Rabu, 25 Februari 2009

Sebuah Catatan Untuk Februari


Foto Add By Google
Orang kata, Februari adalah bulan untuk meraikan cinta...banyak buktinya. Ada yang menyambut hari kekasih 14 Februari...saat ini ketika aku ke Kajang, ramai pemuda yang menghulurkan mawar merah kepada pemandu kereta - bukan percuma, tetapi untuk dijual. Ada juga yang membelinya. Kesesakan jalanraya ketika itu memberi peluang keemasan kepada mereka untuk melariskan jualan ros merahnya. Ini adalah kali pertama aku melihatnya setelah bertahun-tahun menapak di Kajang...fenomena baru tu. Mungkin aku ketinggalan zaman. Rasanya tidak, kerana aku dewasa bersama naiknya Bandar Baru Bangi dan Kajang. Setiap denai dan tapaknya menjadi singgahanku. Yah! Sudah menjadi seperti pesta konvokesyen lagaknya.

Saat Februari menjelang juga aku menanti-nantikannya kerana Februari juga melakar sejarah tetakala 24 tahun lampau kami diijabkabulkan di anjung rumahku di Tangkak. Ketika itu masih segar dalam ingatan - 8 Februari 1985. Majlis menyambut menantu diadakan di Kelang pada 9 Februari. Keesokan harinya. Ini bermakna tahun hadapan aku akan menyambut angka yang agak istimewa 25 tahun...Dahulu upacara akad nikah diadakan di rumah saja - tetapi kini semuanya sudah beralih ke masjid mahupun di surau. Adik-adikku jua menjalani ritual yang sama di rumah kami. Kini rumah tiang seri tegak sendirian - tinggalan abah yang menyimpan seribu kenangan dalam memori semalam.

Memori sedih 25 Februari jua segar dalam ingatan pabila aku dan seluruh keluarga kehilangan abah tersayang - menyahut panggilan Ilahi. Cinta kami pada abah bukan kepalang. Kini telah lapan tahun berlalu - namun masih terasa-rasa kehilangan tonggak keluarga kami yang suatu ketika dahulu menyumbang tenaga yang bukan sedikit dalam membesarkan kami adik beradik dalam sebuah keluarga yang agak ramai. Begitulah sedikit catatan untuk dikenang...

Tiada ulasan: