila lagi nak main unggun api. Dulu masa jadi girl guide di SM Tun Mamat bolehlah kerap main api.
Hah! Seronoknya raya tahun ini saya berpeluang mengunjungi semua mak dan bapa saudara yang masih ada. ADUHAI, ramai yang sudah sakit kaki, sakit itu, sakit ini, dan sedihlah bila hendak diceritakan.... yang paling seronok bila saya bertemu bapa saudara saya yang rupanya saling tak tumpah semacam aruah abah. Dengan telefon bimbit di tangan saya sempat merakam potretnya untuk ditunjukkan pada anak-anak saya. Rupanya Pak Ngah yang hampir mencecah usia 90-an masih mengenali saya biarpun saya jarang menjengoknya kerana faktor masa dan kesibukan tugasan harian. Syukur.
1 ulasan:
mananye gambar tok ngah tu? kenapa tak letak kat cni? nk juga tengok..
Catat Ulasan