Isnin, 23 Februari 2009

Aku dan Imigresen

Foto Add by google
Hari ini aku ke pejabat imigresen Kajang kerana paspot antarabangsa hampir tamat. Aku ingin keluar negara. Visa tidak boleh dikeluarkan kerana tarikh tamat paspotku tidak sampai 6 bulan. Aku tak perasan yang tarikhnya hampir luput dek terlalu sibuk dengan tugasan yang aku tidak tahu sampai bila akan habisnya. Mungkin setelah aku tidak bekerja lagi di sini.
Pagi-pagi lagi aku telah ke Kajang kerana otakku telah fokus pejabatnya terletak di Metro Plaza Kajang. Sesampai saja di sana, kereta tidak boleh lalu kerana jalan rosak dan tempat parking yang selalu aku gunakan telah ditutup. Lalu aku berputar sekitar pekan Kajang mencari parking. Aku tidak biasa menggunakan mesin bayaran parking, jadi ada si pemuda yang baik hati telah membantu aku membayarkan yuran parking kereta sebanyak 50 sen kerana aku sangka mesti tak lama pasal aku telah datang awal pagi. Aku mencari-cari pintu Parkson yang masih ditutup. Berputar-putar sekitar shooping complex lalu terjumpa dan naik ke atas - di tingkat 4 bersebelahan kelas muzik Yamaha.
Aduh! Pejabatnya telah berpindah. Aku setiap minggu ke Kajang. Mengapa aku tidak tahu. Pada hal itu memang laluanku...nampak sangat aku tidak fokus. Aku bertanya kepada jaga di mana pejabat imigresen telah pindah kerana setahu aku, di situlah aku membuat paspot anak daraku untuk belajar keluar negara tahun lepas. Rupa-rupanya aku ketinggalan zaman.
Setelah mendapat maklumat aku terus ke Hentian Kajang. Naik tangga yang penuh dengan bau hancing - agaknya mereka ni tidak jumpa bilik air. Sesuka hati saja kencing di sana sini di atas tangga tu. Peleknya kenapa pihak pengurusan tidak mengarahkan tangga tersebut dibersihkan. Agak semput juga mendaki tangga yang setinggi empat tingkat tu.
Aku masih tidak berjumpa di mana pejabat imigresen. Aku bertanya kepada si tukang cuci di situ. Barulah aku terjumpa. Maka di situ orang sudah ramai. Aku mula menjadi seperti kera masuk pekan. Berputar-putar mata hitamku. Pakcik jaga tu memang baik hatilah. Dia boleh jadi penyambut tetamu. Mengarahkan kita pergi ke kaunter mengambil borang, mengambil nombor giliran dan menerangkan apa yang patut. Terima kasih Pakcik Jaga. Saya tabiklah. Itu bukan kerja dia tapi dia sanggup menolong tidak kira siapa.
Hampir jam 12.30 baru tugasan aku selesai. Seingat aku, aku telah berada di situ pada jam 9.00 pagi. Walaupun ramai aku terpaksa tunggu kerana aku perlu menyiapkan paspot tersebut bagi keperluan membuat visa. Setelah membayar sebanyak RM300.00 aku diminta datang jam 2.10 petang untuk mengambil nombor baru. Aku terlalu penat. Duduk dibangku sambil membaca manuskrip yang dibawa. Selesai sebanyak 52 muka surat. Aku memang penat, mengantuk, bosan dan lapar. Kakak yang di sebelahku sempat mengusik...ai rajinnya membaca. Itu memang tabiatku. Di dalam kapalterbang pun aku memang membaca. Sambil menunggu di dalam kereta pun aku membaca. Minta maaf aku tidak dapat melepaskan tabiat tersebut.
Akhirnya jam 2.45 semua selesai. Aku dapat paspot baru. Itulah perjalananku untuk hari ini. Bayangkanlah jika anda tidak mempunyai kenderaan sendiri, tidak tahu lokasi pekan Kajang dan tidak tahu membaca...fikir-fikirkanlah.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wahh.. saje la nk menunjuk nk pergi LUAR negara tuhh.. =p

Tanpa Nama berkata...

Hi...bukan nak menunjuk tapi terpaksa...abis tu kalau dah tamat tempoh nak wat camne