Isnin, 29 September 2008

Selamat Hari Raya

Foto Powered by 123Greeting.com
Hari ini UKM agak lenggang sekali. tiada lagi deruan kereta menuju ke kampus. Para mahasiswanya ramai yang telah sampai ke kampung halaman masing-masing - bercuti panjang. Hari ini saya masih lagi di kamar kerja, menyiapkan sisa-sisa tugasan untuk buku Pakai Patut Melayu - buku ini bakal diterbitkan dalam versi Rumi dan Jawi. Ejaan Rumi disediakan oleh Puan Khatijah Hashim. Buku ini disuakan untuk penerbitannya ke sini oleh Puan Azah melalui bos lama saya. Saat itu saya sibuk mengerjakan tugasan Rupa dan Gaya Busana Melayu. Saya diberi tanggungjawab untuk melunasi tugasan ini. Ini merupakan cabaran bagi saya kerana terpaksa membanding-bandingkan kedua-dua versinya. Saya memang boleh membaca Jawi dengan baik kerana telah dididik oleh sekolah agama kerajaan Johor semasa zaman kanak-kanak dahulu sehingga ke darjah khas dan ulang kaji...cuma nasib tak mengajar agama sahaja. Saya juga sukakan buku ini kerana dapat berkolaborasi dengan para artis daripada Pusat Kebudayaan UKM - mereka begitu kreatif ketika sesi fotografi bersama Iwan jurufoto kami. Nantikanlah saat-saat terbitnya buku ini.... di pasaran

Biar orang berhari raya - tapi saya masih begini saban tahun. Saya telah terbiasa tidak terlalu mengagung-agungkan hari raya berlebih-lebihan. Saya tetap menyambutnya dengan meriah, tetapi ikut kelapangan waktu saya dan keluarga. Kini kedua-dua anak saya berada di Russia dan mereka menyambut lebaran di sana. Mereka ingin belajar dan mengejar cita-cita masing-masing - demi anak-anak saya turutkan kehendak mereka. Kami sebagai orang tua, mendoakan yang terbaik untuk anak-anak semua.

Khamis, 25 September 2008

ALAHAI DUIT RAYA...

Hari ini saya ke bank kerana ingin menukar duit raya kepada duit yang lebih baru. Malangnya duit raya baru yang bernilai RM5 dan RM10 sudah kehabisan. Ketiga-tiga bank di belakang pejabatku ini telah kehabisan wang tersebut. Katanya wang baru sempena dengan hari lebaran dicetak dalam jumlah yang terhad. Yah! Kini, yang ada pun wang RM1. Jadi, terpaksalah tukar juga dengan duit RM1 yang ada. Duit lain semuanya versi lama. Punyalah ramai orang yang beratur untuk mendapatkan duit baru tapi yang ada hanyalah RM1. Mereka pun mesti kecewa seperti saya. 'Anak-anak dan cucu-cucu' janganlah pula terkejut, kalau dalam sampul kelihatan RM1. Wah! Nampaknya 'anak-anak dan cucu-cucu' terpaksa beraya dengan duit RM1 sahaja tahun ini!!! Atuk tak dapat nak nolongnya...

Isnin, 22 September 2008

Rumah Tiang Seri Almarhum Ayahanda

Sempena dengan lebaran yang mulia, kami adik beradik telah bergotong royong mengecat bahagian hadapan rumah pusaka ayahanda. Tapi, tak siap kerana kami tak profesional. Nampaklah cantik sikit...Waduh! Bekerja di bulan Ramadan ni amat memenatkan tetapi begitu menyeronokkan. Suasana tu yang amat penting. Ni, memang rutin setiap Ramadan, semua kena kerja gotong royong. Yalah di situ, ayahanda sakit dan menghembuskan nafas yang terakhir lapan tahun lalu. Aruah atuk dan abang Ngah kami juga meninggal di rumah itu. Dulu rumah pusaka tu, kerap menerima kunjungan pelawat kerana aruah ayahanda 'ada nama' di tempat kami. Semua orang kenal. Kalau dulu, sebut aja nama abah semua orang tahu di mana rumahnya. Ayahanda seorang yang garang, tegas, berdisiplin dan disegani. Ayahanda boleh bawa kepala bacaan yasin dan tahlil setiap Jumaat dan boleh jadi imam sembahyang jenazah. Yah! Hanya al-Fatihah untuk ayahandaku yang telah pergi. Lebaran nanti rumah masa hadapan ayahanda pasti anakanda lawati.
Rumah tiang seri ayahanda masih utuh, kuat dan tegap. Tukang rumahnya hanya yang tersohor menjadi pilihan ayahanda. Dengar cerita dari bapa saudaraku, ayahanda ke tempat pemotongan kayu balak dan memilih hanya kayu balak yang terbaik. Kayu balak tersebut dipotong menjadi papan dan akhirnya menjadi dinding rumah ayahanda. Semua majlis perkahwinan dan kenduri kendara diadakan di situ. Benar! Pasti banyak nostalgia di situ. Kini, kami semua telah berhijrah ke ibu kota mengikut haluan dan tuntutan rezeki masing-masing. Ada juga adik beradik yang telah meninggal dunia. Rasa-rasanya kami tidak akan kembali ke kampung lagi kerana masing-masing telah memiliki kediaman sendiri mengikut kemampuan keluarga kami. Namun, hari raya mesti nak balik kampung juga, biarpun rata-rata semua usia sudah pun senja.
Kini, rumah tiang seri kebanggaan ayahanda dan kami sekeluarga tinggal sunyi tidak berpenghuni, namun tetap ceria kerana ada kekanda kami yang sudi menjaganya. Usai, kerja kami beramai-ramai menuju ke Bazar Ramadan di kawasan masjid untuk mendapatkan hidangan bagi berbuka. Pelbagai macam juadah dijual. Ada kuih muih, bubur mutiara (wah! pertama kali rasa - sedap tu) dan pelbagai jenis lauk, roti john (dari mana dapat nama roti ni!!!). Paling menyeronokkan di situ ada nasi ambang dan air lemon biru (pun pertama kali nampak air warna biru). Nasi agak mahal juga, yalah minyak dah naik...tapi air tu mengapa dijual RM1 sahaja. Saya sempat bertanya kenapa murah sangat. Senyum aja budak yang jual air tu. Air kelapa, air asam boi pun ada. Mesti siapa yang membaca terliur ni.

Jumaat, 19 September 2008

Morning Mood

Foto: By Claudiams 1973

Hai! Hari ini nak main lagu apa pula. Yuk! kita mulakan dengan lagu Morning Mood from Peer Gynt Suite ini. Biar penciptanya Edvard Grieg bergembira yang lagunya ada orang meminati. Tapi lagu ini telah digubah semula oleh James Bastien. Nah! Kita mulakan dengan moderatonya... dan kita akhiri dengan diminuendo... silakan pasang telinga.

Khamis, 18 September 2008

Kemalangan Jalan Raya

Foto Ads by google


Sempena hendak menyambut hari raya yang mulia ini, hendaklah kita sebagai pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati semasa menggunakan setiap jalan dan lorong. Memang benar. Malang tidak berbau. Jangan memandu terlalu laju dan berada dalam keadaan yang letih. Berehatlah jika letih. Banyak R n R di lebuh raya untuk kita melelahkan badan buat seketika. Memandu dalam keadaan badan tidak selesa akan membahayakan nyawa kita dan orang lain. Biarlah kita memandu dengan berhemah. Ingat insan tersayang yang menanti kita di rumah. Saya baru sahaja melihat anak teman yang seusia dengan anak perempuan saya di Hospital Serdang tengah hari tadi. Melihat kepada keadaan tersebut saya menjadi sayu hati. Terus saya teringat kepada peristiwa anak lelaki saya yang juga terlibat dengan kemalangan yang mengerikan ketika pulang bercuti baru-baru ini. Katanya jalan licin dan hujan lebat...


Kereta yang remuk itu masih lagi berada di bengkel kereta dan sehingga ke tarikh beliau berangkat pulang semula ke Russia, beliau tidak dapat melihat kereta tersebut yang masih dibaiki. Katanya, polis juga seakan-akan tidak percaya kepada alamat semasa yang beliau nyatakan dalam report!!! Syukurlah anak saya tidak mengalami kecederaan yang teruk. Kereta teruk tak apa asalkan dirinya berada dalam keadaan yang selamat. Usai report kes di Balai Polis Putrajaya, saya menghantarnya menjalani rawatan di Hospital Serdang kerana katanya agak pening sedikit. Anak saya dibenarkan pulang selepas itu.


Hari ini, dalam kes yang sama menimpa pula kepada anak bujang teman lama saya, yang pulang dari UiTM Melaka kerana ingin berbuka puasa bersama-sama keluarga. Beliau telah mengalami kemalangan jalan raya. Kami yang melawatnya memberikan kata-kata semangat agar jiwanya kembali tabah untuk terus belajar dari kesilapan dan mula semula penghidupan baru selepas ini dengan azam yang baru. Saya benar-benar dapat melihat bertapa kasih sayang seorang ibu yang sanggup mengatasi segala-galanya. Demi anak tersayang, pada bulan puasa ini si ibu sanggup tinggal di hospital menjaga makan minum anak yang kini masih tidak dapat menguruskan diri ekoran kemalangan jalan raya yang agak mengerikan itu. Memanglah ada doktor dan jururawat yang menjaganya, tetapi si anak biarpun sudah teruna pasti mahukan lebih lagi kasih sayang daripada keluarga terdekat. Semoga cepat sembuh dan dapat berhari raya di rumah bersama-sama keluarga. Kepada yang lain ambil iktibar daripada kedua-dua kejadian yang saya paparkan. INGAT: SENTIASA BERHATI-HATI DI JALAN RAYA. MALANG TIDAK BERBAU.

Jumaat, 12 September 2008

Mengenang hari menjengok ke dunia

foto Ads By Google
Tanggal 11 September, rasa bahagia sangat walaupun usia dah menjelang nak senja... Masih ada teman-teman rapat yang mengingati hari lahir saya. Justeru tak putus-putus SMS masuk mengucapkan selamat hari lahir. Kebetulan pagi-pagi tu saya baru menerima hadiah handphone dari suami tersayang - yang saya tak tau fungsinya nak guna bagaimana, jadi bunyi SMS sentiasa mengganggu kala meeting. Maklumlah meetingpun dengan orang-orang besar UKM - pasal universiti Apex, kerana saya salah seorang ajk task forcenya. Rasa diri macam semut merah aja... Pada hari jadiku, dapat bertemu dengan VC dan sempat mengucapkan tahniah kepada TNC baru yang sekali gus bakal menerajui bidang penerbitan. Apa-apa pun, banyak segan dari suka. Sekadar menghadirkan diri dan mendengar apa yang diperdebatkan!!! Lalu, dengan muka tak malu saya minta teman di sebelah meletakkannya dalam nada dering senyap!!!


Pada sebelah malamnya setelah berbuka puasa - tentunya meriah sangat, dapat pula call dari Moscow, anak sulung saya menelefon dalam suara ala-ala dalam gelombang biru gitu. Antara dengar dengan tidak. Rupa-rupanya dia masak sambal udang untuk berbuka di sana. Tak dapat berbuka sama-sama bondanya. Bagus-bagus, mesti sedap masakanmu Nak. Tahniah. Wah! rupa-rupanya anak-anakku begitu mengingati tarikh-tarikh penting kedua-dua orang tuanya. Terima kasih anak-anakku.

Pagi-pagi lagi, sifu cerpenku Dr. Mawar datang menghulurkan hadiah untukku. Rasa terharu sangat ada orang popular sepertinya yang mengingati tarikh kelahiran saya. Kemudian ada surviner dari Beijing di meja kamar kerjaku. Tak tau siapa yang letak. Akhirnya dapat juga ku hidu rupa-rupanya dari pengarang buku Pantun Baba Nyonyaku - Prof. Ding. Sama ada dia sedar atau tidak, saya menganggapnya sebagai satu pemberian hari kelahiran saya. Terima kasih, Prof. Ini membuatkan saya lebih bersemangat lagi untuk membantu pensyarah-pensyarah menerbitkan buku -buku setelah saya benar-benar down menyembah ke bumi dek menerima dua kali kegagalan dalam menggapai impian. Tak apa, usah dipertikai rezeki orang. Rezeki saya ada di mana-mana. Biarpun saya seakan-akan dipinggirkan dan tidak dipandang akan kerja-kerja seharian saya, namun masih ada lagi insan-insan seniman yang menghargai kerja saya. Terima kasih - terima kasih - terima kasih. Yang penting, saya pasti bangun dan bangkit dari kegagalan.

Buat teman-teman Ex Leuvenaar Belgium: terima kasih untuk sms demi sms yang dikirimkan. Terima kasih Helen, iya, jangan lupa kirim foto pidato pengukuhan bapak sebagai Prof.nya. Saya merindui saat-saat kita di Leuven, bersepidar bersama, ngobrol2 dalam 4 musim - paling indah masa snow (pasti ada salju putih di mana-mana) dekat rumah kita, - yang penting pasti ada tart, roti dan lain-lain kuih yang dibikin oleh kamu. Yah! Enak sekali. Kamu kan pakar pasteri gitu.

Isnin, 8 September 2008

Menulis Tentang Pemergian Penulis yang Prolifik


Foto: By Ibnu Ariff

Bulan Ramadan yang mulia ini kenangan berlegar di sekitar pemergian insan penulis yang prolifik ...

Pada malam 30 Julai 2008 lalu, kira-kira jam 2.15 pagi saya menerima SMS tentang pemergian Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Beliau meninggal di Hospital Serdang. Kemudiannya pagi2 lagi saya sebarkan pula SMS itu kepada kalangan teman-teman yang lain.
Pada 1 Ogos 2008, kira-kira jam 10.00 pagi, saya juga menerima panggilan telefon mengenai pemergian Prof. Dr. Hassan Langgulung (penulis buku Psikologi dan Kesihatan Mental di Sekolah-sekolah - 1980) yang tinggal di Gombak. Beliau tersohor dalam bidang motivasi dan pendidikan. Jadi dalam masa dua hari berturut-turut saya menerima berita yang menyedihkan itu.
Pak Rustam Sani juga meninggalkan kita pada 23 April 2008 di Gombak. Beliau saya kenali ketika mengendalikan buku arwah bapanya Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api.
Sebelum itu, saya lupa tarikhnya, saya juga telah kehilangan teman yang menulis buku Komedi dalam Trilogi Drama Zakaria Ariffin - Allahyarhamah Rosna Mohd. Khalid. Beliau begitu komited ketika menyiapkan bukunya bersama-sama saya. Selalu sms saya dan mengajak saya hadir ke majlis-majlis ilmu khususnya di DBP. Tidak hairanlah jika bukunya menang untuk Anugerah Sastera Darul Takzim. Beliau antara penulis muda yang gigih dan kini telah kembali disisi-Nya. Al-Fatihah.
Saya bukanlah dikenali sangat seperti mereka, tetapi setiap berita tentang pemergian penulis-penulis tanah air saya pasti antara yang terawal menerima berita tersebut. Syukur saya kepada Tuhan kerana ada insan-insan yang sudi menelefon saya. Adalah lebih baik, sempena Ramadan ini kenangan kita berlegar di sekitar rumah masa depan....mengingatkan kita kepada kematian.

Sabtu, 6 September 2008

Love Story

Foto Ads By Google
Aha! Hari ini dapat kulunasi lagu ini... theme from "Love Story" - words by Carl Sigman and music by Francis Lai. Seronoknya tidak terhingga. Ini adalah piece yang agak popular jugak dan dapat main dengan pedal sekali. Dah lama nak main lagu-lagu yang saya rasa sedap dan ada feeling. Alangkah bahagianya bagi mereka yang sedang dilamun cinta. Bye bye.

Khamis, 4 September 2008

PAK SAMAD DALAM KENANGAN


Pak Samad, Tinggal kenangan segala ilham karya dan tintamu...

Tanggal 4 September 2008, jam 5.58 petang di Hospital Pantai, Kuala Lumpur, Pak Samad menghembuskan nafasnya yang terakhir - komplikasi buah pinggang dan lain-lain penyakit pada usianya yang ke-85 tahun. Tengahari jam 1.30 petang Berita TV3 masih menyiarkan tentang kesihatan Pak Samad yang tiada sebarang perkembangan terbaru, tetapi Berita TV3 jam 8.00 malam di bulan Ramadan yang mulia ini mengumumkan berita pemergian tokoh wartawan tersohor ini...seorang yang kuat membaca dan pintar mengarang. Sila baca Memoir A. Samad Ismail di Singapura, terbitan 1993 oleh Penerbit UKM bagi mengetahui kegetiran perjalanan kewartawanan beliau.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Pak Samad dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah.