Khamis, 21 Februari 2013

Salam Perpisahan....

Bertemu dan berpisah menerusi laman web by google

Aduhai!
Bertemu dan berpisah memanglah adat manusia biasa
Bos pergi dan bos datang juga perkara biasa dalam hidup saya
Saya tetap begini dan begini walau bos bertukar ganti
Aktiviti harian juga berjalan seperti biasa
Sebagai kakitangan biasa, 
bagi kami bezanya setiap kali bertukar bos
sudah pasti datangnya dengan membawa pemikiran masing-masing yang tersendiri 
yang sukar untuk saya rungkaikan dan biasanya
kita sebagai anak buahnya harus turuti menurut kesesuaian waktu 


Ini adalah YBhg. Prof. Dr. Kamaruddin M. Said
(mendengar ucapannya sangat-sangat 
membuka minda saya - 
orangnya berfikiran jauh dan sangat terbuka.  
Saya juga harus banyak berterima kasih kepadanya 
kerana saya juga banyak belajar daripadanya untuk bersikap jujur dengan
sesuatu yang menimpa diri kita.  
Kita tidak perlu menjadi hipokrit untuk menjadi orang lain)

Berikut adalah foto antara anak buah bos yang sempat
mengiringi majlis perpisahan semalam 
(tiada dalam foto adalah staf unit video dan beberapa rakan lain 
yang ada tugasan dan ada antara mereka 
sedang melaksanakan tugasan di DECTAR)


Biasanya ini adalah rutin harian saya yang kerjanya 
suka mencatat dan menconteng sesuatu.
Saat  ini juga orang suka dan gemar bermain-main 
dengan telefon bimbit masing-masing,
 namun saya sejujur-jujurnya
lebih senang untuk tidak membawa telefon bimbit 
dan 'berasmara' dengan kertas dan pena 
kerana itu adalah jiwa saya yang sentiasa kacau


Dedikasi Foto oleh Unit Foto Penerbit UKM

Rabu, 20 Februari 2013

Kepelbagaian Dimensi Linguistik

Beberapa tahun lepas rasanya saya pernah letak buku ini di sini....
Ini adalah cetakan kedua kerana ramai yang berminat untuk memiliki buku ini...
Saya berandaian sendiri bahawa....
Tamai yang telah membaca isi kandungan buku ini...


Untuk pencinta bahasa Melayu diucapkan sila-silalah membaca...


Kepelbagaian Dimensi Linguistik
2009. 
Penerbit UKM: Bangi. 
ISBN 978-967-942-921-3 (kulit lembut). 
294 halaman. 
Nor Hashimah Jalaluddin, Mohamad Fadzeli Jaafar & Harishon Radzi. (suntingan).

Buku Kepelbagaian Dimensi Linguistik ini adalah kumpulan hasil penyelidikan peneliti bahasa dari pelbagai institut pengajian tinggi di Malaysia. Ilmu linguistik di Malaysia sangat dipengaruhi oleh perkembangan lnguistik semasa di dunia. Bersesuaian dengan tajuknya, buku ini menawarkan kepelbagaian cabang kajian dalam linguistik, termasuklah linguistik teoritis dan linguistik aplikasi. Cabang linguistik teoritis dalam buku ini mencukupi aspek fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik, manakala cabang linguistik aplikasi meliputi aspek sosiolinguistik, pragmatik, analisis wacana kritis, stilistik, antropologi linguistik dan analisis kesalahan bahasa. Kesemua cabang linguistik ini dibincang dan dibahas berdasarkan kerangka bahasa yang tertentu dan diaplikasikan terhadap bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Isu bahasa dalam buku ini telah dibahas secara ilmiah melalui paparan data bahasa. Gelombang kemajuan linguistik menjadi lebih realistik dengan kehadiran pelbagai dana penyelidikan yang menyokong pengkajian bahasa. Melalui data bahasa ini, maka penemuan oleh peneliti bahasa dapat menggambarkan hakikat penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Beberapa penemuan dalam buku ini turut mengemukakan persoalan, pandangan dan pengertian yang baru tentang sesuatu isu bahasa di Malaysia. Menariknya analisis data bahasa dalam buku ini dibuat berdasarkan teori bahasa yang terkini, misalnya pendekatan frasalogi, analisis tatabahasa peranan dan rujukan, analisis semantik kognitif, pendekatan wacana Fairclough dan kerangka nahu fungsian. Kepelbagaian dimensi menganalisis bahasa yang ditawarkan dalam buku ini dapat membantu para pembaca memahami bagaimana sesuatu teori beroperasi. Buku ini turut memberikan tinjauan yang jelas tentang perkembangan teoritis dalam kajian bahasa. Sekaligus, hal ini dapat membantu pembaca mengikut aliran atau mazhab dalam disiplin linguistik dan implikasinya terhadap perkembangan ilmu linguistik di Malaysia khususnya. Kepelbagaian perspektif penyelidikan linguistik memberi kesan positif kepada penghasilan analisis linguistik. Kehadiran buku ini diharap dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada pengkaji bahasa, peneliti bahasa dan pelajar bahasa di institusi pengajian tinggi dan di sekolah, malah peminat dan pengguna bahasa juga dapat mengikuti perkembangan isu bahasa di Malaysia. Penerbitan buku ini juga diharap akan mempergiat para penyelidik dalam kajian bahasa bagi menambahkan lagi khazanah ilmu linguistik.

NOR HASHIMAH JALALUDDIN, Ph. D., ialah profesor dalam bidang semantik dan pragmatik. MOHAMMAD FADZELI JAAFAR, Ph. D., ialah Profesor Madya yang mengkhusus dalam bidang stilistik dan pragmatik. HARISHON RADZI ialah penyarah kanan yang mengkhusus dalam bidang morfologi dan linguistik komunikasi. Mereka adalah tenaga pengajar di Program Linguistik, Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.

Reset Minda anda sebentar dengan Cucu Menantu....


Reset minda anda dengan cerita ini....CUCU MENANTU

Selamat menonton di saluran Astro 104 jam 6.30 - 7.30 petang setiap Isnin hingga Jumaat.



Imej By Google

Isnin, 18 Februari 2013

Banjir Besar Johor


Ini adalah kulit untuk buku Banjir Besar Johor yang direka letak
 hasil kreativiti Puan Wana Helena Maria.  
Foto asal  pada kulit buku ini diambil oleh Sdra Raai Osman.  
Beliau terlibat sama dalam projek awal buku ini kerana  
banyak foto-fotonya digunakan oleh pengarang.
Karya ini disunting oleh Prof. Dato' Dr. Baharudin Yatim, 
Prof. Dr. Maimon Abdullah dan Prof. Salmijah Surif.
Buku ini sudah diulang cetak sebanyak dua kali.  
Bermakna ramai peminat buku ilmiah yang sudah memiliki buku ini.  
Saya rasa teruja kerana terlibat sama ketika mengedit buku ini.  
Al-Maklumlah kerana saya orang Johor juga.


Secara ringkasnya untuk keseluruhan kandungan buku, 
maka tuan/puan bolehlah 
membaca blurb buku di atas melalui paparan yang disediakan  ini.  
Kalau nak lebih terang lagi bolehlah beli terus melalui 
Kedai Buku Penerbit UKM melalui talian telefon 03-8921 3138
....nak diposkan pun boleh juga.  
Silalah tuan/puan berurusan dengan staf yang sangat berdedikasi itu....
Selamat membaca ye.

Bandar Baru Bangi - Fasa 5

Bandar Baru Bangi:  19 Februari 2013.  Pagi ini seperti biasa pergi ke tempat kerja agak lewat kerana kesesakan jalan raya bermula daripada simpang rumah saya ke tempat kerja.  Oh, rupanya barulah saya ingat bahawa pelajar UKM  sudah memulakan kuliah baru.  Itulah antara sebab yang menyebabkan jalan menjadi jem.  Aduh!  Bisa telaat ni pak...  memang pun saya sudah terlewat.  Bajet-bajet masa sudah terlebih sudah jam 8.00 pagi.  Kereta masih lagi tidak bergerak-gerak ni.  Mungkin cuaca yang dingin dan ditambah dengan hujan yang masih lagi malu-malu tetap setia turun membasahi bumi.

Sampai sahaja tempat bekas lombong yang sudah ditambah dengan tanah kawasan lain dan didirikan bangunan/perumahan pun masih lagi jem tak bergerak-gerak.  Tasik yang yang terbentang di hadapan mata sesekali menyejukkan mata memandang.  Sebelum ini kawasan itulah yang menjadi tumpuan apabila tidak ada air di Bandar Baru ini.  Ramai yang suka mandi manda di situ, terutama pelajar UKM.  Itu suatu ketika dahulu.  Kini, tidak lagi.  Banyak pula rumah kongsi di kawasan itu.  Pada pandangan saya, mereka ni rasa-rasanya menggunakan tasik bekas lombong itu.....

Kalau sebelah petang ada juga yang rajin memancing.  Saya pun tak tahu mereka ni dapat ikan atau tidak.  Tapi adalah juga kereta yang parking di kawasan rumah contoh dan memancing di kawasan lombong tinggal itu.  Dengar-dengarnya ada cerita seram di situ....kawan-kawan saya cakap kalau dia pergi memancing di situ, ada 'orang tak nampak' baling-baling batu ke tengah tasik.  Itu tidak dapat saya pastikan.  Kena cuba dulu memancing di situ, baru ada pengalaman dan mungkin boleh cerita di sini.  Hah! Itulah satu-satunya lombong tinggal yang masih ada.  Selebihnya sudah ditambak dan dijadikan kawasan perumahan.  Hai!  Kita tidak tahu apa akan jadi kepada mereka yang membeli rumah itu.  Harap-harap mereka semua baik-baik kerana mereka sudah melabur wang yang cukup besar kerana membeli rumah tersebut.  Hampir semua wang dicurahkan untuk memiliki rumah itu.

Oleh sebab sudah agak lewat maka saya pun terlupa di mana saya letakkan telefon genggam.  Sebelum itu saya menyiapkan sarapan pagi.  Aduh...di mana ye...saya terlupa di mana saya letak telefon genggam saya.  Jadinya sepagi-pagi ini saya tidak diganggu oleh sebarang deringan telefon.  Rasa seperti orang bercinta tanpa oksigen pun ada ni.  Rupanya tanpa telefon genggam agak menyukarkan pergerakan kita untuk menghubungi sesiapa atau mahu mengetahui siapa yang menghubungi kita.  Sedangkan sebelum ini kalau timbul nombor-nombor yang saya tidak dikenali kadang kala malas juga saya mahu mengangkatnya.  Tambahan pula kalau ketika itu saya sedang sibuk dengan urusan rasmi yang memang saya tidak gemar langsung untuk berkomunikasi dengan sesiapa.  Saya selalu fokus kepada kerja dan saya jadi mual dengan rakan-rakan yang sibuk berbalas tweet ataupun melayan fb....apa lagi menjawab telefon secara tidak malu-malu bercakap dengan suara yang kuat.

Pagi yang dingin ini jiwa saya agak tersentuh hati apabila makcik yang sering menyapu kamar kerja saya bertanya tentang bagaimana saya memasak nasi goreng.  Saya pun berhenti menaip dan mengajarnya supaya memasukkan itu, ini dan jangan hanya tumbuk bawang dengan cili.  Kena letak sekurang-kurangnya 15 bahan masakan!  Maka makcik pun ketawa geli hati.  Agaknya makcik ingat saya ni bercanda di pagi hari.  Seperti biasa selepas dia menyapu bilik saya, saya hulurkan bekalan saya kepadanya.  Kalau saya makan seorang mesti tak habis-habis.  Tambah-tambah pula kalau saya makan banyak tentu akan menjadi-jadi bertambahlah berat badan ini....

"Ni, hah makcik bahagian saya masih ada lagi..."  kata saya kepadanya.

Jujurnya saya selalu masak nasi goreng kerana itulah antara sarapan pagi yang cukup mudah selain daripada makan roti bakar atau roti goreng.  Biarpun saya hampir empat tahun bermastautin di Belgium, tetapi hati dan jiwa saya tetap Melayu.  Saya masih lagi makan nasi setiap hari.  Ketika di luar negara pun saya memang suka mencari nasi.  Biasanya kalau ada nasi beryani pun saya sapu juga.  Maklumlah ramai orang Turki, Arab atau lain-lain bangsa yang Muslim membuka restoran nasi ala-ala selera mereka di mana-mana di dunia ini.  Kalau setakat goreng jemput-jemput bawang tu saya kurang minatlah....
Notes

(Treble and Bass Clef)


Imej By Google


Ahad, 17 Februari 2013

Selamat membaca...



Beginilah rupanya....

Banyak yang mahu dibaca....
Banyak yang perlu diingati....

Konsep ini pada asalnya direka bentuk oleh Encik Khalid Hashim yang kemudiannya beliau jadikan untuk konsep kulit buku untuk buku Novel Intertekstual Melayu karya Prof. Madya Dr. Mawar Safei.

Inilah rutin harianku


Foto By Ikhwan Hashim

Selasa, 12 Februari 2013

Falsafah Akhlak



Selamat membaca....buku ini ditulis oleh YBhg. Prof. Dr. Mohd. Nasir Omar.  Terbitan Penerbit UKM.  Kulit buku direka bentuk oleh Puan Insyirah.  Untuk makluman, saya pernah berkhidmat di bawah kepimpinan Prof. Dr. Nasir semasa beliau menjadi Ketua Jabatan di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Middle C

Imej By Google


Untuk sesiapa yang mahu belajar piano...hah....wajib tahu nota ini.  
Ingat ye ...
middle C..........
middle C.........
middle C....  
berapa banyak kali mahu ulang daaaa               

Bandar Baru Bangi - Fasa 4

Bandar Baru Bangi:  13 Februari 2013 - Kita kerja, kita dapat gaji. Oleh sebab itu, mana-mana kita nak beli barangan keperluan dapur  itu juga menjadi hak peribadi kita.  Kalau kita membeli belah di pusat membeli belah tidak menjadi masalah rasanya kalau kita mempunyai wang yang banyak.... tetapi kalau kita membeli belah di pasar malam sudah nampak lain... Ada perbezaan di antara membeli belah di pusat membeli belah untuk kedua-dua tempat ini....pendek kata ada kelas-kelas yang tersendiri.  Itu semua bergantung kepada pusat membeli belah yang bagaimana rupanya....Siapa yang datang belanja dan siapa yang menjualnya.

Untuk kes penduduk di Bandar Baru Bangi ini, mereka sudah terbiasa membeli belah di Warta dan Billion.  Dua buah pusat membeli belah ini agak sinonim dengan penduduk asal BBB.  Apa sahaja ada di sini.  Biarpun nampak macam tak ada kelas bila kita membeli di sini tetapi jiwa agak tenang dan senang membeli.  Parking pun tak payah bayar.  Kecuali di Billion ada sekat sana sekat sini.  Saya dah lama tak ke sana sejak ada palang-palang kat bawah tempat parking tu.  Ada pulak yang dikhaskan untuk pegawai-pegawai petugas yang entah datang ke entah tidak ke tempat kerja.  Sudahlah susah nak parking....tempat parking pun terhad.  Saya pulak  malas nak parking kat luar.  Saya lebih suka pergi ke Warta.  Di sini, kita boleh mengambil apa sahaja dan terus pulang.  Fikiran kita perlu fokus kepada apa yang kita nak beli.  Tempatnya kecil tetapi telah mengalami banyak anjakan paradigma yang begitu menakjubkan.  Ada banyak tempat makan.  Itu bagi pencinta makanan segeralah.  Saya beli dan balik masak sendiri.  Ikut mood sayalah.  Malas nak makan-makan kat situ.  Kalau nak makan KFC pun saya bungkus dan bawa balik.  Tetapi sejak akhir-akhir ini saya dah macam terasa loya nak makan KFC.  Ini semua gara-gara saya terlihat sekeping gambar yang dipostkan di wall fb saya.  Agak meloyakan bila saya tenguk foto tersebut.  Tak payahlah saya nak cerita di sini.  Tetapi memang ada kesan kepada saya.  Untuk orang lain saya tak tahu. Terpulanglah.  Bagi saya, janganlah disekat-sekat rezeki orang ni.  Itu saja.

Suatu ketika dahulu, penduduk BBB, tidak kira apa jawatannya sama ada makcik suri rumah, pakcik pencen ke, Profesor ke, Profesor Madya ke, Dr. ke atau pensyarah ke...kerani ke, par ke dengan isteri-isterinya sangat suka membeli sayur-sayur segar di pasar malam dan pasar tani.  Setahu saya, ramai yang dah berpangkat besar sekarang.  Sekarang ni mungkin kerana saya tidak lagi kerap ke pasar malam saya tidak lagi terjumpa dengan orang-orang yang sama.  Dulu mereka ni siap membawa bakul/raga.  Ada satu profesor tu siap pakai terendak lagi....(dah aruah dah)...aruah dato' ni memang suka sangat membeli sayur di pasar malam.  Mungkin pasar malam belakang rumahnya sahaja.  Kemudian pasar malam berpindah randah.  Ada banyak pulak seksyen di BBB ini dan ada banyak pulak hari-harinya.  Jadi sudah tak ada nilai eksklusif lagi.  Ada pasar malam Ahad dan Selasa dekat Shell, pasar malam Rabu dekat Fasa 4 dan lain-lain itu tidak ada dalam minda saya kerana saya tidak tahu.  Dulu fasa malam Ahad dekat dengan Restoran Adam Seafood - dekat depan  rumah YB Adun Bangi Dr. Shafie,.  Saya jalan kaki sahaja masa itu.  Kerana saya pun duduk menyewa dekat sangat dengan rumahnya - barisan belakang rumahnya - rumah hujung.  Kita duduk ramai-ramai.  Tak payah masak.  Pergi sahaja ke pasar malam dan bawak balik terus makan.  Sekarang ni ramai pulak mamat dan minah yang pergi ke pasar malam yang saya dah memang tak kenal.  Tambahan pula, pernah kereta saya ditabrak orang di tempat parking di pasar malam fasa 4.  Saya jadi lagi marah dengan orang yang 'tidak bertamadun' ni.  Sudahlah kereta saya ditabrak, ditinggalkan macam tu sahaja.  Bukan sahaja saya  yang kerugian, tetapi menjadi bertambah-tambah sangat marah dengan keadaan itu.  Jadi, itulah yang membuatkan saya malas... dan mungkin itulah juga antara faktornya saya lebih selesa untuk ke tempat lain bagi membeli barangan keperluan dapur.

....akan bersambung


PATAH SERIBU NAMPAKNYA...


Patah Seribu - Shila Amzah


Walau kau tiada di sini

Ku tetap ingat semua pesanmu
Ku hidup seolah-olah kau masih ada
Bisikan kata kepadaku
Bilakah kau akan utuskan surat buatku

Aku terus menunggu tibanya kata cintamu
oh.. patah seribu hatiku

Bila mengenangkan segala yang kita bina bersama

Haruskah ku lupa kerna engkau telah pergi
Biar pergimu tanpa relamu

Namun hatiku tetap rasa

Kejamnya kau meninggalkanku dengan nota-nota
Cinta buat kita berdua bila kan ku bisa menerima ketiadaanmu
Kan ku bakar semua hapuskan semua kenangan
Patah seribu hatiku

Bila mengenangkan segala yang kita bina bersama

Haruskah ku lupa kerna engkau telah pergi
Sayangku mohon padamu

Segera tinggalkanku

Pergilah kau ke tempat yang kau tuju
Pasti ada hikmah buatmu dan juga buat diriku
Pergilah…






Imej dan lirik lagu 
By Google







Sungguh kasihan dengan kisah percintaan ini...
nampak gayanya sudah berakhir melalui akhbar...
tetapi kita tidak tahu apa yang berlaku selepas ini...
ni kalau buat filem sangat menarik....
Dalam hal ini kita tidak tahu siapa yang bersalah dan siapa yang benar, 
tetapi saya tabik spring kepada Shanaaz yang ternyata cukup berani dalam berkata-kata 
demi mempertahankan cinta hatinya...
di situ ada sedikit rasa kejujuran yang terbongkar lewat jiwa sasanya.  
Kalau sudah ternyata kita tidak diterima pada peringkat awal lebih baik kita angkat kaki sahaja.   Kita mencuba nasib sahaja...
memang jodoh pertemuan itu semua kerja Tuhan.... 
dibuat macam mana sekalipun kalau dah jodoh tidak ke mana. 
 Memang dalam hidup ini kita mahu sehidup semati berjanji hingga ke akhir hayat dengan bersaksikan bulan dipagar bintang di bawah pohon cemara lagi...
tetapi saat mahu menjolok bulan yang sedang mengambang di puncak cemara tiba-tiba sudah bertebaran sang lebah maka lebih baiklah kita lari....
si gadis pula ternyata agak berani juga...
melalui luahan perasaan dan bahasa badan yang diluahkan  
melalui medium media elektronik zaman kini  turun mengundang kontroversi.   
Saya yakin si bapa mula menyekat kebebasan si anak yang sememangnya amat mencintai si jejaka dan si anak pula mengambil tindakan sendiri-sendiri dalam melahirkan rasa cintanya...
dan kini firasat saya yakin menyatakan  jiwa raganya 'terpasung kaku' untuk terus kreatif dalam berkarya untuk dunia seni yang dicintainya....
aduhai! 
 berserah sahajalah...

saya akhiri dengan kata-kata ini.....
kalau dah jodoh tidak ke mana...
biar waktu yang bersesuaian menentukannya

Khamis, 7 Februari 2013

Kenangan mengusik jiwa....

