- salah satu gambar dalam Pakai Patut Melayu. Foto By. Ikhwan Hashim.
Buku Pakai Patut Melayu (2008) karya asal Mejar Dato' Mohd. Said Sulaiman kini akhirnya menjengah jua ke dunia. Saya mengambil masa yang cukup lama dan bersabar dengan kerja-kerja penyuntingan dan penerbitannya. Buku ini diajukan penerbitannya ke sini oleh Puan Azah melalui bos lama saya. Pada asalnya, saya menjangkakan buku ini tidak dapat diterbitkan kerana banyak faktor yang mengekangnya. Kebetulan saya boleh menulis dan membaca Jawi, maka kerja-kerja tersebut menjadi agak mudah.
Nah! tanggal 14 Oktober 2008 akhirnya buku ini berjaya menemui sasaran pembacanya. Dalam usaha menerbitkan buku ini, saya terpaksa membalik-balikkan antara kedua-dua versi - antara ejaan Rumi dan Jawi. Susah memang susah kerja ini. Saya tidak pernah membuat buku sebegini. Versi Rumi disediakan oleh Puan Khadijah Hashim, penulis yang tersohor. Saya telah pun berkomunikasi dengannya. Tuturnya begitu lembut.
Begitu juga saya hadir ketika sesi penggambaran yang dikendalikan oleh Ikhwan bersama-sama model-model UKM. Masa yang diambil begitu lama. Gigih dan bersemangat. Buatlah apa gaya sekali pun, mereka yang muda belia ini sanggup mengabadikan koleksi pakaian tradisional Melayu milik Pusat Kebudayaan UKM ini.
Saya bersyukur kerana dilorongkan jalan yang begitu mudah untuk kerja-kerja penerbitan buku ini. Saat saya berhadapan dengan pemilihan pakaian yang bersesuaian untuk diletakkan di dalam buku ini, Eton dari pihak Pusat Kebudayaan banyak membantu. Juga kepada pereka PP & P, Puan Insyirah yang telah merekaletak kulit dengan begitu kreatif dan kemas, terima kasih, terima kasih. Cantik cara kerjamu.
Saya juga meletakkan sedikit penghargaan dalam ruangan prakata Editor bagi mengabadikan mereka yang sanggup berkolaborasi bersama saya sehingga akhirnya buku ini berada di pasaran. Terima kasih semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan