Ahad, 31 Mei 2009

Menonton Orkestra Simfonik



Foto dari Google

Baru-baru ini guru muzikku telah mengundang aku untuk menonton persembahan orkestra simfonik. Pada peringkat permulaannya aku tidak mengetahui yang beliau turut bermain di dalam orkestra ini. Sangkaanku hanyalah sebagai undangan biasa bagi menambahkan lagi pengetahuanku di dalam bidang muzik.

Oleh sebab tidak biasa dengan laluan di UPM maka aku bergerak agak awal sedikit iaitu sebaik sahaja selesai solat Maghrib. Guruku meminta aku sampai di dewan persembahan sebelum jam 7.30 malam. Namun aku mengambil keputusan untuk solat dahulu sebelum ke sana.

Memang banyak arah papan tanda menuju ke tempat orkestra. Dalam kegelapan malam itu aku mencari dewan persembahan. Majlis diadakan di dalam dewan kuliah utama, Fakulti Perubatan UPM...di sana telah menanti sekumpulan para pemuzik yang pelbagai. Memang masa tiba, majlis telahpun bermula...aku tak kisahlah. Ini pertama kali menonton orkestra begitu.

Tengok punya tengok rupa-rupanya macam guruku yang sedang bermain cello. Besar tu alat muziknya. Aku kagum dengan persembahan konduktur muzik tersebut. Kebetulan pula aku duduk bersebelahan dengan keluarga orang yang menjadi konduktur muzik itu...ala-ala gaya Dato' Johari Salleh masa jadi konduktur muzik di RTM. Permainan muzik kian rancak...

Masa rehat aku gunakan untuk menghantar sms kepada guruku...ringkas sahaja bunyinya...Yeh yeh...thank u for coming....masa itu semua pemuzik berehat dan berada di belakang pentas....sememangnya aku teruja melihat persembahan pada malam tersebut.
Sebelum ini aku teringin untuk menonton persembahan orkestra di mana-mana tetapi tiada kesempatan walaupun telah ada beberapa undangan. Tetapi undangan ini aku penuhi kerana masa yang ada begitu bersesuaian sangat.

Usai persembahan, semua keluarga ke pentas persembahan....ada yang memberikan jambangan bunga, dan ada yang memberikan pelbagai hadiah. Aku tiada apa-apa hendak diberikan kerana sememangnya aku tidak tahu guruku membuat persembahan hebat begitu. Dulu ada juga guru muzik (Miss Julia) kini menjadi guru muzik di sekolah swasta - yang berkelulusan UPM mengundang aku menyaksikan persembahan piano solonya di UPM. Disebabkan beliau berada di tahun akhir dan itu adalah persembahannya untuk projeknya maka aku siap-siap telah membelikan sejambak bunga untuknya. Aku tidak malu naik ke pentas untuk menghadiahkan jambangan bunga tersebut sebagai menghargai persembahan piano solonya yang begitu hebat.

Tetapi, untuk persembahan orkestra pada malam tersebut aku tidak membawa apa-apa...hanya bawa hati yang gembira... Namun dengan rasa tidak malunya juga, aku ke pentas menemui guruku dan memeluknya dengan penuh kasih sayang. Aku mengucapkan tahniah dan sempat merakamkan kenangan bersama. Tahniah Miss Tiffany...dikaulah guruku yang memahami kepayahanku, namun sering kali memuji ketangkasan jari jemariku di mata piano. Senyum lagi bila aku buat silap dan tak praktis dengan baik. Entahkan jujur entahkan tidak...namun aku senang bergurukan beliau...biar beliau seusia anak bujangku....

Aku dan Perpustakaan


Foto Ads By Google
Aku dan perpustakaan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Aku boleh saja ke perpustakaan tidak kira waktu...petang, senja mahu pun malam. Biasanya pada sebelah siang aku memanfaatkan sepenuhnya kerjayaku di pejabat. Tiada siapa yang tahu mengapa aku suka ke perpustakaan kecuali diriku sendiri.

Aku suka meminjam buku, membaca majalah terkini dan mendapatkan maklumat buku-buku terbaru. Mungkin ada orang hairan, mengapa aku yang sudah setua ini suka ke perpustakaan. Sendiri tanya sendiri jawaplah. Apa yang penting...ini adalah hobi aku yang tiada siapa boleh mempertikaikannya.

Perpustakaan mana tujuanku...aku suka ke perpustakaan Tun Seri Lanang dan perpustakaan ATMA. Kadang kala aku terpaksa membayar denda kerana lewat memulangkan buku-buku yang dipinjam. Hairannya mengapa tidak ramai orang yang sudah bekerja suka menuju ke perpustakaan untuk meminjam buku. Di situ kan lubuk ilmu, mengapa tidak dilombong emasnya... Ya aku berasa hairan bin ajaib. Siapa yang suka boleh tiru gayaku...

Selamat mencintai dunia perpustakaan...

Rojak Ghani Klang

Usai kelas piano di Yamaha Kajang, aku dan suami menuju ke Klang. Sabtu yang santai, biasanya kami membeli belah dan merehat-rehatkan minda. Klang...kian sibuk. Trafik jem di mana-mana. Lama sungguh tak makan rojak di sana. Apa lagi, lepas parking kereta, kami menuju ke gerai mencari mamak yang jual rojak.

Sejak berumah tangga kira-kira 24 tahun yang lalu dengan orang Klang, aku telah diperkenalkan dengan gerai ini oleh aruah mertuaku. Kami biasanya makan dengan bersungguh-sungguh dan selepas itu akan bungkus rojak tersebut untuk dibawa pulang. Keenakanya tiada bandingan...

Nostalgia itu kembali berulang...kini telah turun ke generasi ketiga keluarga kami. Suamiku pula telah membawa anak-anak kami makan di gerai yang sama. Namun petang Sabtu lalu hanya kami berdua sahaja yang makan rojak di situ. Usai makan, aku suruh mamak bungkus lagi 2 untuk dibawa pulang. Hahaha penangan rojak ini tidak berkesudahan nampaknya. Suatu masa nanti aku ingin menginterview mamak ini untuk ku letakkan rojaknya di blog ini.

Mengimbau Kenangan Silam...


Foto Ads By Google
Sudah lama menginggalkan kampung halaman tidak bererti luput segala ingatan tentangnya. Bagi diriku yang sudah lama tidak menjejakkan kaki ke kampung halaman berasa teruja apabila anakku memilih untuk meneruskan pembelajaran di Kolej Matrikulasi Johor. Saya sendiri tidak pernah terfikir akan ada kolej semegah itu di kampung halaman saya sehinggalah anak saya menamatkan pengajian matrik dengan jayanya di sana kira-kira dua tahun lepas.

Bermula dari era itu saya kerap pulang ke kampung kerana menjenguknya. Saya berbangga menjadi anak kelahiran Tangkak. Bandar ini kian maju dan menerima anjakan paradigma yang begitu menonjol sekali. Banyak yang saya tidak percaya telah berlaku di sana termasuklah deretan kedai-kedai kain dan rupa bentuk binaan bangunannya yang berubah mengikut peredaran zaman.

Saya berbangga menerima pendidikan di sini. Biarpun saya tidak bersekolah di luar dari kepompong Tangkak namun saya tetap mengagungkan setiap pembelajaran yang saya kutip di setiap sekolah yang pernah denainya saya layari. Sewaktu bermesyuarat di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini, saya bertemu dengan adik salah seorang daripada guru yang pernah mengajar saya di SKPBT. Kami bercerita mengenainya. Saya teruja mendengar cerita guru saya daripada adiknya. Sudah berpuluh tahun saya meninggalkan Tangkak, namun saya tidak pernah lupa kepada jasa semua guru-guru saya yang memperkenalkan dunia keilmuan yang begitu penting dalam membina hidup saya sehingga menjadikan saya seorang insan sebegini rupa.

Untuk merakamkan rasa kasih saya ini saya titipkan nama-nama sekolah yang pernah menerima kehadiran saya...peringkat awal mengenal ABC saya didaftarkan di Sekolah Kebangsaan Perempuan Bandar Tangkak. Usai sekolah rendah saya berbasikal untuk menuju ke Sekolah Menengah Tun Mamat Tangkak dan di antara keduanya itu saya tetap meneruskan pembelajaran agama di Sekolah Agama Lelaki Bandar Tangkak hingga tamat darjah khas sekolah agama. Maka lengkaplah seluruh pembelajaran saya sepenuhnya di bandar Tangkak dan saya berani menyatakan saya adalah anak jati Tangkak sehingga UKM menerima kehadiran saya hingga kini.

Ahad, 24 Mei 2009

Apabila Di sana Sini Orang Memperkatakan Tentang Kota Buku...

Wah! Bab ini yang paling saya suka. Ada juga orang penting yang bercakap pasal kota buku. Jadi ke? Bila hendak didirikan kota itu? Di mana letaknya tempat tersebut? Adakah di Kuala Lumpur atau di luar kota? Saya suka juga apabila perkara ini digembar-gemburkan. Sekurang-kurangnya ada juga orang ingat nak baca buku...Hendak suruh orang membaca buku ni bukannya kerja senang. Semua orang yang sudah bekerja malas hendak membaca....opps terlepas cakap pulak. Jahatnya mulut...

Mungkin selepas didirikan kota buku ini kelak, maka akan berduyun-duyunlah orang pergi shopping membeli belah...

i

"Hendak beli apa tu?"
"...hai beli buku ke makcik?"
"...untuk siapa"
"...untuk saya le, habis kau ingat untuk siapa lagi".
"Tapi makcik kan dah tua, orang kata sudah hendak masuk kubur...masih mahu membaca lagi ke...!"
"Hoi, lazernya mulut kau".
"Kau tau tak sekarang ni aku tengah nak buat PhD. Umur aku dah dekat 80 tahun tau. Aku cabar kau yang budak mentah ni belajar macam aku le..."

ii

"Tok...kita nak ke mana ni"
"Apa lagi, ke kota buku le"
"Di mana tu".
"Kat depan sana tu".
"Fuyoooo! Banyaknya buku...Ramainya orang tok... Sesak...Sume tu nak beli buku ke".
"Yelah! Kau ingat, diaorang datang ni suka-suka mengabiskan beras je ke".


Maka inilah antara dialog rekaan semasa di kota buku nanti....
Kita nantikan dialog ini menjadi kenyataan.

Selamat Hari Lahir UKM



Sempena dengan hari lahir UKM, saya suka untuk mengabadikan apa jua yang terdapat di dalam buku ini di sini...SELAMAT HARI LAHIR UKM


Universiti Kebangsaan Malaysia: Sejarah Penubuhan. 2006. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 967-942-714-5 (kk). RM50.00. ISBN 967-942-729-3 (kl). RM20.00. 208 hlm. Mohd. Ali Kamaruddin
Lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada 18 Mei, 1970 adalah hasil perjuangan dan semangat nasionalisme golongan cendekiawan sejak tahun 1920-an lagi. A. Kadir Adabi mencetuskan idea penubuhan sebuah universiti yang berciri kebangsaan apabila beliau meminta agar sebuah universiti yang berciri kebangsaan ditubuhkan dengan tujuan untuk memajukan masyarakat Melayu di samping memartabatkan bahasa Melayu ke arah yang lebih tinggi. Namun begitu idea tersebut telah terencat malah perkembangan pendidikan Barat bertapak kuat di Tanah Melayu. Perkembangan sistem pendidikan kebangsaan telah menghidupkan kembali semangat terhadap penubuhan sebuah universiti yang akan menjadi institusi pendidikan lanjutan bagi pelajar lepasan sekolah aliran Melayu. Dalam zaman British, sistem persekolahan Melayu sekadar untuk menghapuskan buta huruf di peringkat minimum sahaja agar masyarakat Melayu terus hidup dalam kejahilan dan setakat menjadi kuli penjajah. Murid-murid dari sekolah Melayu bukan sahaja tidak mampu menimba pelajaran dan pendidikan di peringkat menengah dan menamatkan pengajiannya pada peringkat umur yang terlalu muda, malahan mereka juga terpaksa pulang semula ke kampung untuk meneruskan pekerjaan tradisi ibu bapanya sebagai petani dan nelayan tradisional. Namun begitu, atas usaha yang berterusan sekumpulan cerdik pandai terutamanya dalam Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu Semenanjung (KPGMS) telah merealisasikan penubuhan Universiti Kebangsaan. Tertubuhnya universiti ini bukan sahaja menandakan bermulanya sejarah baru dalam perkembangan sistem pendidikan negara, malah Universiti Kebangsaan telah berjaya mendaulatkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan tinggi di negara ini.

MOHD. ALI KAMARUDDIN, Ph. D., semasa hayatnya adalah pensyarah di Jabatan Sains Politik, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Terbitan beliau yang lain dengan Penerbit UKM ialah Kepimpinan Pemuda UMNO (1998) bersama Aminuddin Mohd. Yusof dan Penaungan dalam Kepimpinan Melayu Kelantan 1946-90 (2004).

Apabila Saya Terkenang Kisah Lalu...

Kenangan ini wajar diabadikan di sini...
i

Saya terkenang ketika meredah jalan-jalan batu berkuda di Vrijdag Mark beberapa tahun nan lalu di kota Leuven, Belgium. Saya ke sana kerana membeli sayur, barangan dapur dan sudah semestinya mencari buku kulit keras untuk anak-anak saya. Ketika itu saya belum terjun ke dunia perbukuan. Cuma saya suka lepak di gerai orang menjual buku-buku lama... Bertimbun saya bawa pulang buku. Hinggakan tiada siapa menyangka itu adalah himpunan buku-buku yang saya beli untuk tujuan bacaan anak-anak dan saya sendiri. Ketika itu, saya suka membeli buku masakan dan buku kanak-kanak. Apa lagi kalau ada berita buku bergambar yang cukup cantik - mesti saya bawa pulang bersama dengan barangan dapur...orang tak ada kerja. Jadi, kerjanya merayau-rayau di sekitar kota setelah menghantar anak-anak ke sekolah.

ii

Saya juga suka lepak di kedai buku. Saya membelek-belek buku dan kadang kala terus membawa pulang buku-buku yang berkenan di hati. Biarpun mahal tetap mampu untuk dibeli!

iii

Saban Sabtu, saya ke Perpustakaan Awam Leuven. Saya juga menjadi ahli perpustakaan universiti Leuven. Buku-buku banyak di situ. Saya membiasakan anak-anak lepak di situ. Mereka santai membaca buku-buku secara percuma di situ. Saya juga meminjam buku-buku untuk dibawa pulang. Ketika itu seolah-olahnya saya sudah terjun ke dunia perbukuan. Saya buat begitu kerana saya tiada ramai kawan di sana. Jadi, saya hanya ke perpustakaan kerana meminjam buku dan ke pasar membeli barangan keperluan harian.

iv

Jika ada masa terluang, saya akan menaiki trem, tren atau bas untuk ke luar kota. Saya juga berbasikal untuk seluruh kota Leuven. Menelusuri kota-kota lama dengan berbekalkan wang yang ada bersama-sama keluarga. Justeru itu, saya sudah pun lepak di Luxemburg, Belanda, Jerman, Switzerland dan ke England. Saya dan keluarga tidak pernah pulang ke tanah air kerana mengisi sepenuh masa di perantauan.

Kesimpulannya: Kepada siapa yang suka...boleh ikut cara saya. Saya tidak boleh paksa orang ikut cara saya. Saya juga tidak suka membeli pinggan mangkok. Saya suka beli buku dan berjalan ke sana sini menonton panorama yang tidak ada di Malaysia. Jangan bila ada masa cuti asyik pulang ke tanah air. Manfaatkan sepenuhnya masa kita semasa berada di luar negara.

Isnin, 18 Mei 2009

Apabila Akim Dapat Tempat Ketiga....

Rutin harian saya selain daripada membaca adalah menonton televisyen. Rancangan yang tidak pernah terlepas adalah Akademi Fantasia 7. Saya mengikuti rancangan ini daripada mula hinggalah ke minggu terakhir. Cuma pada konsert terakhir saya tidak dapat menontonnya kerana berada di Johor Bharu.

Jadi semangat ingin tahu siapakah pemenang begitu membuak-buak. Keesokkan paginya saya membeli akhbar harian di kedai buku. Hotel hanya membekalkan akhbar The New Straits Time. Tiada berita tentang pemenangnya, cuma ada cerita pasal Tomok iaitu pemenang rancangan sejuta ringgit. Sejujurnya, saya tidak mengikuti rancangan ini, jadi saya tidak mengenali kesemua pesertanya.

Saya cuma dapat tahu Akim mendapat tempat ketiga melalui akhbar Mingguan Malaysia.Anak muda ini benar-benar mengalami transformasi kerana ketika mula-mula masuk beliau agak keras (keras badan dan keras hati). Dalam erti kata lain, tidak pandai menari dan selalu memberontak jiwanya. Ini dapat digambarkan melalui paparan di dalam dairi harian. Ada juga nampak adegan marah. Namun sejak minggu-minggu terakhir, saya boleh nampak keseriusannya belajar. Menulis apa juga yang diperkatakan oleh para residen dan para fakulti melalui tangan kirinya. Serius bertanya apa jua yang tidak tahu dan akhirnya beliau nampak seperti seorang penyanyi.

Pada pandangan saya, beliau boleh pergi jauh kerana usianya masih muda lagi. Akim berpotensi untuk maju dengan berbekalkan gaya, kekacakan dan personalitinya yang menarik anak dara di luar sana. Dalami bidang muzik. Belajar piano dan gitar dan akhirnya, selamat maju, terus maju ke hadapan asalkan tahu membawa diri di dalam industri hiburan yang penuh mencabar ini.

Ahad, 17 Mei 2009

Zamri kata, Jadi Penulis Boleh Buat Duit...


Foto Adds By Google
Sepanjang percutian saya di Johor Bharu baru-baru ini, saya sempat menelusuri kedai buku dekat Plaza Ansar dan berjaya mendapatkan mutiara yang berharga di dalamnya...kata kedua-dua buku ini, dengan jadi penulis kita boleh buat duit. Saya memang tak sayang duit untuk membeli buku-buku yang boleh memberi faedah kepada kerjaya saya.

Namun, saya belum habis baca lagi kedua-dua buku ini. Saya cukup seronok membaca buku tips tersebut....tak tahulah kenapa. Dalam dingin bilik hotel Puteri Pacific, saya asyik membaca dan membaca. Sesekali saya merenung kolam renang di bawah. Selalunya saya suka juga membaca di hadapan kolam renang. Orang kata, sambil baring-baring di kerusi tu ada hobi lain...dah macam orang Barat, membaca di tepi kolam renang. Kadang kala saya bersenam di gym. Namun pada ketika itu, rutin menonton TV terpadam seketika kerana ingin menghabiskan kedua-dua buku ini secepat mungkin. Ada daya tarikan yang kuat seumpama besi berani. Walaupun saya juga ada membeli buku-buku lain, pelbagai jenis surat khabar dan beberapa majalah serta membawa banyak lagi buku-buku lain bersama tetapi, kedua-dua buku ini menjadi prioriti untuk dibaca. Wah...gitu.

Bagi saya yang telah biasa menukangi dan menangani buku ilmiah, agak seronok juga membaca buku-buku ini...lain daripada yang lain....mana tau saya berminat dan terpengaruh dengan apa yang diperturunkan di dalamnya. Ya! Saya memang terpengaruh dengan isi di dalamnya. Tunggu sahajalah apa perkembangannya nanti. Walau apapun, jika saya terjumpa apa-apa kesalahan di dalam kedua-dua buku ni, saya akan maklumkan kepada pengarangnya. Memang saya dah jumpa kesalahan tersebut. Mungkin pengarangnya boleh perbaiknya pada edisi cetakan yang akan datang.

Ikhlas saya nyatakan di sini, pengarang buku ini nampak ikhlas mencurahkan ilmu menerusi penulisannya. Pada usia yang begitu muda beliau bermotivasi tinggi untuk mengubah paradigma pembaca sekalian. Wahai suri rumah yang tak ada kerja...janganlah asyik membebel dan menonton TV...cari buku ini dan baca. Boleh buat duit dari rumah. Anak-anak pun boleh dijaga. Duhai OKU yang susah nak cari kerja, manfaatkan ilmu di dalam buku ini, mulakan membaca, cari komputer dan mula menaip. Jangan buang masa. Orang kata, OKU susah nak dapat kerja. Jadi, apa tunggu lagi...menulis dan menulis. Wah terkesima saya...apa-apa pun sekalung tahniah Sdra Zamri Mohamad. Walau kita tidak saling mengenali tetapi ilmunya saya tembusi dengan kedua-dua buku ini.

Salam Hari Guru

Foto Adds By Google

Hari minggu yang lalu, seluruh guru-guru di Malaysia menyambut Hari Guru - 16 Mei 2009. Mereka adalah insan mulia yang membakar diri bagi menerangi orang lain. Ramai yang menjadi manusia hasil sentuhan murni para guru. Untuk seluruh para guru, Selamat Hari Guru.

Sebagai tanda penghargaan kepada semua guru-guru...saya mencadangkan mereka membaca memoir yang baru sahaja berada di pasaran. Hasil suntingan saya yang tidak seberapa. Kisah jerih payah seorang guru menelusuri kejayaan...beliau juga seorang penulis yang berbakat besar. Semangatnya kental. Semuanya boleh dibaca di dalam memoir ini. Memoir Mohamed Salleh Lamry: Guru Melayu Terakhir

Selasa, 12 Mei 2009

Pesta BUKU PWTC 2009



Bagi mengenang nama aku ada di dua tempat ada diletakkan dalam buku ini, aku dengan tak malunya mendedikasikan kulit buku itu di sini. Sebenarnya, sengaja nak letak sendiri dan bertujuan untuk didokumentasikan. Hahaha.

Aqim Aqim n Aqim






Ni sengaja nak letak pic aqim banyak-banyak kat sini. Pinjam dari blog sultan muzafar....boleh ye. Untuk Akim...saya doakan anda selamat berjaya...anda benar-benar melalui transformasi yang sebenarnya.

Isnin, 11 Mei 2009

Selamat Hari Jururawat

Foto Ads By Google

Hari ini 12 Mei 2009 - untuk semua petugas-petugas yang setia membantu suamiku bekerja...sekalung penghargaan Selamat Hari Jururawat. Mereka ini bekerja tanpa mengira waktu..siang dan malam membantu pesakit. Kerjaya mereka harus dihormati dan disanjung tinggi. Untuk semua jururawat di hospital kerajaan, semoga terus tabah menghadapi cabaran dalam bekerja.

Wah...Hadiah Hari Ibu



Terima kasih terima kasih terima kasih

Cantik dan menawan kreativitimu anakanadaku

Ibumu dipakaikan tiara...apakah karektornya persis...principal AF7

Tahlil 100 Hari Arena Wati

Sabtu yang lalu (9 Mei 2009) seluruh keluarga Arena Wati berkumpul di Ulu Langat kerana mengadakan majlis tahlil 100 hari berpulangnya ke rahmatullah bapak Arena Wati. Di situ, saya lihat kebanyakan lauk pauk yang di masak sendiri oleh ibu Halimah adalah lauk pauk kegemaran aruah. Memang air tangan ibu Halimah sungguh menjadi. Enak dan sedap.

Terima kasih kerana turut mengundang keluarga kami hadir ke majlis tersebut.

Waktu yang sama saya gunakan untuk memberitahu ibu Halimah yang memoir aruah yang setebal 1,124 halaman akan diulang cetak. Ini adalah antara pesanan terakhir aruah di katil hospital kepada saya yang teringin untuk melihat hasil karyanya yang telah lama habis itu berada di pasaran semula. Saya berdoa agar dapat melunasi tugasan ini dengan baik kerana saya jua teringin untuk melihat karya ini menemui khalayaknya yang setia menanti.

Selamat Hari Wesak

Sabtu yang lalu, saya menghabiskan masa lapang di rumah kerana cuti umum hari Wesak. Banyak aktiviti yang boleh dibuat termasuk membaca bahan bacaan yang banyak dibeli ketika Pesta Buku 2009 lalu. Banyak juga buku-buku yang belum dibaca termasuk hadiah yang diterima kerana membentangkan kertas kerja MAPIM di Seri Pacific baru-baru ini. Walaupun saya menerima banyak buku-buku perubatan tetapi saya tetap senang menukanginya.

Selamat Hari Wesak

Selamat Hari Ibu

Bonda tersayang
Ibu, dikaulah permata hatiku,
ibu, insan tersayang yang paling ku cintai,
Ibu, kaulah penawar hatiku kala lara,
Ibu, tempat aku menumpang kasih dan bermanja,
Ibu, jantung hatiku,
Selamat Hari Ibu untuk bondaku tercinta.

Aduhai Ibu Mertuaku @ ibuku jua
Ibu mertuaku telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini
al-fatihah untukmu ibu...
Dikau jua ibu sejatiku
Aku memahami jerih payahmu membesarkan teman akrabku @ suamiku
Aku tenang menerima berita pulangmu ke rahmatullah
Ibu, setelah sekian lama menderita,
Ibu pergi membawa semua lara yang ditanggung

Suamiku berkata, beliau telah kehilangan ibunya,
tetapi masih mempunyai ibu mertua lagi.

Lantas...aku katakan padanya...sedekahkan al-Fatihah

Untuk bonda kami pula...

lantas aku menghantar sms ringkas kepada adindaku yang hingga kini belum terjawab:

Pls sent my big hug n kiss to mum, hehehe

Apakah ada nada nakal di situ, tetapi di situlah aku dengan bondaku...
Yang sejak akhir-akhir ini berubah watak seperti keanak-anakkan
Namun, ibu tetap ibu


Untuk anakandaku berdua di luar negara

Terima kasih kerana menelefon untuk menyampaikan salam hari ibu...agak lucu tetapi aku bahagia sekali menerima panggilan yang merentas beberapa lautan...

terima kasih terima kasih terima kasih

Isnin, 4 Mei 2009

Menunggu Majlis Pelancaran Buku...


Design By Khalid

Majlis akan berlangsung pada 19 Mei 2009 di Bankuasi UKM mulai jam 10.30 pagi -1.30 petang. Hadirin yang dijemput hadir sila maklumkan sebelum 12 Mei 2009. Sekian.

Terkini: Majlis ini ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. Penangguhan ini disebabkan beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Sebarang kesulitan amatlah dikesali.