Imej By Google
Bila hujan-hujan lebat begini teringat pulak pada aruah Pak Haron Johari.  Beliau adalah mantan karyawan tamu di pejabat saya suatu ketika dahulu.  Apa yang mengingatkan diriku dengan kenangan tersebut adalah ketikan mesin taip buruknya.....Bila kita lalu di hadapan biliknya mesti kita akan dengar ketikan mesin taip tersebut.  Baginya menggunakan mesin taip merupakan suatu cara yang mudah biarpun ketika itu sudah ada komputer. Beliau akan menaip dan menyerahkan salinan manuskrip yang ditaipnya kepada bos.  Aruah sungguh rajin menaip.  al-Fatihah

Imej By Google

Rabu, 6 Februari 2013

Rak Buku

Imej By Google

Hah!  Macam mana?  Boleh santai-santai dan ambil saja majalah dan buku yang kita mahu baca.  Nampak moden, mudah dan yang penting sangat cantik.


Isnin, 4 Februari 2013

Bandar Baru Bangi - Fasa 3

Bandar Baru Bangi: 5 Februari 2013 - Sewaktu memulakan perjalanan ke tempat kerja saya rasakan pagi ini cukup dingin sekali.  Langit di atas sana nampak gelap seakan-akan mahu runtuh menyembah bumi sebentar nanti.  Saya rasa bila-bila masa sahaja akan melimpah ke serata Bandar Baru Bangi ini.  Dulu saya tidak pernah takut jika mahu ke tempat kerja dalam keadaan hujan selebat mana sekali pun.  Tetapi sekarang, apakala anda berada di mana-mana kawasan di BBB ini air akan naik mendadak di jalan-jalan raya.  Ramai yang ketakutan apakala hujan turun dengan lebat.

Bayangkanlah pokok yang saya tanam sendiri sudahpun menghasilkan buah dan boleh saya bawa hasilnya untuk dikongsi bersama-sama dengan jiran dan rakan-rakan di pejabat.  Ini menunjukkan tahap kematangan pokok tersebut sehingga sudah boleh berbakti kepada tuannya.  Pokok kelapa yang saya tanam sudah beberapa kali diambil daunnya untuk dibuat ketupat.  Begitu juga ada yang telah saya tebang kerana terlalu besar dan saya risau akan kematangannya yang bakal mengundang bahaya kepada kami sekeluarga.  Upah untuk menebang adalah RM200.00 untuk sebatang pokok kelapa. Umbutnya saya boleh makan dan batangnya saya bakar....(maka pencemaran alam pun berlaku).  Saya bakar sikit-sikit kerana orang yang menebang pokok saya itu melonggokkannya di tepi rumah saya.  Jadi saya terpaksa bakarlah sedikit demi sedikit pada waktu malam.  Pokok nangka saya juga sudah beberapa kali berbuah.  Itu tidak termasuk pokok mempelam, pisang,  jambu air dan lain-lain...  pokok mempelam saya sudah ada yang saya tebang.  Saya gantikan pula dengan pokok mempelam yang lain.  Bunyinya seperti ada kebun, tetapi ketahuilah bahawa saya tanam cuma di sekeliling rumah saya sahaja.  Semuanya sebagai hobi sahaja.

Sekarang ini jika kita mahu ke Universiti Kebangsaan Malaysia dari arah Klinik Kesihatan Kerajaan BBB (Pusat Kesihatan - saya lupa namanya) jalan itu memang selalunya banjir.  Kereta saya pernah terhenti di situ kerana saya melanggar air yang banyak di atas jalan raya sedia ada.  Dalam keadaan hujan yang amat lebat sekali ketika itu memangnya menakutkan sesiapa sahaja.  Kereta saya terhinggut-hinggut tetapi saya tetap menekan pedal minyak.  Akhirnya kereta saya jalan juga biarpun bergegar-gegar kerana mungkin air sudah masuk ke enjin.   Wah!  Bukan main takut sekali.  Semenjak hari itu, saya tidak lagi melalui jalan tersebut ketika hujan lebat.  Saya sanggup tunggu hingga teduh dulu (bak kata Faisal Tehrani - Tunggu Teduh Dulu) barulah saya bergerak untuk ke tempat kerja.  Begitu juga jika kita melalui jalan raya berhampiran dengan Billion berdekatan McDonald.  Di situ juga kerap banjir kilat.  Saya katakan ini berdasarkan kepada pengalaman saya.  Ada juga rumah jiran-jiran saya yang dinaiki air kerana longkang di belakang rumah mereka sudah dipenuhi air.  Longkang tidak diselenggara dengan betul dan tersumbat.  Jadi air akan naik dengan cepat terutama jika hujan terlalu lebat.  Air ini semacam tidak tahu ke mana hendak dituju, jadi melimpahlah ke atas jalan raya bersama-sama arus kereta yang melingkarinya.  Bahaya memang bahaya tetapi pengguna jalan raya terpaksa menghadapi perkara ini kerana mahu cepat menuju ke tempat yang dituju.

Oleh sebab BBB sudah melebihi 30 tahun lebih maka banyaklah pokok-pokoknya yang telah matang.  Saya rasa BBB sudah melebihi 40 tahun atau mahu menyamai angka jubli perak gitu.  Alasan ini  saya berikan jika kita lihat kepada kematangan pertumbuhan pesatnya.  Pokok-pokok yang besar ini benar-benar mengundang ketakutan kepada pemandu kereta mahupun motorsikal.  Bila-bila sahaja dahan pokok akan rapuh dan pokok akan tumbang menghalang pengguna jalan raya.  Begitu juga dengan tanah runtuh.

Pernah juga suatu petang ketika saya pulang daripada tempat kerja berlaku tanah runtuh berhampiran dengan stesen Petronas Fasa 3.  Tanah bukit tersebut runtuh dan tanah yang melimpah ke atas jalan raya hampir-hampir menutup jalan raya.  Agak menakutkan juga.  Saya dengar khabar tanah mangsa merupakan sebuah rumah kepunyaan kakitangan di UKM.  Mungkin benar mungkin tidak.  Sesiapa yang rajin kena siasatlah....

Pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kenalah bertindak memotong dahan-dahan dan menebang pokok-pokok yang bakal mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.  Petugas-petugas di MPKj juga harus mengawas dan memantau ke semua pokok-pokok yang telah tua.  Tindakan yang sewajarnya perlu diambil bagi keselamatan penduduk BBB.  Kita semua tidak tahu malang akan berlaku. Saya rasa pihak berkenaan terlalu sibuk maka hal ini boleh diswastakan  semua kerja-kerja ini kepada kontraktor yang berminat.

...akan bersambung

Ahad, 3 Februari 2013

Kunyit

Ini adalah daun kunyit....Kunyit antara tanaman yang senang untuk hidup.  Kunyit boleh ditanam di dalam pasu dan di atas tanah.  Saya menanamnya demi kepentingan untuk memasak.  Tak payah ke pasar untuk membeli sehelai dua gitu.

Bandar Baru Bangi - Fasa 2

Bandar Baru Bangi:  4 Februari 2013 - Pagi ini di bulatan Seksyen 16 Bandar Baru Bangi (BBB) menuju ke UKM berlaku lagi kemalangan jalan raya.  Tempat itu memang biasa terjadi kemalangan.  Ada orang langgar lampu elektrik, langgar belakang kereta orang dan macam-macam lagilah.   Agaknya kawasan itu perlu ada lampu isyarat.  Senang cakap, dalam erti kata lain, sudah terlalu banyak kereta menelusuri jalan-jalan berliku di BBB ini.  Jika kita tinjau pada waktu petang, terutamanya masa orang balik kerja - jemnya mengalahkan Kuala Lumpur.  Semua orang mahu pulang ke 'sarang' masing-masing dengan cepat.  Bulan puasa tak boleh nak cakap lagilah.  Jemnya.....aduh!  sampai kena telan panadol 2-3 biji sekali gus ni.  Ramai pulak orang yang suka duduk di BBB ini.  Entahlah apa tarikannya, saya pun tidak tahu.  Rumah makin banyak, pembangunan kian meningkat dan apa lagi, penduduknya kian bertambahlah.  Ramai yang datang dari pelbagai pelusuk rantau di Malaysia ini mahu menetap di BBB....

Bercakap pasal kemalangan di bulatan ini, anak bujang saya juga pernah mengalami hal yang sama tatkala beliau memandu kereta saya.  Sewaktu kemalangan yang melibatkan kereta saya yang dipandu oleh anak saya itu berlaku saya benar-benar amat terkejut, tetapi tetap akur dengan takdir yang menimpa.  Yangn penting dia tak apa-apa.  Mungkin perasaanya sahaja ketika itu caca marba bersilang baur... Mana-mana pun kemalangan boleh berlaku.  Kereta Kancil yang dilanggarnya dari arah belakang agak teruk dan ini memaksa saya membayar pampasan yang bukan sedikit untuk tuan ampunya kereta.   Sewaktu pulang daripada tempat kerja, saya juga kerap melihat kemalangan kereta berlaku di bulatan itu.  Sekarang ni, pokok-pokok besar yang ditanam di bulatan besar itu sudah pun ditebang. Sayangnya kerana pokok yang sudah begitu besar ditebang dalam sekelip mata sahaja.  Nampak terang benderang pula.  Saya pun tidak tahu untuk projek apa.  Mungkin projek mega barang kali.  Jadi, kita sebagai penduduk BBB kena tunggu dan lihat sahaja apa yang berlaku untuk pembangunan di bulatan itu.

Dahulu sewaktu memandu di Bandar Baru Bangi sedikit pun saya tidak mempunyai perasaan takut.  Tidak banyak kereta dan memandu pun dalam keadaan yang amat tenang sahaja.  Tak sampai 10 minit sudah sampai ke tempat kerja.  Balik pun tak sampai 10 minit.  Kalau hari dah gelap, langit bagaikan nak runtuh, nak angkat kain di jemuran pun sempat lagi.  Hujan tak sempat turun gitu.  Air di tempayan pun sempat dituang ke tanah bagi menadah hujan yang bakal turun...  Yah!  Saya mula belajar memandu pun di BBB dengan Encik Mazlan iaitu tuan punya MAZRIS.  Terkial-kial memandu.  Tetapi sekali jer dah lulus tu.  Saat itu kalau diingat-ingatkan  memang belajar pusing-pusing di BBB sahaja.  Saya pun  tidak ada kereta waktu itu.  Tetapi tetap hati keras bagai kerikil mahu belajar memandu bersama-sama rakan-rakan serumah yang lain.  Sekarang ni, saya pun tidak tahu di mana Encik Mazlan berada.  Ada orang cakap-cakap dan saya dengar-dengar mungkin beliau sudah menjadi seorang usahawan yang terkemuka.  Sesekali bertemu, beliau masih mengenali saya lagi.  Anak-anak saya pun belajar memandu dengan sekolah memandunya.  Wah!  Bayangkanlah - sudah dua generasi tu.  Harap-harap beliau juga sihat sejahtera.  Orangnya sangat baik dan tidak berkira sangat dengan kami.  Apa yang penting kami merupakan 'graduan sulung' sekolah memandunya.  Masa itu memang tidak ada orang yang mahu belajar memandu.  Beliau mencari-cari siapa yang mahu belajar memandu.  Itulah sebabnya semua rakan-rakan kami belajar memandu.  YES! Rasa bangga tu dapat pengajaran terus daripada air tangan guru memandu kami.  Dahulu kami serumah semuanya memang belajar memandu dengan beliau.  Tapi, ada seorang teman serumah saya tu sampai sekarang ni tak lulus-lulus....kesian Ecah,  tapi anaknya dah boleh membawanya ke mana-mana.   Agaknya Ecah malas nak ambil ujian lagi dek kerana gagal dalam ujian memandu.  Encik Mazlan akan mengambil kami seorang demi seorang untuk belajar dan kami juga menjalani ujian memandu jalan raya di Petaling Jaya.  Pagi-pagi lagi sudah ke PJ untuk membiasakan dengan jalan-jalan yang akan di pandu uji.  Wah!  Seronoknya sesekali dapat keluar daripada BBB.

Namun, perlu saya nyatakan di sini bahawa setelah berlaku insiden kereta saya dipecah oleh dua orang pemandu motorsikal yang tidak dikenali serta tidak berhemah langsung, berhampiran lampu isyarat juga di Bandar Baru Bangi menyebabkan saya amat takut  sekali.  Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi wang.  Mujurlah saya tidak mengalami apa-apa.  Memang saya sangat fobia, tetapi hidup mesti diteruskan juga.  Bagi saya, hati budi orang-orang seperti ini yang tinggal di BBB memang sudah tidak lagi berhemah.  Fikiran mereka sudah terarah ke arah itu.  Orang seperti ini tidak patut tinggal di BBB.  Mahu mencari jalan singkat bagi mendapatkan keuntungan.  Insiden, pintu cermin besar untuk masuk ke kedai stesen Petronas di Fasa 3 pun boleh dipecah orang.  Inikan pula cermin kereta.  Perompak sekarang sudah berani beralih arah ke kawasan-kawasan di luar Kuala Lumpur.  Jadi, untuk semua penduduk BBB berhati-hatilah bukan sahaja di rumah, di jalan raya pun sudah tidak selamat lagi.  Berdoa sahajalah apabila memulakan perjalanan.

...akan bersambung

Jumaat, 1 Februari 2013

Pesta Buku 1 Malaysia




Hari ini saya ke Pesta Buku 1 Malaysia yang diadakan di PWTC Kuala Lumpur. Keadaannya tidaklah semeriah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur mahupun Pesta Buku Big Bad Wolf.